1203days since
Tahun Baru 2011

Ucap Utama Gabenor di Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005



Ucap Utama Gabenor di Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005



Speaker : Governor Dr. Zeti Akhtar Aziz
Venue : Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Date : 28 November 2005
Language : Bahasa Melayu

Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan anda semua ke Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005. Tema forum yang julung-julung kali diadakan ini ialah "Perpindahan kepada E-Pembayaran". Forum ini memberi fokus pada isu dan cabaran dalam peralihan daripada pembayaran berasaskan kertas kepada pembayaran secara elektronik di Malaysia. Untuk sesebuah negara melakukan perpindahan yang berkesan daripada instrumen pembayaran berasaskan kertas kepada pembayaran menggunakan elektronik, isu yang perlu ditangani adalah pelbagai. Ia memerlukan perubahan dalam infrastruktur dan proses perniagaan, membangunkan dan mengekalkan keyakinan pengguna serta menyemai sifat menerima perubahan di kalangan pihak berkepentingan, termasuk penyedia perkhidmatan dan para pelanggan.

Matlamat kami adalah untuk mentransformasikan sistem pembayaran menjadi satu sistem yang menggunakan sistem berasaskan pasaran moden dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya, hasrat ini perlu dicapai melalui usaha bersama semua pihak yang terlibat, termasuk industri dan pihak berkuasa. Maka forum dan pameran ini dianjurkan bagi menyediakan platform untuk berbincang pelbagai isu dan cabaran penting demi mencapai wawasan yang sama tentang perpindahan kepada e-pembayaran di Malaysia dan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai saluran pembayaran yang ada di pasaran hari ini, di samping membincangkan pandangan tentang pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur untuk generasi sistem yang akan datang. Forum ini dirangka bagi menggalakkan dialog dan perbincangan yang aktif dari perspektif yang berbeza-beza, terutama antara penyedia perkhidmatan dengan pelanggan. Dialog ini juga akan menjadi platform untuk perbincangan tentang bagaimana industri ini boleh beroperasi dengan berkesan dalam konteks persekitaran pengawalseliaan, dasar dan amalan semasa. Dari perspektif pengawal selia, matlamat utama adalah untuk menyediakan persekitaran yang sesuai bagi memudahkan dan merangsang penggunaan yang lebih meluas mekanisme pembayaran yang lebih efisien di Malaysia.

Sistem pembayaran secara elektronik yang efisien, terjamin dan dipercayai adalah penting bagi keteguhan sistem kewangan, keefisienan pasaran kewangan serta proses pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Dengan kemajuan teknologi yang pesat dan permintaan pengguna yang meningkat untuk perkhidmatan penyampaian yang lebih efisien, landskap kewangan Malaysia terus beralih ke arah sistem dan saluran pembayaran secara elektronik yang semakin penting. Meskipun kemajuan telah dicapai, namun warganegara Malaysia masih banyak menggunakan wang kertas dan duit syiling, dengan jumlah mata wang dalam edaran kira-kira 6.4% daripada KDNK. Sebagai bandingan, nisbah purata bagi negara-negara yang banyak menggunakan pembayaran secara elektronik seperti dalam rantau Scandinavia hanyalah 2.9%. Penggunaan cek juga dominan dalam sistem kewangan kami, iaitu mencakupi 96% daripada jumlah nilai instrumen pembayaran bukan tunai. Penunjuk ini memperlihatkan bahawa langkah-langkah untuk menggalakkan penggunaan e-pembayaran yang lebih aktif perlu melangkaui pembinaan infrastruktur pembayaran secara elektronik. Isu yang lebih luas yang perlu ditangani melibatkan peningkatan kesedaran dan keyakinan orang ramai; mempromosikan lebih keselesaan; mengkaji semula amalan perniagaan dan operasi dan akhir sekali, menangani isu-isu komersial antara pelanggan dengan penyedia perkhidmatan. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk menerangkan isu-isu ini dengan lebih lanjut. 

E-pembayaran meningkatkan keefisienan operasi dan tahap produktiviti melalui pembayaran dan penerimaan dana yang cepat serta melalui pengurangan atau pengagihan semula sumber yang digunakan untuk menguruskan tunai dan cek. Sungguhpun perpindahan kepada e-pembayaran mungkin memerlukan pelaburan dan usaha yang besar bagi menyediakan infrastruktur yang sesuai, penggunaan e-pembayaran memberikan pengguna keselesaan dan jaminan yang lebih luas yang akan mengurangkan kos dalam jangka panjang. Dalam hal ini, penting bagi institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan kewangan mengadakan tempat akses yang lebih banyak bagi perkhidmatan pembayaran elektronik melalui pelbagai saluran, termasuk mesin teler automatik, terminal jualan (point-of-sale terminals), tol berpalang dan gantri tempat meletak kereta, dan melalui saluran dan peralatan rangkaian seperti Internet dan telefon mudah alih. Sememangnya, produk dan perkhidmatan pembayaran perlu ditingkatkan dengan berterusan untuk memenuhi keperluan pengguna yang berubah-ubah.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan penggunaan e-pembayaran tidak hanya bersandar pada keupayaan penyedia perkhidmatan untuk memastikan perkhidmatan e-pembayaran memudahkan bahkan selamat. Dalam bidang pencegahan penipuan, industri perlu terus berhati-hati untuk mengekalkan keyakinan pengguna. Teknologi yang mantap dan kawalan dalaman yang kukuh mesti disediakan untuk melindungi dan memelihara integriti sistem kewangan.

Seiring dengan matlamat ini, institusi perbankan di negara ini telah berjaya menggantikan kad ATM dan kad kredit jalur magnetik dengan kad berasaskan cip untuk memastikan persekitaran yang lebih selamat bagi kad pembayaran. Langkah ini dapat menghapuskan pemalsuan dan penipuan yang membabitkan kad ATM dan kad kredit dengan berkesan di Malaysia. Ini memberi Malaysia platform untuk terus menambah baik perkhidmatan kad pembayaran dengan memaksimumkan infrastruktur cip. Penghujung tahun ini akan menyaksikan penyiapan pindahan seluruh industri kepada piawaian Europay-MasterCard-Visa (EMV) dengan kesemua terminal jualan mematuhi EMV sepenuhnya. Dengan ini, Malaysia akan menjadi negara pertama di rantau Asia Pasifik yang berjaya berpindah daripada persekitaran jalur magnetik kepada infrastruktur kad kredit berasaskan cip EMV di seluruh negara.

Untuk membolehkan Malaysia menerima pakai sepenuhnya e-pembayaran, tugas yang menanti memerlukan kesungguhan dan komitmen yang mendalam daripada semua pihak. Dari perspektif Bank Negara Malaysia, motivasi yang kuat untuk mempromosikan e-pembayaran ialah penjimatan yang akhirnya dihasilkan daripada pengurangan kos pemprosesan kertas dan percetakan, dan agihan wang secara elektronik yang efisien dalam sistem kewangan yang menjana nilai ekonomi yang segera. Kajian penyelidikan menunjukkan bahawa peralihan daripada sistem pembayaran berasaskan kertas sepenuhnya kepada sistem pembayaran secara elektronik akan menjana penjimatan tahunan kira-kira 1% daripada KDNK. Semua pihak yang berkepentingan, termasuk institusi kewangan, penyedia sistem pembayaran, pihak berkuasa, sektor korporat dan pengguna, mempunyai peranan masing-masing untuk menyokong agenda nasional ini bagi mengurangkan penggunaan instrumen pembayaran berasaskan kertas, terutamanya cek, di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan baru-baru ini mengumumkan hasratnya dalam Bajet 2006 untuk meningkatkan penerimaan cara pembayaran secara elektronik dengan Kerajaan dan menggalakkan penggunaan e-pembayaran ke seluruh negara. Ini akan menjadi pemangkin kepada penggunaan e-pembayaran di seluruh negara, memandangkan kebanyakan individu dan perusahaan perniagaan mempunyai urusan pembayaran dengan Kerajaan. Faktor penting bagi memastikan kejayaan usaha ini ialah keperluan untuk mengkaji semula amalan perniagaan dan operasi dan menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin menghalang penggunaan e-pembayaran. Amalan ini meliputi ketidakupayaan untuk menyimpan dan mengumpulkan nombor akaun, mengesahkan pembayaran elektronik dan penerimaan notis, arahan pembayaran secara elektronik dan banyak lagi yang boleh dikenal pasti semasa perbincangan di forum ini. Semua syarikat dan institusi yang hadir di forum ini perlu mempertimbangkan untuk menjalankan proses merekayasa perniagaan dalam organisasi masing-masing bagi menggunakan sepenuhnya saluran e-pembayaran yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan dan institusi kewangan. Sebagai satu agenda nasional, saya ingin mencadangkan supaya forum ini membahaskan dan mempertimbangkan penetapan satu tarikh sasaran yang munasabah, mungkin menjelang tahun 2010, bagi pelaksanaan sepenuhnya hala tuju e-pembayaran nasional yang khususnya menggariskan strategi dan penjajaran semula proses perniagaan dan amalan operasi supaya negara terlibat sepenuhnya dalam menjadikan perpindahan ini satu kejayaan.

Izinkan saya sekarang beralih kepada perkara penting ketiga yang saya sebutkan terdahulu mengenai isu-isu komersial, iaitu model perniagaan yang sedia ada dan mekanisme penetapan harga untuk pembayaran elektronik perlu mengambil kira keperluan satu struktur insentif yang menggalakkan lebih banyak penggunaan e-pembayaran. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa perkembangan yang penting dalam e-pembayaran di Malaysia. Berikutan pengenalannya pada tahun 2000, sistem Giro Antara Bank, yakni satu sistem pindahan kredit secara elektronik, telah mencatat purata peningkatan jumlah transaksi tahunan sebanyak 160% dan peningkatan hampir 200% dari segi nilai antara tahun 2003 hingga 2004. Kad kredit juga semakin menjadi cara kad pembayaran yang popular, dengan nilai dan jumlah masing-masing meningkat pada kadar tahunan 15% dan 20%. Penerimaan terhadap perbankan internet sebagai satu saluran pembayaran yang mudah untuk mengakses perkhidmatan perbankan yang semakin meningkat telah menyebabkan bilangan pengguna perbankan internet melonjak dengan nyata. Bilangan pengguna perbankan internet kini mencakupi dua pertiga daripada jumlah pengguna internet. Saluran mod pembayaran elektronik yang terkini ialah perkhidmatan perbankan mudah alih yang memudahkan pengguna untuk mengakses pelbagai perkhidmatan pembayaran seperti pindahan wang, pembayaran bil dan perkhidmatan kad kredit melalui telefon mudah alih. Tambahan lagi, penubuhan sistem pembayaran pelbagai bank berasaskan internet di Malaysia, iaitu Bursa Pemprosesan Kewangan pada bulan Oktober 2004, akan memudahkan pembayaran secara dalam talian untuk pelbagai pembayaran dengan menyediakan saluran yang mudah dan cekap kepada perusahaan perniagaan dan pengguna untuk menjalankan transaksi pembayaran mereka melalui internet.

Meskipun perkembangan yang positif ini akan menyokong pencapaian objektif perpindahan kepada e-pembayaran, isu komersial antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan sering kali menghalang pertumbuhan dalam jumlah e-pembayaran. Kadangkala model perniagaan dan penetapan harga dengan tanpa disengajakan menggalakkan sistem yang kurang efisien, seperti dalam kes pelanggan membayar kos yang rendah untuk penggunaan cek berbanding dengan pembayaran GIRO Antara Bank, dan populariti kad kredit berbanding dengan kad debit yang merupakan sistem yang lebih cekap dan berisiko rendah. Selain itu, penyedia perkhidmatan juga menghadapi kesukaran untuk menerima satu platform perniagaan yang sama disebabkan oleh strategi-strategi mereka dalam mengukuhkan kedudukan daya saing masing-masing. Perbezaan sedemikian telah menyekat peningkatan penerimaan terhadap e-pembayaran yang diburukkan lagi oleh keinginan pengguna untuk melihat penerimaan yang meluas di kalangan peniaga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menggunakan mod e-pembayaran, manakala di pihak peniaga, mereka ingin melihat sejumlah pengguna yang besar sebelum mewujudkan infrastruktur yang diperlukan. Dalam hal ini, kajian semula yang lebih komprehensif terhadap isu berkaitan industri yang menyeluruh yang melibatkan instrumen dan sistem pembayaran perlu dijalankan untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif dengan tujuan menggalakkan sistem pembayaran yang lebih cekap dan menangani rintangan perniagaan. Untuk terus mempertingkat pertumbuhan dan menggalakkan e-pembayaran, industri pembayaran boleh menimbang untuk menubuhkan sebuah Persatuan Sistem Pembayaran bagi menangani isu yang melibatkan pembayaran elektronik di seluruh industri. Sesebuah Persatuan Sistem Pembayaran boleh menangani kekurangan standard teknologi yang sama antara penyedia perkhidmatan untuk menggalakkan satu sistem yang saling boleh diterima pakai, dan kekurangan forum bersama untuk mengenal pasti, memahami dan mengurus kepentingan dan harapan pelbagai pihak berkepentingan. Saya perlu menambah bahawa idea ini bukanlah idea baru kerana persatuan-persatuan pembayaran wujud di beberapa negara lain.

Landskap industri pembayaran pada masa hadapan ialah sesuatu yang akan terus berkembang bersama-sama inovasi pasaran dan seterusnya meningkatkan perkhidmatan yang menawarkan pembaikan kecekapan dan penjimatan kos berbanding dengan kaedah pembayaran tradisional. Bank Negara Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator untuk menerajui pembangunan dan pembaikan infrastruktur sistem pembayaran dan menggalakkan persekitaran yang sesuai supaya pembangunan sedemikian berlaku. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran secara elektronik dengan lebih meluas oleh sektor awam dan membawa perubahan perenggu minda di kalangan pengguna. Beberapa pasukan petugas telah diwujudkan yang melibatkan pengguna dan penyedia perkhidmatan untuk menggalakkan perkongsian maklumat dan kerjasama di kalangan peserta. Ini adalah untuk membangunkan amalan terbaik dan standard keselamatan di seluruh industri serta untuk bekerjasama dengan agensi yang berkenaan bagi menangani isu pencerobohan keselamatan dengan segera. Bank Negara Malaysia juga kini sedang melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan risiko dalam sistem pembayaran, dan memudahkan transformasi dan perpindahan infrastruktur sistem pembayaran secara progresif. Dalam hal ini, hubungan merentas sempadan sistem antara penyelesaian Ringgit dengan USD di Hong Kong, iaitu RENTAS dan USD CHATS di Hong Kong, akan ditubuhkan untuk mengurangkan risiko penyelesaian kadar pertukaran melalui mekanisme serentak pembayaran dengan pembayaran antara Ringgit dengan USD dalam zon masa yang sama. Sistem pemangkasan cek juga sedang dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan operasi melalui penghapusan pergerakan cek secara fizikal dengan menggunakan imej dan data elektronik.

Bank Negara Malaysia juga berhasrat untuk menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang kondusif, yang menyokong inovasi berasaskan pasaran dan memastikan ketelusan bagi manfaat pengguna. Dalam hal ini, saya benar-benar berharap hasil daripada perbincangan menerusi Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005 ini akan memberi input yang bernilai untuk perumusan strategi dan modus bagi industri dan pihak berkuasa untuk mempercepat perpindahan kepada e-pembayaran di Malaysia. Saya juga berharap supaya pameran ini akan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai produk dan perkhidmatan pembayaran yang ada di Malaysia serta di dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan, dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2005.

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.


Comments