Kota Kinabalu, 4 Februari 2025 – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul pelbagai anugerah berprestij dalam majlis Anugerah Pamer Keunggulan yang berlangsung di Hotel 7 Suria, Kota Kinabalu.
Majlis yang diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan pengurusan dan pencapaian kokurikulum sekolah-sekolah di Sabah itu menyaksikan PPD Kuala Penyu dinobatkan sebagai:
Johan Pencapaian Terbaik CGPA PAJSK Kategori Sekolah Rendah
Johan Pengurusan 1M1S Sekolah Rendah
Johan Anugerah Sekolah Cemerlang Sekolah Rendah Luar Bandar
Naib Johan Pengurusan Kokurikulum Cemerlang Sekolah Rendah
Anugerah Ikon SPBT PPD Contoh
Pencapaian Terbaik Pengelolaan Program Peringkat Antarabangsa Secara Bersemuka
Kejayaan luar biasa ini mencerminkan komitmen tinggi dan usaha berterusan warga pendidikan Kuala Penyu dalam meningkatkan mutu pengurusan kokurikulum serta memperkasakan pendidikan luar bandar. Penganugerahan ini juga memberi pengiktirafan kepada pendekatan inovatif dan kerjasama padu antara pentadbir sekolah, guru, pelajar serta komuniti setempat.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah dan menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi yang ditunjukkan oleh PPD Kuala Penyu sebagai contoh kepimpinan cemerlang dalam bidang pendidikan.
Majlis yang penuh gilang-gemilang ini turut menjadi platform menghimpunkan pelbagai pencapaian terbaik pendidikan di seluruh negeri, sekaligus menyuntik inspirasi kepada semua pihak untuk terus berusaha memperkasa sistem pendidikan negara.