Raja Jembal

                                    اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ruangan ini dikhususkan bagi untuk article2 dan bahan2 rujukan berkaitan Dinasti Jembal yang dulu pernah memerintah negeri Kelantan, juga dimuatkan article2 yg berkaitan denganya...



SEJARAH WALI 7: Syed Hussein JamadilKubra Nusantara 1350M

posted Dec 7, 2011, 3:35 PM by Que Har   [ updated Sep 24, 2013, 8:46 PM ]

by BobspekRockers AlKubra on Sunday, 23 May 2010 at 02:37
zuriat YM Syed Hussein JamadiKubra ibn Syeikh Ahmad Jalal (kesultanan Hind)

"The Malay’s king is Ahlulbait. To know AhlulBait you should know the Malay’s king and to know the Malay’s king we should first know the Malays"- (Raja-Raja Melayu adalah Ahlulbait. Nak mengenal AhlulBait perlu mengenal Raja-Raja Melayu; Dan nak mengenal Raja-Raja Melayu perlu kenal orang Melayu dahulu).


SEJARAH: AHLULBAIT (AlKubra) DARI TITIHAN SYED HUSSEIN JAMADILKUBRA NUSANTARA 1350M

AhlulBait Nusantara adalah berasal dari titihan zuriat Yang Mulia iaitu Syed Hussein JamadiKubra ibni Syeikh Ahmad Jalal dari Kesultanan Deccan (selatan India) (titihan dari syaidina Hussein as bin Ali KWJ), yang belayar ke Tanah Melayu (timur) sebagai 'misi dakwah pada sekitar 1300M, yang mana di masa itu , di sebelah barat, Salahuddin AlAyubi (khalifahtul'mukmin) telah berjaya menakluk Palastine dari tangan Yahudi.

YM Syed Hussein JamadilKubra belayar bersama dengan enam orang adik-beradiknya yang lain dan tujuh orang lagi ditinggalkan di bumi kelahirannya, Deccan, kerana YM Syed Hussein JamadilKubra mempunyai 14 orang adik-beradik. Beliau merupakan abang yang sulong dan kerana itulah keturunannya diberi dengan pangkal nama 'LONG' pada eranya yang bererti 'SULONG' atau anak yang sulong.

YM Syed Hussein JamadilKubra juga dikenali dengan nama 'WALI TUJUH' di kalangan masyarakat Kelantan dan Nusantara sampai sekarang ini.Daripada titihan bagindalah lahirnya zuriat keturunan Kesultanan AhlulBait Nusantara atau 'Raja-Raja Melayu'.

Sebelum sempat mendarat di bumi berkat Tanah Melayu, YM. Syed Hussein JamadilKubra dan saudara-saudaranya telah diuji oleh Allah dengan satu ujian yang besar sehingga kapal yang mereka naiki hampir 'KARAM' di laut sehingga YM baginda Syed Hussein JamadilKubra hampir-hampir berputus asa dan beliau bersungguh-sungguh berdoa supaya diselamatkan dari bencana itu dengan berikrar akan mendirikan sebuah 'rumah Allah' (masjid)jika mereka terselamat dari bencana karam itu. 


IKAN KEKACANG MENOLONG:

Alhamdulillah, diizinkan Allah, secara tiba-tiba terjadilah 'Karamah WaliAllah' iaitu doanya telah makbul (rujuk buku Penghantar Ilmu Tarekat &; Tasauf karangan Prof. Abu Bakar Adtjeh)iaitu telah datang pertolongan Allah (Nasrum'minallah) berupa sekawan 'ikan kekacang' @ kekacang fish', telah datang menolong dengan menyumbat diri masing-masing pada tempat yang terdapat lubang-lubang air di kapal itu. Manakala sekawan yang lain telah menolak kapal itu sehingga selamat sampai ke daratan iaitu di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Apabila selamat dari bencana itu, YM Syed Hussein JamadilKubra terus sujud syukur dan bersembahyang dua rakaat bersama-sama yang lain.

Fenomena ini menjadi satu 'keganjilan' pada penduduk setempat yang datang menolong kerana di masa itu penduduk di situ masih beragama Hindu dan Budhha yang belum mengenal agama Islam lagi. Masyarakat di situ menjadi kagum dngan situasi yang wujud itu. Aneh, dan tersendiri!!

Dalam keadaan itu, tiba-tiba satu lagi 'petunjuk' dari Allah datang apabila seekor Tupai Putih melompat di hadapan baginda YM Syed Hussein JamadilKubra dan terus menuju ke serumpun pohon buluh 'Betong' yang berada tidak jauh dari angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra berehat. Tupai putih itu lalu memakan 'umbut' pokok buluh Betong itu dan berlalu dengan kenyangnya.

Memandangkan angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra memang dalam keadaan lapar dan dahaga selepai diamuk badai di lautan, maka berkeinginanlah lanta bagi YM Syed Hussein JamadilKubra untuk mencuba apa yang dimakan oleh Tupai putih itu lantaran laparnya.

Ekoran dari peristiwa ikan Kekacang dan rebung buluh Betong itu,YM Syed Hussein JamadilKubra telah bersumpah dan mewasiatkan anak-cucu dari zuriat keturunanya supaya tidak boleh lagi memakan 'ikan Kekacang' dan rebung buluh Betong.

Sesiapa yang melanggar pantang itu, biasanya akan terkena penyakit kulit, gatal-gatal, badan bersisik, atau mendapat anak/zuriat yang terencat akal, atau diri sendiri hilang ingatan.

Sengaja YM Syed Hussein JamadilKubra mewasiatkan dua perkara itu supaya dapat dikenal akan keturunanya dan supaya anak-cucunya sentiasa berkeadaan berhati-hati di dalam sesuatu perkara dan jangan bermain-main dengan 'WASIAT' atau amanah; sebagai tanda menghormati dan menghargai 'pertolongan' yang telah diberi oleh Allah melalui ikan kekacang dan rebung buluh Betong itu.

Realiti daripada peristiwa 'Karam Di Laut' itu, maka telah terdirinya Lagenda Masjid Kampung Laut yang pertama; yang kemudiannya dipindahkan oleh kerajaan ke Nilam Puri, Kota Bharu sehingga sekarang ini.

Setelah siap dibina masjid Kg. Laut, maka Syed Hussein bersama tujuh saudaranya belayar mudik ke hulu sungai sehingga bertemu dengan sebuah bukit yang dip[anggil 'Bukit Panau'. Setelah mudik di muka kuala sungai (sungai Kelantan), maka Syed Hussein dan rombongannya mula mendaki Bukit Panau itu sehinggalah sampai ke puncaknya pada waktu hampir maghrib. Kemudian dari maghrib Syed Hussein JamadilKubra mula beribadat secara 'Suluk' (ritual keagamaan) sehinggalah pada waktu hampir dinihari, tiba-tiba bumi jadi bergoyang, angin bertiup kencang dan terasa ada sesuatu yang bakal terjadi. Subhanallah! Dengan kebesaran Allah sekali lagi Allah menunjukkan 'kekeramatan' wali-walinya.


Bumi yang malamnya gelap tiba-tiba bercahaya dengan satu kilauan yang pelik dan menakjubkan. Hal ini menuimbulkan kegemparan penduduk setempat, lalu mereka beramai-ramai mendaki Bukit Panau untuk melihat apa yang berlaku. Dalam keadaan aneh, pelik, bingung dan cuba untuk tahu; Penduduk setempat tiba-tiba menjadi lebih terkejut apabila hampir sampai ke puncak bukit apabila satu lagi dentuman yang amat kuat seolah-olah 'petir' yang cahayanya adalah putih berkilau dan memancar terus dari angkatan YM Syed Hussein JamadilKubra menuju ke langit dan membentuk satu imej seolah-olah 'Tudung Saji'.Dari mulut penduduk setempatlah keluarnya perkataan 'KILAT..KILATAN' sehingga menjadi KELANTAN sampai sekarang ini.



Selepas peristiwa cahaya 'Tudung Saji' itu, YM Syed Hussein JamadilKubra telah meninggalkan enam orang saudaranya di Bukit Panau itu untuk menjaga 'keberkatan negeri Kelantan' yang baru 'disucikan' oleh YM Syed Hussein JamadilKubra supaya menjadi negeri yang berkat, aman dan berdaulat.

Kemudian beliau dan beberapa orang lain telah belayar ke Champa dan kemudiannya berkahwin dengan empat orang puteri Raja Champa yang mana keempat orang puteri raja itu telah melahirkan empat dinasti kesultanan AhlulBait yang utama di Nusantara ini iaitu kesultanan Pattani-Kelantan, kesultanan Mindanao, kesultanan Brunei (Borneo) dan kesultanan Demak (wali songo).

Beliau kemudian wafat di Kalimantan dan dimakamkan di sana. Daripada beliaulah lahirnya titihan keturunan Raja-Raja Melayu di Nusantara ini. Manakala adiknya yang ketiga iaitu Syeikh Thanauddin atau dikenali sebagai 'Sang AdiPutera' merupakan guru kepada Hang Tuah yang tersebut di dalam sejarah itu.


( ) Sila rujuk Perpustakaan Awam Kelantan-Hikayat Sri Kelantan.

Beliau adalah tokoh yang terpenting di Nusantara. Terlalu penting sehingga nama beliau DIPADAMKAN oleh British dan DIPADAMKAN DARIPADA BUKU SEJARAH DI SEKOLAH.

  1. Sayyid Hussein Jamadil Kubra dikatakan sebagai datuk kepada Wali Songo. 
  2. Adik beliau merupakan Adi Putera, Guru Hang Tuah. 
  3. Keturunan beliau ialah Sultan Brunei sekarang. 
  4. Keturunan beliau adalah kesultanan Kelantan. 
  5. Beliau dikaitkan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut. 
  6. Keturunan beliau di Kelantan memakai gelaran Tengku, Nik dan Wan. 
  7. Beliau ketua Wali 7. 

Beliau menetap agak lama di Kelantan sebelum meneruskan misi dakwah bersama-sama Wali Songo di Jawa. Bukit Panau di Tanah Merah Kelantan merupakan tempat pertapaan beliau dan tempat Wali Songo berkumpul sebelum ke Jawa.


Baginda rombongan wali 7 telah sampai di Kelantan kira-kira pada tahun 1349 Masihi besama adiknya Saiyid Thana’uddin atau Syekh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar).
Sepanjang misi dakwahnya Saiyid Husein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin yang ketika itu ibu kotanya bernama ‘Jiddah’ terletak 3 batu dari Bukit Panau.

Dari isterinya yang pertama Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang) ia mendapat dua orang anak, yang lelaki bernama Maulana Malik Ibrahim (pelupur Wali Songo) dan yang perempuan bernama Siti Aisyah.

Perkahwinannya dengan Ramawati puteri kepada Raja Champa, Sultan Zainol Abidin (Ce Bo Nga) dan Permaisuri Siti Zubaidah maka lahirlah generasi yang tersenarai di dalam kumpulan Wali Songo dari titisan Ibrahim Asmaro.

Sewaktu umurnya hampir 80 tahun Saiyid Husein telah dipertemukan jodoh dengan Puteri Selindong Bulan atau Siti Syahirah iaitu cucu saudara kepada isterinya yang pertama dan beroleh seorang anak lelaki Ali Nurul Alam yang kemudiannya nanti menjadi Perdana Menteri Majapahit II (Majapahit Barat) di Kelantan bergelar Patih Gajah Mada yang dikaitkan dengan beberapa peristiwa dengan Laksamana Hang Tuah. (Di Patani Ali Nurul Alam terkenal dengan nama Sultan Qunbul)

(Semasa Sultan Iskandar Syah menjadi Raja Kelantan bergelar Bhatara Majapahit pada 1432 Masihi baginda telah mengisytiharkan negeri Kelantan sebagai Empayar Majapahit II. Sampai ke hari ini keris kedaulatan negeri Kelantan dipanggil Keris Majapahit).

Syarif Muhammad Kebungsuan adalah anaknya yang bungsu dari isterinya yang ke empat (keluarga Diraja Johor) yang kemudian terkenal sebagai pembangun Kesultanan Mindanao (Filipina) sementara salah seorang dari abangnya menjadi Sultan Borneo yang ke III bergelar Sultan Berkat, moyang raja-raja Brunei sekarang.
(Keempat-empat isteri yang dikahwininya itu ialah selepas tiap-tiap seorang daripadanya meninggal dunia).
Pada awal abad ke 14 Ibrahim Asmaro dihantar oleh ayahnya Saiyid Husein Jamadil Kubra ke Tanah Jawa membantu serta menyambung usaha-usaha dakwah abangnya Maulana Malik Ibrahim yang meninggal dunia pada 1419 Masihi dan dimakamkan di Gerisek, Tuban.

Turut serta ialah dua orang anaknya Maulana Tahmatullah dan Maulana Ishak meninggalkan Ali Murtadho di Champa, dan kemudiannya berhijrah ke Patani, Thailand.

Mungkin inilah pelayaran wali-wali dari Champa yang dikaitkan atau mempunyai hubungan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut di Kelantan.

Syed Husien Jamadil Kubra - salasilahnya di Kelantan

posted Nov 26, 2011, 2:32 AM by Que Har   [ updated Dec 28, 2012, 11:05 AM ]

Artikel Dari Sebuah Forum: KETURUNAN NIK,WAN,TUAN, CHE, TENGKU KELANTAN BERASAL DARI SYED HUSIEN JAMADIL KUBRA???
Ini plak misteri mencari Sayyid Hussein Jamadil Kubra (www.forum.cari.com/)

WonBin:
Beliau adalah tokoh yang terpenting di Nusantara. Terlalu penting sehingga nama beliau DIPADAMKAN oleh British dan DIPADAMKAN DARIPADABUKU SEJARAH DI SEKOLAH.

1. Sayyid Hussein Jamadil Kubra dikatakan sebagai datuk kepada Wali Songo.
2. Adik beliau merupakan Adi Putera, Guru Hang Tuah.
3. Keturunan beliau ialah Sultan Brunei sekarang.
4. Keturunan beliau adalah Sultan Kelantan sekarang.
5. Beliau dikaitkan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut.
6. Keturunan beliau di Kelantan memakai gelaran Tengku, Nik dan Wan.
7. Beliau ketua Wali 7.
8. Beliau menetap agak lama di Kelantan sebelum meneruskan misi dakwah bersama-sama Wali Songo di Jawa. Bukit Panau di Tanah Merah Kelantan merupakan tempat pertapaan beliau dan tempat Wali Songo berkumpul sebelum ke Jawa.

WonBin:
WALI 7

Saiyid Hussein Jamadil Kubra dari keturunan Saiyid al-Alawiyah (bertemu hingga kepada Saiyidina Hussein cucu Rasulullah s.a.w.) anak dari bekas seorang gabenor kepada Sultan Muhammad Tugluq (Kesultanan Delhi) yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan); telah sampai di Kelantan kira-kira pada tahun 1349 Masihi besama adiknya Saiyid Thana’uddin atau Syekh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar). Sudah menjadi takdair bahawa keturunan Rasulallah dizalimi, ditindas, dibunuh dan merantau meninggalkan Kota Mekah untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Sepanjang misi dakwahnya Saiyid Husein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin (Kelantan Purba) yang sewaktu itu ibu kotanya bernama ‘Jiddah’ terletak 3 batu dari Bukit Panau. Kota tersebut telah terbenam ke dalam bumi dan ditenggelami oleh air, kini dikenali sebagai Danau Tok Uban.

Anak sulong beliau, Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) merupakan pelopor dan ketua Wali Songo. Maulana Malik Ibrahim merupakan anak Saiyid Husein hasil perkahwinan dengan Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang). Siapa sangka bahawa Wali Songo adalah anak buah (anak saudara) Cik Wan Kembang yang tersohor di Kelantan itu.

Salah seorang anak beliau, dihantar untuk berdakwah ke Borneo dan diangkat menjadi Sultan di Brunei bergelar Sultan Berkat yang merupakan nenek moyang raja-raja Brunei sekarang. Inilah jawapan kepada Misteri kenapa Sultan Brunei telah membina sebuah masjid yang cantikdan besar di gigi tasik Danau Tok Uban, sedangkan tempat ini ‘tersorok’ dan orang kelantan sendiri ramai yang tidak tahu kewujudan tasik yangagak luas sayup mata memandang.

Shaik Thanauddin pula menetap di Bukit Panau (Tanah Merah, Kelantan) sebagai tempat pertapaannya yang mana di sinilah Laksamana Hang Tuah datang untuk berguru semasa usia awal remaja sekitar tahun 1400. Pada zaman dahulu kala, Bukit Panau merupakan landmark bagi pelaut antarabangsa kerana bentuknya yang unik seperti piramid itu dapat dilihat dari laut ketika berada di perairan Laut China Selatan. Pada zaman dahulu, Bukit Panau diakses melalui Sungai Kelantan yang cuma disebelahnya. Kapal-kapal mudah sahaja melalui Sungai Kelantan yang luas itu. Inilah perkampungan Wali Songo dan tempat di mana mereka merancang dakwah di Tanah Jawa. jangan keliru, sebenarnya Bukit Panau ini bersebelahan sahaja dengan tasik Danau Tok Uban dan Masjid Sultan Brunei. Anjung Masjid Sultan Brunei di Tasik Danau Tok Uban di Pasir Mas Kelantan.

Semua informasi yang disampaikan oleh Wonbin ini agak menarik tetapi terlalu banyak informasi yang perlu dikaji selidik. Masalahnya data sejarah kita tak lengkap, hanyalah melalui cerita lisan. Kalau adapun penulisan seharusnya dalam tulisan jawi dan penulisannya tidak boleh sewenang-wenangnya diambil tanpa dikaji asal-usul naskah tersebut. Mungkin ini semua boleh terlerai jika diperincikan dan dibuat satu kajian perbandingan dengan sejarah di Jawa dan juga tulisan Arab dan China. Sudah tentulah sejarah2 sebegini tidak disimpan oleh pihak kolonial, kalau tidak pastinya sudah ditimbulkan oleh Mubin Sheppard dan Richard Winsteadt.

Selain Kota Salor, Kota Jelasin dan Puteri Saadong, aku juga terpanggil untuk mencari hubungan Puteri Saadong dengan kerajaan Perak. Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 4 ratus hingga 8 ribu tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa.

Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama ‘Perak Man’.Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu.

Selepas zaman ini, alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Reman(Reman ini asalnya adalah sebahagian daripada Kerajaan Pattani Besar sbelum ianya berpecah-pecah). Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.Titik sejarah Negeri Perak sebenarnya bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.

Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Long Jaafar. Di kelantan dan Pattani juga mempunyai keturunan raja-raja yang memakai gelaran yang sama sehingalah Raja Kelantan di zaman Kelantan moden Long Yunus. Pendekata ini tidak mustahil. Apalagi bila Pattani dikatakan terhubung dengan Perak dan kedah dan adanya Sunga Petani yang seharusnya dipanggil Sungai Pattani, merujuk kepada sejarah.

Kota Jelasin terletak kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Kota ini terkenal semasa di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang dari tahun 1548 sehingga 1580. Kota Jelasin dibuka pada tahun 1663 dan dibina dengan kayu-kayu tebal serta diukir dengan baiknya oleh tukang-tukang ukir yang masyhur. Kubu-kubu pertahanan dibina berhampiran dengan kota tersebut. Parit-parit digali dengan dalamnya serta timbunan tanah yang tebal dibuat sebagai benteng pertahanan.
Semasa pemerintahan Puteri Saadong, kota ini bertambah maju dan kota ini dijadikan sebagai kubu pertahanan negeri Kelantan daripada serangan dan ancaman luar. Mengikut sejarah, Kota Jelasin pernah diserang oleh Raja Siam disebabkan iri hati dengan kemajuan Kota Jelasin. Akhirnya, Kota Jelasin binasa dan Puteri Saadong juga menghilangkan diri. Semenjak itu berita daripada Puteri Saadong tidak diketahui dan keadaan Kota Jelasin semakin kucar-kacir tanpa pemerintah.

Kini Kota Jelasin hanya dikenali dengan nama Kota sahaja. Kesan peninggalan kota lama itu hampir lenyap kerana kurang perhatian untuk memeliharanya dan kawasan sekitar kota tersebut kini ditumbuhi belukar.

RAJA ABDULLAH (1663-1671)
Makam Raja Abdullah yang terletak di Kampung Padang Halban, Kota Bharu.
Raja Abdullah adalah suami kepada Puteri Saadong

Raja Abdullah adalah putera kepada Raja Bahar. Baginda telah dikahwinkan dengan sepupunya Puteri Saadong, Puteri kepada Raja Loyor oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang juga berhasrat untuk memperisterikan Puteri Saadong.

Selepas istiadat perkahwinan tersebut, Paduka Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah menerajui Kota Tegayung. Perkahwinan ini juga secara tidak langsung telah menamatkan sejarah pemerintahan di Jembal. Kemudiannya Cik Siti Wan Kembang telah meninggalkan Kota Tegayung. Kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin (sekarang Kampung Kota, Kota Bharu). Kota Jelasin juga kemudiannya diserahkan kepada Raja Abdullah dan Puteri Saadong.

Pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Saadong tidak lagi berpusat di Jembal tetapi di Kota Jelasin. Besar kemungkinan kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan kepada keadaan di Jembal yang tidak mempunyai pemerintah selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.

Dalam tahun 1671 baginda Raja Abdullah telah mangkat. Baginda dikatakan mati ditikam oleh isteri baginda Tuan Puteri Saadong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Kota Mahligai. Pergaduhan ini berpunca daripada sikap marah Tuan Puteri Saadong terhadap suaminya Raja Abdullah yang tidak setia terhadap janji.

Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Padang Halban, dalam daerah Melor kira-kira 17 km dari bandar Kota Bharu.


BUKIT MARAK, PERINGAT, KOTA BHARU

Bukit Marak terletak kira-kira 20 km daripada bandar Kota Bharu. Menurut sejarah, Cik Siti Wan Kembang, pernah bersemayam di sini sewaktu Pengkalan Datu menjadi pelabuhan yang penting sekitar tahun 1605.

Bukit Marak juga menjadi tempat bersemayam Puteri Saadong selepas kemangkatan suaminya Raja Abdullah dalam tahun 1761M. Kota Mahligai yang menjadi pusat pemerintahan pada masa itu telah diserahkan kepada Raja Abdul Rahim yang ditabal menggantikan Raja Abdillah.

Semasa berada di Bukit Marak, Puteri Saadong amat disayangi oleh rakyat jelata kerana kemurahan hati baginda. Baginda sering menjadi tempat rakyat jelata meluahkan perasaan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Raja Abdul Rahim. Peristiwa ini membuat baginda sering berdukacita dan akhirnya menyebabkan baginda memencilkan diri ke Gunung Ayam.

Hingga kini kesan-kesan peninggalan Tuan Puteri Saadong di Bukit Marak masih lagi dapat dilihatnya. Antaranya kesan-kesan istana tempat baginda bersemayam dan bahagian bawahnya pula terdapat satu kawasan yang dipercayai tanah perkuburan pengikut-pengikut baginda.

Daripada maklumat yang didapati ternyata Kota Salor mempunyai dua cerita yang berbeza, satunya ia diserang oleh Siam dan satu lagi ianya diserang oleh Sultan Muhamad Mulut Merah, iaitu Sultan Muhamad II, bapa kepada Long Ghafar. Kedua-duanya merujuk kepada abad yang berbeza, mungkin juga kedua-dua peristiwa tersebut terjadi pada zaman yang berbeza, tetapi pada zaman Sultan Muhamad II Kota tersebut lenyap atau dilenyapkan kerana kekuasaannya serta usahanya menghapuskan raja-raja kecil yang ada diseluruh negeri.

(Berikut petikan dari: http://pkrjk.blogspot.com/2007/07/sejarah-kerabat-raja-jembal-kelantan.html)

Peninggalan Sejarah Kerajaan Jembal

posted Nov 26, 2011, 2:08 AM by Que Har

PENGENALAN

Negeri Kelantan hari ini merupakan sebuah negeri yang diasaskan daripada sebuah kerajaan yang kukuh dan disegani sejak zaman berzaman. Kelantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik. Disebabkan pantainya menghala ke timur, maka telah wujud satu bentuk jalinan perhubungan tradisi dengan negeri China dan negeri-negeri yang lain di rantau ini.Kedudukannya di persisiran pantai dan tambah pula posisinya di pertengahan jalan dagang timur barat, sudah tentu ia menjadi satu kawasan yang strategik dan mendapat perhatian kepada pedagang-pedagang yang berulang alik dan kerajaan-kerajaan besar dunia pada masa itu. Dengan itu tidak hairanlah jikalau di Kelantan terdapat sebuah kerajaan yang besar yang mengawal aliran perdagangan dan politik di kawasan ini.Salah sebuah kerajaan yang agung dan terkenal sedikit masa dahulu ialah kerajaan di bawah pimpinan keluarga Diraja Jembal. Keluarga Raja Jembal ini memerintah Kelantan dalam abad yang ke-17 dan 18 iaitu antara 1600-an hingga tahun 1733 M.

SEJARAH AWAL

Asal Nama Kelantan

Sejarah awal Kelantan iaitu bila ianya diasaskan agak sukar dikesan. Setengah-setengah ahli sejarah berpendapat Kelantan sudah wujud sebelum abad yang pertama lagi. Masa itu ialah dikenali dengan nama Medang Kemulan, iaitu bermaksud “Medan Permulaan”. Dari abad pertama hingga abad kelima ia dikenali pula dengan panggilan Medang Gana.Dalam abad yang ke-5, Kelantan dikenali pula dengan nama Kalatana atau “Tanah Kala”. Dalam catatan Cina disebut Ho-lo-tan iaitu catatan yang dibuat oleh Shen Yao (414 – 512 M).Menurut satu riwayat lain, dalam abad yang ke-11, orang melihat satu pancaran sinar yang kuat pada suatu malam dari Bukit Panau terus menjulang ke langit. Oleh kerana pancaran itu dapat dilihat di seluruh pelusuk Kelantan dan mempunyai pengertian yang rahsia, maka raja yang memerintah pada masa itu telah memberi nama sebagai Medan Kilatan Saji. Nama ini disebut “Kilatan” sahaja dan seterusnya menjadi Kelantan, hinggalah ke hari ini.


Kelantan Abad ke-15

Catatan sejarah Kelantan yang lebih jelas ialah bermula pada abad yang ke-15. Dalam tahun 1411 M, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang beragama Islam yang bernama Raja Kumar. Baginda menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri China. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Sultan Iskandar sehingga tahun 1465 M. Setelah baginda mangkat, diganti pula oleh putera baginda iaitu Sultan Mansur. Masa ini Kelantan menjadi terkenal di merata tempat.Pada tahun 1477 M, Kelantan telah diserang oleh Melaka yang di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Namun begitu, satu peristiwa yang menarik telah berlaku, iaitu berakhir dengan perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening.Setelah Sultan Mansur mangkat pada tahun 1526, anakanda baginda Raja Gombak telah menjadi Sultan. Apabila Sultan Gombak mangkat, cucu baginda, Raja Ahmad pula ditabal menjadi Sultan pada tahun 1584 bergelar Sultan Ahmad. Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D’Raja, sepupu dengan Raja Hussin. Baginda mendapat seorang puteri dan diberi nama Cik Wan Kembang.


Cik Siti Wan Kembang

Apabila Sultan Ahmad mangkat pada tahun 1589, anakanda baginda Cik Wan Kembang tidak dapat ditabalkan kerana baru berusia 4 tahun. Oleh itu Raja Hussin dari Johor dilantik menjadi pemangku raja. Setelah Raja Hussin mangkat pada tahu 1610 M, Cik Wan Kembang pun ditabal menjadi raja. Pusat pentadbiran baginda ialah di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan.Pemerintahan Cik Wan Kembang menjadi masyhur sehingga ramai pedagang datang berniaga, termasuklah pedagang dari Arab. Orang-orang Arab memanggil baginda dengan panggilan “Paduka Cik Siti”. Dari situlah baginda lebih dikenali dengan nama Cik Siti Wan Kembang.


KEBANGKITAN KERAJAAN JEMBAL

Pada masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Cinta Wangsa, di sebelah timur laut Negeri Kelantan telah timbul pula sebuah kerajaan yang berpusat di Jembal iaitu di bawah pentadbiran Raja Sakti. Hubungan kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan kerajaan Jembal di bawah Raja Sakti terjalin dengan baik sekali. Kedua-duanya saling menghantar utusan.


Asal-usul Kerajaan Jembal

Kerajaan Jembal asalnya diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah negeri Kedah dalam abad ke-14. Baginda Raja Bersiung dihalau oleh adinda baginda yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan diri ke Kelantan. Mengikut ringkasan “Cetera Kelantan” yang ditulis oleh Dato’ Nik Mahmud Nik Ismail (Dato’ Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama. Kenyataan ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).Raja Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka. Di situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu baginda menamakan tempat itu JEMBAL.Baginda Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan. Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan.


Pertabalan Raja Sakti

Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1. Dari keturunan inilah asalnya Raja-raja yang memerintah Terengganu hari ini.


Penyatuan Kelantan di bawah Raja Loyar

Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung.Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan “Istiadat Bersiram” di pinggir Sungai Babong (sekarang hanya kelihatan sebagai lembah sahaja yang dijadikan sawah padi, terletak di belakang Sekolah Menengah Raja Sakti), selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun “ghaib” dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini.Raja Loyar sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang “keramat”.


Hubungan kerajaan Jembal Dengan Paduka Cik Siti Wan Kembang

Kerajaan Jembal terus maju dan makmur di bawah pemerintahan Raja Loyar. Baginda membuat perhubungan dengan kerajaan-kerajaan sekitar termasuklah dengan kerajaan di Gunung Cinta Wangsa di bawah pemerintahan Cik Siti Wang Kembang. Baginda berdua selalu bertukar-tukar utusan dan persembahan.Raja Loyar dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang diberi nama Raja Sakti (mengambil nama sempena ayahanda baginda), tetapi telah mangkat dalam usia setahun sahaja. Seorang lagi puteri dan diberi nama Puteri Mariam tetapi lebih dikenali sebagai Puteri Saadong. Puteri Saadong ini amat terkenal dalam sejarah Kelantan.Apabila Paduka Cik Siti Wan Kembang mendapat berita bahawa Raja Loyar mendapat seorang puteri, maka baginda berangkat ke Jembal menemui Raja Loyar.Apabila Cik Siti Wan Kembang melihat wajah Puteri Saadong, maka timbul perasaan kasih sayang dan berhasrat mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat baginda. Baginda bercadang melantik Puteri Saadong sebagai mewarisi takhta kerajaannya kerana baginda tidak mempunyai anak dan tidak bersuami. Hasratnya itu disampaikan kepada Raja Loyar dan baginda memperkenankan permintaan tersebut.Puteri Saadong telah dibawa ke Gunung Cinta Wangsa oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Di sinilah Puteri Saadong dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan penjagaan yang sempurna oleh seorang pemerintah negeri.Cik Siti Wan Kembang telah memerintahkan kepada pembesar negeri dan hulubalang supaya mencari dua ekor anak kijang untuk dijadikan binatang mainan Puteri Saadong supaya tidak kesunyian. Dari situlah gambar dua ekor anak kijang telah dijadikan lambang kebesaran kerajaan Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.


Perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah

Apabila meningkat remaja, Puteri Saadong menjadi seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkahlakunya. Mengikut Abdullah Nakula, Puteri Saadong juga dikenali sebagai “Puteri Vijaya Mala”. Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wang Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak.Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan “Kota Jelasin” (sekarang ini dinamakan Kampung Kota, dalam daerah Kota Bharu).Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, Paduka Cik Siti Wan Kembang bersama Raja Abdullah dan Puteri Saadong berangkat mudik ke hulu dan singgah membuka penempatan baru di Chetok, Pasir Mas. Penempatan ini diberi nama “Tanah Serendah Sekebun Bunga”. Di sinilah dikatakan bahawa baginda Cik Siti Wan Kembang telah jatuh gering kerana mengidap deman panas. Baginda telah dibawa balik ke Gunung Cinta Wangsa dan mangkat di sana. Setelah kemangkatan Cik Siti Wan Kembang maka seluruh negeri Kelantan diperintah oleh Raja Loyar.


Peperangan dengan Angkatan Siam

Berita perkahwinan Raja Abdullah dengan Puteri Saadong sampai juga ke pengetahuan Raja Siam. Baginda terus menghantar satu angkatan tentera ke Kelantan untuk merampas Puteri Saadong. Apabila sampai ke Kota Jelasin, maka berlakulah peperangan yang dahsyat. Rakyat Raja Abdullah ramai yang mati. Dalam senyap-senyap Raja Abdullah berundur ke Melor. Di sinilah baginda telah membina sebuah kota yang dinamakan Kota Mahligai.Kedudukan Raja Abdullah di Kota Mahligai dapat juga dikesan oleh angkatan Raja Siam. Mereka mula bergerak menuju ke Kota Mahligai. Kerana sayangkan nyawa rakyat Puteri Saadong sanggup berkorban. Baginda sanggup menyerah diri dengan persetujuan Raja Abdullah dan mengikut angkatan Siam ke Ayudhiya.Sepeninggalan Puteri Saadong ke Ayudhiya, Paduka ayahanda Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal (makam tersebut terletak di hilir Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti sekarang). Dengan persetujuan kerabat dan pembesar-pembesar negeri, Paduka baginda kepada Almarhum Raja Loyar iaitu Raja Omar yang dahulunya memegang jawatan sebagai Raja Muda telah ditabalkan menjadi raja di Jembal bergelar Sultan Omar.Sekembalinya Puteri Saadong dari Ayudhiya dan setelah mendapat tahu ayahandanya telah mangkat, baginda terus ke Kota Mahligai untuk menemui suaminya Raja Abdullah. Apabila sampai ke Kota Mahligai alangkah terkejutnya baginda kerana mendapati Raja Abdullah telah berkahwin lain, sedangkan baginda telah berjanji akan menanti sehingga Puteri Saadong pulang dari Ayudhiya, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak salah seorang pembesar negeri masa itu.Satu perbalahan telah terjadi antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mangkat kerana ditikam oleh Puteri Saadong dengan pemancak sanggulnya di dada sebelah kiri, jenazah Raja Abdullah pada mulanya hendak dimakamkan di Jembal tetapi setelah disebabkan kesukaran perjalanan jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban berhampiran Melor.

Bukit marak adalah satu lagi tempat bersejarah Kerajaan Jembal merupakan tempat bersemayam Puteri Saadong setelah mangkatnya Suami baginda Raja Abdullah


Pemerintahan Raja Abdul Rahim

Setelah kemangkatan Raja Abdullah, adinda baginda bernama Raja Abdul Rahim telah ditabal menjadi pemerintah di Kota Mahligai pada tahun 1671 M bergelar Sultan Abdul Rahim. Baginda telah dikahwinkan dengan balu Almarhum Raja Abdullah. Setelah selesai pertabalan, Puteri Saadong pun berpindah ke Bukit Marak untuk bersemayam di sana. Pemerintahan Sultan Abdul Rahim dikatakan zalim dan ramailah rakyat jelata datang mengadu kepada Puteri Saadong di Bukit Marak sehingga baginda selalu berdukacita.Pada tahun 1673 M, Puteri Saadong berangkat ke Gunung Ayam iaitu berhampiran dengan Sungai Nenggiri (kawasan Gua Musang sekarang) untuk mengasingkan diri. Di sinilah berakhirnya riwayat baginda.Kezaliman Sultan Abdul Rahim telah dipandang berat oleh Sultan Omar di Jembal. Baginda telah memerintah anakandanya Raja Kecil Sulong menyelesaikan masalah pentadbiran di Kota Mahligai. Salah seorang orang suruhan Raja Kecil Sulong telah berjaya menikam Sultan Abdul Rahim di tepi Tasik Lalayang Mandi dekat Bukit Kecil, Melor. Kemudian baginda mangkat di situ juga.


Kegemilangan Kelantan di bawah Pemerintahan Sultan Omar

Sultan Omar telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1675 M setelah kemangkatan Raja Loyar. Kerajaan Jembal kembali masyhur di bawah pemerintahan baginda. Baginda memerintah seluruh Negeri Kelantan.Semasa pemerintahan baginda, banyak kemajuan telah dicapai. Antara kemajuan yang telah dibuat oleh baginda termasuklah membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal, yang terletak di kawasan Bachok.Baginda mengadakan lawatan ke seluruh kawasan dan jajahan takluk Kelantan. Baginda juga telah mengadakan perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Kerajaan Pattani, China, Jawa dan negeri-negeri jiran seperti Terengganu.Baginda dikurniakan lima orang putera-puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah.


Kedatangan Anak Raja Pattani

Dalam tahun 1686 M, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Raja dari Pattani telah datang mengadap baginda Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik) dan Tuan Besar (Long Bahar).Setelah berada di Kelantan beberapa lama mereka bertiga pun dikahwinkan oleh Sultan Omar. Tuan Sulong dikahwinkan dengan Cik Biru, anak kepada Penghulu Hitam, orang besar baginda yang tinggal di Kampung Laut. Tuan Senik dikahwinkan dengan Cik Seku, anak Penghulu Deraman orang besar yang tinggal di Kampung Geting, Tumpat. Tuan Besar (Long Bahar) pula dikahwinkan dengan Raja Pah, puteri baginda.Baginda Sultan Omar telah membina sebuah kota dekat Jembal yang dinamakan kota Senang. Sekarang tempat ini dinamakan Kampung Senang. Kota ini kemudiannya diserahkan kepada menantu baginda Tuan Besar. Pada tahun 1721 M, baginda Sultan Omar telah mangkat setelah memerintah Kelantan selama 46 tahun. Jenazah baginda dimakamkan berhampiran dengan Kota Senang. Belindang makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri China kerana ukiran di batu itu mengandungi bentuk ukiran burung dan bunga yang terdapat pada lukisan orang-orang China.


Raja Kecil Sulong

Setelah kemangkatan Sultan Omar dengan persetujuan para kerabat serta pembesar negeri maka anakanda baginda Raja Kecil Sulong ditabalkan menggantikan baginda. Baginda telah membina sebuah kota berhampiran Jembal dinamakan Kota Teras yang diperbuat daripada teras tembesu. Tempat itu sekarang dikenali sebagai Kampung Teras. Baginda memerintah selama lima tahun sahaja. Pada tahun 1725 M, baginda telah mangkat dalam usia yang masih muda.


Peranan Raja Pah

Sebelum jenazah Almarhum dimakamkan Raja Pah dipercayai telah mempengaruhi para kerabat dan pembesar negeri untuk menabalkan suaminya bernama Tuan Besar atau Long Bahar untuk menjadi sultan. Pertabalan Long Bahar menaiki takhta kerajaan dengan alasan bahawa Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih muda serta masih belum layak untuk memerintah negeri.Dengan pertabalan Long Bahar, suami Raja Pah itu maka tertolaklah Raja Abdul Rahman untuk mewarisi takhta kerajaan ayahandanya. Setelah Long Bahar menjadi raja, baginda telah berpindah dari Kota Senang ke Kota Jembal iaitu istana almarhum Sultan Omar, ayahanda mertuanya.Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda yang bernama Long Sulaiman telah menaiki takhta memerintah Negeri Kelantan. Daripada keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan sehingga ke hari ini.


PENUTUP

Nama Jembal yang begitu bersejarah hanya kekal disebut rakyat jelata sehingga tahun 1922 M sahaja. Bermula pada tahun itu tempat tersebut telah berubah dengan panggilan Kampung Kedai Lalat. Perubahan panggilan ini berlaku secara tidak dirancang tetapi hanya sebagai sindiran sahaja kerana pekan di situ pada awalnya lebih ramai penjual daripada pembeli.Kini, di sekitar Kedai Lalat, masih terdapat ramai keturunan Raja Jembal. Mereka bukan sahaja bertumpu di kawasan sekitar Kedai Lalat bahkan juga telah tersebar di segenap pelusuk Negeri Kelantan dan ke seluruh negara. Mereka berpindah disebabkan banyak faktor, antaranya kerana mencari nafkah dan tugasan lain.Keturunan kerabat Raja Jembal ini ada yang memakai gelaran RAJA, TENGKU, TUAN , KU dan NIK.

Ada juga sebilangan kecil yang telah membuang gelaran tersebut kerana sebab-sebab tertentu.Disebabkan keturunan ini tersebar luas ke seluruh pelusuk tanah air, ramai antara ahli-ahli kerabat sudah tidak mengenali antara satu sama lain. Dari itulah timbul usaha untuk menyatukan semula ahli kerabat ini di dalam satu pertubuhan yang dinamakan PERTUBUHAN KERABAT RAJA JEMBAL KELANTAN. Semoga dengan usaha murni ini akan memberi manfaat yang besar kepada ahli kerabat seluruhnya.

(Dipetik dari Sejarah Ringkas: Kerajaan Jembal Kelantan, terbitan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan pada 14 Julai 1994)

1-3 of 3

Comments