PROF. DR. ROSSITA SHAPAWI
Profesion : Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) VU6
FAPI : Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB)
Program : Ijazah Doktor Falsafah (Akuakultur)
Tahun Konvo : 2008
Ringkasan Latar Belakang Peribadi dan Kerjaya Terkini
Sejak dari awal, Prof. Dr. Rossita Shapawi telah mengukir perjalanan akademik yang jelas dan mantap. Beliau bermula dengan menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Perikanan (Akuakultur) di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1997, meneruskan ke Sarjana Sains Gunaan dalam Akuakultur di University of Tasmania (2001), dan akhirnya kembali ke tanah air untuk memperoleh PhD dalam Akuakultur dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2008.
Beliau menyertai UMS pada tahun 1999 sebagai seorang tutor, sebelum diserap menjadi pensyarah tetap sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di Australia pada tahun 2001. Kepakarannya dalam penyelidikan dan dedikasi terhadap bidang akuakultur mengangkat beliau kepada pelbagai tanggungjawab penting, termasuk dilantik sebagai Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) (2011-2014), Pengarah IPMB (2014-2019), dan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS (2020-2025). Kini, beliau telah mencapai satu lagi puncak kerjaya di mana beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, berkuat kuasa 16 Jun 2025.
Pencapaian/Kejayaan Utama Selepas Tamat Pengajian
Sepanjang kerjayanya, Prof. Dr. Rossita bukan sahaja sebagai pengajar dan pentadbir, tetapi juga penyelidik ulung. Beliau telah mengetuai dan terlibat dalam pelbagai projek penyelidikan, membina reputasi cemerlang dalam pemakanan ikan, inovasi makanan akuakultur, dan teknologi akuakultur mesra alam. Antara hasil paling gemilang adalah apabila beliau dan pasukannya memperkenalkan inovasi makanan udang kara air tawar bernama "Cray‑X", yang merangkul Anugerah Terbaik Kluster Pertanian & Perhutanan serta dinobat sebagai Anugerah Terbaik Keseluruhan PEREKA 2022 — satu pengiktirafan atas impak yang mendalam kepada komuniti dan industri. Produk ini kemudiannya berjaya dikomersilkan pada tahun 2025 melalui perjanjian perlesenan bersama industri.
Atas pencapaian cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, beliau telah menerima pelbagai anugerah berprestij. Beliau telah memenangi 12 Pingat Emas dalam pertandingan penyelidikan dan telah dikurniakan Anugerah Ahli Darjah Setia Kinabalu oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2019. Pada tahun 2021, beliau telah diiktiraf sebagai salah seorang daripada 100 Wanita Inspirasi Sabah. Sumbangan beliau dalam penyelidikan dan inovasi turut diiktiraf melalui anugerah berprestij seperti Anugerah Penyelidik Malim UMS pada tahun 2019 dan Top 3 Saintis Sabah pada tahun 2023. Pada majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2024 UMS, beliau telah menerima penghormatan tertinggi sebagai penerima Anugerah Tokoh Pengurusan.
Di luar UMS, Prof. Dr. Rossita telah menjadi Profesor Pelawat di Kindai University, Jepun sejak tahun 2015. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Universitas Brawijaya, Indonesia. Baru-baru ini, beliau telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Universitas Airlangga, Indonesia. Beliau merupakan ahli editorial bagi jurnal berprestij Journal of Applied Phycology dan ahli lembaga penasihat editorial untuk jurnal dalaman BMRI, iaitu Borneo Journal of Marine Science & Aquaculture. Beliau juga merupakan ahli seumur hidup Persatuan Perikanan Malaysia serta ahli Journal of the World Aquaculture Society. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai penilai luar bagi program akademik berkaitan akuakultur di beberapa universiti awam seperti UPM, UMT dan UIAM. Prof. Rossita juga adalah Panel Penilai HICOE serta panel juruaudit bagi Malaysian Research Assessment Instrument (MyRA) di peringkat kebangsaan. Beliau mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai Ketua Bab dalam Majlis Profesor Negara.