Rencana : Penggunaan sumber dalam kajian sejarah
Mohd Shazwan Mokhtar
Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Shazwan Mokhtar
Universiti Kebangsaan Malaysia
Penguasaan sumber primer yang mantap dan meluas dapat menjadikan seseorang pengkaji sejarah itu kompeten dan lebih menguasai terhadap bidang kajiannya. Dalam kajian sejarah Malaysia era penjajahan British, seseorang pengkaji harus menguasai sumber primer utama seperti siri Colonial Office, CO 273, CO 576, CO 717. Walaupun hanya tiga siri, pengkaji perlu menguasai keseluruhan sub siri terkandung di dalamnya yang merekodkan peristiwa sejarah penjajahan sejak akhir abad ke-19 hingga sebelum Perang Dunia Kedua. Belum lagi, siri Colonial Office di peringkat negeri seperti CO 323 (SS & Johore), CO 716 (Kedah), CO 802 (Sarawak), CO 827 (Kelantan), CO 840 (Terengganu), CO 434 Labuan dan lain-lain lagi. Sumber ini tidak berbatas di peringkat Colonial Office sahaja, pengkaji yang kompetan perlu juga menguasai sumber siri Foreign Commonwealth Office (FCO) kerana banyak sumber siri CO telah dimigrasikan ke FCO. Tambahan lagi, sumber siri Cabinet Paper (CAB), Treasury (T), Dominion Office (DO), War Office (WO) dan banyak lagi. Jika di Arkib Negara Malaysia antara siri yang popular ialah Selangor Secretariat (Sel. Sect.), High Commissioner Office (HCO), Sec. State. dan banyak lagi.
Namun, kemahiran dalam menggunakan sumber sekunder tidak boleh diabaikan. Ini kerana penguasaan terhadap sumber sekunder juga boleh mempengaruhi pemikiran pengkaji dalam proses mentafsir sesuatu peristiwa yang dikaji. Oleh sebab itu, keseimbangan penguasaan sumber sekunder perlu dimiliki oleh seseorang pengkaji. Dalam erti kata lain, seseorang pengkaji tidak harus bergantung sepenuhnya dengan karya yang bersifat klasik / lama, tanpa mengenalpasti lompang (gap)karya tersebut yang telah dibahaskan dalam karya terkini/ baharu.
Contohnya, seseorang pengkaji sejarah pentadbiran kolonial British di Tanah Melayu tidak harus bergantung dengan karya Sadka (1960) semata-mata kerana dalam tesis beliau sendiri Sadka mengakui batasan sumber primer yang diperoleh dan digunakan oleh beliau. Oleh sebab itu, pengkaji perlu mencari karya terkini untuk mendapatkan tafsiran / perspektif yang lebih terkini.
Sebab utamanya, akses sumber primer itu sendiri yang terbatas. Bahan-bahan tertentu hanya dibuka kepada rujukan umum selepas tempoh masa tertentu. Adapun bahan-bahan yang diberi akses kepada pengkaji tertentu, embargo tetap dikenakan dalam penulisan. Dalam kes ini, peranan tokoh pengkaji itu penting. Berdasarkan limitasi ini juga, guru saya pernah menasihati 'jangan kita rasa apa yang telah kita tulis itu benar secara total'. Ciri ini juga yang menjadikan disiplin sejarah itu sangat ketat dan berevolusi dengan perbahasan ilmiah. Menurut Rowse (1963), metod yang rigid ini memberi penekanan serta tumpuan yang berhati-hati dalam menguji kebenaran sumber sejarah, yang akhirnya membuka jalan seterusnya mencapai kesimpulan untuknya.
Contohnya, jika kita hanya bergantung dengan sumber tempatan semata-mata, memang kita akan dapati tidak wujud penjajahan British. Namun, sekiranya sumber ini direntasi (dalam metodologi sejarah: proses kritikan sumber) dengan sumber di London, saya yakin interpretasi pengkaji akan berubah. Oleh sebab itu, Ibn Khaldun mencatatkan,
It should be known that history is a discipline that has a great number of approaches. Its useful aspect are very many. Its goal is distinguished
Menurut Ranke penguasaan sumber yang kukuh dapat membantu pengkaji sejarah menghasilkan rumusan yang objektif dalam penulisannya. Alasannya ialah berdasarkan kaedah penyelidikan yang empirikal terhadap sumber-sumber tersebut. Namun, pemikiran Ranke ini dikritik oleh pengkaji-pengkaji selepas era beliau. Antaranya, E.H. Carr (1961) yang berhujah, ‘There is no objective historical truth’. Namun, hujahan Carr ini hanya merujuk kepada interpretasi pengkaji dalam penulisannya, tidak kepada kaedah penyelidikan sumber. Dalam isu ini, Leff (1969) berpandangan pengadilan dan interpretasi sejarawan terhadap karyanya ialah tidak objektif kerana dalam proses pengadilan dan interpretasi tadi adalah seiring dengan penentuan fakta yang relevan dan sejauhmana signifikannya terhadap pengkaji sejarah tadi.
Leff juga menambah, sesebuah pensejarahan itu mencapai objektivitinya apabila terdapat keseimbangan dalam penilaian bukti-bukti sejarah yang dikaji. Menurut beliau, ‘It can be never be less than interpretation and it may be less than the best interpretation for all its fidebility to the source’.
Berdasarkan isu ini juga, saya amat bersetuju dengan pandangan seorang tokoh sejarah negara, yang berhujah untuk membuktikan sesuatu perkara, seseorang pengkaji itu tidak boleh hanya membawa 1 bukti. Bagaimana dengan hanya 1 bukti boleh meruntuhkan kewibawaan bukti-bukti yang lain ? Inilah antara cabaran pengkaji sejarah yang cuba membawa tafsiran baharu ataupun menilai semula hasil kajian terdahulu, khususnya oleh penulis barat.
Diharapkan penulisan rencana ini dapat menjernihkan kekeruhan atau salam faham dalam kalangan masyarakat yang terdapat sebahagiannya agak begitu sinikal dengan ulasan dan komentar oleh tokoh-tokoh pengkaji terhadap lambakan naratif berkaitan sejarah.
Rujukan dan Bacaan Lanjut
Zainal Abidin bin Abdul Wahid. 1991. Sejarah Malaysia : Pentafsiran dan Penulisan. UKM Bangi: Penerbit UKM.
Leff, Gordon. 1969. History and Social Theory. London: Merlin Press.
Ibn Khaldun. 1967. The Muqaddimah: An Introduction to History. London: Routledge and Kegan Paul.
Gottschalk, Louis. 1950. Understanding History: A Primer of Historical Method. Ed. ke-2. London: Alfred A. Knopf.
Garraghan, Gilbert J. 1946. A Guide To Historical Method. New York: Fordham University Press.
Carr, E.H. 1961. What Is History. London: Macmillan.
Abdul Rahman Haji Muhammad. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.