Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI,
“Kementerian Pendidikan komited dalam usaha meningkatkan kualiti dan akses pendidikan saksama termasuk mengoptimumkan potensi murid dalam pelbagai komponen.Penganjuran kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) saban tahun merupakan antara platform utama yang mendukung aspirasi Dasar Sukan Negara iaitu ‘Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan’.
Pembangunan kemenjadian murid dalam bidang sukan bukan sahaja melahirkan atlet berkualiti sebagai pelapis negara, malah berupaya melahirkan atlet cemerlang yang mempunyai sahsiah yang positif, berdisiplin, berintegriti, komited dan berdaya saing. Penglibatan dalam sukan memberi impak yang besar terhadap penerapan nilai-nilai murni, pembentukan karakter yang utuh, serta pembudayaan semangat muhibah dan toleransi dalam kalangan generasi muda.
Usaha ini amat bertepatan dengan kerangka pembinaan generasi MADANI, iaitu generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidangnya, tetapi juga luhur akhlaknya, tinggi budi dan saling menghormati, seterusnya menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan negara.
“Sukan Penggerak Generasi MADANI”
FADHLINA SIDEK