Bandar Baru Bangi, 3 Mei – Alhamdulillah pada Ahad 3 Mei 2026 yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Penaja, Persatuan Alumni Kuwait Malaysia, atau AKM bertempat di bilik mesyuarat Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT), Seksyen 13 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Mesyuarat dihadiri alumni dari gabungan generasi dari tahun sekitar 70an, 80an, 90an dan Y2K juga.
Antara senior-senior yang hadir adalah Dr Zaid, Dr Mohd Deen, Dr Zamri, Dr Suhaimi, Prof Dato Dr Torla, Ustaz Yumni, Ustazah Salamiah dan En Ziad. Junior atau lebih tepat lagi generasi pertengahan terdiri daripada En Aziz, En Al'amin & En Shahril. Tidak ketinggalan juga generasi muda seperti En Zaim dan Cik Shaima'.
Alumni di atas talian pula terdiri daripada Prof Dr Abdul Rahman, Dr Abdul Wahab, Ustaz Muhammad Yusuf, Dr Zaharuddin, En Hashif dan En Ikhwan, selain beberapa lagi sahabat yang tidak dapat menghadiri secara talian atas masalah connection.
Mesyuarat dipandu oleh Dr Zaid Mohamad atau nama masyhurnya Pak Jed, dan telah berjalan dengan lancar lagi harmoni.
Antara agenda utama adalah berkenalan sesama ahli mesyuarat (yang hadir bersemuka dan juga atas talian), pembacaan dan penelitian perlembagaan cadangan, perbincangan berkenaan logo, dan lain-lain lagi.
Kertas cadangan undang-undang pertubuhan diperhalusi dengan teliti, begitu juga perihal logo persatuan dan penetapan ahli-ahli jawatankuasa penaja.
Ahli-ahli mesyuarat memberi saranan-saranan dan kritikan bernas dan akhirnya bersetuju untuk menyerahkan permohonan pembentukan persatuan berserta perlembagaan persatuan, lambang persatuan dan senarai ahli jawatankuasa penaja persatuan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
YDP jawatankuasa penaja menyasarkan penyerahan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan dan penerimaan kelulusan menjelang akhir suku kedua 2026 insyaAllah.
Semoga ia menjadi kenyataan. Marilah bersama-sama kita berdoa supaya usaha dan inisiatif ini membuahkan hasil setelah berbelas tahun diusahakan.