UDI3052 Etika Kerja Dalam Islam (BAB6)

Muka Hadapan Sumber Terbuka Artikel Subjek UDI 3052

Konsep Kerja Menurut Pandangan Islam

Majoriti manusia menghabiskan masa dewasanyatiga puluh tahun atau lebih untuk bekerja selama lapan jam sehari dalam dunia pekerjaan. Dan adalah salah sekiranya berpegang kepada hakikat bahawa pekerjaan merupakan beban yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Terdapat bukti yang jelas bahawa manusia memerlukan pekerjaan malah pekerjaan merupakan salah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari nabi Adam as hingga ke zaman kini, manusia menjadikan pekerjaan sebagai sebahagian besar daripada pusingan hidup mereka. Sememangnya pekerjaan menjadi gelanggang tempat manusia berjuang dan bresaing sebagai salah satu proses memajukan diri dan menyambung usia hidup.

Dalam Islam, pekerjaan mempunyai taraf kemuliaan yang tinggi yang tidak ada tolok bandingnya dengan agama dan juga kebudayaan lain. Islam memandang tinggi setiap pekerjaan yang diakui sah dari segi hukum sebagaimana penghormatan yang diberikan oleh Rasulullah terhadap pengikutnya yang pernah mengajukan soalan kepada baginda yang bermaksud : "Hai Rasulullah, apakah pendapat tuan mengenai kerja saya? Baginda bertanya : Apakah pekerjaan kamu? Jawab orang itu : Pembuat pukat. Lalu baginda bersabda : Pekerjaan kamu adalah pekerjaan bapa kita nabi Adam as. Ia adalah orang yang pertama menjalin pukat yang diajar oleh Jibril."

Penegasan Islam tentangnya pentingnya pekerjaan dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah saw yang akan dijadikan landasan perbincangan dalam bab ini. Allah swt berfirman yang bermaksud : :" Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasulnya serta orang orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu lerjakan". (Surah at-Taubah ayat 105). Menurut penjelasan Sunnah Rasulullah saw bahawa kesemua para Nabi as biarpun tinggi darjat mereka, mereka telah menjadikan pekerjaan sebagai landasan hidup masing-masing. Adam telah mengambil bahagian dalam pertanian, Nuh dalam perniagaan, Daud dalam pertukangan besi, Musa dalam penulisan, Zakaria sebagai seorang tukang kayu dan begitulah juga para nabi selain mereka.

 

Konsep Kerja Sebagai Ibadah

Pertama : Pekerjaan hendaklah yang dihalalkan syarak. Pekerjaan hendaklah bukan yang haram seperti menjual arak, membawa lori arak, jual dadah, pusat hiburan sebab bergelut dengan maksiat. Pekerjaan yang baik ialah pekerjaan seperti tukang sapu, doktor, guru dan sebagainya.

Kedua : Diiringi dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah. Niat yang baik bermaksud niat untuk menyara diri, keluarga, memberi manfaat kepada ummah serta membangunkan bumi (negara) menerusi cara-cara yang diizinkan oleh syarak. Lantaran itu pekerjaan yang dilakukan hendaklah bersih daripada segala campuran dengan sifat-sifat ingin menonjol, ingin disanjung, dipuja dan lain-lain sifat riak dan sombong. Penegasan Islam ialah kepada kesempurnaan tugas, kejujuran dan keikhlasan niat mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Rasulullah saw pernah bersabda ang bermaksud : "Sesungguhnya suatu pekerjaan itu bergantung atau dikira pada niatnya."

Ketiga : Melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, tekun dan sebaik-baik mungkin. Kesungguhan bekerja dan menyempurnakan amanah dalam lingkungan kepakaran dan kecekapan ini dituntut oleh Islam dan hal ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah itu suka jika seseorang daripada kamu membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan sebaik-baiknya." Manusia dijadikan oleh Allah swt untuk bekerja dan bekerja kerana Allah itu adalah suatu perhambaan kepadaNya. Orang Islam mesti berusaha bersungguh-sungguh dan melipat gandakan usaha mereka untuk meningkatkan produktiviti dan keimanan mereka. Allah akan memberikan balasan yang berlipat ganda kepada mereka yang melakukan pekerjaan dengan sebaik-baiknya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan yang baik dari apa yang telah mereka kerjakan."

Keempat : Menjaga batas-batas Allah swt dan menghormati dasar-dasar akhlak dengan tidak melakukan kezaliman, pengkhianatan, penipuan, melampaui hak orang lain termasuk penyalahgunaan kemudahan, peluang, harta dan kuasa. Syariat Islam diturunkan untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jika kelima-lima faktor ini dijaga maka kepincangan tidak akan berlaku sama ada di dunia Barat mahupun Timur.

Batas-batas Allah swt dan dasar-dasar akhlak ini diturunkan agar sesuatu pekerjaan itu dilakukan atas prinsip-prinsip kemanusiaan dan peradaban semoga yang dilakukan dapat menyumbangkan kebajikan dan perkhidmatan yang maksima di samping dapat meningkatkan produktiviti organisasi.

Sebaliknya jika kerja-kerja yang dilakukan dan diusahakan atas dasar penipuan, kezaliman, penyelewengan, pemerasan dan sebagainya maka sudah pastilah tidak dapat mencapai kepada matlamat untuk meningkatkan martabat pekerjaan itu daripada adat kebiasaan bekerja seharian kepada martabat ibadah yang disediakan oleh Allah ganjarannya di akhirat nanti.

Kelima : Pekerjaan yang dilakukan itu tidak menghalang pekerjanya daripada menunaikan kewajipan kepada Allah swt. Ini termasuklah mengabaikan kewajipan terhadap ibadat khusus seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji. Penyusunan giliran dan masa bekerja yang boleh mencuaikan kewajipan pokok kepada Allah swt adalah suatu perkara yang bertentangan dengan syariat Allah swt. Antara sifat mereka yang beriman adalah seperti yang digambarkan oleh Allah swt ialah seperti yang difirmankan.


Matlamat Kerja Dalam Islam

Dalam Islam, kerja membawa pengertian yang lebih luas daripada bukan setakat aspek ekonomi semata-mata. Matlamat sesuatu pekerjaan mengikut falsafah Islam tidak mengutamakan keseronokan, kesenangan dan keselesaanyang dapat memenuhi segala keinginan hawa nafsu yang tidak terbatas, tetapi yang ditekankan ialah sesuatu pekerjaan yang dapat membawa manusia memenuhi tuntutan Allah ke atas dirinya sebagai hamba. Firman Allah swt yang bermaksud : "Dia yang menjadikan bumi untukmu dengan mudah kamu jalani, maka berjalanlah kamu beberapa penjurunya dan makanlah rezeki Allah, dan kepadaNya (kamu) berbangkit." Dan firmanNya : "Di antara rahmatNya, ialah mengadakan untukmu malam dan siang supaya bersenag-senang pada waktu malam hari dan mencari kurniaNya (penghidupan siang hari), mudah-mudahan kamu bersyukur kepadaNya."

Islam melarang pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk pekerjaan itu atau mengumpulkan kekayaan sebanyak-banyaknya tanpa mengambil kira tuntutan agama ke atas harta yang dikumpulkan. Dalam hubungan ini, di antara matlamat pekerjaan ialah agar tertunai tuntutan zakat yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi Islam dan sebagai amalan mujahid atau berkorban. Jelas kepada kita bahawa Islam mahu supaya wujud kesepaduan atau integrasi di antara kerja dan ibadat, dunia dan akhirat, jasmani dan rohani. Firman Allah swt ang bermaksud : "Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan (di muka bum). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan."

Bertolak dari konsep kesepaduan ini, Islam menekankan bahawa pengendalian sesuatu kerja sama ada kecil atau besar, berat atau ringan mestilah meletakkan Allah Rabbul Alamiin sebagai asas kesempurnaan. Ini berasaskan kepada kehendak semulajadi insan itu sendiri seperti yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud : "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk (menyembah) beribadah kepadaku." Umat Islam juga melafazkan : "Kepadamu kami menyembah dan kepadamu kami meminta pertolongan."

Umat Islam juga bersumpah "bahawa sesungguhnya hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam." Iaitu ulangan yang kita sebut sekurang-kurangnya lima kali sehari semasa mendirikan sembahyang. Oleh itu, tepat sekali bahawa setiap pengendalian hidup ini berkait terus dengan Allah swt dan kepadanya diserahkan segala keputusan sama ada berjaya atau gagal. Walau apapun keputusanNya nanti,manusia perlu bersyukur dan seterusnya menerima tanpa putus asa.

Islam meletakkan matlamat bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri dan keluarga dalam kategori amal jihad sebagaimana jihad memperjangkan dan mempertahankan agama Islam. Oleh itu Islam meletakkan amalan pekerjaan (untuk menampung keperluan diri dan keluarga) sejajar dengan amalan tersebut sepertimana firmanNya yang bermaksud : "Dan yang lain akan berpergian di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah manakala yang lain pula berjihad (berjuang) di jalan Allah."

Islam mewajibkan setiap muslim bekerja untuk menghasilkan manfaat pada dirinya sendiri dan masyarakat. Ia bebas memilih pekerjaan yang disukainya mengikut persediaan dan keperluannya berdasarkan kecenderungan, kebolehan, kepakaran dan bakat dalam menghasilkan kekuatan ekonomi bagi kehidupannya dan masyarakat sekaligus untuk menjamin kelangsungan generasi manusia di alam ini. Oleh sebab itu Islam memberi peluang pekerjaan kepada semua individu dengan menjamin kebebasan untuk memilih pekerjaan.

Pekerjaan dalam Islam merupakan kewajipan masyarakat yang dihubungkan dengan prinsip-prinsip akhlak yang mulia, bertaut dengan ibadah dan untuk mencari keredhaan Allah. Pekerjaan menghubungkan individu dengan kehidupan bermasyarakat sehingga dapat dirasakan peranan mereka, dapat mempertingkatkan ketinggian akhlak individu dalam menghasilkan hubungan yang erat sesama mereka, menyuburkan perasaan kasih sayang, hormat menghormati hingga sanggup berkongsi suka duka, kesusahan dan kesenangan.

 

Etika Kerja Islam

Etika merupakan ilmu berkenaan prinsip moral atau nilai akhlak atau tingkah laku yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Setiap organisasi mempunyai etikanya tersendiri yang tidak sama dengan organisasi lain. Prinsip moral dan kesedaran akhlak ini tidak boleh dicapa i oleh seseorang tanpa menjalin perhubungan sosial dengan orang lain. Budaya kerja dalam Islam merujuk kepada satu set nilai atau sistem kepercayaan yang dititip daripada al-Quran dan as-Sunnah mengenai kerja. Sememangna etika kerja ISlam menuntut hubungan secara cemerlang dengan pelabagai aspek kehidupan termasuk aspek sosial, politik dan ekonomi. 

Antara etika tersebut meliputi Etika Pakaian (meliputi pakaian yang sesuai, selesa dan tidak mencanggahi syarak), Etika Kelakuan dan Sikap (amanah, bertanggungjawab, bersungguh-sungguh dan meninggalkan sifat mazmumah), Etika Bentuk Pekerjaan (halal dan bersesuaian) dan Etika Pengurusan Masa dan Harta antaranya mengeluarkan zakat pada harta yang lebih, bersedekah dan tidak membazir masa dan harta.

Islam adalah satu cara hidup yang bersifat menyeluruh, bersifat fitrah dan sederhana. Islam juga adalah suatu agama yang menggalakkan manusia bekerja malah al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri telah mencirikan budaya atau etika kerja Islam yang berbeza dengan etika kerja lain secara ketara. Oleh keran al-Quran bukan suatu penulisan falsafah, tidak juga kitab yang membicarakan tentang epistemologi, maka ia tidak menyebut tentang pendefinisian etika kerja. Walau bagaimanapun penegasan tentang etika kerja ini boleh diketahui dengan jelas menerusi konsep-konsep utama dalam ayat-ayat al-Quran itu sendiri. Beberapa konsep yang sering ditemui dalam al-Quran mempunyai hubungan rapat dengan etika antarana konsep Amal Soleh, Birr, Taqwa, al-Qist, al-Ma'ruf dan Ihsan (atau Hassan).


Ciri-ciri Etika Kerja Islam

  • Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah swt

Dengan menyedari dan menghayati bahawa manusia adalah  hamba Allah, maka sewajarnyalah setiap manusia mengabdikan dirinya kepada Allah swt dengan mengikuti segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya selaras dengan firman Allah swt yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa." Berikutnya dikemukakan satu lagi firman Allah yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang berilmu, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu."

Ayat ini pula menyuruh kita taat bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada Rasulullah saw dan kerajaan kerana kerajaan itulah yang dimaksudkan dengan 'orang kuasa dari kalangan kamu'. Bagi mentaati Allah dan Rasulullah maka setiap manusia mestilah mempunyai kerja yang halal. Bagi mentaati kerajaan pula setiap pekerja awam mestilah menjalankan tugasnya dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya ia tidak menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya, maka bererti pekerja tersebut telah melanggar amanah Allah. Dengan memahami keterangan tadi maka sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kelak.

 

  • Bekerja dengan ikhlas dan amanah

Bekerja dengan aikhlas bererti bekerja dengan penuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa jawatan yang dipegangnya adalah hasil permohonannya sendiri dan bukannya ia dipaksa memenuhi jawatan tersebut. Islam juga memberi penekanan yang berat terhadap konsep amanah dalam kerja iaitu tanggungjawab. Firman Allah swt yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatNya (balasan) kejahatan itu." Jika manusia tidak mempunyai sikap amanah dalam perkerjaan, maka ia sebenarnya telah melakukan kerosakan atau penyelewengan (fasad) dan dengan itu ia telah mengkhianati amanah yang telah diterimanya sejak alam roh lagi. Konsep amanah yang dipegang oleh pekerja sama ada sebagai pengarah atau seorang pelayan pejabat tidak terbatas kepada skop pemerhatian manusia sahaja tetapi lebih daripada itu tanggungjawab amanah kepada Allah swt.

Melalui konsep ini Islam mengajar manusia supaya sentiasa berwaspada dan menilai dengan segala amal perbuatan menurut ukuran syarak iaitu kepercayaan kepada adanya hari akhirat dan perhitungan yang akan menentukan balasan baik atau sebaliknya. Bukan hanya berdasarkan melaksanakan tugas dan tanggungjawab melalui sistem rekod, kad perakam waktu, laporan penilaian prestasi dan sebagainya.

Pengurusan organisasi kerja menurut falsafah Islam bertujuan melahirkan manusia yang produktif dari segi amal solehnya, bukan dari segi perbuatan fasadnya. Hari ini kebanyakan organisasi kerja mengakui mereka produktif kerana mempunyai aset yang banyak, tenaga kerja yang mahir, peralatan dan sistem yang canggih. Tetapi di sebalik kehebatan lahiriah itu, berlakulah keruntuhan dari aspek kemanusiaan dengan segala bentuk penyelewengan dan pengkhianatan sehingga menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam organisasi kerja. 

Islam memberi penekanan konsep amanah keada Allah swt dan juga kepada majikan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Demikian juga kalau seseorang pekerja harus menunaikan kewajipan kepada majikan, maka majikan juga harus memberikan perkara yang sama kepada pekerjanya. Majikan harus memberi ihsan, belas kasihan, bertimbangrasa, bertolak ansur dan berperikemanusiaan terhadap pekerjanya. Perbuatan eksploitasi dan mengkhianati pekerja dengan membebaninya lebih daripada apa yang diganjarkan kepadanya adalah bercanggah dengan prinsip dan etika Islam.

Sesungguhnya menunaikan hak Allah ke atas pekerja-pekerja bawahannya adalah seiring dengan menunaikan hak ke atas Allah swt. Mengikut sebuah hadith Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : "Majikan seharusnya membayar upah pekerjanya sebelum peluh di dahinya kering." Ini bermakna ganjaran yang dijanjikan tidak seharusnya dilewatkan atau diambil sambil lewa sahaja. Jelas kepada kita teras perhubungan di antara majikan dengan pekerja ialah keadilan dan jalinan silaturrahim yang kukuh dan mesra di antara pihak majikan dengan pekerja. Suasana harmoni yang penuh peradaban akan terserlah dalam organisasi kerja.


  • Bekerja dengan tekun dan cekap

Ketekunan adalah satu sifat yang diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya mereka tekun. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan tekun." Pepatah Melayu pula ada mengatakan "Belakang parang pun kalau diasah nescaya akan menjadi tajam." Pepatah ini menunjukkan bahawa dengan ketekunan, sesuatu kerja yang susah itu akan dapat diatasi dan dengan sendirinya dapat meningkatkan kecekapan seseorang pekerja itu.

Apabila kita hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapannya. Mutu kecekapan seseorang itu akan terus meningkat jika pekerja itusanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya terus menerus. Ajaran Islam ada menegaskan "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad". Dalam bidang sains dan teknologi khususnya, menuntut ilmu sepanjang hayat menjadi suatu perkara yang penting sekiranya kita tidak mahu ketinggalan zaman kerana terlalu pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan dalam kedua-dua bidang itu.

Selain dari itu, Rasulullah saw menyatakan berkaitan dengan pekerja dengan maksud : "Apabila sesuatu urusan (pekerjaan) itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancurannya." Hadith ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya keahlian atau kecekapan seseorang pekerja menurut pandangan Islam. Sekiranya kecekapan seseorang pekerja itu meningkat maka dengan sendiri hasil kerjanya juga turut meningkat.

 

  • Bekerja dengan semangat gotong-royong dan berpadu fikiran

Dalam perkhidmatan awam bahkan dalam sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja itu bertugas dengan suatu kumpulan pekerja yang tertentu. Dengan sendirinya untuk menghasilkan pekerjaan yang cemerlang, sesuatu kumpulan pekerja mestilah bekerjasama bergotong-royong melaksanakan tugas masing-masing. Sikap bantu membantu antara satu sama lain di antara pekerja, akan menimbulkan suasana kerja yang aman dan gembira. Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan setiap pekerja. Firman Allah swt juga menegaskan dengan maksud : "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan..."

Semangat bergotong royong adalah suatu ciri kebudayaan negara ini yang semestinya dipupuk terus dan disuburkan semula bagai kata pepatah : "Bukit sama didaki, lurah sama dituruni." Di samping kita bergotong-royong menjalankan tugas, kita juga hendaklah menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran untuk mengkaji masalah yanga da dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul. Perbincangan seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama terhadap sebarang kegiatan kumpulan pekerja yang berkenaan.

Rasa keenakan berpadu tenaga dan berpadu fikiran ini telah dinikmati oleh datuk nenek kita dahulu dan rasa indah itu telah diabadikan oleh mereka dengan pepatah "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat."


  • Bekerja dengan matlamat kebahagiaan manusia sejagat

Islam adalah agama untuk manusia sejagat, dengan itu ajaran Islam juga adalah untuk manusia seluruhnya. Maka etika kerja kelima ini adalah wajar, kerana maju mundurnya  pembangunan negara Malaysia ini akan memberi kesan jua kepada negara lain di dunia. Namun demikian patut dikemukakan di sini firman Allah swt yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan ssekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan." 

Ayat tersebut melarang kita daripada berlaku tidak adil terhadap sesuatu kaum walaupun kita benci terhadap kaum tersebut. Setiap pekerja hendaklah memberi layanan dan khidmat yang sama kepada semua orang tanpa mengira kaum ataupun agama orang yang berkaitan menurut ajaran Islam. Di samping itu sewajarnya kita berusaha menurut ajaran hadith yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang tidak menyukar-nyukarkan pekerjaan dan yang jernih mukanya dalam menghadapi manusia."

Kesimpulan : sewajarya setiap pekerja diberi bimbingan khusus dari semasa ke semasa untuk melengkapkan mereka sebagai pekerja yang akan melaksanakan tugasnya selaras dengan ajaran Islam. Dari pihak pekerja sendiri, mereka hendaklah sentiasa sedar dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan kebahagiaan umat manusia sejagat. Wajarlah bagi setiap pekerja menghayati firman Allah swt yang bermaksud : "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain (daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada Allah."


Hubungan Pekerja dan Majikan

Islam telah menggariskan beberapa peraturan yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk menjalin hubungan mesra dan produktif antara majikan dan pekerja. Kedua-dua pihak, sama ada majikan atau pekerjaperlu sentiasa mementingkan kualiti kerja dan terdapat sebuah hadith menyebut yang bermaksud : "Allah swt suka sekali jika seseorang mengerjakan sesuatu pekerjaan, lalu kian lama kian diperbaiki mutunya." Di samping kualiti, Islam juga menjaga kepentingan pekerja.

Dalam sebuah hadith qudsi terdapat sebuah nukilan yang menarik tentang hal ini. Hadith qudsi tersebut menegaskan : "Ada tiga orang yang menjadi musuhKu di hari akhirat : Orang yang berjanji dengan Daku, lalu mungkir akan janjinya. Orang yangmemperjual belikan manusia merdeka dan dmakannya harga manusia merdeka yang dijualnya. Orang yang mengupah pekerja, dan pekerja itu telah membereskan pekerjaannya tetapi gajinya tidak dibayar." Kemudian Islam mewajibkan supaya upah pekerja dibayar dengan cepat dan sempurna. Ini diingatkan oleh Rasulullah saw dengan sabda baginda yang bermaksud : "Berikan upah buruhmu sebelum kering keringatnya."


Kesimpulan

Pekerjaan yang diterima sebagai suatu ibadah bukanlah pekerjaan yang dikerjakan dalam keadaan sambil lewa dan untuk mendapat keuntungan di dunia semata-mata tetapi sebaliknya melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh, berjuang membangun dan mengusahakan kemakmuran dan kemajuan dengan matlamat untuk kepentingan dunia dan juga untuk keselamatan di akhirat. Setiap pekerjaan yang baik yang disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah serta dilakukan dengan bersih daripada sebarang kemungkaran dan tidak bercanggah dengan batas-batas hukum syarak adalah dikira ibadah yang akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Setiap pekerjaan itu hendaklah dilihat dari sudut amanah yang pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt di akhirat kelak, di mana kelalaian melaksanakan kerja yang baik akan mendatangkan penyesalan yang tidak berguna. Pekerja yang diterima pekerjaan mereka sebagai ibadah setelah memenuhi syarat-syaratnya dapat mempergunakan dunia ini sebagai sawah ladang untuk keselamatan di akhirat. Sebahagian daripada hasil pekerjaan yang telah dilakukan akan diterima di duna ini dan hasil sepenuhnya akan diterima di akhirat. Kekayaan sesuatu pekerjaan tidak hanya pada usaha seseorang tetapi juga pada keberkatan yang disertai dengan keredhaan Allah swt terhadap jenis pekerjaan dan cara ia dilaksanakan. Islam meletakkan taraf yang tinggi kepada pekerjaan. Melalui pekerjaan manusia dapat mengangkat darjat dirinya malah namanya turut dikenang ketika ketiadaannya nanti. Ini adalah kerana manusia lain dapat merasai nikmat dan kemudahan hidup hasil daripada pekerjaan orang yang telah tiada tadi.


Hak Pekerja dan Majikan

1. Persaudaraan dan kesamaan peluang :Individu itu dilayang dengan hormat dan maruahnya dijaga, tiada diskriminasi terhadap warna kulit atau jantina, keselesaan dari aspek pergaulan dan penerimaan sebagai ahli kumpulan. Kebolehan berhubung dan bekerjasama.

2. Kepercayaan dan pertanggungjawaban : Pekerjaan adalah amanah atau kepercayaan yang diberikan. Individu yang amanah dan dipercayai memikul tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap serta mempunyai kesetiaan terhadap organisasi.

3. Tawaran kerja : Tawaran kerja yang diberikan kepada orang yang paling layak mengikut kemahiran atau kelayakan asas bukannya kepada pemohon yang menagih simpati. Individu itu dilantik kerana ia memenuhi syarat-syarat keperluan kerja itu bukan kerana dia itu kawan, kerabat atau lain-lain unsur pilih kasih.

4. Peluang meningkat dalam kerjaya (menuju kecemerlangan) : Mencapai tahap kerja yang terbaik. Pekerja terdorong untuk melakukan yang terbaik kerana Allah menyukai seseorang yang melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik.

5. Upah, gaji atau ganjaran : Gaji, upah atau ganjaran mestilah setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan dan boleh memberikan rasa selamat dan kepuasan kepada individu.

6. Keupayaan individu : Kesesuaian tugas atau kerja dengan aspirasi kehidupan. Majikan tidak boleh menyuruh pekerjanya untuk melakukan apa juga pekerjaan di luar keupayaan pekerja itu.

7. Motivasi : Individu lebih terdorong untuk melakukan sesuatu jika mendapat kepuasan dan ransangan dalaman (motivasi spiritual).

8. Permesyuaratan dan nasihat : Pekerja hendaklah berunding dengan majikannya jika terdapat sesuatu masalah tentang pekerjaan kerana kecemerlangan dapat dicapai dengan cara berunding dan nasihat menasihati.

9. Pencarian ilmu pengetahuan : Individu yang berilmu pengetahuan akan berkeupayaan untuk mencapai kecemerlangan dan berjaya dalam segenap pekerjaan yang dilakukannya serta berjaya mengharungi segala cabaran dalam perlaksanaan tugas.


Tanggungjawab Pekerja

a. Mengikut arah majikan dan bekerja dengan tekun dan cekap.

b. Selesaikan kerja pada waktunya.

c. Berkhidmat kepada majikan dengan amanah serta selesaikan kerja pada waktunya.

d. Jujur dan ikhlas kepada majikan.

e. Menjaga kepentingan organisasi serta melindungi kepentingan majikan hingga ke saat terakhir perkhidmatan.


Tanggungjawab Majikan

a. Kewajipan menyediakan kerja yang tidak salah di sisi agama.

b. Membayar upah atau ganjaran sewajarnya.

c. Melindungi hak dan kebajikan pekerja.

d. Menetapkan tempoh kerja yang maksimum bagi pekerja (cuti).



Ringkasan tajuk ini.