ADA YANG TIDAK BETUL DENGAN JIRAN SAYA

      Bahana Januari 1996

Sudah lama saya tinggal di kampung ini - sudah lapan tahun: jiran saya lebih lama lagi kerana mereka sudah ada di sini semasa saya pindah ke mari. Rumah saya menghadap ke arah 290o 53' 52" mata kompas - memang senghaja didirikan menghadap ke arah kiblat. Rumah jiran saya berada di sebelah kiri - di sebelah kanan tidak ada rumah sepanjang setengah kilometer - di sebelah kiri selepas rumah jiran saya juga tidak ada rumah sepanjang setengah kilometer. Depan rumah jiran saya ini menghadap ke rumah saya. Rumahnya ini dikelilingi oleh pagar simen setinggi 1.8 meter di atas keluasan tanah 0.2 hektar. Dari jendela sebelah kiri ini saya dapat melihat ke halaman rumah jiran saya - halaman ini terletak di sebelah kanan; di kiri dan kanan luar pintu pagar ada pokok kemboja yang lebat bunganya. Tidak ragu lagi mereka juga boleh melihat saya melihat ke halaman rumah mereka - saya melihat anak-anaknya yang masih berumur di antara lima ke dua belas tahun bermain-main (?) - mereka kesemuanya kelihatan serius - jika ingatan saya betul, saya tidak pernah mendengar kanak-kanak ini ketawa semasa bermain-main.

Selama lapan tahun tinggal di sini - anak saya sudah ada enam orang - ketika bermain mereka ini selalunya ketawa (seperti biasanya kanak-kanak). Sekarang saya melihat ke luar dari jendela sebelah kiri ini - anak-anak jiran saja yang kecil-kecil ini semuanya berpakaian serba hitam. Mereka sedang megesat mata dengan perca hitam. Pastilah mereka sedang menangis. Kelmarin kira-kira pukul sepuluh malam saya terdengar ada raungan dari rumah mereka diikuti oleh tangisan anak kecil. Raungan ini kemudian makin menjadi-jadi. Benar-benarlah mereka menangis agaknya.

Kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku - pertama kali ialah setahun selepas saya pindah ke mari. Ketika itu cepat-cepatlah saya pergi ke rumah jiran saya ini kerana saya pasti ada orang meninggal dunia. Raungan seperti ini hanya layak untuk orang mati (walaupun ugama kita sebenarnya melarang meratapi orang mati seperti ini). Menghadiri kedukaan kita tidak perlu diundang - apalagi saya sebagai jiran - saya terus masuk ke rumahnya - mereka yang saya nampak semuanya berpakaian serba hitam dari anak kecil hinggalah ke orang dewasa dan tua. Mereka menangis meraung dan mengesat air mata dengan perca berwarna hitam. Pastilah ada orang mati. Saya masuk (dengan pakaian berbunga-bunga dan berwarna-warna kerana pakaian seperti ini yang saya sekeluarga biasa pakai) dan bertanya jika ada apa-apa yang boleh saya bantu. Mereka menggeleng-gelengkan kepala. Prooob! Seorang daripada mereka menghembuskan hidung ke dalam perca hitam. Saya bertanya lagi dengan penuh sopan (tentunya) jika ada apa-apa yang saya boleh bantu.

"Tidak ada apa-apa yang boleh kita buat," kata jiran saya. "Tidak ada apa-apa yang boleh kita bantu."

Jiran saya ini menangis lagi. Tangisnya lebih dari orang lain. Ia meniupkan hidung ke dalam perca hitam - Proob! Kemudian ia mengambil perca hitam baru dari atas meja di tengah-tengah ruang. Perca-perca hitam baru berlipat dan tersusun di atas meja ini. Benar-benarlah mereka sudah bersedia untuk menangis.

"Isteri saya melahirkan anak," kata jiran saya.

"Isteri abang selamat?" saya bertanya. Saya membahasakannya abang kerana ia kelihatan lebih tua daripada saya tetapi tidak pula tua untuk menjadi bapa saya.

"Isteri saya selamat," katanya.

"Anak abang?"

"Juga selamat," ia menangis dan meraung - yang lain juga ikut meraung.

"Ada apa-apa yang boleh saya buat?" saya bertanya lagi.

Jiran saya memberikan saya perca hitam. Saya menengok-nengok perca hitam ini. Betul-betul hitam perca ini.

"Menangislah," kata jiran saya. "Bantulah kami menangis."

Tentulah saya tidak dapat menangis tanpa alasan yang munasabah.

Saya pulang ke rumah dengan kepala yang sedikit bingung dan pening. Hal jiran saya ini saya ceritakan kepada isteri saya yang sudah pun tertunggu-tunggu di dapur - ia sudah bersedia untuk ke sebelah.

"Ada yang inda lurus dangan jiran kitani atu," ujar isteri saya.

Saya yang jarang bersetuju dengan pendapat isteri (walau bernas sekalipun pendapatnya itu - mengapa kita lelaki mesti tunduk kepada pendapat isteri?) kali ini bersetuju - ya, ada yang tidak betul dengan jiran saya itu. Saya pun melarang anak-anak saya berkawan dengan anak-anak jiran saya. Saya katakan kepada mereka ada yang tidak betul dengan anak-anak jiran kita. Mereka pun selalu beringat-ingat sesama sendiri: "Ada yang inda lurus dangan anak-anak jiran kitani."

Tetapi kadangkala mereka berkawan-kawan juga dengan anak-anak jiran saya. Mereka masih kanak-kanak, sukar untuk terus dilarang-larang - selalu saja lupa pesanan orang tua. Saya pun semasa kecil seperti mereka - apa yang dilarang akan saya buat - apa yang disuruh kadang-kadang saya buat tetapi selalunya saya tidak buat. Dari jendela sebelah kiri ini saya melihat mereka bermain-main basikal di halaman rumah jiran saya - anak-anak saya bermain basikal dengan gembira ketawa dan sebagainya - anak-anak jiran saya juga bermain basikal tetapi dengan serius. Tidakkah anak-anak jiran saya ini pandai ketawa - ini selalu saya tanyakan kepada diri saya. Sepatutnya saya tanyakan ini kepada jiran saya itu.

"Anak-anak sabalah atu - inda pandai katawakah?" saya bertanya kepada anak-anak saya.

"Inda pa," jawab anak saya yang tua.

"Ada yang inda lurus dangan anak-anak jiran kitani atu," kata saya kepada anak-anak saya.

Dari jendela sebelah kiri ini (tentulah juga mereka selalu memerhatikan saya memerhatikan mereka) mula mengesan bahawa orang-orang tua yang berkunjung (tentulah ahli-ahli keluarganya) ke rumah sebelah sentiasa kelihatan gembira - ini terbukti dengan cara mereka tertawa - lepas dan besar. Tawa seperti ini tentulah kurang saya senangi. Semakin tua yang datang itu semakin besar dan gembira tertawanya (seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya). Terus-terang saya katakan di sini saya berpendapat bahawa orang-orang tua sudah semestinya mengurangkan tertawa, mereka sepatutnya lebih kepada mengingati mati. Jika kautanya kepada saya - saya akan katakan tidak ada lucunya tentang mati. Adakah kau akan tertawa kalau kau ingat bahawa tidak lama lagi kau akan mati dan dikuburkan 4 meter ke dalam tanah - terperangkap di dalam lubang kecil dan gelap untuk selama-lamanya (sehingga hari kebangkitan)? Aku kira ini tidak lucu!

Betullah, ada yang tidak betul dengan jiran saya! Saya tidak suka anak-anak saya berkawan dengan anak-anaknya tetapi kanak-kanak mempunyai semangat kebebasan - free spirit. Apa yang dapat saya lakukan sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab membesarkan anak-anak di dalam suasana yang normal berhadapan dengan free spirit ini dan dengan jiran yang tidak normal apabila pada satu hari anak saya pulang dari bermain-main di sebelah membawa kad jemputan.

"Pa, orang sabalah atu menjamput datang malam ani," kata anak saya sambil menghulurkan kad jemputan. Inilah pertama kali saya dijemput ke rumahnya - kalau ada apa-apa majlis selalunya saya tidak dijemput. Saya merasa tersinggung juga apabila ia mengadakan majlis sama ada suka atau duka dan saya tidak dijemput - jadi saya pun akan berdiri di jendela sebelah kiri ini memerhatikan jemputan-jemputannya hadir seolah-olah mengumumkan bahawa saya yang sepatutnya dijemput tetapi tidak dijemput. Sehingga selesai majlis tidak ada orang atau wakil yang datang menjemput saya. Sebagai jiran saya tidak pernah gagal menunaikan haknya - setiap kali saya mengadakan majlis saya akan menjemputnya - ialah yang mula-mula saya jemput. Selalunya ialah yang paling awal datang - tetapi kedatangannya hanyalah untuk mengatakan bahawa ia dan keluarga tidak dapat datang.

Inilah pertama kali saya dijemput ke rumahnya, ini satu pertanda yang baik - barangkali mereka sudah menjadi normal.

Majlis bermula pada pukul lapan setengah malam menurut yang tercatat dalam kad jemputan. Majlis untuk apa tidak pula dinyatakan. Pakaian: kasual. Muzik yang besar dan riang sudah mula kedengaran sejak dari pukul empat petang - dan terdengar pula suara orang tua sedang berkaroake. Tentulah mereka meraikan seorang tua kerana di rumah sebelah ini hanya orang-orang tua yang kelihatan sentiasa gembira. Para jemputannya sudah mula datang dari pukul empat setengah petang. Dari jendela sebelah kiri ini saya hitung bilangan mereka - saya tidak pernah tersalah hitungan sejak perniagaan pisang saya lingkup enam tahun dahulu apabila saya tersalah hitung - cuma lima puluh lima orang sahaja. Tentulah mereka ini terdiri darpadai ahli-ahli keluarganya. Ada yang tua ada yang muda dan juga kanak-kanak. Pakaian mereka berwarna-warni dan berbunga-bunga. Mereka semuanya kelihatan gembira kali ini. Malah kanak-kanaknya juga kelihatan gembira - sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Saya menyuruh isteri dan anak-anak saya supaya bersedia.

"Pakai baju lawa-lawa," kata saya. Oleh kerana waktu masih awal lagi saya memberikan wang seribu ringgit kepada isteri saya. Saya suruh ia ke pusat kecantikan di bandar - ia sudah begitu lama kelihatan seperti suri rumahtangga. Sekaranglah waktunya untuk merubah penampilannya. "Hias diri atu, bali pakaian baru dan sanang-sanangkan hati!"

Tidak pernah saya memberi wang sebanyak ini sebelumnya. Isteri saya nampak tersenyum-senyum. Ia pergi membawa anak-anak dan juga orang gaji.

Saya sendiri akan mandi terlebih dahulu. Memang menjadi kebiasaan saya mandi lama-lama apalagi jika hendak menghadiri sesuatu majlis. Saya tidak mahu diumpat mempunyai bau badan yang busuk atau sebagainya yang negatif - tidak baik untuk reputasi diri. Saya mulakan mandi dengan berkumur-kumur dan memberus gigi sementara menanti air mandi hangat sedikit. Mandi berendam dengan air hangat membuka rongga-rongga kulit. Selepas memberus gigi mempastikan tidak ada sisa-sisa makanan menyangkut di celah-celah gigi dan mempastikan bau mulut wangi barulah saya membuka paip air untuk memenuhi kolah mandi. Sementara menunggu kolah penuh saya akan mengusai misai dan janggut menggunting atau mencukur mana-mana yang perlu. Kemudian saya akan membersihkan kuping telinga dan mengorek lubangnya dengan pengorek kapas. Sekarang sudah sampai masanya untuk saya melakukan pekara utamanya - mandi berendam di dalam air hangat. Setiap orang mesti mandi walau apa pun pegangan atau falsafah hidupnya. Setiap orang mesti mandi terutama sekali sebelum menghadiri apa-apa majlis - di setiap kad jemputan harus ditulis: mandi dahulu sebelum datang. Saya menuangkan bubble bath yang wangi secukupnya ke dalam kolah dan mengacau-ngacau airnya sehingga timbul buih yang banyak. Saya masuk ke dalam kolah merendamkan diri saya sehingga ke pangkal leher. Selama tidak kurang daripada lima belas minit saya berendam dengan mata yang pejam. Apabila saya rasa rongga-rongga kulit saya sudah terbuka oleh air yang hangat saya mula menggosok-gosok badan melurutkan segala daki di setiap pelipatan anggota. Perhatian yang berat saya tumpukan kepada sebelah belakang kuping telinga - di sinilah orang selalunya cuai. Kalau kau terjumpa orang yang bersih dan harum badannya jangan kaupercaya dahulu sehinggalah kau memeriksa belakang kuping telinganya - sembilan puluh sembilan peratus kau akan dapati belakang kuping telinganya berdaki. Melurutkan daki dari tubuh badan ini mengambil masa tidak kurang dari setengah jam. Ada yang tidak betul dengan diri saya? Saya sedar apa yang saya lakukan. Tentunya kau akan mengatakan mandi berjam-jam seperti ini sesuatu yang tidak normal - satu usaha membasuh dosa yang enggan tanggal barangkali (Will all great Neptune's ocean wash this blood clean from my hand? No, this my hand will rather The Multitudinous seas incarnadine Making the green one red - A little water clears us of this deed - all the perfume of Arabia will not sweeten this little hand. Oh, oh, oh!). Saya suka mandi berjam-jam, membasuh dan membersihkan diri. Saya juga suka Shakespeare. Tidak menjadi kesalahan kita memberi ruang untuk diri kita melakukan sesuatu di luar batas-batas kebiasaan asalkan ia tidak menyakiti orang lain - seperti mandi berjam-jam ini. Tidak ada yang tidak betul dengan diri saya! Dalam konteks ini barangkali bolehlah saya memberi ruang kepada jiran saya - apalagi ia sudah menjemput saya hadir ke majlisnya: Tidak ada yang tidak betul dengan jiran saya. Saya akan pastikan isteri dan anak-anak saya mengetahui pendapat saya ini. Saya akan beritahu mereka tidak ada yang tidak betul dengan jiran kita. Sepatutnya saya awal-awal tidak bersetuju dengan pendapat isteri saya! Tengoklah inilah yang terjadi apabila kau bersetuju dengan pendapat isteri! Saya menyudahkan mandi saya dengan menyiram air sejuk ke seluruh badan. Segar.

Fikiran saya tenang dan perasaan saya berdamai dengan jiran sebelah. Barangkali kau betul dan perbuatan saya mandi berjam-jam ini (dua jam sebenarnya) sebagai satu cara saya membasuh diri (dari salah anggap terhadap jiran saya selama ini).

Tidak ada yang tidak betul dengan jiran saya.

Bunyi muzik dari sebelah semakin nyaring dan riang.

Isteri, anak-anak dan orang gaji saya belum pulang-pulang lagi barangkali mereka cuba menghabiskan seribu ringgit yang telah saya berikan atau mungkin ada traffic jam. Semua jalan raya di BSB sedang diperbaiki - (buka siap buka?) - negara sedang membangun. Atau mungkin mereka pergi menengok wayang pula - isteri saya memang suka menengok wayang - ia suka pada layar yang lebar dan besar. Saya sendiri tidak pula suka menengok wayang - kalau mahu pun cukup dengan menonton pita video di kaca tv yang berukuran 40 sentimeter x 30 sentimeter. Pukul tujuh setengah isteri saya menelefon mengatakan bahawa mereka tidak akan dapat balik sekarang kerana traffic jam yang teruk di Bandar Seri Begawan - susah mahu keluar. Semua jalan raya ditutup dan kawasan bandar dipagar dan dikawal oleh polis.

"Ada kontrektor tajumpa lombong amas di tangah-tangah Bandar Seri Begawan patang tadi," kata isteri saya. "Semua jalan raya sibuk kana korek masa ani!"

Kemudian isteri saya memberitahu bahawa mereka akan balik lewat kerana mereka akan terus saja melihat wayang. Saya terus saja tersenyum - traffic jam dan lombong emas hanyalah helah untuk isteri saya melihat wayang. Sementara menunggu pukul lapan setengah saya menonton televisyen dan kebetulan sekarang sudah pukul lapan malam dan warta berita sedang disiarkan. Saya nampak adik saya Hj.Mohd Yussof bin Hj.Marsal yang sentiasa bersama biskita sedang tersenyum- senyum membacakan berita.

"Sebuah lombong emas telah ditemui di tengah-tengah Bandar Seri Begawan petang tadi," katanya. "Kajian awal menaksirkan bahawa hampir-hampir keseluruhan bawah pusat bandar adalah lombong emas. Dengan ini diumumkan kepada orang ramai bahawa pusat bandar adalah ditutup kepada lalulintas. Pemandu-pemandu adalah diarahkan untuk mengikut arah-arahan pihak polis."

Di kaca televisyen saya terlihat betapa sesaknya keadaan di BSB, Jalan Sultan sedang dilombong, dipagar dan dikawal oleh polis. Orang ramai berkerumun-kerumun melihat longgokan tanah yang bercampur benda kuning berkilau-kilauan. Saya berharap benda-benda kuning itu benar-benar emas dan bukan sesuatu yang bodoh yang tidak berharga. Pasukan polis kelihatan berkerja keras mengawal orang ramai.

"Sebagai tanda kesyukuran," sambung Hj.Mohd Yussof bin Hj.Marsal di kaca televisyen, "esok adalah diumumkan sebagai hari kelepasan awam. Masjid-masjid di seluruh negara adalah diarahkan untuk mengadakan majlis kesyukuran dan membaca surah Yaasiin."

Apalagi yang saya mahu: saya sudah mandi dua jam, badan saya bersih, kuping telinga saya segar dan berbau harum, perasaan syak wasangka terhadap jiran sudah terhapus dan sekarang setelah mendengar berita di televisyen hati saya amat gembira. Negara Brunei Darussalam akan terus makmur walaupun minyak di buminya habis. Kita ada emas! Saya tidak akan menunggu pukul lapan setengah - saya pergi sekarang juga ke rumah jiran.

Muzik dari rumah jiran saya semakin besar semakin saya mendekati pintunya - pintu yang selama ini cuma saya intai-intai dari jendela sebelah kiri ini. Saya disambut dengan gembira, bahu saya ditepuk-tepuk dan dipeluk oleh jiran saya. Isteri jiran saya juga menepuk-nepuk dan memeluk bahu saya. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk.

"Isteri mana?" isteri jiran saya bertanya.

"Terperangkap di bandar," jawab saya. "Traffic jam!"

"Yah, saya dengar lombong emas ditemui di sana," kata jiran saya.

"Brunei akan terus kaya raya," kata saya.

"Anak cucu kita akan terselamat daripada kemiskinan," kata isteri jiran saya.

"Yah! Sekarang waktu untuk bergembira," kata jiran saya.

Saya bersetuju - yah, sekarang waktu untuk bergembira seluruh negara.

Saya dijemput masuk dan dibawa terus ke bilik tamu yang luas. Kerusi-kerusi semua diaturkan keliling dinding. Di tengah-tengah ruang ada meja berukuran 6 meter x 3 meter. Di tengah-tengah meja ini, memanjang, ada sebuah kotak kayu berukuran 1.8 meter x 0.7 meter x 0.6 meter. Di keliling kotak inilah ditaruh segala minuman dan makanan. Para jemputan yang lain sekarang sedang menari-menari keliling meja ini diiringi oleh muzik yang nyaring. Mereka minum makan dan menyanyi serta bertepuk tangan - ada yang kelihatan seperti separuh mabuk.

"Minuman keras ada," kata jiran saya. "Dalam teko itu minuman keras - istemewa diseludup untuk majlis-majlis seperti ini tetapi saudara seorang Muslim tentulah tidak minum."

"Yah, saya tidak minum," kata saya. Minuman keras ia simpan (sembunyikan?) di dalam teko. Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini.

"Minuman ringan dalam tin atau botol," kata jiran saya. "Silakan makan minum dan bergembira."

Saya menghampiri meja makan. Saya memilih makanan-makanan yang saya tidak ragu-ragu halal haramnya. Saya menjenguk kotak kayu berukuran 1.8 meter x 0.7 meter x 0.6 meter yang diletakkan memanjang di atas meja makan ini sambil menghulurkan tangan untuk mengambil sesuatu (saya menyangka tentulah ada makanan yang instimewa di dalamnya). Jiran saya tiba-tiba berada di sisi saya.

"Itu keranda," katanya. "Bapa saya baru mati kelmarin. Kita sekarang meraikan kematiannya."

 Di atas meja makan ini ada keranda. Di dalam keranda ini ada mayat bapa jiran saya. Mereka sekarang menari, menyanyi, makan minum, bersorak ketawa dan sebagainya di keliling meja makan ini? Astarghfirullah! Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini!

Saya hilang selera hendak makan. Bagaimana saya hendak makan di dalam suasana ini? Mujur isteri dan anak-anak saya tidak ikut - saya tidak mahu mereka terutama anak-anak saya terdedah kepada hal-hal yang tidak normal seperti ini. Air mata saya menitis apabila melihat muka orang tua di dalam keranda dan melihat perbuatan tidak beradab anak cucunya ini. Bunyi muzik semakin besar, mereka menyanyi beramai-ramai bertepuk sorak, memekik, tertawa dan membuat segala kebisingan - paling besar dan lepas tawanya ialah orang-orang tua yang sepatutnya sibuk mengingati mati - tawa seperti ini tentulah kurang saya senangi. Semakin tua yang tertawa itu semakin besar dan gembira tertawanya (seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya). Terus-terang saya ulangi di sini lagi saya berpendapat bahawa orang-orang tua sudah semestinya mengurangkan tertawa, mereka sepatutnya lebih kepada mengingati mati. Jika kautanya kepada saya - saya akan katakan tidak ada lucunya tentang mati. Adakah kau akan tertawa kalau kau ingat bahawa tidak lama lagi kau akan mati dan dikuburkan ke dalam tanah - terperangkap di dalam lubang 1.8 meter x 0.7 meter x 4 meter yang gelap untuk selama-lamanya (sehingga hari kebangkitan)? Aku kira ini tidak lucu! Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini.

Isteri jiran saya menghampiri saya. Ia meletakkan tangan kanannya di atas bahu kiri saya sementara tangan kirinya sekarang berada di atas pinggang saya. Ia mengajak saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - bunyi muzik dibesarkan lagi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk isteri jiran saya ini tetapi di dalam sebuah bilik yang ada orang mati di dalamnya saya tidak pula sampai hati hendak melakukan sesuatu yang kurang adab. Walau macam mana pun saya terpaksa juga berdansa dengan isteri jiran saya ini keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - bunyi muzik dibesarkan lagi.

"Kami menyambut kelahiran dengan kedukaan dan menyambut kematian dengan keriangan," bisik isteri jiran saya ke kuping telinga saya. "Lahir ke dunia yang rosak ini adalah satu malapetaka bagi kami - tapi dunia ini sangat-sangat menyintai kita jadi kita buat sementara waktu terpaksa juga mencintai dunia ini. Apa yang dapat kita buat di dalam keadaan seperti ini selain daripada menyintai atau belajar menyintai mati. Kerana inilah kami semakin tua semakin gembira - kami telah belajar menyintai mati."

Ia menyentuh kuping telinga saya dan menghidunya. "Kuping telinga saudara berbau harum!"

Ia terus membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus bersorak-sorak, terus bersiul-siul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - muzik ditukargantikan dengan yang lebih rancak daripada yang tadi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk dibawa berdansa isteri jiran saya ini (Love thy neighbour's wife?) keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus saja bersorak-sorak, bersiul-siul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - bunyi muzik dibesarkan lagi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan namun saya tetap berpendapat ada yang tidak betul dengan jiran dan isteri jiran saya ini yang sekarang membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - bunyi muzik dibesarkan lagi. Saya memberanikan diri bertanya kepadanya tidakkah mereka seperti kumpulan-kumpulan cults yang akhirnya akan melakukan upacara bunuh diri beramai-ramai. Ia menerangkan bahawa walaupun mati dan bunuh diri itu sama pada akhirnya tetapi ia berbeza seperti langit dengan bumi. Bunuh diri satu kekalahan, mati selepas hidup yang penuh adalah satu kemenangan.

"Kerana itu kami berusaha untuk hidup lama dan mati kerana tua atau mati atas sebab-sebab yang natural. Mentua saya itu telah menjalani hidup yang penuh dan matinya adalah satu kemenangan yang besar."

Ia membawa saya berdansa menghampiri meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati dan memang muka mayat mentuanya ini kelihatan gembira, bibirnya masih di dalam keadaan senyum, isteri jiran saya terus membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari - bunyi muzik dibesarkan lagi kemudian isteri jiran saya menghidu kuping telinga saya.

"Telinga saudara berbau harum!" katanya. "Saya suka telinga saudara."

Dari jendela sebelah kiri ini saya dapat melihat ke halaman rumah jiran saya. Tidak ragu lagi mereka boleh melihat saya melihat ke halaman rumah mereka - saya melihat anak-anaknya yang masih berumur di antara lima ke dua belas tahun bermain-main (?) - mereka kesemuanya kelihatan serius - jika ingatan saya betul, saya tidak pernah mendengar kanak-kanak ini ketawa semasa bermain-main.

Selama lapan tahun tinggal di sini - anak saya sudah ada enam orang - ketika bermain mereka ini selalunya ketawa. Sekarang saya melihat ke luar dari jendela sebelah kiri ini, melihat dua pohon pokok kemboja yang lebat bunganya di kiri kanan luar pintu pagar rumah jiran saya, saya juga terlihat anak-anak jiran saya yang kecil-kecil semuanya berpakaian serba hitam. Mereka sedang megesat mata dengan perca hitam. Mungkin mereka sedang menangis. Kelmarin kira-kira pukul sepuluh malam saya terdengar ada raungan dari rumah mereka diikuti oleh tangisan anak kecil. Raungan ini kemudian semakin menjadi-jadi. Benar-benarlah mereka menangis agaknya pastilah isteri jiran saya melahirkan anak lagi dan cara mereka menangis pastilah bukan seorang anak, mungkin saja anak kembar ("Kami menyambut kelahiran dengan kedukaan dan menyambut kematian dengan keriangan.") Kemudian saya terdengar bunyi muzik riang perlahan-lahan mula dimainkan kemudian semakin besar dan semakin nyaring. Sekarang sudah kedengaran suara orang menyanyi. Kemudian saya ternampak anak jiran saya menunggang basikal kecilnya menuju ke rumah saya ini membawa sekeping kad.

Saya cepat-cepat turun membuka pintu depan. Anak jiran saya berdiri di depan pintu. Bibirnya tersenyum lebar. Pakaian hitamnya sudah ditukar kepada pakaian yang lebih cerah namun masih ada sedikit kesan airmata di kelopak matanya. Ia menghulurkan kad jemputan kepada saya.

"Bapa jemput datang malam ni," katanya. "Ibu dapat menang lahir dua adik."

Saya...