selamat datang ke pintu gedung ilmu ict

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) membolehkan warga Malaysia mendapat ilmu dan kemahiran bersesuaian dengan model ekonomi berpendapatan tinggi. PSH mampu mengembeleng potensi individu yang masih belum berada dalam pasaran kerja menerusi pelbagai peluang meningkatkan kemahiran. PSH juga boleh memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna. Menerusi PSH, pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat.

Justeru itu, PSH merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan. Daya saing global dan kepelbagaian keperluan telah mendesak individu supaya sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran mereka. Hal ini juga dituntut oleh majikan dan industri bagi meningkatkan produktiviti. Pada masa yang sama, sejajar dengan pembangunan sosioekonomi negara, individu semakin sedar dan menghayati keperluan untuk pengayaan ilmu dan kemahiran demi kemajuan dan kepuasan diri.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Pembekal PSH yang terdiri daripada Kementerian/Agensi/Jabatan/Institusi telah merancang dan menyediakan pelbagai program dan latihan kepada masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang boleh diikuti oleh semua peringkat umur tanpa mengira jantina, kaum dan anutan agama. Program/Kursus-kursus yang ditawarkan juga bersesuaian dengan kehendak semasa selaras dengan aspek pembangunan modal insan untuk mewujudkan masyarakat yang berdaya saing selain dari meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat. Tenaga pengajar yang mahir dalam bidang masing-masing diketengahkan dalam kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak yang terlibat agar dapat memberi ilmu serta khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat.

dipetik dari https://www.moe.gov.my/pendidikan/pembelajaran-sepanjang-hayat/pengenalan