Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI,
“Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian sentiasa berusaha untuk memberi ruang dan peluang kepada murid melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Bidang sukan merupakan wadah paling berkesan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara terutamanya dalam konteks melahirkan murid seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Aspirasi ini selaras dengan Hala Tuju Sukan, Kokurikulum dan Kesenian yang berhasrat mengembangkan bakat dan potensi murid ke tahap yang paling tinggi melalui penganjuran Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Kami komited dalam memastikan semua murid dapat terlibat secara menyeluruh seterusnya menyerlah melalui semua program berbentuk penggalakkan, pembangunan dan kecemerlangan yang dianjurkan dalam usaha menggilap jaguh sukan. Besar harapan saya untuk melihat atlet murid kelahiran MSSM mempunyai keperibadian dan jati diri yang tinggi serta boleh mencapai kejayaan seiring sebagai jaguh sukan dan akademik. Akhir kata, ‘dari sekolah ke dunia, mula dengan langkah juara’
“MSSM Pemacu Kecemerlangan Sukan”
ITHNIN BIN MAHADI