ASSALAMUALAIKUM & SEJAHTERA DISINI KAMI MEMBERIKAN INFO-INFO MENGENAI RUKUN NEGARA
ISI
KANDUNGAN
// Untuk contoh pengenalan dibawah, boleh gunakan Collapsible group.. Dimana atas tajuk dan bawah adalah isi...
// Dan garis warna oren tersebut adalah Divider
Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya “kesatuan hati”. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna “konflik” yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.
Di negara kita, kerajaan telah menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu. Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara dari pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.
Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni. Rukun Negara telah menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu: untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan, untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.
SEJARAH RUKUN NEGARA
Kedatangan Inggeris dan dasar-dasar imigrasi liberal yang diperkenalkan telah menukar corak dan bentuk kehidupan masyarakat negara ini. Kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan buruh-buruh dari negara China dan India untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah milik mereka serta menggalakkan berniaga di pekan-pekan.
Di bawah dasar pecah perintah kerajaan Inggeris telah memisahkan penempatan dan bidang pekerjaan ketiga-tiga kaum secara berasingan. Kebanyakan orang Melayu dibiarkan terus tinggal di kampung-kampung tradisional dan meneruskan pekerjaan sebagai petani dan nelayan. Orang-orang Cina pula ditempatkan di sektor perlombongan dan berniaga. Inggeris menempatkan orang-orang India di ladang-ladang getah milik mereka sebagai pekerja ladang. Hanya sebilangan kecil orang-orang India yang mengusahakan pekerjaan lain di pekan-pekan.
Dasar pecah perintah Inggeris juga telah memisahkan ketiga-tiga kaum yang terdapat di negara ini daripada bidang pendidikan. Orang-orang Melayu digalakkan bersekolah dalam aliran Melayu sekadar dapat membaca dan mengira. Kaum Cina dibiarkan meneruskan sistem pendidikan aliran Cina yang dibawa terus daripada negara asal mereka. Kaum India juga mengadakan pendidikan dalam aliran Tamil. Bahasa pengantar dan kurikulum juga berpandukan daripada negara asal mereka. Ketiga-tiga kaum ini tidak berpeluang untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain kerana dipisahkan melalui jurang pendidikan dan penempatan. Hanya anak-anak golongan elit sahaja yang berpeluang bersekolah di sekolah-sekolah aliran Inggeris yang ditubuhkan oleh penjajah. Keadaan ini berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Tahun 1956, iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa majlis pemberian taraf Bandaraya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pangkor 1960, Bukit Mertajam 1966 dan sekali lagi di Pualau Pinang 1967. Peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil-kecilan sahaja. Langkah dan usaha yang serius bagi membendung rusuhan kaum hanya dimulakan pihak kerajaan setelah kejadian rusuhan kaum yang serius berlaku pada peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Akibat daripada peristiwa ini, kerajaan telah mengambil langkah tegas serta jangka panjang untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang.
Berikutan itu, Majlis Perundangan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. Anggota-anggota Majlis Perundangan Negara terdiri daripada seorang Pengerusi ( Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein merangkap Pengarah MAGERAN ), tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri dan wakil-wakil daripada parti politik. Majlis ini juga mempunyai wakil-wakil daripada tokoh agama, badan-badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil kumpulan-kumpulan kecil.
Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 27 Januari 1970, dipengerusikan Pengarah MAGERAN, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein. Setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan, Majlis Perundingan Negara telah merumus bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan di negara ini. Berdasarkan keputusan tersebut, maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-Empat pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan Malaysia.
Setiap warganegara Malaysia hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai ters dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan, kesetiaan kepada raja dan negara, kepatuhan kepada perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai kesopanan dan kesusilaan.
Ruku Negara juga menjadi pendoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke arah pembentukan perpaduan nasional dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Seterusnya melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan.
Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara adalah jelas merupakan kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Perpaduan dan penyatuan rakyat amat penting dalam usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat. Melalui Rukun Negara, semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat berpegang kepada satu ideologi yang dapat dijadikan sebagai amalan dan etika kehidupan seharian mereka. Rukun Negara amalan hidup rakyat Malaysia.
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia adalah satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara. Rukun Negara juga adalah satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.
Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Rukun Negara yang menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia jelas merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Negara ini untuk membentuk warga berintegriti.
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:
• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran perlembagaan
• Kedaulatan undang-undang
• Kesopanan dan kesusilaan
Sejarah Pembentukan Rukun Negara
Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-13. Doktrin Rukun Negara diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ketika itu memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum yang lebih dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang diketuai oleh seorang Pengarah, ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan yang semakin goyah pada masa itu iaitu perbalahan antara etnik yang pernah berlaku pada 1946, 1956 (di Pulau Pinang), 1960 (di Pangkor), 1966 (di Bukit Mertajam), 1967 (di Pulau Pinang) dan 13 Mei 1969 (di Kuala Lumpur). Rukun Negara adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MAGERAN yang dipimpin oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, MAGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara.
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negerinegeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di- Pertuan Agong.
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Unang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan.
Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Akhir sekali, prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat. Ianya bertujuan untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin dan bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.