Berubat Guna Al-Quran

Panduan Merawat Diri

Anda boleh rawat diri sendiri di rumah

Ya, saudara mampu dan boleh merawat penyakit saudara sendiri untuk tahap batasan tertentu. Apabila saudara melewati tahap batasan ini, saudara perlu berjumpa dengan pakar perubatan. Dalam banyak keadaan, penyakit saudara boleh dirawat sendiri di rumah tanpa perlu bersusah payah berjumpa doktor. Berdasarkan pengalaman saya mengubati pesakit, lebih kurang 80% daripada penyakit bagi pesakit yang datang berjumpa saya boleh dirawat sendiri.

Apa yang saudara perlu sediakan ialah:

1. Niat, kesungguhan dan usaha yang tinggi.

2. Sedikit ilmu tentang penyakit saudara.
3. Sedikit Wang untuk membeli ubat-ubatan
4. Sedikit masa diluangkan untuk bersenam dan bersukan
5. Beramal dengan sedikit ayat-ayat Al-Quran


Saya pernah menghidap berbagai penyakit kronik di usia awal 30an. Saya bersungguh-sungguh mencari berbagai-bagai ubat dan penawar bagi penyakit saya, dan akhirnya saya sembuh sepenuhnya. Di antara penyakit-penyakit yang pernah saya alami ialah kencing manis, lelah, resdung, sakit pinggang dan sakit kaki.

Ubat-ubatan untuk sembuh telah wujud. Anda perlu cari dan pilih yang sesuai

Setelah berusaha selama hampir 10 tahun untuk melawan penyakit-penyakit yang dialami, dengan membuat analisa terhadap kajian-kajian penyakit yang dibuat di seluruh dunia dan juga mempelajari kaedah-kaedah rawatan penyakit oleh berbagai kaum dari zaman awal tamadun manusia hingga sekarang, saya yakin bahawa semua ilmu-ilmu perubatan untuk merawat penyakit dengan efektif telahpun diturunkan oleh Tuhan Maha Pencipta kepada kita semua. Cumanya, ilmu-ilmu perubatan tersebut berselerak di sana sini. Ianya menjadi tugas kita untuk mencarinya, mengujinya danĀ  mengkatalogkannya untuk manfaat manusia sejagat.

Setelah melalui pengalaman perubatan, saya yakin bahawa kita tidak memerlukan modal yang besar untuk sembuh dari penyakit. Ubat-ubatan yang disediakan di pasaran perubatan alternatif begitu banyak sekali dan amat berkesan. Saudara cuma perlu bijak untuk memilih produk yang berkualiti, efektif dan dengan harga berpatutan. Sebahagian dari ubat-ubatan boleh saudara proses sendiri di rumah.

Merawat diri dari penyakit tidaklah sukar. Anda tidak perlu belajar sehingga menjadi doktor untuk menyembuhkan sebahagian penyakit. Anda hanya perlu tahu apa penyakit yang sedang dialami dan bagaimana cara untuk merawatnya. Saudara mungkin hanya perlu memakan ubat-ubatan yang mungkin telah sedia ada di belakang rumah saudara.

Di bawah ini saya ceritakan sedikit pengalaman saya dalam berusaha mencari kesembuhan. Berbagai-bagai cara yang saya lakukan. Ada yang kelakar, ada yang memalukan dan ada yang menyakitkan. Namun saya hanya ceritakan hal-hal yang tidak akan mengaibkan diri sendiri. ha ha ha.

Nak sembuh perlu jiwa yang bersunguh-sungguh

Perkara yang paling penting yang perlu anda ada apabila berhadapan dengan penyakit ialah kekuatan jiwa. Kekuatan jiwa yang bersandarkan kepada harapan dan pertolongan Allah dapat meringankan beban penyakit dengan ketara sekali, dan penyakit akan dapat dirawat dengan lebih cepat. Kekuatan jiwa akan menggerakkan fizikal anda untuk berusaha dengan lebih gigih dan dengan hati yang lapang tanpa tekanan. Hal ini amat penting kerana tekanan akan memburukkan lagi keadaan penyakit anda.

Berubat cara hospital

Antara cara-cara yang saya lakukan dalam mencari kesembuhan ialah berubat cara moden dengan ubat-ubatan moden berbentuk drugs (dadah) seperti ventolin, flixotide, dimicron, prednisolone, beconese dan berbagai-bagai lagi. Setelah mengetahui bahawa ubat-ubatan moden hanya mampu mengawal penyakit dan bukannya menyembuhkan penyakit, saya mencari alternatif-alternatif lain. Penggunaan ubat-ubatan dadah adalah baik untuk kes kecemasan dan untuk jangkamasa pendek. Islam membenarkan penggunaan kaedah ini atas dasar darurat.

Berubat dengan menggunakan suplemen

Saya juga mencuba pelbagai ubat-ubatan traditional dan jualan langsung seperti mengkudu, ganoderma, propolis, susu kambing, gamat, madu Khaula, madu tualang, Insupro, Usana, Shakelee, spirulina dan banyak lagi. Walaupun banyak wang dikeluarkan untuk tujuan ini, saya tak menyesal sebab kebaikan yang saya dapati daripadanya sangat banyak. Inilah kaedah terbaik untuk menyembuhkan penyakit.

Berubat dengan berpuasa

Kaedah lain yang saya lakukan ialah berpuasa terus menerus selama lebih dari 7 bulan dan bersuluk. Berpuasa mampu menjadikan kita sihat seperti mana hadith nabi yang membawa maksud: "Berpuasalah nescaya kamu sihat". Bersuluk ialah mengasingkan diri dari masyarakat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek kerohanian untuk seketika waktu. Aktiviti kerohanian ini dapat mengurangkan penyakit tetapi ianya terlalu sukar untuk diamalkan seumur hidup semata-mata untuk sihat. Ada banyak lagi cara-cara lain yang lebih mudah diamalkan untuk menjadi sihat.

Berubat cara Darul Shifa

Saya juga belajar kaedah perubatan Islam dari Darul Shifa dan terus beramal dengannya dari tahun 2001 sehingga sekarang 2011. Selepas 2 tahun di Darul Shifa (orang lain belajar 1 tahun, saya sambung buat 2 tahun), saya meneruskan kegiatan mengubat orang ramai yang datang berubat di rumah saya. Kegiatan ini saya lakukan sebagai khidmat masyarakat kerana bersyukur ke atas kesihatan dan kesejahteraan yang telah Allah limpahkan kepada saya sekeluarga.

Berubat dengan bersenam

Bersenam sehingga mengeluarkan peluh adalah wajib dilakukan sekirannya kita berpenyakit. Berpeluh adalah satu cara tambahan badan kita dapat mengeluarkan kekotoran dan penyakit. Hasil kumbahan kuman di dalam tubuh dapat dibuang dengan lebih efektif. Bersenam juga dapat menguatkan jantung, paru-paru, tulang, otot-otot, urat saraf dan berbagai-bagai lagi organ dan sistem tubuh badan kita.
Comments