PENGETAHUAN UMUM‎ > ‎

PENGERTIAN IBADAH

Ibadah atau Ibadat (bahasa Arab: عبادة) makna (bahasa) adalah merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada sesuatu.

Ibadah makna (syara') adalah taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah S.W.T. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah, mengikut peraturan, melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Allah S.W.T sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah S.W.T.

Imam at-Thabari mengertikan ibadah sebagai ketundukan kepada Allah S.W.T dengan menjalankan ketaatan dan merendahkan diri kepada-Nya dengan kepasrahan. [1] Imam Ibn Taimiyah pula, sebagaimana dinukil oleh al-Hafizh ibn Ahmad al-Hakami, mengatakan bahawa ibadah merupakan sebutan yang mencakup semua yang dicintai dan diredhai Allah S.W.T berupa perkataan dan perbuatan, baik zahir maupun batin. [2]

Dalil al-Quran
Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
“ "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Surah Adz-Dzariyaat : Ayat 56)[3]

Bahagian Ibadah
Ibadah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan hati seperti rasa khauf (takut), raja’ (mengharap), mahabbah (cinta), tawakkal (ketergantungan), raghbah (senang) dan rahbah (cemas).
Ibadah Lisaniyah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan lisan dan hati seperti tasbih, tahlil, tahmid, takbir, dan syukur.
Ibadah Badaniyah Qalbiyah - Ibadah yang berkaitan dengan anggota fizikal dan hati seperti solat, zakat, puasa, haji dan jihad.


Jenis Ibadah
Ibadah Khusus - Iaitu ibadah yang utama ditentukan cara dan syaratnya. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib menyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah khusus seseorang itu tidak beriman. Ibadah-ibadat khusus tersebut adalah seperti berikut:-
Solat
Zakat
Puasa
Haji dan Umrah
Qurban dan Aqiqah
Taharah (bersuci)
Zikir
Doa

Ibadah Umum - Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka berdosalah kita. Ibadah-ibadat umum tersebut adalah seperti berikut:-
Pendidikan
Ekonomi
Politik
Jihad
Muamalat
Munakahat
Jenayat 


Ciri-ciri Ibadah
Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah S.W.T sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.
Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.
Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

Syarat Ibadah
Setiap kerja yang dilakukan akan menjadi ibadah apabila ia memenuhi lima syarat. Setelah kerja yang dilakukan itu menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah S.W.T. Syarat itu ialah:
-Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syara'.
-Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik (kerana Allah S.W.T).
-Amalan hendaklah dibuat dengan seelok-eloknya.
-Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batas-batasnya.
-Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib (ibadah khusus). 


Salah faham tentang pengertian Ibadah

Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah.

Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang salah
Comments