1204days since
Tahun Baru 2011

Harga susu Dutch Lady bakal naik?



KORPORAT

ARKIB : 20/05/2010

Harga susu Dutch Lady bakal naik?

KUALA LUMPUR 19 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady) hari ini berkata pihaknya akan berusaha untuk tidak menaikkan harga produknya pada Ogos atau September tetapi tidak menolak kenaikan boleh berlaku selepas tempoh itu.

Pengarah Urusannya, Bas van den Berg berkata: ''Kami akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga, tetapi saya tidak boleh berjanji tiada sebarang kenaikan.

"Itu amat bergantung kepada perkembangan dalam tiga hingga empat bulan akan datang," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

van den Berg berkata, Dutch Lady berupaya mengekalkan harga produknya kerana ia telah memesan ke hadapan bahan-bahan mentah tenusu hingga Ogos atau September.

"Kita telah melihat kenaikan ketara harga bahan mentah dalam enam bulan kebelakangan ini, dan berdasarkan keadaan semasa, kami menjangkakan kenaikan selanjutnya tahun ini," kata beliau.

Katanya, harga susu tepung tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama, dijangka meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) setan metrik tahun ini, berbanding AS$2,100 (RM6,741) setan metrik dalam suku keempat tahun lepas.

"Sejajar dengan prospek positif ekonomi Malaysia, kami menjangkakan pertumbuhan besar pasaran tenusu.

"Keyakinan pelabur semakin meningkat dan ini akan dapat dilihat daripada tindak tanduk pengguna," katanya.

Kata van den Berg meskipun tahun ini mencabar bagi syarikat itu, namun ia menjangka dapat mencapai keputusan yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Bagi suku pertama 2010, keuntungan sebelum cukai Dutch Lady bertambah kepada RM28.28 juta daripada RM12.66 juta dalam suku yang sama pada 2009.

Pendapatannya meningkat kepada RM173.11 juta daripada RM168.56 juta sebelumnya.

Dutch Lady, satu jenama terkemuka di Malaysia, menikmati hampir 20 peratus penguasaan pasaran. Ia meraih 50 peratus agihan pasaran susu UHT (suhu ultra tinggi).

Ia mengeluarkan dan mengedarkan produk susu, dari rumusan bayi, tepung susu untuk membesar, UHT, susu bersteril dan berpasteur, hinggalah kepada produk dadih.

Menurut van den Berg, Dutch Lady akan menambah peruntukan sebanyak 20 peratus bagi pengiklanan dan promosi tahun ini untuk memperbaharui fokus dan penekanan kepada kekuatan terasnya. - Bernama



Comments