Surat akuan cerai - Dokumen penting untuk kahwini janda



KELUARGA

ARKIB : 02/01/2004

Surat akuan cerai - Dokumen penting untuk kahwini janda

Soalan

SAYA berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Saya adalah seorang bujang dan belum pernah berkahwin. Bakal isteri saya pula pernah berkahwin (janda). Dia kini telah bercerai dan mempunyai dua orang anak. Pada ruangan soal jawab yang lalu telah dinyatakan prosedur perkahwinan bagi pasangan yang sama-sama bujang. Adakah terdapat perbezaan dari segi prosedur untuk berkahwin dengan seorang janda?

Nazeri Adam,

Bangsar, Kuala Lumpur.

Jawapan

Surah Ar-Rum pada ayat 21 telah menyatakan bahawa: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu pasangan mu dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.

Perkahwinan adalah satu pertalian yang mengikat pasangan-pasangan yang berkahwin. Ia merupakan satu kontrak (akad) yang mengandungi syarat-syarat (taklik) yang dipersetujui oleh suami dan isteri.

Pasangan sepatutnya berbincang mengenai syarat perkahwinan mereka kerana ini akan membantu dalam perjalanan perkahwinan tersebut.

Sememangnya terdapat prosedur perkahwinan yang perlu saudara jalani sebelum melangsungkan perkahwinan. Oleh kerana saudara menetap di Kuala Lumpur maka rujukan boleh dilakukan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Prosedur perkahwinan ini adalah tidak jauh berbeza apabila wanita yang akan dikahwini adalah anak dara, janda atau balu.

Perbezaan yang terdapat adalah dari segi dokumen yang harus diberi oleh bakal isteri saudara.

Bagi tujuan ini, rujukan haruslah dilakukan kepada Seksyen (14) (2) (b) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Seksyen tersebut menyatakan bahawa seorang janda tidak akan diberikan kebenaran berkahwin sehingga beliau mengemukakan dokumen-dokumen berikut:

1. Suatu surat perakuan cerai yang sah dikeluarkan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa; atau

2. Suatu salinan yang diperakui bagi catatan yang berkaitan dengan perceraiannya dalam daftar perkahwinan; atau

3. Suatu perakuan yang boleh diberi atas permohonannya selepas penyiasatan yang wajar dilakukan oleh Hakim Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa beliau adalah seorang janda.

Oleh itu pastikan bahawa bakal isteri saudara mempunyai salah satu daripada dokumen yang diperlukan. Ia harus diserahkan bersama borang permohonan berkahwin.

Saudara telah menyatakan bahawa bakal isteri telah bercerai tetapi tidak menyatakan sama ada tempoh idah beliau telah tamat.

Perlu dinyatakan di sini bahawa terdapat larangan berkahwin bagi seorang wanita yang belum mengakhiri tempoh idahnya. Ini juga adalah menurut Seksyen 14 (2) (a) akta tersebut.

Ini kerana semasa dalam tempoh idah seorang suami boleh merujuk kembali kepada isteri jika dipersetujui oleh isteri. Mereka tidak perlu untuk akad kembali.

Kita juga boleh merujuk kepada Surah al-Baqarah Ayat 228 yang menyatakan: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid) Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu di dalam tempoh idah jika mereka berhasrat untuk kembali.

Sebagai perbandingan dan informasi, bagi perkahwinan yang melibatkan seorang balu terdapat perbezaan dari segi dokumen yang perlu dikemukakan.

Seorang balu harus memberi surat perakuan kematian suami atau apa-apa cara yang boleh membuktikan kematian suaminya. Ini adalah seperti yang dituntut oleh Seksyen 14(4)(b).

Seorang balu juga harus menjalani tempoh idahnya menurut hukum syarak. Tempoh idah ini adalah berlainan daripada tempoh idah seorang wanita yang telah diceraikan.

Bagi menentukan lamanya tempoh idah seorang balu, rujukan boleh dilakukan kepada surah Al-Baqarah ayat 234 yang menyatakan bahawa: Orang-orang yang meninggal dunia di antara mu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beridah) empat bulan sepuluh hari. - Panel Peguam Syarie Sisters In Islam

Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Kuala Lumpur, atau telefon 03-79606122 atau faks 03-79604737 atau emel:sistersinislam@pd.jaring.my


Comments