MODUL SABAH MAJU JAYA

Modul Sabah Maju Jaya (Modul SMJ) merupakan satu inisiatif Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan sistematik, berkesan, dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Modul SMJ ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan untuk guru, malah menjadi alat bantu yang amat berguna bagi murid kerana ianya menyediakan bahan pembelajaran yang tersusun dan sistematik yang membolehkan murid belajar secara kendiri atau dibimbing, serta dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih teratur dan menguasai ilmu pada kadar dan tahap kemampuan masing-masing . Modul ini juga memastikan guru dapat melaksanakan pengajaran secara konsisten dan menyeluruh, digunakan dalam pelbagai situasi pembelajaran, termasuk pembelajaran bersemuka, dalam talian, atau secara hibrid. Modul Sabah Maju Jaya menghimpunkan modul pembelajaran matapelajaran teras khasnya bagi murid tingkatan 4 dan 5 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kelak. Pelbagai aktiviti dalam modul boleh direka bentuk untuk menggalakkan pelajar menganalisis, mensintesis, dan menilai maklumat, sekali gus membantu mereka membangunkan kemahiran pemikiran kritis dan kreatif. 


Modul ini dibangunkan oleh guru-guru hebat dan pakar dalam matapelajaran masing-masing. Diharapkan modul ini dapat memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan sumber yang berkesan dan fleksibel untuk mencapai hasil pembelajaran yang optimum serta merupakan salah satu alat yang relevan dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini.