LAMAN INFORMASI SEMINAR PENYELIDIKAN JPPKK

PENGENALAN

Selamat datang ke laman i-Seminar. Laman ini merupakan sebuah laman yang dibina bagi mengurus, mengumpul serta membuat hebahan berkenaan penganjuran persidangan penyelidikan yang dianjurkan khusus di dalam sistem Politeknik dan Kolej Komuniti.

INFO UMUM

Penggabungan dan pengstrukturan semula Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) serta Jabatan Pengajian Kolej Komuntii (JPKK) kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada tahun 2018 menyaksikan tertubuhnya Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) yang memainkan peranan untuk menyelaras, mengelola dan membudayakan aktiviti penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan bagi Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM(PT)) 2015-2025 di bawah Lonjakan ke-7 iaitu “Ekosistem Inovasi”, PPI berperanan membantu Politeknik dan Kolej Komuniti dalam membangunkan ekosistem inovasi seterusnya membudayakan aktiviti penyelidikan dan inovasi di institusi masing-masing. Tidak terkecuali, pembudayaan aktiviti penyelidikan dan inovasi dapat dilihat melalui penganjuran seminar yang dianjurkan saban tahun.

SEMINAR PENYELIDIKAN JPPKK

Seminar penyelidikan merujuk kepada persidangan, konvensyen, kolokium, forum, dan simposium yang tidak bersifat mesyuarat atau kursus yang dianjurkan oleh Politeknik dan Kolej Komuniti serta bahagian di JPPKK. Seminar penyelidikan telah dianjurkan oleh institusi di bawah JPPKK sejak tahun 1993 dan telah menjadi medium atau saluran penting untuk menyebarkan hasil penyelidikan terutama dalam kalangan pensyarah untuk dikongsi bersama. Melalui penganjuran seminar penyelidikan, aktiviti perkongsian pintar yang melibatkan penukaran dan aliran maklumat berlaku secara bebas. Para penyelidik dapat menyuarakan pandangan berdasarkan dapatan kajian yang kukuh kepada pihak-pihak berkepentingan dan pembuat dasar untuk diambil perhatian dalam penyelesaian sesuatu masalah berkaitan dengan pendidik. Justeru, amat penting agar JPPKK memastikan platform perkongsian pintar yang disediakan adalah signifikan dan terbaik.