Zuraini Jusoh
Universiti Putra Malaysia
Norazlina Mohd Kiram
Universiti Putra Malaysia
Rozita@Radhiah Said
Universiti Putra Malaysia
Kata Kunci: budaya kerja; pengetahuan kerjaya; prospek kerjaya; kerjaya bidang bahasa; bahasa Melayu
Kajian ini dijalankan dalam kalangan pelajar program Bahasa dan Linguistik Melayu di sebuah universiti awam dan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Tujuan utama untuk mengenal pasti sejauh mana pengetahuan kerjaya dalam bidang bahasa dalam kalangan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa dan dalam kalangan pelajar yang bakal memilih laluan kerjaya dengan melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi. Pemilihan sampel kajian dijalankan secara bertujuan, apabila kesemua sampel yang mengambil satu kursus dan dalam sebuah kelas dipilih sebagai sampel kajian ini. Sebanyak 63 orang pelajar program Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dan 60 orang pelajar tingkatan enam terlibat. Satu set soal selidik telah diedarkan kepada sampel kajian, namun untuk tujuan penulisan ini hanya soalan “pekerjaan dalam bidang bahasa yang diketahui” sampel kajian akan dikupas dan dipetakan. Sampel kajian dibenarkan menulis sebanyak mungkin pekerjaan dalam bahasa Melayu yang diketahui mereka. Data kajian ini telah dianalisis menggunakan perisian QSR Nvivo 10, dan untuk menghuraikan dapatan kajian, peta awan yang diperoleh hasil analisis menggunakan perisian ini akan digunakan. Hasilnya, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat sembilan kerjaya dalam bidang bahasa yang dapat dinyatakan oleh sampel, iaitu kerjaya sebagai editor atau penyunting, juru bahasa, pensyarah, guru, penyelidik bahasa, pemandu pelancong, penulis, penterjemah, dan kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kerjaya sebagai guru dan pensyarah paling banyak dinyatakan oleh pelajar tingkatan enam. Manakala, kerjaya sebagai pensyarah dan penterjemah paling banyak dinyatakan oleh pelajar program Bahasa dan Linguistik Melayu. Dapatan kajian ini jelas menunjukkan bahawa sampel kajian tidak terdedah dengan kepelbagaian kerjaya dalam bidang bahasa Melayu. Malah, pelbagai jenis kerjaya yang tidak berkait dengan bidang bahasa telah ditulis oleh sampel, seperti akauntan, polis, jurutera, askar, pelakon, penyanyi, dan sebagainya.