Profesor Madya Dr. Md Nasrudin Md Akhir
Universiti Malaya
Peace Correspondent for Nagasaki
5 Ogos 2021
Treaty on the 6 dan 9 Ogos 2021 merupakan ulangtahun ke 76 memperingati tragedi pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Walaupun ledakan bom atom tersebut telah menamatkan Perang Dunia Kedua, namun kemenangan dalam peperangan tiada nilainya berbanding persoalan kemanusiaan, moral, penderitaan serta kehilangan nyawa yang amat tragik. Lebih menyayat hati apabila lebih 210,000 jiwa terkorban yang majoritinya terdiri dari bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua. Tambah memilukan, lebih setengah juta mangsa bom atom yang terselamat yang dikenali sebagai hibakusha terpaksa menanggung penderitaan dan komplikasi kesihatan sepanjang hayat akibat radiasi nuklear. Di sebalik upacara tahunan memperingati tragedi yang menimpa Hiroshima dan Nagasaki, setakat manakah mesej tanpa henti yang disampaikan oleh hibakusha serta pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mencintai keamanan menggesa agar senjata nuklear ditamatkan menampakkan hasil? Tidak ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya kejayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) pada 22 Januari 2021 sebahagian besarnya merupakan lobi berterusan hibakusha bersama NGO Jepun dan antarabangsa serta negara-negara yang cintakan keamanan. Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri turut memainkan peranan utama dalam proses yang membawa kepada penerimaan TPNW oleh PBB pada 7 Julai 2017.
Saranan ke arah dunia tanpa senjata nuklear serta dunia tanpa peperangan menjadi perjuangan yang saban tahun bergema di Hiroshima dan Nagasaki. Di samping mendesak negara-negara kuasa nuklear menghentikan program pembangunan senjata nuklear, peranan yang dimainkan oleh Dewan Bandaraya Nagasaki, Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims, serta Nagasaki Foundation for the Promotion of Peace seharusnya diberi penghargaan. Dalam usaha membangkitkan kesedaran ke atas malapetaka senjata nuklear, badan-badan ini secara konsisten menganjurkan pelbagai program penerangan dan kesedaran serta menguruskan lawatan perwakilan antarabangsa ke Nagasaki. Sesiapa yang berpeluang melawat ke hypocenter nuklear secara dekat serta menyelami penggarapan audio visual di Muzium Bom Atom Hiroshima dan Nagasaki, dengan sendirinya akan membangkitkan rasa kegerunan seolah-olah berada dalam ledakan sebenar bom atom.
Usaha yang dilakukan oleh NGO di Hiroshima dan Nagasaki serta institusi-institusi antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat global turut mendapat sokongan dari kalangan pelajar dan generasi muda termasuk di Malaysia. Sejak tahun 1996 misalnya, Program Pengajian Jepun di Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya telah menawarkan kursus “Isu-Isu Keselamatan Asia Timur” yang turut memasukkan persoalan senjata nuklear ke dalam kurikulum. Pada tahun 1996 juga, lawatan oleh kakitangan akademik serta 20 orang pelajar ke Muzium Bom Atom Hiroshima serta pertemuan dengan Datuk Bandar Hiroshima turut diadakan. Walau bagaimanapun, kunjungan oleh pihak pengurusan Nagasaki Foundation for the Promotion of Peace serta En. Hiroshi Matsuzoe, seorang hibakusha julung-julung kali ke Universiti Malaya pada Ogos 2006, telah menjalin kerjasama Universiti Malaya secara berterusan sehingga ke hari ini. Lanjutan kerjasama yang dimulakan tersebut, seminar secara bersemuka dan webinar secara dalam talian turut dianjurkan secara bersama serta aktiviti keamanan yang dikenali sebagai Asian Peace Network (APN) turut dianjurkan. Melalui kerjasama yang telah dipupuk dengan pihak Hiroshima dan Nagasaki tersebut, pameran ledakan bom atom Hiroshima dan Nagasaki diadakan pada tahun 2009 di Universiti Malaya selama dua bulan yang merupakan pameran julung-julung kali diadakan di Asia di luar negara Jepun. Dua orang hibakusha iaitu En. Tsukasa Watanabe dari Nagasaki dan allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid dari Malaysia turut berkongsi pengalaman mereka semasa Hiroshima dan Nagasaki digegarkan dengan bom atom.
Syarahan oleh hibakusha turut dianjurkan sebanyak enam kali di Universiti Malaya sejak tahun 2006. Manakala, syarahan serta webinar secara maya oleh pelajar-pelajar Universiti Malaya dengan hibakusha di Jepun serta yang menetap di Amerika Syarikat turut diadakan. Melalui kerjasama dengan Nagasaki juga, NGO antarabangsa iaitu Peace Boat yang berpengkalan di Tokyo turut mengadakan kunjungan ke Universiti Malaya pada 29 Ogos 2016 apabila 10 orang delegasi termasuk enam orang hibakusha menyampaikan syarahan. Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur juga turut bekerjasama dengan Program Pengajian Jepun, Universiti Malaya apabila menganjurkan secara bersama syarahan malapetaka bom atom ke atas Hiroshima yang disampaikan oleh Datuk Bandar Hiroshima, En. Kazumi Matsui pada 22 Julai 2016. Sempena majlis tersebut, kursus “Isu-Isu Keselamatan Asia Timur” di Universiti Malaya telah diiktiraf sebagai kursus pertama di Malaysia dan Asia yang disenaraikan sebagai kursus keamanan (peace course) di bawah organisasi antarabangsa Mayors for Peace yang dibentuk pada tahun 1982. Pada tahun 2019, kerjasama Universiti Malaya dengan Nagasaki turut dikembangkan sehingga ke Universiti Putra Malaysia dan Sekolah Menengah Convent Jalan Peel melalui program story telling oleh hibakusha yang dikendalikan oleh pihak Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims.
Adakah perjuangan ke arah dunia tanpa senjata nuklear yang mula digerakkan sejurus selepas pengeboman ke atas Hiroshima dan Nagasaki memberi keinsafan kepada pemimpin-pemimpin dunia untuk bersetuju ke arah pengharaman senjata nuklear? Walaupun TPNW telah mula berkuatkuasa pada 22 Januari 2021, namun kesemua sembilan buah negara kuasa nuklear mengambil pendirian untuk tidak mengundi malahan telah memboikot sejak PBB menerima usul pada tahun 2017. Tiada petanda jelas yang menunjukkan negara-negara kuasa nuklear akan bersama dengan negara-negara yang telah meratifikasikan TPNW. Kedegilan negara-negara kuasa nuklear tersebut boleh dikaitkan dengan doktrin nuklear seperti dihujah oleh Kenneth Waltz yang mengandaikan pemilikan senjata nuklear akan menjadikan dunia lebih aman disebabkan negara penyerang berpotensi merasa gerun sekiranya mengetahui negara yang akan diserang memiliki kapabiliti nuklear yang berupaya memusnahkan negara penyerang.
Kini, penyebaran senjata nuklear bukan sahaja berlaku secara mendatar yang menyaksikan semakin banyak negara memiliki kapabiliti nuklear, namun kapabiliti bom nuklear telah ditingkatkan beribu kali ganda berbanding bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki. Pembangunan senjata memusnah besar-besaran (WMD) seperti senjata nuklear, senjata kimia, senjata biologi serta agen-agen radiologi tetap diteruskan oleh negara-negara kuasa nuklear. Menurut Kempen Antarabangsa Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN), sebanyak US$72.6 bilion telah dibelanjakan oleh sembilan negara kuasa nuklear pada tahun 2020 ketika dunia berhempas pulas berperang dengan pandemik Covid-19. Secara terpeinci, Amerika Syarikat membelanjakan sebanyak (US$37.4b), China (US$10.1b), Rusia (US$8.0b), UK (US$6.2b), Perancis (US$5.7b), India (US$2.48b), Israel (US$1.1b), Pakistan (US$1b) dan DPRK (US$0.667b) bagi memperkukuhkan kapabiliti nuklear masing-masing. Sehingga Januari 2021, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menganggarkan sebanyak 13,080 kepala peledak nuklear masih dimiliki oleh negara-negara kuasa nuklear di mana kira-kira 90% daripada jumlah tersebut dimiliki oleh Rusia dan Amerika Syarikat. Keadaan ini meletakkan dunia dalam keadaan yang merbahaya kerana perlumbaan senjata nuklear secara vertikal dan horizontal akan terus berlaku. Risiko senjata nuklear diletupkan oleh mana-mana kuasa nuklear adalah tinggi. Tiada mana-mana negara yang bersedia berhadapan dengan konfrontasi nuklear sekiranya sesuatu keadaan luar jangka berlaku ketika ini. Dunia ke arah kemakmuran dan kedamaian sejagat yang menjadi impian banyak pihak nampaknya semacam sebuah ilusi.
Kesembilan buah negara tersebut juga semacam tidak mengendahkan TPNW yang telah mula dikuatkuasakan PBB. Walau bagaimanapun, masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak seharusnya berputus asa dengan segala mainan pemimpin negara-negara kuasa nuklear ini. Kedegilan pemimpin-pemimpin yang berlindung di sebalik agenda tersembunyi ini perlu dinyahkan dan mereka perlu dibawa ke meja perundingan. Sesungguhnya tiada empati dan obligasi moral yang boleh dijadikan jaminan sekiranya tercetus serangan nuklear. Pemimpin politik akan terus melakukan kesilapan sekiranya diplomasi tidak berfungsi seperti mana debat untuk mencari jawapan ke atas justifikasi mengugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki yang tiada kesudahan. Sempena memperingati ledakan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, satu-satunya kaedah untuk terus menghapuskan risiko ancaman senjata nuklear ialah kepatuhan kepada pengharaman senjata nuklear. Kejayaan menguatkuasakan TPNW oleh PBB merupakan simbolik ke atas kejayaan perjuangan bertahun lamanya hibakusha bersama NGO Jepun dan antarabangsa melobi secara berterusan agenda pengharaman senjata nuklear. Oleh itu, TPNW perlu menjadi platform untuk melobi pemimpin-pemimpin politik negara-negara kuasa nuklear untuk bersetuju dengan apa yang telah diputuskan. Ketikanya sudah sampai agar kehendak politik diterjemahkan kepada tindakan politik.