KAJIAN AMALAN DAN PELAKSANAAN CAJ PEMAJUAN DALAM PEMBANGUNAN TANAH DI MALAYSIA
Pn. Nor Azalina Yusnita Abdul Rahman (Project Leader)
Dr Wan Rabiah Wan Omar
Datin Mudirah Shaharudin
Pn. Asma Senawi
ABSTRACT
Kerajaan tempatan atau lebih dikenal isebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini merupakan agensi di barisan hadapan secara keseluruhanya. Orang ramai lebih banyak berurusan dengan agensi ini berbanding agensi kerajaan yang lain kerana ia ditubuhkan di peringkat daerah dan berperanan sebagai agensi mengawal selia pembangunan, penguatkuasaan, pengurusan bandar dan sebagainya. Sebagai alat bagi tujuan kawalan pembangunan, PBT pada hari ini mula memperkenalkan kaedah caj pemajuan untuk dikenakan kepada pemaju bagi tujuan kawalan pembangunan tanah. Caj Pemajuan atau caj Pembangunan adalah merupakan sejumlah amaun yang dikenakan pada pembangunan yang melibatkan kenaikan nilai tanah. Caj Pemajuan diperuntukkan di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 manakala Caj Pembangunan di bawah Akta 267, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. Kajian ini dibuat untuk melihat pelaksanaan caj pemajuan di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi rangka kerja keseluruhan. Setiap negeri mempunyai kaedah caj pemajuan masing-masing dan pelaksanaan di peringkat daerah juga mempunyai cara tersendiri menterjemahkan polisi berkenaan. Sehingga kini terdapat lima (5) negeri telah melaksanakan caj berkenaan. Berdasarkan pemerhatian terhadap kumpulan sasaran, lima (5) masalah utama dihadapi oleh pelaksana di peringkat PBT meliputi tempoh masa, pengumpulan data, permohonan individu, pembayaran dan kadar caj. Sebanyak lapan (8) PBT telah dijadikan responden dari jumlah populasi secara keseluruhannya empat puluh satu (41) PBT bagi sesi temubual untuk pembentukan amalan terbaik bagi pelaksanaan caj pemajuan di negara ini, Cadangan amalan terbaik telah dirangka meliputi penglibatan pihak-pihak yang terlibat serta aktiviti-aktiviti secara langsung serta tidak langsung bagi tujuan meningkatkan tahap keefisyenan terhadap pelaksanaan caj ini.