Jadual pembentangan KonPPi-1 2021
Konvensyen Penyelidikan, Professional Learning Communities dan Inovasi Pendidikan Program Matrikulasi KPM Kali Pertama Tahun 2021 (KonPPI-1 2021) adalah merupakan konvensyen anjuran Bahagian Matrikulasi KPM yang akan dijadikan acara tahunan. KonPPI-1 2021 merupakan satu platform untuk memantapkan jaringan kolaboratif dalam penyelidikan dan inovasi pendidikan norma baharu. Selain itu, konvensyen ini bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai peserta berkongsi amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kepimpinan dan pengurusan pendidikan. Konvensyen ini juga diharap dapat memberi peluang kepada peserta menimba ilmu pengetahuan serta meluaskan jalinan dan jaringan profesional.
Seiring dengan hasrat murni KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 untuk memperkasa kualiti institusi pendidikan, maka penganjuran KonPPI-1 2021 berfungsi sebagai wacana kepada pensyarah dan pemimpin serta pengurus pendidikan untuk mencetus idea bagi merancang transformasi selaras keperluan pendidikan semasa.
Pemilihan Tema KonPPI-1 2021 iaitu Memperkasakan Pembelajaran dalam Dunia Digital bertujuan menjadikan konvensyen ini medan bagi pensyarah dan pihak berkepentingan berkongsi idea dan pemikiran baru untuk beradaptasi dengan norma baharu yang perlu bagi melaksanakan PdP secara dalam talian sepenuhnya serta meningkatkan kemahiran dalam pendidikan digital. Oleh yang demikian, KonPPI-1 2021 memberi peluang kepada pensyarah berkongsi kepakaran dan pengetahuan untuk meningkatkan keberkesanan PdP secara dalam talian dan seterusnya dapat memantapkan pelajar melalui pembelajaran digital.
2.1 Menyediakan platform kepada peserta membentang serta berkongsi dapatan penyelidikan, PLC, inovasi dan KIK dalam menganjak paradigma kecemerlangan PdP;
2.2 Mewujud dan memantapkan jaringan kolaboratif dalam penyelidikan, PLC, inovasi dan KIK;
2.3 Menjana amalan terbaik pembudayaan penyelidikan, PLC, inovasi dan KIK; dan
2.4 Memantapkan ilmu dan menjana aspirasi pembelajaran sepanjang hayat dalam pelbagai bidang pembangunan pendidikan atau modal insan alaf digital.
Penafian:
BMKPM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Maklumat akan berubah dari masa ke semasa tanpa notis.