UDI3052 Pembangunan dalam Islam (BAB 7)

Muka Hadapan Sumber Terbuka Artikel Subjek UDI 3052

Pengenalan

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berkan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." (Surah al-Baqarah : ayat 172). Allah swt telah menerangkan  bahawa Dia telah menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk faedah dan manfaat semua manusia. Islam tidak benci keduniaan, naluri atau alam semulajadi. Islam bukannya anti pembangunan dan akhlak juga bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan sola-soal pembangunan dan keduniaan. Oleh itu, sungguhpun Islam memberikan ruang kepada manusiamencapai kesenangan dan kejayaan di dunia, usaha mengejar kemewahan dunia tidak boleh dipisahkan dari aspek akhlak yang bertindak selaku mengawas, demi mengelakkan kerosakan kepada manusia itu sendiri.

Dalam menuju abad ke21 ini, dunia Islam melalui pembangunan semula dan mulai mendapat perhatian dunia. Begitulah juga satu kesedaran baru Islam d negara kita termasuk di kalangan para pemuda kita mulai meningkat. Walaupun negara kita Malaysia telah menerima ISlam sejak beberapa abad yang lampau, namun oleh kerana peredaran masa dalam beberapa dekad ini ditambah pula dengan pencemaran budaya dan tamadun barat  yang banyak menyimpang menyebabkan fahaman masyarakat dan pentadbiran negara telah mengalami kepincangan dan kemuraman. Jadi tidak keterlaluan ditegaskan di sini bahawaberlakunya kerosakan di muka bumi Allah ini.

Sebaliknya, jika didalami Islam ini, Allah telah memberikan amaran kepada golongan yang melakukan kerosakan dalam firmanNya yang bermaksud : "...dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan." Oleh itu, untuk mengembalikan semula kedaulatan negara dan umat Islam, maka tidak ada pilihan lain selain dari kembali kepada ajaran Islam yang maha suci dan lurus ini. Ini telah ditegaskan oleh Allah swt melalui firmanNya yang bermaksud : "Telah menjadi nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya dengan itu Allah menjadikan mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang sebenarnya." Islam ialah salah satu tenaga dunia hari ini yang progresif, yang berdaya saing dan yang bercorak kemanusiaan serta boleh memberikan sumbangan besar kepada kemajuan, perpaduan dan keamanan dunia. Dalil yang menunjukkan Islam menggalakkan perpaduan adalah menerusi firman Allah yang bermaksud : " Dan bersepadulah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai."


Konsep Pembangunan dari Perspektif Islam

Apabila disebut sahaja pembangunan, di kepala kita akan terlintas pertumbuhan ekonomi, modenisasi, industrialisasi, hak-hak asasi dan persekitaran. Secara umumnya inilah merupakan definisi pembangunan yang dikatakan pada hari ini. Pembangunan dalam Islam boleh ditakrifkan sebagai menerima pembangunan asing, barat dan timur yang dimanfaatkan oleh masyarakat dan menolak apa-apa yang berbahaya berteraskan kepada nilai-nilai hidup Islam. Menurut Muhammad Akhir dan Hailani dinyatakan bahawa "Pembangunan dalam Islam adalah berlandaskan kepada orientasi nilai dengan perhatian untuk meningkatkan kebajikan umat Islam dari semua aspek moral, kebendaan dan kerohanian untuk mencapai keselamatan dan kedamaian hidup di dunia dan akhirat".

Jika kita menyelami model pembangunan yang berteraskan ekonomi sekular, moral, kerohanian dan agama dianggap berasingann daripada kegiatan ekonomi, politik, sosial dan budaya. Nilai moral, kerohanian dan agama diberikan penilaian yang rendah berbanding dengan perkara-perkara lain. Dengan kata lain, Barat lebih menekankan unsur ekonomi sebagai penggerak dan matlamat pembangunan mereka. Sebaliknya aspek kerohanian diketepikan dan Pencipta dianggap tidak mempunyai peranan dalam pembangunan manusia.

Ini amat berbeza dengan konsep pembangunan yang cuba diterapkan oleh Islam kerana menurut Islam, pembangunan adalah sebahagian daripada Islam itu sendiri. Pembangunan dalam Islam adalah keupayaan bersama untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya sama ada di dunia mahupun di akhirat dalam satu proses yang harmonis dan dinamis. Fokus utama dalam pembangunan Islam adalah pembangunan insaniah manusia itu sendiri. Pembangunan yang cuba diketengahkan oleh Islam adalah pembangunan yang datangnya dari kesedaran yang tinggi dari umatnya yang saling bekerjasama dan bukannya datang daripada satu kelompok yang kecil.

Di samping itu, pembangunan ini juga haruslah mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat secara keseluruhannya dari segi zahir dan batin. Sekali lagi ingin ditegaskan di sini, konsep pembangunan yang cuba diketengahkan oleh Islam adalah untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Pembangunan dalam Islam hendaklah ditangani secara bertahap dan hikmah. Malah Islam itu sendiri amat mementingkan sesuatu perkara dilakukan secara hikmah. Ini jelas difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud  : "Serulah kepada jalan Tuhanmu (Muhammad) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui orang yang akan sesat daripada jalannya. Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah."

Pembangunan dalam Islam hendaklah dijalankan secara dua tahap iaitu peringkat pembangunan kerohanian dan satu lagi ialah pembangunan peringkat fizikal. Pembangunan pada perigkat kerohanian merupakan pembangunan yang paling asas dalam Islam. Akal dan jiwa manusia perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum sesuatu pembangunan fizikal dilakukan. Ini adalah bagi melahirkan insan yang mempunyai pemikiran yang bersih, suci dan pekerti mulia. Tumpuan utama pendekatan Islam adalah ke atas kejiwaan, moral dan etika-etika pembangunan yang mencakupi masa yang amat panjang dan mereka amat prihatin terhadap proses pembangunan Islam. Proses pembangunan bermula dengan moral, spiritual dan perkembangan mental manusia yang akan menjadi agen perubahan yang aktif dan bertanggungjawab menentukan kejayaan dan kegagalan hidupnya sama ada di dunia ataupun di akhirat.

 

Skop Pembangunan Menurut Islam dan Barat

Pembangunan adalah mewujudkan kehidupan yang selesa atau sejahtera bagi manusia. Kehidupan yang selesa atau sejahtera bagi manusia adalah kehidupan yang memenuhi keperluan atau hajat manusia. Skop pembangunan dalam Islam meliputi kedua-dua aspek iaitu Rohani dan Jasmani kerana manusia terdiri daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Untuk memenuhi keperluan jasmani, manusia memerlukan pembangunan dari segi fizik yang dapat memenuhi keperluan manusia yang berbentuk material seperti makan, minum, tempat tinggal, pengangkutan dan kemudahan-kemudahan lain. Manakal untuk keperluan rohani manusia memerlukan pembangunan dari segi mental dan akhlak. Kedua-dua aspek tersebut amat penting kerana kalau hanya mementingkan keperluan material sahaja tidak akan dapat menjamin keselesaan hidup begitulah juga sebaliknya.

Kekayaan sesuatu negara dari segi kebendaan atau material semata-mata tidak menjamin keselesaan hidup jika tidak disertai dengan ketinggian moral atau akhlak. Iaitu tanpa sebarang kezaliman atau penganiayaan, bebas dari perasaan takut dan tekanan jiwa, kebebasan berfikir dan berpendapat dan sebagainya yang merupakan asas bagi ketenangan, ketenteraman dan harga diri manusia. Kita tidak akan merasa selesa, aman dan sejahtera meskipun dalam keadaan fizikal (material) yang cukup sekiranya dalam masyarakat terdapat anggota yang hilang maruah, moral apatah lagi jika terdapat perasaan saling membenci, permusuhan, tamak, kezaliman dan sebagainya.

Di samping itu, segala keperluan kebendaan yang pada pandangan kita sudah cukup memenuhi keperluan, tetapi keperluan atau keinginan yang lain pula akan muncul dan begitulah seterusnya. Sehingga manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang sudah diperolehinya kerana nilai kebendaan tersebut bersifat relatif atau fleksibel dan akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Hanya keimanan terhadap Allah yang merupakan fungsi dan matlamat yang boleh menimbulkan perasaan syukur serta dapat memberikan ketenangan dalam jiwa manusia. Oleh itu, pembangunan yang diinginkan oleh Islam adalah pembangunan yang seimbang dan mengarah kepada mewujudkan kemakmuran dari aspek material dan ketinggian moral atau akhlak manusia.

 

Ciri-ciri Pembangunan Islam

Pembangunan yang disyariatkan dalam Islam adalah pembangunan yang boleh memberi kesan kebaikan kepada manusia. Perlaksanaannya adalah menyeluruh dan merangkumi segala aspek kehidupan seperti moral, kerohanian dan kebendaan (berkaitan ekonomi, soaial dan akhirat). Pembangunan jenis ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keadilan pada manusia. Matlamat akhir yang hendak dicapai adalah menjamin kualiti kehidupan manusia sebagaimana sabda Rasulullah saw iaitu : "Dari Abi Tha'labah al-Khusyani bin Nasyir r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu meninggalkannya, dan telah menentukan beberapa batas, maka janganlah kamu melampauinya, dan telah diharamkan beberapa perkara maka janganlah kamu melanggarnya, dan Ia telah diam dari beberapa perkara sebab rahmat bagimu bukan kerana lupa maka janganlah kamu membahaskannya."

 

Panduan Dalam Pembangunan

Islam telah menetapkan beberapa garis panduan dalam melaksanakan pembangunan yang diredha Allah iaitu:

Pertama : Kita tidak boleh melupakan tugasyang telah diwajibkan ke atas kita oleh Allah Ta'ala iaitu tidak meninggalkan perintah yang telah diwajibkan seperti mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat atau membelanjakan harta benda ke jalan Allah, melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta lain-lain ibadah sama ada ibadah umum atau ibadah khusus.

Kedua : Dalam melaksanakan pembangunan, kita tidak boleh melupakan bahawa kedudukan kita adalah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi dan segala apa yang kita miliki adalah hak Allah dan apa yang kita miliki itu hanyalah pinjaman semata-mata. Manusia adalah makhluk yang diberi kepercayaan oleh Allah untuk mentadbir atau membangunkan milik Allah. Maka kita tidak boleh mentadbir melainkan dengan cara-cara dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah swt . Semua arahan tersebut terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah, iaitu menjalankan pembangunan dengan cara yang tidak merosakkan muka bumi dan memelihara alam yang diamanahkan dari sebarang kerosakan dan pencemaran sebagaimana yang telah berlaku pada hari ini.

Ketiga : Dalam melaksanakan tugas-tugas pembangunan, kita mesti menanamkan nilai-nilai agama dan akhlak iaitu melaksanakan tugas tersebut bukan dengan cara yang buruk dan bercanggah dengan syariat, menjauhkan perbuatan penganiayaan dan kezaliman atau peniuan dan lain-lain. Ini kerana pembangunan yang demikian tidak diredhai oleh Allah swt dan tidak dianggap sebagai ibadah malah dianggap sebagai maksiat.

Keempat : Kita hendaklah menjadikan pembangunan itu sebagai sumber kekuatan dan bukan sebagai sumber kelemahan. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud : "Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan sesudah mereka zuriat (anak-anak) yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar." Contohnya jika kita memiliki pembangunan yang dibawa oleh kuasa asing yang mana mereka menjadikan kita sebagai alat untuk mengugut atau memaksa kehendak mereka ke atas kita dan menjadikan diri kita sebagai kerbau yang dicucuk hidung. Dengan berbuat demikian kita akan meninggalkan zuriat dan anak cucu kita dalam keadaan lemah kerana menjadi tenaga kerja yang berada dalam genggaman orang asing (Yahudi dan Nasrani) dan terpaksa tunduk serta taat kepada perintah dan kehendak mereka sehingga sanggup menjual agama dan maruah sebagaimana yang berlaku hari ini.

Kelima : Kita harus memastikan bahawa pembangunan tersebut mencapai tujuan dan matlamat yang berdasarkan hukum-hukum syara' dan nilai-nilai akhlak yang diperintah oleh Allah swt. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kepimpinan mestilah berada di tangan orang-orang yang memenuhi syarat iaitu yang mempunyai ilmu dan pengalaman yang diperlukan selain taat kepada Allah, memahami hukum hakam dan segala tuntutan syariat, bertaqwa, jujur, wara', adil dan lain-lain sifat yang tidak akan menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi tetapi sebaliknya untuk kepentingan semua.

Berdasarkan kelima-lima panduan tadi, jelaslah kepada kita bahawa Islam tidak mengharamkan pembangunan malah Islam menetapkan beberapa panduan agar kita tidak melanggar batasan syarak apatah lagi meninggalkan agama dan akhlak dalam menjalankan pembangunan. Sebagaimana kita lihat apa yang dilakukan oleh Barat, mereka menjalankan pembangunan dengan mengenepikan nilai-nilai moral dan agama mereka sendiri. Mereka berpendapat bahawa "Jika kita ingin maju dalam pembangunan maka kita mesti menyingkirkan nilai-nilai agama dan moral." Mereka mengatakan bahawa selagi seseorang berpegang dengan nilai-nilai moral dan keagamaan maka seseorang itu tidak akan maju. Inilah yang merosakkan masyarakat malah bangsa mereka itu sendiri kerana di sebalik kemajuan, mereka berselindung dengan gejala-gejala dan kemusnahan yang sebenarnya menghancurkan mereka.

 

Pembangunan Yang Diharamkan Islam

Pembangunan yang diharamkan dalam Islam ialah pembangunan yang mendatangkan kesusahan kepada manusia. Pembangunan jenis ini berdasarkan kepada kebendaan semata-mata. Contoh kesusahan yang terhasil dari pembangunan yang diharamkan ialah memberi kezaliman kepada manusia, mengancam kesejahteraan sejagat, menjadikan manusia lupa tanggungjawab sebagai khalifah dan lain-lain.

Sesiapa manusia yang menganjurkan pembangunan yang diharamkan ini akan diberi dendaan atau dosa dan sesiapa yang membantu menganjurkannya pula digolongkan sebagai subahat dan dosanya sama berat dengan dosa penganjur. Contohnya membina rumah judi, pelacuran, hiburan dan lain-lain adalah berdosa dan pembinaan kemudahan-kemudahan ke pusat-pusat tersebut juga adalah berdosa. Ini adalah sebagaimana hadith Nabi Muhammad saw iaitu :

"Dari Abi Abdillah bin Basyir r.a. telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan sesuatu yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya itu ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa yang menjaga dirinya dari perkara-perkara yang samar-samar itu maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh ke dalam melakukan perkara yang haram itu maka ianya diibaratkan seperti penggembala di sekeliling tanah larangan dan lambat laun ianya akan memasukinya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkanNya."

 

Prinsip Pembangunan Islam


Apabila kita memikirkan tentang pembangunan negara, secara automatik kita akan terfikir kepada masyarakat dan juga kepimpinannya. Meskipun kepimpinan merupakan tunjang kepada pembangunan sesebuah negara, namun kita tidak boleh memperkecilkan tanggungjawab dan peranan umat Islam yang bermastautin dalam sesebuah negara Islam itu sendiri. Peranan dan tugas mereka cukup besar. Ini kerana tanpa sumbangan mereka, pembangunan yang ingin dimiliki tidak akan menjadi kenyataan. Umat Islam adalah aset penting dalam membangunkan sesebuah negara Islam mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Rasulullah saw dalam usahanya menegakkan negara Islam di Madinah iaitu selepas hijrah, Baginda telah membina tapak yang teguh bagi negara Islam dan mewujudkan tiga bentuk hubungan yang penting iaitu :

1. Hubungan dengan Allah swt.

2. Hubungan sesama umat Islam.

3. Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan negara bukan Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam.

Berdasarkan hubungan yang telah direncanakan oleh Rasulullah saw tersebut, jelas bahawa selain dari hubungan dengan Allah, hubungan sesama umat Islam juga menjadi asas utama dalam pembentukan sebuah negara Islam. Hubungan tersebut menjadi satu ikatan yang boleh memperkuatkan lagi benteng yang telah dibina. Ini oenting untuk mempertahankan negara dan agama Islam dari diancam dan dimusnahkan oleh musuh-musuh Islam yang sudah pasti tidak senang apabila melihat Islam membangun dan kuat. Allah swt telah berfirman yang bermaksud : "Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan jangnlah pula berpecah belah."

Umat Islam merupakan pemangkin kepada sesebuah negara Islam. Tidak kiralah dari golongan dan pangkat apa sekalipun. Setiap individu dalam masyarakat itu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Di antara tanggungjawab yang dimaksudkan di sini ialah tanggungjawab dalam memberi sumbangan kepada proses pembangunan dalam apa bentuk sekalipun, sama ada dari segi fizikal, material ataupun intelektual. Sebagai contoh, golongan intelek atau cendekiawan boleh menyumbangkan idea dan kepakaran mereka untuk membentuk pembangunan selain dari ilmu untuk tatapan golongan lain bagi memandu ke arah kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

Untuk menuju ke arah pebangunan mengikut ajaran Islam, setiap individu muslim dalam masyarakat Islam itu sendiri [erlulah mempersiapkan diri dengan ilmu dan akhlak yang mulia. Jika diri setiap individu telah dipenuhi dengan akhlak yang baik maka secara totalnya perhubungan sesama manusia akan menjadi baik. Secara automatik setiap umat Islam akan tahu tanggungjawab mereka kepada ibu bapa, saudara maranya, jiran tetangganya dan lain-lain lagi. Seterusnya kan membentuk sikap suka menolong orang, cinta kepada Allah, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan. Seandainya perkembangan akhlak telah baik maka perhubungan persaudaraan juga menjadi baik. Maka keadaan sesebuah negara akan juga menjadi baik dan sempurna. Ini akan membawa kepada kesejahteraan negara dan kepesatan pembangunan  negara yang maju mengikut acuan Islam yang sempurna.

Dalam pembentukan umat Islam yang berjaya dan sekaligus membantu ke arah pembangunan, selain individu sepertimana yang telah dibincangkan tadi, institusi keluarga juga memainkan peranan penting. Keluarga merupakan institusi kecil yangg akan menunjangi atau yang akan mencorak sesebuah masyarakat Islam. Di antara ciri-ciri keluarga yang digariskan oleh Islam ialah :

1. Keluarga yang sihat, dinamik, cergas dan mampu melahirkan insan yang bersih rohani dan jasmaninya.

2. Keluarga yang terdidik dengan nilai-nilai agama dalam semua aspek kehidupan.

Di sini dapat kita lihat bahawa setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi membentuk keluarga yang cemerlang tidak kiralah anak, ibu mahupun bapa. Jika mengikut prinsip etika keluarga, tanggungjawabb adalah secara menyeluruh diletakkan di atas bahu ketua keluarga iaitu bapa, tetapi lebih baik sekiranya setiap individu dalam keluarga itu memahami tanggungjawab masing-masing agar bebanan yang dipikul oleh bapa menjadi lebih ringan.

Apa yang ingin dijelaskan di sini bahawa setiap umat Islam mempunya peranan tersendiri yang mana Islam lebih menitikberatkan pembangunan rohani sebelum menuju kepada pembangunan material. Pembangunan material akan lebih sempurna dan efektif sekiranya akhlak dan kerohanian setiap umat Islam mampan. Ini termasuklah pemahaman segala aspek yang dipentingkan oleh Islam dalam membentuk negara Islam yang embangun contohnya seerti memahami politik yang berteraskan Islam, perniagaan, perbankan, ekonomi,pentadbiran, sosial, pendidikan, kebudayaan, perlembagaan, undang-undang dan sebagainya.

 

Matlamat Pembangunan Dalam Islam

Dalam Islam, pembangunan mempunyai beberapa matlamat penting yang mana jika dikaji dengan terperinci, kesemua matlamat tersebut akan membawa manusia ke arah satu tamadun yang lengkap, aman dan damai manifestasi daripada ajaran Islam itu sendiri. Matlamat-matlamat tersebut adalah seperti berikut :

1. Pembangunan Peribadi dan Keupayaan Manusia : Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, Islam mengajar manusia ke arah membentuk watak dan sikap yang betul menerusi pendidikan, kepimpinan dan lain-lain yang berdasarkan nilai-nilai Islam. Jika seseorang itu patuh sepenuhnya kepada ajaran Islam dan menjadikan Islam itu sebagai 'The Way of Life', maka segala amalan yang dilakukannya tidak akan bercanggah dengan larangan-larangan yang telah ditetapkan. Dari sini dapat dilihat bahawa pembangunan peribadi dapat menigkatkan lagi keupayaan manusia seterusnya dapat menyumbangkan tenaga dan buah fikiran yang bersih dan mantap ke arah membangunkan negara Islam mengatasi negara-negara lain di dunia. Firman allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, sesungguhnya Allah  Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

2. Menghasilkan Keluaran yang Berguna : Keluaran berguna yang dimaksudkan oleh Islam adalah makanan dan benda-benda asasi yang lain, keluaran untuk pertahanan Islam dan barang-barang untuk kegunaan sendiri. Satu perkara yang paling penting dititikberatkan oleh Islam terhadap bahan-bahan keluaran yang dihasilkan tersebut ialah ianya mesti mampu dibeli oleh orang-orang miskin dan berpendapatan rendah. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud : "(Oleh itu) kekayaan ini janganlah hanya dikuasai oleh segelintir manusia..."

3. Meningkatkan Kualiti Kehidupan : Islam mementingkan kesejahteraan sama ada dalam bidang ekonomi, soaial mahupun politik. Kesejahteraan ini adalah gambaran kualiti kehidupan umat Islam. Kualiti kehidupan ini boleh dicapai dengan tiga cara iaitu :

  • Mewujudkan peluang pekerjaan mengikut pengubahsuaian institusi, teknologikal, pelaburan dan pendidikan.
  • Melaksanakan jaminan sosial secara meluas khususnya kepada golongan yang tidak dan kurang berupaya. Matlamat ini boleh dicapai dengan sistem zakat.
  • Pengagihan pendapatan dan harta wajib dilakukan secara adil supaya dengan ini boleh merapatkan jurang ketaksamaan yang berlaku di kalangan masyarakat.

4. Mencapai Pembangunan yang Seimbang : Islam menganjurkan pembangunan tanpa bersyarat kepada sempadan (desa atau bandar), taraf hidup (miskin atau kaya) dan lain-lain. Tujuannya supaya dapat mengelakkan ekonomi dualisme dan dapat mengeratkan perpaduan.

5. Membangunkan Teknologi yang Sesuai : Islam juga mementingkan pembangunan teknologi. Teknologi yang ingin dibangunkan itu mestilah sesuai dengan persekitaran tempatan iaitu sesuai dengan keperluan atau aspirasi negara Islam. Islam menggalakkan merekacipta, memperbaiki dan mengubahsuai teknologi yang ada kepada teknologi yang lebih canggih.

6. Mengurangkan Pergantungan dengan Negara Luar : Pergantungan dengan negara Barat banyak merugikan negara itu sendiri. Sistem kapitalisme yang dicipta oleh Barat boleh meruntuhkan bukan sahaja sistem ekonomi Islam, malah politik dan sosial juga terlibat. Oleh itu negara Islam perlu meningkatkan integrasi menerusi :

  • Meningkatkan kebebasan ekonomi.
  • Meningkatkan rasa hormat diri sendiri.
  • Memperkuatkan negara Islam

Ketiga-tiga matlamat di atas pula dapat dicapai dengan cara :

  • Menghentikan penerimaan modal dari Barat
  • Menggunakan pendekatan 'multi-objective' supaya ke arah 'problem-oriented'.
  • Meningkatkan penyelidikan yang ideal dan berfaedah kepada Islam.
  • Meningkatkan semangat tolong menolong di kalangan umat Islam.

7. Mengintegrasikan Pembangunan Moral, Kerohanian dan Agama dengan Pembangunan Kebendaan : Pembangunan Islam mengamalkan hasanah fid dunya, hasanah fil akhirah atau bermaksud kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Islam tidak memisahkan antara pembangunan untuk dunia dan juga akhirat sebagaimana yang telah kita bincangkan dalam pelbagai bab dahulu bahawa Islam menerapkan keseimbangan dalam segala perkara tidak kira aspek apa sekalipun begitulah juga dalam konsep pembangunan. Oleh itu, pembangunan yang disyariatkan oleh Islam adalah pembangunan yang bertunjangkan aspek pembangunan rohani dan jasmani.



Ringkasan tajuk ini.