nota ringkas

      tentang cerpen-cerpen dalam koleksi ini        

Cerpen "SUASANA", "MASALAH-MASALAH", "SEORANG SUAMI, SEORANG ISTERI DAN BEBERAPA ORANG ANAK" dan "MOYOK" naskah-naskahnya sudah tidak ada lagi di dalam simpanan saya. Jika ada di antara para pembaca menyimpannya saya sangat-sangat berbesar hati jika para pembaca memberikan salinannya (menge-melkan teksnya) kepada saya untuk saya masukkan ke dalam kumpulan ini pada masa akan datang. Cerpen kanak-kanak saya masukkan kemudian - InsyaAllah. "CERPEN CINTA", Bahana Dis 1992 - adalah cerpen yang saya tulis menggunakan nama Heddasa.

Buat masa ini saya 'berehat' sebentar dari menulis cerpen namun otak saya tidak pernah 'berehat' dari memikirkan cerpen-cerpen yang bakal saya tulis nanti - 'berhatnya' saya dari menulis 'tidak ada kena mengena dengan orang yang hidup maupun yang sudah mati' atau 'mogok seni' atau 'menyamal' saya hanya sekadar letih dan terasa malas sekali mungkin ini berkait rapat dengan faktor usia.

Semasa muda-muda dan mula menulis saya merasakan saya perlu membuktikan diri saya dan saya jadi sangat prolifik sehingga boleh menghasilkan dua-tiga buah cerpen dalam sebulan tambahan pula ketika itu saya sedang menganggur. Sekarang ketika sudah tua-tua bangka begini saya merasakan tidak perlu membuktikan apa-apa.

Membaca semula cerpen-cerpen ini saya terfikir juga pada mulanya saya menulis secara lurus seperti ini:

 SEMAUN merenung pintu bilik.

Dari bilik ini keluar seorang gadis remaja genit tanpa bibir tanpa mulut. Ia berjalan pantas, malu-malu tak menoleh-noleh kiri kanan. Tanpa bibir tanpa mulut ia sudah tidak lawa lagi.

(Jantung Berita Minggu - Singapura 28 Feb 1982)

 Dua tahun kemudian (setelah banyak membaca majalah-majalah berbentuk 'sastera') saya menulis seperti ini:

 MALAM SEPI dan cahaya suram di wad itu seperti mendamparkannya ke ruang masa silam. Masa-masa lalu seperti terapung-apung di awangan fikirannya. Itulah yang mau dielak: melayani fikiran dan kenangan. Alangkah baiknya pada saat-saat seperti itu jika ada cucu buat teman berbual.
(ARIK - Bahana Mac 1984)

AKU bagaikan mati. Jari-jemariku kaku. Jasadku terbelenggu dihimpit ruang sempit dan lidahku terbujur bagai mayat di dalam mulutku. Tembok kukuh di sekelilingku.Kucari-cari nafas di dalam dada. Tak ada. Kupekakan diri. Kudapati jantungku mati. Hatiku beku. Nadiku hilang denyut.
(LAWWAMAH - Bahana Nov 1986)

Kemudian pada satu hari ketika angin semilir berpuput mendesir, membuai gemeresik daun-daun, menyebarluaskan keharuman bunga-bunga liar yang sedang mekar, pada satu hari ketika matahari malu-malu menyinarkan cahayanya lalu pokok-pokok pun kehilangan bayang-bayang ...
(SAYAP - Bahana Mac 1987 )

 Saya merasakan bahawa 'opening' cerpen Jantung adalah di antara yang sangat saya senangi.

'Opening' "Arik" sudah saya ubah di dalam kumpulan ini. 'Opening' "Lawwamah" sukar untuk saya ubah mungkin sifat cerpen ini secara keseluruhannya adalah abstrak. Saya ingin sekali mengubahnya - saya masih mencari-cari bentuk konkritnya - apa sebenarnya "AKU bagaikan mati. Jari-jemariku kaku. Jasadku terbelenggu dihimpit ruang sempit dan lidahku terbujur bagai mayat di dalam mulutku. Tembok kukuh di sekelilingku. Kucari-cari nafas di dalam dada. Tak ada. Kupekakan diri. Kudapati jantungku mati. Hatiku beku. Nadiku hilang denyut" ini? Petikan dari "Sayap" juga saya ubah, saya sederhanakan sedikit.

Antara sebab-sebab saya menulis seperti ini ialah mungkin saya mahu 'show off' bahawa saya mampu mencipta bahasa 'puitis' atau 'sensitif', 'berasonansi', 'berpersonifikasi' dan sebagainya seperti kebanyakan cerpen-cerpen 'sastera' nusantara yang saya baca berbanding dengan cerpen "Jantung", "Senyum", "Punggung" di mana saya cuma mahu bercerita seadanya.

Konsep asal/awal saya menulis cerpen ialah saya cuma mahu bercerita tidak lebih dari itu. Kemudian pengaruh-pengaruh lain masuk dan saya mula lupa akan konsep asal/awal ini. Pengaruh-pengaruh tersebut antaranya ialah pengaruh cerpen "sastera" nusantara, realisme magis Amerika Latin ("Paranoia", "Insomnia", "Kawanmu", "Anu" dll) dan cerpen-cerpen bersifat konseptual/formalistik/metafiksi yang sambil bercerita juga secara sedar (conscious) merujuk kepada dirinya sendiri untuk menyedarkan pembacanya bahawa ia hanyalah sedang membaca sebuah cerpen dan semuanya adalah tidak benar dan hanya berlaku di dalam sebuah cerpen berbeza dengan cerpen-cerpen konvensional di mana penulisnya cuba mengajak pembacanya mempercayai bahawa apa yang dibacanya adalah benar-benar sedang berlaku di depannya.

Termasuk dalam kategori cerpen konseptual/formalistik/ metafiksi ini antaranya ialah; "ADA ORANG TIDAK SUKA PADA SAYA DAN MELAKUKAN SESUATU YANG TIDAK SAYA SUKAI TERHADAP SAYA DI BELAKANG SAYA" - Bahana Okt 1996, "HON!" Bahana Jul 1997, "TANGGA" - Bahana Dis 1997, dan "NIPIS" - Bahana Jun 2003. Dengan "NIPIS" saya sudah mula kembali kepada konsep asal/awal saya - saya hanya hendak bercerita - unsur metafiksi saya selitkan cuma sebagai bahan kelakar:

 “Assalamu alaikum, Tuan Haji!” katanya. “Haji Morshidikah ni?”

“Wa alaikum salam Tuan Haji Bujang,” kata saya. "Jauh jua sembahyang ani. Indada masjidkah di Sungai Liang atu?" Saya bergurau.

“Mengapatah Tuan Haji ani,” katanya ia tertawa sedikit. “Leper ni! Nipis!”

“Awu aku ni,” kata saya. “Tapi antah, nipistah ku hari ani. Jadi watak leper.”

“Eh, Tuan Haji ani,” katanya. “Ada-ada saja! Semua kan dibuat macam cerpen. Cerpen mutakhir Tuan Hajikah ni?”

 

Ya, "NIPIS" adalah cerpen mutakhir/terakhir saya buat masa ini.

 Atas sebab budget dan pasaran terhad kumpulan ini tidak dapat saya terbitkan dalam bentuk buku juga kumpulan ini tidak dapat saya hadapkan ke penerbit atas alasan saya ingin mengekalkan penggunaan “ia” bagi orang ketiga (bukan “dia” yang standard digunakan masa kini – yang sudah pasti “ia” saya akan diubah kepada “dia”).

Selamat membaca.

muka utama

profil penulisan

cerpen pilihan

wawancara

catatan