wawancara

program tv (saya sudah lupa apa tajuk rancangannya)

1.Bidang apa yang menyebabkan Awang Haji tetrtarik untuk berlkecimpung dalam bidang sastera ini?

Sebenarnya minat saya pada awalnya ialah pada bidang seni lukis – tetapi bukan pula seni lukis menyebabkan saya tertarik pada sastera. Pendedahan pada teori-teori dan aliran-aliran dalam seni lukis antarabangsa sedikit sebanyak membantu saya dalam bidang penulisan terutama cerpen. Saya berkecimpung dalam bidang sastera adalah lebih disebabkan oleh kesukaan saya membaca. Bapa saya sebagai seorang guru keluaran SITC Tanjung Malim memiliki koleksi buku yang banyak juga – jadinya bahan bacaan sentiasa ada.

2.Diperingkat awal banyak hasil penulisan Awang Haji tersiar di dalam Majalah luar Negara, kenapa ia dijadikan wadah untuk berkarya?

Saya mula menulis pada tahun 1981 – dengan menyertai peraduan menulis cerpen sempena Israk Mikraj. Cerpen pertama saya ini menang hadiah pertama mengalahkan penulis-penulis veteran ketika itu – jadi ini memberikan saya semangat. Saya sangat produktif selepas itu – sebuah cerpen boleh siap dalam satu minggu – kebetulan juga saya menganggur – masalahnya ke mana saya hendak menyalurkan cerpen-cerpen saya. Di Brunei ketika itu cuma ada majalah Bahana DBP yang terbit tiga bulan sekali. Majalah Bahana adalah majalah pertama yang saya hantar cerpen saya – pada tahun 1981 selepas menang peraduan menulis cerpen Israk Mikraj saya menulis cerpen kedua saya. Majalah Banaha menyiarkannya dalam keluaran April tahun 1983 yang terbit pada tahun 1984. Jadinya jika saja hendak cerpen saya disiarkan di Brunei saya terpaksa menunggu sampai empat tahun! Pasti semangat saya yang berkobar-kobar akan hilang kobarnya – jadi berkubur pula! Mau tidak mau cerpen ketiga, saya hantar ke majalah Mastika di Malaysia - juga saya hasilkan pada tahun 1981. Mastika menyiarkannya di dalam keluaran bulan September tahun tersebut. Saya tidak lama menunggu cuma tiga bulan.

3.Apa yang menyebabkan minat itu berkembang?

Nasib saya baik – cerpen pertama saya menang nombor satu. Cerpen kedua editor majalah Bahana berjanji menerbitkannya cuma terpaksa menunggu giliran – cerpen ketiga yang saya hantar ke majalah Mastika – sebuah majalah yang sudah established di Malaysia menyiarkannya bulat-bulat. Bagi seorang yang baru menulis, ini adalah satu pencapaian yang baik satu pengiktirafan bahawa saya boleh menulis – ia jadi lebih bermakna kerana saya menganggur ketika itu – penganggur yang berkelulusan dari UK pula. Bagi sesiapa yang pernah menganggur akan faham betapa kita merasa sangat rendah diri. Saya menulis ketika itu kerana terpaksa mengimbangi rasa rendah diri ini – rasa inferioriti ini – sebenarnya bukan kerana minat. Minat saya membaca. Saya minat membaca sastera-sastera dunia terutama karya-karya novel dan cerita-cerita pendek pemenang Hadiah Nobel bidang Kesusasteraan. Saya juga minat memiliki dan mengumpul buku sejak di bangku sekolah lagi. Saya tidak suka meminjam buku dari perpustakaan. Wang kocek $5 sebulan akan saya simpan sehingga cukup semata-mata untuk membeli buku – novel seperti The Gapes of Wrath tulisan John Steinbeck pemenang Hadiah Nobel Kesusteraan 1962 berharga $5.65 tidak cukup wang saku saya. Dalam menunggu wang cukup itu saya berharap-harap novel tersebut tidaklah akan dibeli orang – cuma ada satu naskah sahaja. Pada tahun 1968 seorang penulis Asia, Yasunari Kawabata dari Jepun menang Hadiah Nobel Kesusteraan ini dan bapa saya selalu menyebut nama penulis ini dan saya ingat. Empat tahun kemudian pada tahun 1972 saya terserempak dengan buku karya Yasunari Kawabata – harganya mau $12! Untuk membeli sebuah buku saya terpaksa mengumpul wang selama dua ke tiga bulan itu pun kalau wang saku tidak saya gunakan untuk keperluan lain – saya tinggal di asrama, berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, serbuk pencuci pakaian di beli dengan wang saku.

Saya rasa sudah pasti minat membaca saya ini – dan juga bahan bacaan yang saya pilih ini membantu saya menghasilkan karya-karya yang boleh diterima. Tidaklah sampai tahap yang tinggi sangat tapi sekadar boleh diterima.

4.Dalam membawakan isu-isu penulisan, wadah bagaimana yang lebih menjadi kecenderungan?

Saya cenderung menulis cerpen untuk diterbitkan di majalah atau surat khabar.

5.Sejak memulakan minat dalam bidang penulisan ini, hala tuju bagaimana yang menjadi pilihan dalam menghasilkan hasil penulisan tersebut?

Sebenarnya ketika menulis – dan bagi saya sebagai penulis cerpen kalau pun boleh dikatakan penulis – saya tidak akan memikirkan apa-apa selain menulis cerpen yang mendesak untuk minta dilahirkan.

6.Masyarakat selalu menjadi tumpuan, kerana melaluinya ada keperluan pembagunan mental, Rohani, sosialisma dan banyak lagi, sejauh mana hal ini membantu menghasilkan penggarapan idea?

Apapun yang kita tulis tentulah ia tentang masyarakat itu sendiri baik tempatan maupun antarabangsa yang kita terdedah kepadanya. Biasanya saya akan menulis apabila terdesak oleh sesuatu pekara yang kurang saya senangi yang berlaku di keliling saya. Saya menulisnya kerana saya merasa kurang senang dan saya perlu mengnyahkannya dari sistem saya. Menulis untuk mengisi keperluan pembangunan mental, rohani, sosialisme masyarakat adalah sesuatu yang ideal - ia adalah satu idea atau notion yang tidak kurang romantis juga: penulis sebagai pemangkin pembangunan masyarakat misalnya ini sangat romantis dan ideal sedangkan penulis itu manusia biasa juga dengan segala kelemahannya dan prejudisnya dan keegoannya sebagai manusia. Apabila saya menulis cerpen tumpuan saya ketika itu ialah menyiapkan cerpen tersebut sebaik mungkin – hal-hal lain tidak saya benarkan mengganggu.

7.Penglibatan Awang Haji dalam dunia kesusasteraan secara langsung mengiatkan lagi dunia penulisan tanah air, apa kekurangan yang masih memerlukan perhatian penulis-penulis di tanahair kita ini?

Untuk saya menyenaraikan kekurangan yang memerlukan perhatian penulis-penulis di tanahair kita ini tentulah agak presumptious atau mengada-ada bagi saya kerana saya sendiri pun belum sampai ke mana-mana. Jadinya saya cuma dapat mengatakan tentang diri saya. Saya baru saja selesai mengumpulkan hampir-hampir kesemua cerpen-cerpen saya ke dalam cd-rom, saya membaca dan mengeditnya semula. Saya merasa malu membacanya – apa yang sangat ketara ialah kebanyakan cerpen saya tersebut kurang matang dari segi pemikiran – ya tapi itulah yang termampu saya hasilkan – apa boleh buat! Ini mungkin kerana saya menulis berdasarkan imajinsi dan andaian-andaian saya bukan pengalaman konkrit atau paling tidak research yang mendalam. Jadinya cerpen-cerpen saya kurang matang kerana saya lebih senang berimajinasi daripada mengalami atau melakukan research yang mendalam. Misalnya sekarang ini saya ingin hendak menulis tentang sebuah keluarga yang miskin di Brunei ini yang tinggal di sebuah rumah kecil yang library saya adalah lebih besar. Mereka lapan orang anak beranak. Saya cuma baru dua kali melawat mereka dan bertanya khabar – saya sudah mula berimajinasi dan membuat andaian-andaian – keluarga ini tidak akan dapat keluar dari kemiskinan hingga ke anak cucu – anak-anaknya memerlukan ruang yang luas agar mereka boleh belajar dengan selesa dan baik – tanpa pendidikan yang baik saya rasa sukar bagi anak-anaknya keluar dari kemiskinan ini. Ini andaian saya dan mungkin andaian saya ini benar tetapi andaian ini saya buat di sebuah bilik yang berhawa dingin, sebuah bilik yang lebih besar dari rumah mereka dan andaian ini saya taip menggunakan komputer berharga tidak kuarang dari tiga ribu ringgit! Saya tidak merasakan kemiskinan mereka – saya cuma berimajinasi – andaian-andaian saya buat berdasarkan dua lawatan yang singkat (kerana malas dan kesibukan-kesibukan yang lain) tentu saja jika saya menulisnya hasilnya akan kurang matang, artifisial dan dibuat-buat.

8.Bagaimana bidang penulisan ini boleh berkembang dengan tahap minat dan keupayaan orang katani dalam dunia pembacaan yang tidak begitu berminat sepenuhnya? (Hanya sebahagian orang sahaja yang minat membacanya)

Seorang penulis akan menulis tanpa perlu terikat sangat kepada tahap minat dan keupayaan orang kitani membaca – jika saya memikirkan tentang berapa ramaikah orang akan membaca tulisan saya – sudah pastilah saya tidak akan mahu menulis. Jika saya tidak menulis maka penulisan saya tidak akan berkembang.

9.Adakah bidang penulisan di Negara kita boleh dikembangkan ke tahap yang lebih baik, jika kita mampu melahirkan karya yang bermutu tinggi?

Ya, boleh saja – cuma saja akan mengambil masa yang lama kerana kita di Brunei belum ada orang yang hidupnya bergantung pada hasil penulisan. Jika ada penulis yang menulis sepenuh masa – dengan sebuah buku yang diterbitkan ia boleh hidup satu tahun atau lebih – sudah pasti penulis tersebut boleh menumpukan perhatiannya dan jika ia konsisten dalam melahirkan karya lambat laun ia akan menghasilkan karya yang bermutu tinggi juga.

10.Penulis-penulis dari luar lebih mendapat tempat di kalangan pembaca dan peminat sastera kita, kenapa ini terjadi?

Ini satu andaian – andaian saya pula peminat sastera itu pula memanglah tidak banyak – yang membaca buku-buku sastera itu pula kebanyakan adalah kerana hendak mengambil peperiksaan atau kerana tuntutan kursus yang diambil. Di kalangan pembaca itu sendiri ada berbagai-bagai: ada yang minat bacaan ringan, ada yang minat membaca bahan yang non-sastera seperti buku-buku teori management terbaru, di kalangan pembaca sastera itu sendiri juga terbahagi – ada yang minat pada sastera tempatan, serantau, atau sastera terjemahan antarabangsa – kita mempunyai banyak pilihan – semakin banyak pilihan semakin mengecil pula bahagian pembaca satu-satu genre itu – ini belum lagi kita ambil kira pecahan-pecahan kepada media-media lain.

11.Bidang penulisan macamana yang mampu kita jadikan sebagai penggerak dalam mewujudkan keupayaan masyarakat berubah?

Saya bukanlah orang yang mempercayai bahawa bidang penulisan itu mampu merubah masyarakat – tidak ramai yang membaca. Mungkin drama tv lebih berkesan – masyarakat tidak perlu membaca cuma menonton dan mendengar. Inipun saya ragu-ragu juga – kalau dramanya terlalu serius dan sarat dengan mesej merubah masyarakat – orang akan bosan mengikutinya.

12.Adakah penulisan ini juga mampu dijadikan sebagai asas pembinaan bangsa?

Memang boleh asal saja ada yang mahu membaca, memikirkan apa yang dibacanya dan seterusnya melakukan tindakan-tindakan.

13.Bagaimana dengan pemasaran buku penghasilan penulis tempatan yang ada di Negara kita ini?

Saya hargai usaha-usaha DBP dalam menerbitkan buku hasil penulis tempatan dan juga usaha-usahanya dalam melebarkan jaringan penjual kepada kedai-kedai buku swasta cuma kita harus juga memahami pasaran buku-buku sastera adalah sangat kecil – kedai-kedai buku tentu keberatan menyediakan rak-rak yang lebih luas atau menstok dengan banyak buku-buku yang kecil pasarannya.

14.Falsafah awang haji bagaimana untuk melahirkan lebih ramai penulis yang prolific dan berjiwa besar?

Tentu sukar bagi saya memberikan pedapat saya – kerana saya sendiri tidaklah prolifik dan karya-karya saya belum ada yang dapat saya katakan telah mencapai tahap antarabangsa – tapi walau macam mana pun saya rasa untuk menjadi penulis yang prolifik dan melahirkan karya-karya yang besar kita memerlukan penulis yang berilmu dan menulis sepenuh masa yang makan tidur bangunnya adalah tertumpu kepada bidang penulisan.