1286days since
Tahun Baru 2011

Keluarga‎ > ‎

Hasil seni daripada surat khabar lama



KELUARGA

ARKIB : 12/10/2009

Hasil seni daripada surat khabar lama

Oleh ZUHAYATI YAZID

Sharipah Hafizah Mat Jali bersama sebahagian daripada produk krafnya pada pameran di Kompleks Kraftangan Jalan Conlay, di Kuala Lumpur baru-baru ini.


HASIL seni memang tidak terbatas malah bagi mereka yang kreatif bahan terbuang seperti kertas surat khabar boleh dijadikan pendapatan tetap.

Hakikat ini dibuktikan oleh Sharipah Hafizah Mat Jali apabila kepakarannya dalam membuat kraf daripada kertas surat khabar seperti pasu bunga, bekas kotak pensil, bakul, lampu hiasan dalaman, pasu berlampu serta bekas telur mampu memberi pulangan kepadanya sekeluarga.

''Pada awalnya, saya sekadar suka-suka untuk menghasilkan barangan ini tetapi lama-kelamaan ia memberi keseronokan pada saya, tambahan pula boleh memberi keuntungan kepada keluarga.

"Malah kini permintaannya juga semakin banyak terutama bunga telur membuatkan saya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

''Biasanya pada musim cuti sekolah, permintaan sangat tinggi, kadang-kadang boleh terlupa untuk makan kerana terlalu sibuk,'' ujar ibu kepada 11 cahaya mata itu.

Kata suri rumah ini, pada awalnya dia menganggap kerja ini sekadar hobi untuk mengisi masa lapang selepas sunyi anak-anak ke sekolah.

''Biasanya selepas habis semua kerja-kerja rumah barulah saya mula melipat kertas," katanya.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan hanya daripada hasil kraf tangan itu.

Bercerita lagi, ibu muda ini memberitahu memberitahu, dia pernah menerima tempahan lebih 5,000 bekas bakul telur daripada seorang kenalan untuk digunakan sebagai cenderahati semasa hari perkahwinan anaknya.

'' Untuk menyiapkan tempahan, saya mengambil masa lebih dua minggu itu pun dibantu oleh anak-anak,'' katanya.

Mengenang kisah lama, katanya, dia pernah bersama anak-anak menaiki bas membawa hasil kraf tersebut untuk dijual di pasar malam.

''Masa itu susah sangat cuma ada duit RM10 dalam poket tak cukup untuk tambang teksi.

''Lepas habis berjual, dapat untung sikit barulah bawa anak-anak naik teksi,'' ceritanya mengenangkan semasa awal mempromosikan produk krafnya di pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Bercerita lebih lanjut Sharifah menambah, pada peringkat awal dia hanya menghasilkan barangan yang kecil kerana kurang yakin dengan kemampuan dirinya selepas belajar membuat kraf tersebut melalui jirannya.

Namun selepas beberapa tahun, dia yakin untuk menghasilkan barang-barang yang lebih besar.

''Pada peringkat awal dulu saya terpaksa mengambil masa agak lama kadang-kadang sampai dua hari untuk menyiapkan satu bakul telur yang kecil. Tapi kini dalam setengah jam saya boleh siapkan tiga bekas telur," katanya.

Menurut Sharifah, ketekunan, ketelitian serta kesabaran adalah perkara asas untuk menyiapkan barangan tersebut.

Selain itu, fokus juga penting bagi memastikan rekaan menjadi lebih cantik dan bersesuaian dengan keadaan.

Jelasnya lagi, pelbagai barang boleh direka menggunakan surat khabar, cuma yang penting adalah kreativiti dan kerajinan sendiri.

"Walaupun menggunakan surat khabar kraf ini kalau dihalusi pasti tahan lama tetapi yang penting perlu mengikut cara-cara yang betul,'' ujarnya.

Kini dia berbangga kerana hasil penat lelah dan kesungguhan dalam menghasilkan kraf melalui bahan buangan mendapat perhatian serta pengiktirafan daripada pihak tertentu termasuk oleh Kraftangan Malaysia.

Sementara itu orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi terus di talian 012-3481999.


Comments