1286days since
Tahun Baru 2011

Sokongan keluarga tangani komplikasi Parkinson



KESIHATAN

ARKIB : 28/02/2010

Sokongan keluarga tangani komplikasi Parkinson

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

RAWATAN optimum Parkinson memerlukan kerjasama satu pasukan termasuk penjaga.


YAH mula terlihat orang kerdil yang mempunyai wajah hodoh dan kulit hitam (halusinasi visual). Kadangkala, ayah ternampak wajah ibu bapanya yang telah meninggal, bersama-sama dengan orang kerdil tersebut.

''Orang-orang kerdil itu biasanya berkumpul di balkoni rumah dan bercakap-cakap antara satu sama lain dengan suara ganjil. Disebabkan ketakutan, ayah bersembunyi dalam bilik tidur sepanjang hari, sambil mengunci kesemua tingkap dan menurunkan langsir," cerita Ebby Loo tentang penyakit yang dihadapi bapanya.

Mungkin tidak ramai yang sudi berkongsi cerita mengenai penyakit seperti itu. Namun bagi Ebby, maklumat itu penting untuk membantu masyarakat luar berdepan dengan masalah tersebut.

Mendengar cerita tentang Loo Peng Hock, 73, ternyata kehidupan bapa wanita itu yang penuh dengan cabaran selama 14 tahun lepas berubah setelah menghidap Parkinson.

Warga emas itu dilanda masalah satu demi satu. Sebagai anak dan penjaga, dia dan keluarga mengharapkan bapanya bakal berdepan dengan kehidupan lebih baik.

"Pada beberapa tahun pertama, dia mengalami tekanan. Apabila simptom motor Parkinson melarat, pergerakannya tidak lagi stabil manakala kakinya kerap menjadi kaku. Namun, dengan sokongan keluarga dan pengambilan ubat-ubatan seperti Stalevi, Madopar (250) dan Madopar HBS (125), dia mampu mengatasi masalah pergerakan badannya," ujar Ebby ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berjudul Two Sides of The Same Brain: Psychiatric Disorders and Parkinson's.

Sejak awal 2008, Peng Hock mula mengalami simptom demensia Parkinson.

Menurut Ebby, antara kesemua komplikasi Parkinson yang dialaminya, yang paling dahsyat ialah psikosis, yang bermula pada September 2002. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan itu, bapanya mengalami empat episod psikosis.

Episod pertama merupakan serangan paling mengejutkan dan teruk bagi dirinya dan juga seluruh keluarga. Sebelum episod psikosis yang pertama itu, mereka tidak pernah mendengar tentang perkataan halusinasi. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran mereka bahawa pesakit Parkinson boleh mengalami halusinasi.

"Pada tanggapan kami, Parkinson adalah suatu penyakit otak yang hanya mengakibatkan masalah pergerakan badan.

Ayah mengadu kepada emak bahawa dia terserempak orang yang datang dari dunia lain," tambahnya.

Pada peringkat ini, Ebby membawa ayahnya ke klinik pakar mental untuk menerima rawatan. Setelah menjalani rawatan antipsikotik dan ubat penenang (Lorasepam dan Ativan), segala halusinasi bapanya hilang.

Apabila Peng Hock menunjukkan tanda-tanda telah sembuh, Ebby sekeluarga mengambil keputusan memberhentikan pengambilan kesemua ubat.

Selepas serangan psikosis yang pertama, Ebby dan adik-beradiknya mula memahami simptom penyakit mental yang berkaitan dengan Parkinson, khasnya halusinasi.

Ebby lebih bersedia untuk menghadapi episod psikosis sekiranya ia berulang.

"Suatu malam ketika semua orang tidur, ayah memandu kereta adik saya dan membawa orang kerdil bersama pemimpin mereka ke jalan persisiran pantai (Weld Quay). Pada pagi berikutnya, ayah memberitahu adik saya bahawa dia telah menghantar kesemua orang kerdil kembali ke tempat asal mereka," katanya.

Berikutan kejadian tersebut, Peng Hock dibawa ke klinik pakar mental lagi. Setelah mengalami rawatan anti psikotik dan ubat penenang (Lorazepam), penyakit mentalnya pulih.

Serangan psikosis yang ketiga berlaku pada September 2006. Ebby mendapati bapanya sentiasa gelisah dan mengibas seluarnya dengan menggunakan tangan.

Dalam konteks ini, Ebby dan keluarganya mendapati mereka telah membuat kesilapan ketika memberi rawatan kepada bapanya. Sewaktu tiga serangan psikosis yang pertama, kesilapan mereka adalah memberhentikan ubat anti psikotik sebaik sahaja ayah sembuh.

"Sekarang, kami faham bahawa rawatan ubat anti psikotik ini perlu diteruskan sepanjang masa iaitu seumur hidup bagi mencegah episod psikosis berulang. Kalau tidak, kami semua tidak akan berpeluang hidup aman," tambahnya.

Ebby memberitahu, selain psikosis yang berkaitan dengan Parkinson, satu lagi pengajaran daripada kisah keluarga mereka adalah betapa pentingnya peranan penjaga dalam rawatan psikosis atau sebarang komplikasi lain.

Ebby dan adik-beradiknya berusaha memberitahu bapa mereka ketika berdepan dengan Parkinson. Tanpa sokongan, bapanya mungkin akan menjadi teruk dan tidak dapat mengawal diri serta situasi.

Secara idealnya, penjaga harus membantu doktor menangani masalah psikosis dengan mengenal pasti simptom awal psikosis dan memaklumkan kepada doktor serta-merta mengenai kemunculan simptom tersebut. Dengan cara ini, pesakit mempunyai peluang yang lebih baik untuk sembuh kerana rawatan spesifik dimulakan pada peringkat awal sewaktu psikosis baru saja bermula.

Paling unggul adalah melalui pendidikan kesihatan yang berkesan, penjaga dapat melaporkan kepada doktor tentang simptom psikosis yang berlaku pada kali pertama. Dalam kes Peng Hock, kesemua ahli keluarganya terutama Ebby telah memainkan peranan penting dalam kejayaan rawatan psikosis dengan mengenal pasti simptom awal psikosis setiap kali penyakit itu berulang. Kita semua harus faham bahawa rawatan optimum Parkinson memerlukan kerjasama satu pasukan termasuk penjaga.


Comments