LaMaN GiLoCatur

  

 

"Aku hanya ingin bermain catur!"

“All I want to do, ever, is just play Chess”
(Bobby Fischer)

"Bermain catur merupakan salah satu hobiku selain membaca dan melancong. Aku pernah mewakili sekolah dahulu pada tahun 1980 tetapi bukanlah seorang pemain catur yang berjaya.  Sewaktu belajar di Shah Alam pada tahun 1988, aku pernah menyertai pertandingan catur anjuran Perpustakaan Shah Alam. Tetapi keputusannya tidaklah membanggakan. Sehinggalah pada tahun lepas, 2007, apabila anak sulungku, Fikri, menyertai pertandingan catur yang diadakan di  Kolej Sunway, aku mula berjinak-jinak kembali dengan catur. Memandangkan aku perlu menyokong dan menggalakkan anak-anakku bermain catur secara serius,  maka aku pun juga mahu terlibat secara serius. Bermula dari hari itu aku mula menelaah dan membaca buku-buku catur untuk meningkatkan permainan aku. Pendek kata, aku dah jadi GiLoCatur! Jika Laszlo Polgar berjaya melatih dan mendidik anak-anak beliau menjadi genius catur, Insya Allah aku juga boleh berjaya mendidik dan melatih ketiga-tiga anakku cemerlang dalam catur. "

SALEH

Sebagai usaha untuk memperbaiki pengetahuan dan permainan caturku, aku "self-study" dengan membaca dan menelaah buku-buku catur. Buku-buku catur yang aku miliki adalah seperti berikut.

 

Guestbook

Laman-laman catur tempatan :

Kelab Catur SKBJ

Laman BLOGku di Blogspot

Laman Stonemaster   

Laman Gi!achess   

Laman Whitenaval

Laman 17ChessClub

Laman Kelab Catur Setia Kuantan

Laman Hairulov Chessmaniacs

Laman Persatuan Catur Selangor / CAS

Laman Kids4Chess 

Laman Minda Catur

 








View my page on WN Malaysian Chess Network
 

DIARI CATURKU

 

25 September 2008 - Wah sungguh cepat masa berlalu. Hari ini masuk hari ke 24 berpuasa. Ya sudah 24 Ramadhan hari ini. Seminggu lagi Aidil Fitri pula akan menjelma. Di Bulan Syawal nanti, beberapa pertandingan catur akan diadakan dan Insyaallah aku dan anak-anak akan menyertai. Di antaranya Kuala Langat Open (12 okt) dan Pearl Point Open (19 Okt). Anak sulungku, Fikri, telah selesai peperiksaan UPSR dan PSRAnya. Peperiksaan PSRA akan selesai petang ini.

Aku juga tidak sabar-sabar menantikan hari pertandingan. Nak test setakat mana improvement permainan chess aku. Dijangkakan ramai pemain-pemain catur tempatan akan menyertai terutamanya Kuala Langat Open.

Untuk melihat gambar-gambar yang aku snap semasa pertandingan ini sila ke URL : 

http://picasaweb.google.com/sabdlati/SKBJClosedChessTournament#

Dalam bulan Ramadhan ini, selain Pertandingan Catur Komuniti Putrajaya, anak-anakku menyertai pertandingan catur sekolah mereka. Anis menyertai Pertandingan Catur Tertutup SK Bukit Jelutong pada hari Sabtu 20 September 2008. Seramai 70 murid-murid SKBJ menyertai. Anis telah menang 4 permainan, seri sekali dan kalah sekali kepada Juara di pusingan terakhir. Dengan mata 4 1/2 mata, Anis telah mendapat tempat ke 6.

Sementara Fikri pula alhamdulillah dapat mengekalkan reputasi sebagai pemain catur terbaik SKBJ dengan menang ke semua 6 pusingan pertandingan catur untuk murid-murid Tahun 6 semalam, Rabu 24 September 2008.

Adalah menjadi harapanku agar anak-anakku akan lebih cemerlang dan bisa menjuarai pertandingan-pertandingan catur di masa akan datang.

 

18 September 2008 - Salah seorang idola caturku ialah Alexander Alekhine. Aku mula meminati beliau setelah aku meneliti dan mengkaji permainan-permainannya. Sebelum aku mengenalinya, aku amat tertarik dengan permainan Paul Morphy dan Capablanca. Alekhine merupakan Juara Catur Dunia yang ke 4 selepas Capablanca.


Permainan Alekhine sememangnya amat berseni. Gerakan buahnya memang amat merbahaya dan sukar diramal. Benarlah seperti kata Max Euwe,

“Alekhine is a poet who creates a work of art out of something that would hardly inspire another man to send home a picture post card”  -  (Max Euwe)

Alekhine umpama seorang penyair ... kata Max Euwe. Alekhine pernah berkata bahawa dalam pertandingan catur, seseorang pakar catur seharusnya memiliki kombinasi seorang pemangsa dan sami.

“During a Chess competition a Chessmaster should be a
combination of a beast of prey and a monk” - (Alexander Alekhine)


Sumber : http://www.chess-poster.com/english/notes_and_facts/chess_quotes.htm


14 September 2008 - Semalam aku menyertai Pertandingan Catur Tertutup Komuniti Putrajaya. Begitu juga kedua-dua anakku Fikri dan Anis. Aku menyertai kategori 16 Tahun ke atas sementara anak-anakku dalam kategori Bawah 12 Tahun.

Fikri telah berjaya memenangi tempat ke 2 dengan menang 5 permainan dan seri 1 ketika menentang Nurul Syuhada. Satu pencapaian yang bagus bagi beliau walaupun kurang berlatih kerana baru sahaja selesai peperiksaan UPSR. 

Bagi Anis pula, beliau memulakan permainan dengan kemenangan. Tetapi dia kalah pada pusingan ke 2. Seterusnya dia menang tiga pusingan berikut berturut-turut. Memasuki pusingan akhir iaitu pusingan ke 6, Anis memperolehi 4 mata. Anis perlu menang pusingan terakhir bagi membolehkan beliau mendapat hadiah Top 8. Malangnya Anis telah tewas pusingan ke 6 tersebut kepada Nurul Syuhada yang seri sebelumnya dengan Fikri. Pada pusingan ke 6 itu, pasangan adik-beradik bertemu pasangan adik-beradik dengan meja pun bersebelahan. 

Bagi aku pula, ia merupakan pencapaian terbaik setakat ini. Walaupun aku memulakan pertandingan dengan tewas pada pusingan pertama, aku berjaya bangkit dengan kemenangan berturut-turut sehinggalah ke pusingan terkahir. Permainanku semakin baik. Kawalan masa juga bagus di mana aku menang kalau tak silap 2 permainan kerana masa. Nampaknya masa yang aku korbankan dan luangkan setiap hari untuk menganalisa dan belajar catur membuahkan hasil. 

Aku juga seperti Anis, jika menang pusingan terakhir bakal mendapat tempat dalam Top 8. Permainan aku pada pusingan terakhir juga setanding. Malahan aku ada advantage masa. Tetapi mungkin perasaan gemuruh menguasai diri. Tambahan pula ramai juga yang menyaksikan permainan aku. Aku perlu belajar menguasai perasaan gemuruh dan perbaiki end game jika ingin lebih berjaya dalam pertandingan-pertandingan akan datang.


19 Ogos 2008Pagi Sabtu 16 hb Ogos, aku sekeluarga bertolak dari rumah kira-kira 7:00 pagi ke Mentakab Pahang. Tujuan ke sana ialah untuk menyertai Kejohanan Catur Terbuka Temerloh yang berlansung selama dua hari iaitu pada 16 dan 17 hb Ogos. Kejohanan tersebut mengikut format Swiss 7 pusingan dengan masa 45 minit seorang bagi setiap pusingan.

Setelah berpusing-pusing di pekan Mentakab beberapa ketika dan bersarapan pagi, aku menghubungi Encik Fazli salah seorang penganjur untuk bertanya arah ke tempat pertandingan. Aku menyertai pertandingan catur tersebut bersama anak-anakku Fikri dan Anis. Walaupun kami tidak sempat berlatih kerana mereka sibuk dengan sekolah, kerja rumah dan persiapan menghadapi peperiksaan, kejohanan catur tersebut dijadikan sebagai pengisian Cuti-Cuti Malaysia kami sekeluarga selain melawat Deerland Park dan Kuala Gandah Elephant Sanctuary.

 

Seramai hampir 70 orang pemain catur yang kebanyakannya dari sekitar negeri Pahang yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Catur Terbuka Temerloh ke-3 ini. Sebelum kejohanan aku menjangkakan mungkin agak mudah untuk menang ketika bertemu dengan pemain-pemain tempatan. Rupa-rupanya aku tersilap besar kerana rupa-rupanya di sekitar Temerloh dan Mentakab, catur merupakan satu budaya. Aku diberitahu di Seberang Temerloh di bawah jambatan catur dimainkan 24 jam sehari. Wow ini sungguh hebat. Jadi tidak hairanlah jika aku ditewaskan mudah oleh beberapa orang pemain tempatan.

 

Apa  yang boleh kurumuskan, corak permainan mereka adalah hampir serupa. Opening mereka bukanlah seperti yang biasa ditemui dalam buku-buku catur. Tetapi middle game dan end game menyengat dan bagus. a3, a6, h3 dan h6 amat biasa digerakkan ketika opening. Dan kebanyakan mereka amat cepat dalam menggerakkan buah walaupun masa permainan adalah 45 minit seorang.

Kesemua pemain lawanku, kecuali pada pusingan ke 4, adalah pemain tempatan. Aku hanya menang pada pusingan ke 2 dan ke 5. Pada pusingan terakhir yang memang berpihak padaku, aku telah melakukan blunder yang  sangat besar di mana masaku hanya tinggal kurang dari 5 minit sedangkan lawanku memiliki masa melebihi 20 minit. Mungkin disebabkan keghairahan ingin menang dan keletihan menyebabkan ianya berlaku. Walau bagaimanapun aku dapat pengalaman yang banyak dengan menyertai kejohanan tersebut.

 

Anakku Fikri telah berjaya memenangi 4 permainan bagi membolehkan beliau menjuarai kategori Bawah 12 Tahun. Manakala anak gadisku Anis hanya dapat pengalaman yang berharga dari kejohanan tersebut dan masih dalam proses pembelajaran.

 

  28 July 2008Pemain-pemain Chelsea telah tiba di Malaysia semalam. Ya! ini cerita benar. Pasukan Chelsea akan menentang pasukan Malaysia malam esok. Aku tak tahu apa perasaanku sebenarnya. Gembira ada. Sedih pun ada hehehe .. Sebenarnya aku meminati pasukan Chelsea di antara faktor utamanya ialah kerana Jose Maurinho. Aku kagum dengan kehebatannya sebagai seorang pengurus. Tambahan pula beliau memiliki karekter yang menarik. Taktik dan strateginya hebat dan menyengat. Analisa permainanan pasukan lawan bagus.

Tetapi semenjak ketiadaannya, minatku terhadap Chelsea agak berkurangan walaupun masih ramai lagi pemain-pemainnya yang aku minati terutamanya Didier Drogba. Walau bagaimanapun aku masih peminat Chelsea. Sekurang-kurangnya Luis Felipe Scolari merupakan di antara 'coach' yang aku minati.

Bagiku, Maurinho ini umpama Bob Fischer dalam dunia catur. Memiliki perwatakan dan karekter yang menarik, kontroversi dan berwarna-warni.  Orang-orang yang sebeginilah yang mem'popular'kan sesuatu industri.

Minggu ini dunia catur tempatan agak sibuk. Pada hari Sabtu, ada pertandingan di Tanjung Karang yang salah seorang orang kuat penganjurannya merupakan kenalan caturku. Beliau amat berharap juga aku dan anak-anak turut serta. Tetapi memandangkan anak sulungku agak sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR dan PSRA tahun ini, aku terpaksa menghentikan aktiviti catur ini. Insya Allah, setelah beliau selesai dengan peperiksaan2 tersebut, aku dan anak-anak akan aktif kembali menyertai pertandingan-pertandingan catur.

Dan semalam ada pertandingan catur anjuran PERCAWI di Kompleks Wilayah. Dari maklumat yang ku perolehi ramai yang menyertai. Baguslah. Cemburu juga kerana aku tidak dapat menyertai. Tapi tak mengapa, aku perlu bersabar selama hampir 2 bulan lagi.

 

6 Jun 2008Sewaktu melawat Muzium Mainan atau Toys Museum di Pulau Pinang, ada dua chess set toys yang menarik perhatianku. Mungkin chess set sebegini julung-julung kalinya dibuat yang bertemakan permainan kanak-kanak. Berikut adalah set catur yang bertemakan permainan kanak-kanak tersebut.

 

 

 

16 Mei 2008Untuk menghilangkan rasa kebosanan menunggu anak sulungku Fikri menjalani pemilihan atau bermain 'play-off' catur bagi memilih pemain-pemain Selangor ke pertandingan catur MSSM di Melaka pada 23 sehingga 29 Mei nanti, aku pun mengeluarkan komputer riba dari bonet kereta lalu mengemaskini laman GiLoCaturku ini. Bersempena dengan sambutan Hari Guru yang jatuh pada hari ini, aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua warga guru di seluruh dunia terutamanya di negara ini.

Sudah tentu teristimewa buat isteriku tersayang Cg Norazizah Sulaiman yang mengajar di SKBJ.  Juga kepada ahli-ahli keluarga terdekatku iaitu adikku Cg Huda, adik iparku Cg Yati, kakak iparku Cg Yati juga dan birasku Cg Mazlan. Semoga mereka berkhidmat dan berbakti mendidik anak-anak rakyat Malaysia menjadi insan yang berjaya dan berguna.

Ingin juga aku mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua bekas-bekas guru yang pernah mengajar dan mendidik aku dengan pelbagai ilmu dan subjek mata pelajaran.

Guru-guruku di SKST, Sabak bernam, seperti Cg Ahmad Basir, Cg Zainab, Cg Ghani, Cg Zailani, Cg Fatimah, Cg Jaimah, Cg Ku Ahmad, Cg Abd Rahman, Cg Mohd Noh, Cg Mohd Noh Kundor?, Ustazah Rohani, Cg Shamsiah dll.

Guru-guruku di SMKU Maahad Hamidiah, Kajang,  seperti Cg Salamah, Cg Zulkifli, Cg Rosminah, Ustaz Amir, Ustaz Tahir, Ustaz Ghazali (warden asrama), Ustaz Rahman, Cg Amat Khamis dll.

Guru-guruku di KIK, Kelang, seperti Cg Kartini, Cg Noraini, Cg Sushama, Cg Jashpal Kaur, Cg Ch'ng dll. 

Guru-guru semasa TOEFL di Shah Alam seperti Mama Jo dan Ms Cheong. Maaf kepada nama-nama guru yang tidak berapa ku ingati tetapi wajah-wajah mereka masih terbayang di memori.

Diharap setiap individu juga mengucapkan dan mengingati semua guru-guru mereka terutamanya yang telah meninggalkan kita. Al-Fatihah kepada mereka yang beragama Islam.

Khas untuk mereka yang bergelar GURU, berikut adalah sisipan sajak oleh Penyair Usman Awang yang dipetik dari laman http://www.moe.edu.my/hariguru/sajak.htm.

 

Kemeriahan sambutan Hari Guru pada hari ini tidak berterusan bagi diriku dan juga anak sulungku Fikri kerana beliau kurang berjaya untuk dipilih sebagai pemain Negeri Selangor kategori Lelaki 12 Tahun ke Pertandingan Catur MSSM di Melaka pada 23 hingga 29 Mei nanti. Ibubapa mana yang tidak sedih melihatkan anaknya yang kesedihan tidak dapat mencapai impian dan cita-citanya.

Tetapi itulah lumrah kehidupan. Kegagalan mesti dihadapi dengan tabah dan perlu bangkit darinya. Memang pedih untuk menerima sebarang kegagalan atau kekalahan, tetapi untuk lebih berjaya kita perlu bangkit memperbaiki diri sehingga mendapat kejayaan atau kemenangan.

Seperti kata Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Britain yang terkenal, "Success is going from failure to failure without losing enthusiasm" yang bermakdsud Kejayaan itu dari kegagalan demi kegagalan tanpa hilang semangat.

Banyak lagi kata-kata hikmah mengenai kegagalan seprti berikut:

  • "Only those who dare to fail greatly can ever achieve greatly." - Robert F Kennedy
  • "A failure is a man who has blundered but is not capable of cashing in on the experience." - Elbert Hubbard

  • "But there is suffering in life, and there are defeats. No one can avoid them. But it's better to lose some of the battles in the struggles for your dreams than to be defeated without ever knowing what you're fighting for." - Paulo Coelho

Dipetik dari http://www.wisdomquotes.com/cat_failure.html

 

13 Mei 2008Berita di muka surat hadapan suratkhabar Metro yang tertera, "Guru baling kerusi - Mengamuk anak murid buat bising", telah menarik perhatianku. Banyak persoalan-persoalan yang bermain di mindaku. Kenapa guru tersebut sampai mengamuk? Mungkin kerana tekanan? Mungkin hilang kesabaran? Benarkah murid-murid sekolah sekarang tidak mendegar kata-kata guru? Benarkah generasi kanak-kanak hari ini tidak menghormati dan mendengar kata guru? Jika benar, kenapa guru tidak dihormati, digeruni, dan didengari? Kenapa budak-budak di zaman ini begitu nakal? Kemana menghilangnya perasaan kasih dan sayang kepada guru? FIKIR-FIKIRKAN LAH!

Hari ini juga merupakan satu detik bersejarah hitam yang pernah berlaku di negara ini 39 tahun yang lampau. Semoga ia tidak akan berulang lagi. Jika tidak bagaimana kita semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa boleh duduk semeja bermain dan berlawan catur?

 

8 Mei 2008Malam tadi selepas maghrib adikku yang tinggal di Serendah telah menelefon mengkhabarkan tentang pakcikku yang telah menyahut seruan Illahi ke rahmatullah. Allaharyam pakcikku, adik beradik sebapa arwah ayahku telah meninggal dunia pada pukul 3:04 petang semalam di Terengganu. Abdul Rauf Bin Hassan Basri yang dibesarkan oleh kedua orang tuaku setelah kematian ibunya, amat mirip mukanya dengan kedua-dua arwah datukku dan bapaku. Semoga allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan dirahmati. Amin ya rabbal a'lamin. AL-FATIHAH!

Hari ini juga anak perempuanku, Anis Fariha, mewakili sekolahnya dalam pertandingan catur berpasukan sekolah rendah anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Sekolahnya telah menghantar tiga pasukan. Anak sulungku Fikri tidak menyertai kerana beliau perlu menumpukan kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan UPSR beberapa bulan lagi.

 

4 Mei 2008Walaupun semalam Anis memberitahuku tidak mahu berlawan catur hari ini, tetapi beliau telah berubah fikiran. Rupa-rupanya kedua-kedua lawanku pada hari ini adalah anak-anakku sendiri. Pada perlawanan pertama aku bertemu dengan Fikri di papan nombor 27.  Aku bermain buah putih dan Fikri buah hitam. Kemudian aku bertemu pula dengan Anis di pusingan terakhir kejohanan di papan nombor 30. Kali ini aku pula yang bermain buah putih dan Anis buah hitam. Kedua-dua permainan tersebut aku telah tewas kepada mereka. Mereka amat arif tentang permainanku, mungkin itulah sebabnya aku tewas.  Ia sangat membanggakan aku kerana mereka sudah boleh menewaskan aku di papan catur. 

Di akhir kejohanan, FM Lim Yee Weng telah berjaya menjadi johan kategori terbuka. Manakalan Fikri pula telah berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori bawah 12 tahun yang dijuarai oleh Yeoh Li Tian.  Beliau telah berjaya mendapat sebuah buku catur yang bertajuk - Winning Chess Endgames oleh GM Lev Alburt & GM Nikolay Krogius.

Sedikit info tentang GM Lev Alburt:

  • Juara kebangsaan Ukrain sebanyak 3 kali - 1972, 1973, 1974
  • Juara Kejohanan Eropah sebanyak 2 kali - 1976, 1979
  • Juara kebangsaan Amerika Syarikat sebanyak 3 kali - 1984, 1985, 1990

Sila ke http://selangorchess.blogspot.com/ untuk mengetahui keputusan penuh pertandingan.

 

24 April 2008Sungguh banyak pemandangan-pemandangan terutamanya bangunan-bangunan yang menarik ketika aku berada di Pulau Pinang kali ini. Banyak bangunan-bangunan lama yang dibaik pulih dan dicat semula. Di antaranya ialah peti pos di bawah yang terletak berhampiran Wisma Boon Siew.  Begitu juga bangunan pejabat Imigresen negeri yang pernah kudatangi beberapa tahun lalu. Sekarang ia sangat cantik setelah dicat baru.

Peti Pos unik

 

22 April 2008Sewaktu keluar makan tengahari di kawasan berhampiran pejabat pelanggan aku membuat kerja, aku tertarik memerhatikan dua buah sekolah terutamanya dari segi binaan bangunannya.  Kedua-dua sekolah - SK Wellesley dan SK Perempuan Island, tersebut kebetulan pula terletak bersebelahan dengan PPD.

 

Banyak persoalan yang berligar dalam mindaku. Kenapa sekolah-sekolah ini berhampiran? Berapa ramai murid-murid? Kenapa nama sekolah masih menggunakan nama lama? Ada kelab catur kah sekolah-sekolah ini?  Siapakah bekas-bekas murid yang terkenal?

Agak unik nama sekolah ini. Bentuk bangunannya juga agak menarik. Mungkin baru sahaja dicat.

Setelah menyelidik di internet, SK Wellesley mempunyai kira-kira 300 lebih murid-murid dan 20 orang guru. Teringat pula aku pada tahun 1980, sekolah rendahku iaitu SKST - Sekolah Kebangsaan Sungai Tengar juga mempunyai jumlah pelajar kira-kira 300 orang. Sementara itu, SK Perempuan Island mempunyai 120 orang murid-murid dan 15 orang guru. (Sumber : http://www.geocities.com/jpnpp/ppdpulau_mapsekolah.htm)

PPD Pulau

Di sebelah malam, aku berjumpa dengan sahabat lama yang sama belajar di Universiti Texas at El Paso (UTEP), USA. Beliau ialah Sahrizam Sani, yang mengambil jurusan EE atau Electrical Engineering. Sudah beberapa tahun juga kami tidak bersua muka. Sekarang beliau bekerja di Pulau Pinang. Pelbagai kisah lama yang menjadi bualan.

Setelah bertemu rakan seuniversiti tersebut dan sebelum aku naik ke bilik hotel, aku berjalan-jalan ke Taman Tiram yang terletak di hadapan Hotel Bayview. Aku tertarik dengan taman tersebut yang dipancari cahaya lampu.

Sila klik di sini untuk menatap gambar-gambar tiram di taman tersebut. Terfikir juga dibenak mindaku, alangkah bestnya jika bermain catur atau diadakan pertanding mini catur di waktu malam di taman tiram ini.  Jika di luar negara seperti USA ramai yang bermain catur di park-park atau taman-taman rekreasi. Kenapa tidak di negara kita?

 

21 April 2008Hari ini aku baru dapat pengesahan untuk outstation ke Pulau Pinang. Maka aku pun membuat persiapan apa yang patut. Pada pukul 2:30 petang aku pun berangkat ke Pulau Pinang bersendirian memandu di lebuhraya PLUS. Jangkaan sampai di pejabat pelanggan pada pukul 6:00 petang kerana pelanggan akan menunggu di pejabat cawangan Pulau Pinang untuk aku membuat pemasangan. Tidak lupa aku membawa papan dan buah catur. Harap-harap aku tidak kepenatan dan boleh berlatih catur bersendirian sebagai persiapan untuk pertandingan Terbuka Royal Selangor. Dalam pada itu aku juga perlu mengemaskini laman web Kelab Catur SKBJ.

 

8 April 2008Sewaktu melayari dunia maya terutamanya laman-laman berkaitan catur, aku tertarik dengan satu info yang mana IM Mas Hafizulhelmi pernah menang melawan GM Murray Chandler. Kebetulan pula aku telah membeli dua buah buku catur yang di tulis beliau. Di antara maklumat yang menarik minatku ialah beliau berkongsi bintang dengan aku rupanya iaitu Aries. Hari lahir GM yang berasal dari New Zealand tersebut ialah pada 4 April.

GM Murray Chandler

Di antara maklumat lain yang sangat menarik ialah beliau tidak pernah kalah kepada Gary Kasparov. Pertandingan peringkat antarabangsa yang pertama disertainya ialah di Pulau Pinang pada tahun 1974 ketika mewakili New Zealand dalam pertandingan catur berpasukan Asia. 

 

7 April 2008Hari ini aku berasa teramat letih setelah melalui hari yang hectic bermula dari semalam. Semalam 6 hb April, aku membawa anak-anakku termasuk anak bongsuku Fahim ke pertandingan catur 10th Second Quarter Allegro anjuran Persatuan Catur Selangor atau lebih dikenali sebagai CAS. Aku terpaksa membawa Fahim kerana isteriku ada hari sukan di sekolahnya.

Memandangkan aku kena babysit Fahim yang agak hyperactive, aku tidak dapat menyertai pertandingan catur tersebut. Fikri setelah rating terkininya melebihi 1400 menyertai kategori 1 sementara Anis bertanding dalam kategori 2.  Fikri berjaya memenangi 3 perlawanan termasuk menentang coachnya Mat Zaki Yeop. Sementara Anis pula hanya berjaya memenangi satu perlawanan dan seri satu.  Di waktu tengahari aku pulang ke rumah menghantar Fahim. Kemudian aku kembali semula ke tempat perlawanan catur tersebut.

Balik sahaja dari pertandingan catur tersebut dengan meredah hari hujan yang agak lebat, aku terus memandu pulang ke Sungai Besar sekeluarga.  Memandangkan perut telah lapar, kami singgah di Kuala Selangor untuk makan malam. Aku pekena nasi campur di sebuah kedai mamak sementara anak-anakku pekena KFC yang ditapau.

Pagi ini aku, isteriku dan anak bongsuku telah melawat kebunku di Bagan Nakhoda Omar (BNO). Kebun tersebut hendak ditanam kelapa sawit. Balik dari melawat kebun, kami singgah di Sungai Besar. Isteriku ingin membeli sesuatu yang istimewa sempena hari lahirku pada hari ini.

Fahim di hadapan kebunku di BNO.

Kemudian aku sekeluarga bergegas pulang ke Shah Alam kerana anakku perlu ke sekolah agama kerana ada peperiksaan.  Fikri sampai lewat beberapa minit ke kelas. Sementara Anis pula tidak dapat menghadirkan diri ke kelas dan mengambil peperiksaan kerana dia mendapat demam "chicken pox". Terpaksa pula aku membawanya ke klinik di TTDI Jaya untuk mendapatkan ubat.

Sesudah itu, aku perlu menyelesaikan beberapa urusan peribadi yang lain. Hampir pukul 5 petang barulah kami sekeluarga, kecuali Fikri, sampai ke rumah. Pada pukul 6 petang, sekali lagi aku ke TTDI Jaya untuk menjemput Fikri dari sekolah agama. Singgah pula aku di kedai kereta menukar dua buah tayar kereta Kelisa.

Di sebelah malam, aku sekeluarga menjamu selera di Zul Yahya Cafe untuk celebrate harijadiku pada hari ini.  Begitulah kesibukanku dari semalam sehingga ke hari ini yang membuatkan aku terlalu letih dan penat. Bak kata Mat Salleh, WHAT A DAY!

 

1 April 2008 - Ketika melayari "internet" aku telah terjumpa kepada satu kenyataan menarik yang memberikan definasi atau apa yang dikatakan catur atau chess dalam bahasa Inggerisnya.

"Chess is a game that will challenge, excite and captivate you. The game of chess involves deep levels of strategy and tactics. In the game of chess each player commands an army of 16 chessmen and has the ultimate goal of beating the opposing army."

Sumber : http://www.nolimitpokerstore.com/productdetails.asp?rod_id=11929&src=ShopZilla

 

30 Mac 2008 - Hari ini setelah singgah sebentar di Perpustakaan Negara aku bersama keluarga telah pergi ke Berjaya Square untuk mencari buku-buku catur terutamanya oleh Seirawan. Malangnya aku tidak menjumpai buku-buku beliau. Aku telah membeli 3 buah buku catur untuk diriku dan anak-anak.

Buku-buku tersebut adalah - 5334 Problems, Combinations and Games oleh Laszlo Polgar, How to Beat Your Dad at Chess dan Chess Tactics For Kids oleh Murray Chandler. Kepada yang belum mengenali siapa dia Laszlo Polgar, beliau merupakan ayah kepada adik-beradik genius catur Polgar iaitu Susan, Sofia dan Judith yang terkenal di kalangan pencinta catur. Beliau yang merupakan guru Matematik berbangsa Hungari percaya bahawa "Genius Can be Made". Usaha beliau tersebut merupakan misiku juga terhadap anak-anakku. Semoga usahaku akan berjaya juga. Amin Ya Rabbal Alamin!

  

  

25 Mac 2008 - Hari ini merupakan satu hari yang agak menggembirakan buatku. Anak bongsuku, Fahim, menyambut hari kelahirannya yang ke enam. Malam tadi aku ke Pasaraya Giant Shah Alam membeli "party pack", hadiah dan kek. Selepas bersarapan di sebuah restoran di TTDI Jaya, aku bergegas ke Q-Dees anakku. Tujuannya adalah untuk mengambil gambar sambutan majlis harijadi beliau di kelasnya.

Selepas itu aku pulang ke rumah menyempurnakan beberapa tugasan kerjaku. Setelah selesai tugasanku, aku bergegas pula ke Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 kerana dua orang anakku menyertai Pertandingan Catur peringkat MSSD Petaling Perdana. "Suspense" juga bagiku untuk mengetahui keputusan perlawanan mereka terutamanya Fikri  yang tewas satu permainan dan seri satu permainan. Jadi dia hanya memperolehi 2.5 mata daripada 4 permainan. 

Apabila tiba di SK Seksyen 9, aku tersenyum kegembiraan kerana Fikri telah berjaya mendapat tempat ketiga individu dengan 6.5 mata dan pasukannya berjaya mendapat tempat kedua.  Fikri telah menang ke semua 4 perlawanannya hari ini. Sementara Anis pula tanpa disangka-sangka telah berjaya memenangi 5 permainan dari 7 pusingan dan mendapat tempat keenam. Walaupun hadiah hanya untuk 4 tempat teratas, tetapi pasukannya berjaya mendapat tempat keempat.

Apa yang sangat membanggakan, ke semua pemain catur sekolah anak-anakku iaitu SKBJ telah berjaya memenangi medal untuk acara berpasukan. Sungguh berbaloi latihan-latihan yang mereka hadiri terutamanya di hari cuti telah memberikan kejayaan kepada mereka. Maklumat lanjut boleh dilayari di http://skbjchessclub.googlepages.com/.

 

 

23 Mac 2008 - Rasa gerak hatiku yang kuat untuk mendaftarkan Fikri untuk menyertai "Royal Selangor Club Juniors Open" rupa-rupanya berbaloi apabila dia berjaya mendapat hadiah tempat keenam untuk Bawah 13. Aku terpaksa meninggalkan permainan pusingan terakhirku di Chessmasters GP2 di Cochrane agar dapat menyertai majlis penyampaian hadiah di Dataran Merdeka.

 

Di Chessmasters GP2, aku tewas semua permainanku kecuali di pusingan ketiga aku menang secara percuma. Dari lima pusingan yang ku lalui, aku hanya berpuashati dengan permainanku di pusingan pertama menentang Norazman Ismail dan di pusingan kelima menentang Haslindah Ruslan. Di Chessmasters GP1, aku juga ada bertemu dengan beliau. Kali ini permainan aku lebih menyengat tetapi aku masih lagi tewas. :)-

Tetapi itu semua tidak mengapa. Aku perlu berlatih lebih gigih untuk memperbaiki permainanku.

 

20 Mac 2008 - Sewaktu sesi latihan catur anak-anakku disekolah mereka pagi ini, aku telah diminta untuk bermain catur "simultaneous" dengan tiga orang pelajar - dua orang pemain mempunyai rating 1200 dan seorang lagi rating 1000. Aku menang dua dan kalah satu.

Seronok juga bila dapat membantu anak-anakku dan rakan-rakan mereka berlatih bermain catur. Nasib baik juga aku telah berlatih dan bermain beberapa "games" dengan Fikri dan Anis sewaktu bermalam di sebuah hotel di Kuantan dua hari lepas. Kalau tidak mahu juga aku kalah ketiga-tiga game. :)-

 

16 Mac 2008 - Hari ini aku ke Kolej ke 9 Universiti Malaya kerana ada pertandingan catur berpasukan untuk merebut piala Tun Syed Zahiruddin. Sebanyak 21 pasukan bertanding termasuk satu pasukan yang terdiri dari empat orang FM (Fide Master).

Sebenarnnya aku tidak bertanding pun, tetapi kedua-dua anakku, Fikri dan Anis, bersama dua orang lagi murid SKBJ yang menyertai. Pasukan mereka digelar SKBJ Marvellous Knights. (Sila ke pautan http://skbjchessclub.googlepages.com untuk info lanjut.)

 

8 Mac 2008 - Hari ini merupakan satu hari bersejarah bagi Malaysia kerana pada hari inilah Pilihanraya Ke-12 diadakan. Aku telah mengundi di SMK Seri Desa Tanjung Karang. Dengan lebih tepat lagi aku perlu memilih di antara calon BN Datuk Noh Omar dan calon PAS Mohamed Hanipa Maidin untuk kawasan  parlimen P95 Tanjong Karang dan juga di antara calon BN Datuk Mohd Shamsudin Lias dan calon PAS Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin untuk DUN N8 Sungai Burong. Aku membuang undi pada 4:32 petang di saluran No 3.  

Setelah mengundi aku meneruskan perjalanan pulang ke kampung. Dengan hanya ada sehari di kampung aku tidak pasti samada dapat melatih anak-anakku bermain catur sebagai persiapan untuk pertandingan "National Age Group" yang berlansung dari 10 hingga 12 Mac 2008 di Wisma OCM. 

 

5 Mac 2008 - Hari ini aku terjumpa dan terbaca satu artikel yang menarik bagaimana nak perbaiki permainan catur. Artikel tersebut bertajuk "The Path to Improvement" yang ditulis oleh Kelly Atkins dan S Evan Kreider.

Di antara intipati rencana tersebut ialah :

  • pemahaman tentang permainan catur yang tersangat "fragmented". Tahu sana sikit, tahu sini sikit. Ataupun kita tahu banyak perkara tetapi tidak boleh nak gunakan pengetahuan tersebut secara kohesif atau menyeluruh.
  • Kesilapan terbesar dalam mempelajari dan mendalami catur adalah - kaedah-kaedah pembelajaran yang "sana sikit, sini sikit" atau "fragmented". Disebabkan kaedah ini, kita tidak "master" atau mahir sesuatu topik. Satu lagi, baca satu buku catur kemudian baca buku lain pulak tanpa mengkhatamkan buku yang pertama. Justeru itu, kena khatamkan satu buku dulu sebelum baca yang lain. Dan lagi satu, kena master sesuatu topik sebelum beralih ke topik lain.
  • Kesilapan kedua - pelajari perkara yang tidak betul atau tidak bersesuaian dengan tahap kita.
  • Kesilapan ketiga - terlalu menumpukan kepada pembelajaran "openings". Disarankan supaya pelajari kenapa sesuatu "lines" itu bagus dan juga kena tumpukan kepada "middlegame" dan "endgame".

Penulis rencana ini telah menggariskan kaedah pembelajaran seperti berikut. Menurutnya, mungkin tak semua orang berjaya mengikutinya tetapi ia akan menjadi kepada kebanyakan orang.

  1. Mahirkan taktik-taktik utama
  2. Pelajari "basic endings"
  3. Pelajari permainan "basic positional" dan strategi
  4. Pelajari prinsip-prinsip "basic openings"
  5. Akhir sekali, praktiskan semua yang telah dipelajari di atas supaya menjadi kohesif.

Disarankan supaya kita "stick to basic opening repertoire" yang menjadi pilihan dan gunakan dalam permainan catur selama setahun sehingga menjadi mahir. Jika anda ingin "improve" dalam masa yang lebih singkat, penulis menyarankan supaya "devote" sekurang-kurangnya separuh dari masa pembelajaran untuk mempelajari TAKTIK.

"Quote" berikut boleh diteliti dan difahami dengan mendalam.

  • “Strategy requires thought, tactics require observation” >> (Max Euwe)

  • “Openings teach you openings. Endgames teach you chess!” >> (Stephan Gerzadowicz)

  • “In order to improve your game, you must study the endgame before everything else, for whereas the endings can be studied and mastered by themselves, the middle game and the opening must be studied in relation to the endgame” >> (Jose Raul Capablanca)

Kepada yang ingin mengikuti plan ini dipersilakan. Semoga permainan anda akan menjadi "improved". SELAMAT MENCUBA!

 

3 Mac 2008 - Rasa janggal pula aku apabila semalam aku hanya berada di rumah. Selalunya di hari Ahad aku akan berada di pertandingan catur. Malahan memang ada pertandingan catur  iaitu N9 Rembau Open pada hari Sabtu 1 Mac dan Royal Selangor Juniors Open pada hari Ahad 2 Mac.

Tetapi memandangkan anak-anakku akan menghadapi peperiksaan dari 3 hingga 5 Mac 2008, maka pada hari tersebut aku hanya berada di rumah. Anak-anakku mengulangkaji pelajaran dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan mereka.

Maka bolehlah aku menjalankan projek membuat "cat house" di belakang rumahku. Bukan aku yang membuatnya, tetapi anak buah isteriku. Aku tidak berapa mahir dalam hal sebegitu. Aku hanya membeli barang-barang keperluan projek tersebut seperti kayu dan paku. 

Walaupun kedua-dua anakku tidak menyertai pertandingan catur pada hujung minggu tersebut, seramai 6 orang rakan SKBJ mereka telah menyertai pertandingan catur di Kolej Sunway. Syabas kepada mereka!

 

29 Feb 2008 - Hari ini aku telah menyelesaikan urusan pendaftaran dan pembayaran yuran penyertaan anak-anakku, Fikri dan Anis, untuk Pertandingan Catur "Age Group" Kebangsaan anjuran MCF, "Malaysian Chess Federation", yang akan diadakan dari 10 hingga 12 Mac 2008. Aku harap ramai lagi ibubapa yang akan mendaftarkan anak-anak mereka ke pertandingan tersebut. Semoga pertandingan catur di negara ini akan lebih meriah dan marak lagi. Diharapkan ramai jagoan-jagoan catur bakal dilahirkan dari pertandingan bertaraf kebangsaan ini. Sokongan dan peranan ibubapa adalah amat dituntut dalam hal ini. Hidup catur di Malaysia!

 

27 Feb 2008 - Pagi ini aku ke UNISEL yang terletak di Batang Berjuntai. Tujuannya untuk menghadiri satu majlis taklimat tentang projek rumahku di Desa Kerayong yang telah terbengkalai hampir 10 tahun.  Beberapa hari kebelakangan ini aku agak kelam kabut sebab ada beberapa cabaran yang diuji terhadap aku.

Yang pertama, kereta wiraku telah rosak di tengah jalan pada hari Khamis yang lalu. Enjin kereta aku telah "jam". Jadi aku perlu "overhaul" ia atau tukar enjin. Yang kedua, motor Honda EX5 aku pun telah lama tidak boleh di"start" semenjak hujung bulan November tahun lepas. Jadi terpaksalah rakanku, Komza, menolong aku tolak motor tersebut ke kedai motor yang kira-kira 5 kilometer dari rumahku.

Lenguh jugalah kaki rakanku itu ketika melakukan operasi penolakan tersebut. Motor Honda EX5 ku itu terpaksa di "mini overhaul" yang mengurangkan bajet aku sebanyak 250 ringgit.

Cabaranku seterusnya ialah selepas 3 hari motorsikalku itu di"overhaul", tayarnya pula pancit ketika hendak pulang dari tempat pelanggan. Memandangkan hari telah malam, terpaksalah aku memanggil si penukar tiub.

Cabaran-cabaran di atas tidak ada kena mengena lansung dengan catur. Tetapi secara tidak lansung cabaran-cabaran di atas telah mengganggu konsentrasi dan tenaga aku untuk menelaah buku catur.

Oh ya! Belum sempat aku nak bercerita tentang Allegro Suku Pertama CAS yang berlansung pada Ahad lepas iaitu pada 24 Februari 2008 di Kompleks Wilayah. Prestasiku memang sangat tidak memuaskan hati aku. Aku hanya menang 2 permainan yang mana salah satunya ialah menang percuma.

Ada satu permainan yang aku memiliki "winning advantage" tetapi aku telah sia-siakan dan kalah. Walaupun semua lawanku memiliki "rating" melebihi 1400 sebab aku bertanding dalam kategori 1 iaitu rating 1400 ke atas, aku seharusnya tidak melakukan "blunders" acapkali. Aku bertanding dalam Kategori 1  kerana aku masih belum ada ELO rating.

"Blunders" yang acapkali aku lakukan adalah berpunca dari konsentrasi yang lemah mungkin disebabkan aku demam minggu lepas. Ini telah menyebabkan aku hilang mood untuk menelaah permainan-permainan pemain-pemain catur terhebat seperti Paul Morphy, Capablanca dan Botvinnik.

Perkara yang dah lepas biarkan ia berlalu. Aku perlu kembali mendalami dan mempelajari permainan catur sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan-pertandingan catur yang lebih kompetitif.

 

26 Feb 2008 - Anak-anak aku pulang dari sekolah hari ini membawa berita bahawa mereka telah terpilih memegang jawatan dalam Kelab Catur SKBJ. Fikri, anak sulungku, telah terpilih menjadi Pengerusi sementara Anis Fariha, anak tunggal perempuanku, telah dilantik menjadi AJK. Tahniah dariku untuk mereka berdua. Semoga mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

 

15 Feb 2008 - Demamku naik semula. Baru saja aku MC dua hari yang lalu. Jadi "study" caturku agak terganggu. Pertandingan catur yang bakal aku sertai ialah pada 24 hb Februari 2008 di Kompleks Wilayah iaitu 10th CAS First Quarter Allegro. Harap permainan aku akan lebih baik. Aku akan cuba bermain sebaik mungkin untuk permainan 25 minit, kerana aku lebih bagus bermain untuk permainan 45 minit. Anak sulung cakap aku ni "lambat fikir".

 

14 Feb 2008 - Waktu rehat tengahari aku berlawan catur dengan seorang rakan sekerja yang selalu sahaja menewaskan aku. Dari "opening" sehingga ke "middle game" permainanku amat memberansangkan dan sungguh "solid". Apatah lagi aku bermain buah hitam.  

Sayang aku tidak sempat untuk merekod pergerakan. Aku "castling queen side". Dapat juga aku tawan beberapa buah kawan aku itu yang sebelum ini memang jarang-jarang dapat aku lakukan. Tetapi  apabila memasuki fasa "end game", aku telah melakukan beberapa kesilapan atau "blunder" yang menyebabkan aku tertewas lagi dengan beliau.

 

12 Feb 2008 - Hari ini aku menambah lagi 3 buah buku catur  dalam senarai pembacaan dan pentelahanku. Buku-buku tersebut adalah :

  • "H.O.T Chess" oleh Paul Motwani
  • "The Sicilian Defense Taimanov System" oleh Mark Taimanov
  •  "Black is OK!"  oleh Andras Adorjan

 

Buku yang terakhir di atas amat penting bagiku memandangkan daripada 4 kekalahan di Kejohanan Catur Melayu Malaysia tempohari, 3 permainan aku buah hitam. Di harap setelah menelaah buku tersebut bila bermain buah hitam akan lebih banyak beroleh kemenangan.

 

11 Feb 2008 - Selama dua hari di hujung minggu yang baru berlalu, aku memerah otak berjuang di papan catur Kejohanan Catur Melayu Malaysia di Kompleks Wilayah. Masih jauh lagi perjalananku untuk mencapai tempat 10 teratas kerana aku hanya berjaya menduduki tempat yang ke 70 dari 104 orang pemain dalam kategori terbuka.

Aku hanya berjaya mendapat 3 kemenangan dari 7 pusingan. Namun begitu aku amat berpuas hati dengan prestasiku kerana pesaing-pesaing yand ditemui semua hebat-hebat belaka. ELO Rating mereka sekitar 1400 dan 1500, sedang aku tiada rating.

Disebabkan beberapa kesilapan atau "blunder", aku tewas permainan. Di antara ketujuh-tujuh permainanku, permainan dengan Cg Mohd Zaki Yeop yang paling membanggakan. Walaupun beliau tidak berapa aktif menyertai pertandingan tetapi pengalamannya yang luas dan ELO ratingnya yang melebihi 1500 membuktikan beliau seorang pemain catur yang disegani di negara ini.

Dengan membaca buku-buku catur dan mengkaji permainan-permainan hebat juara-juara catur dunia seperti Paul Morphy, Capablanca dan Bobby Fischer, aku dapat memberi sedikit saingan kepada Cg Mohd Zaki. Diharap di masa akan datang aku dapat bersaing dan menewaskan beliau.

 

4 Feb 2008 - Untuk tahun 2008 ini, Chessmaster GP1 yang dilangsungkan di Pusat Kecemerlangan Sukan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur merupakan penyertaan kedua dalam pertandingan catur. Aku berjaya memperolehi 3 mata di mana aku mendapat kemenangan percuma di pusingan pertama.

Dua kemenangan yang aku perolehi adalah di pusingan ke empat dan ke enam di mana ELO Rating pemain lawan adalah di bawah 1300. Permainan yang paling menarik ialah di pusingan ke lima di mana aku dengan buah putih telah tewas kepada pemain yang memiliki ELO Rating 1349. Kami bermain permainan "positional" di mana setelah berlatih bertubi-tubi beliau telah berjaya melaksanakan perancangan dengan amat baik sekali.