Tatabahasa

Definisi tatabahasa

Tatabahasa ialah bidang yang menumpukan perhatian terhadap pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan.

Bidang tatabahasa mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan selanjutnya bagaimana(cara) perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat.

Kajian tentang bidang tatabahasa dilakukan dari dua segi, iaitu cara perkataan itu dibentuk daripada bunyi bahasa dan cara perkataan itu disusun menjadi ayat.Contoh pembentukan kata ialah perbincangan tentang cara perkataan terbentuk melalui penggabungan awalan, akhiran dan apitan, manakala contoh pembentukan ayat ialah perbincangan tentang subjek dan predikat serta pola ayat. Bidang huraian pada peringkat perkataan dikenali sebagai morfologi manakala peringkat ayat dikenali sebagai sintaksis.Dengan perkataan lain, bidang tatabahasa terbahagi dua, iaitu morfologi dan sintaksis.  

Morfologi

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata,dan penggolongan kata. Bentuk kata pula ialah sesuatu unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau dihasilkan melalui beberapa proses pembentukan kata seperti pengimbuhan dan penggandaan.

Contoh: bentuk kata tunggal - lancar, pengimbuhan - pelancaran,  pemajmukan - papan tanda, penggandaan - buku-buku.

Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan dalam sesuatu bahasa berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi perkataan lain dalam golongan yang sama. Perkataan dapat digolongkan kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Sintaksis

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis bermaksud bidang yang mengkaji rumus tatabahasa yang berdasarkan kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

    Ayat

Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi intonasi yang sempurna.

Contoh ayat: Saya membaca buku.

   

    Binaan ayat

Sesuatu pembentukan ayat dalam sesuatu bahasa dikenali sebagai satu binaan atau konstruksi. Sesuatu binaan terdiri daripada susunan beberapa rangkai kata yang dikenali sebagai unsur atau konstituen. 

Contoh: Bangunan itu tinggi.

Dalam ayat di atas, ada dua konstituen iaitu bangunan itu dan tinggi

 

   Subjek dan predikat

Ayat terbina daripada dua konstituen, iaitu subjek dan predikat. Kedua-dua konstituen boleh terdiri daripada satu atau beberapa perkataan. Lihat contoh yang berikut:

  

 Subjek

Predikat 

 Beliau

guru di sekolah 

 Subjek ialah konstituen atau unsur yang diterangkan dalam sesuatu ayat.Dalam ayat di atas, subjeknya ialah beliau.Biasanya subjek terdiri daripada frasa nama.

Predikat ialah konstituen atau unsur yang menerangkan subjek.Dalam ayat di atas, predikatnya ialah guru di sekolah.Biasanya, frasa yang berfungsi sebagai predikat ialah frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

 

Comments