Marzura Ibrahim
Universiti Utara Malaysia
Rodziah Mat Zin
Universiti Utara Malaysia
Siti Syamsul Nurin Mohmad Yazam
Universiti Utara Malaysia
DOI: https://doi.org/10.47836/ajac.14.s1.05
Kata kunci: komunikasi formal; komunikasi bimbingan penyelia; sokongan organisasi; PKS; sektor perkhidmatan
Komunikasi merupakan satu proses penyaluran maklumat melalui pelbagai peringkat dalam organisasi dan sokongan organisasi mampu meningkatkan prestasi kerja dalam kalangan pekerja organisasi. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan bagi membincangkan peranan komunikasi formal dan komunikasi bimbingan penyelia dalam mempengaruhi persepsi sokongan organisasi dalam kalangan pekerja Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) sektor perkhidmatan di Utara Semenanjung Malaysia. Kajian dilaksanakan secara kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan. Soal Selidik digunakan bagi mengumpul data dan maklumat yang diperlukan. Kajian ini melibatkan seramai 418 orang pekerja PKS sektor perkhidmatan di Utara Semenanjung Malaysia. Data di analisis menggunakan SPSS dengan menggunakan kaedah analisis deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan tahap komunikasi formal secara keseluruhan adalah tinggi iaitu komunikasi mendatar mencatat nilai yang paling tinggi diikuti komunikasi ke atas dan ke bawah pada tahap sederhana. Selain itu, tahap komunikasi bimbingan penyelia dan sokongan organisasi turut mencatat nilai signifikan. Terdapat hubungan signifikan dan positif di antara komunikasi formal dan komunikasi bimbingan penyelia dengan sokongan organisasi. Komunikasi formal dan komunikasi bimbingan penyelia mempengaruhi persepsi sokongan organisasi. Kajian ini dapat membantu pihak pengurusan PKS khususnya sektor perkhidmatan mengekalkan kecekapan dalam penyaluran maklumat organisasi. Komunikasi formal (ke atas, ke bawah dan mendatar) dan komunikasi bimbingan penyelia penting bagi memudahkan para pekerja melaksanakan kerja dengan lebih cekap dan efisien serta membolehkan organisasi terus mengekalkan kelebihan daya saing dalam memenuhi cabaran-cabaran dalam persekitaran perniagaan global yang kompetitif.