Sejarah Perkembangan Ilmu Hadis


      Hadis adalah sumber kedua di dalam Perundangan Islam selepas Al-Quran. Ia juga merupakan pemudahcara kepada Al-Quran. Firman Allah Taala: "apa yang didatangkan dari nabi kepada kamu maka ambillah, apa yang ditegah olehnya maka tinggalkan" (Surah Al-Hasyr).

      Pada zaman baginda Rasulullah s.a.w , para sahabat r.a sentiasa berdamping dengan baginda menimba ilmu dan meminta menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Firman Allah Taala: "tidaklah ia (Nabi Muhammad s.a.w) berkata dengan hawa nafsu, bahkan ianya adalah wahyu yang diturunkan". Maka kita dapati dikalangan mereka ada yang menghafal apa yang dipelajari, ada pula yang menulis, dan ada juga yang memberitahu kepada kawan mereka yang tidak menghadiri kelas. Pada peringkat permulaan ini, para sahabat tidak mempunyai masalah dengan penerimaan hadis kerana mereka terus menerus bersama baginda s.a.w . Perkara ini Allah s.w.t telah rekodkan dalam Al-Quran kelebihan dan keistimewaan mereka sebagai sahabat nabi s.a.w .

      Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w , kerajaan telah berpindah kepada khalifah-khalifah baginda yang dilantik secara syura. Pada masa itu musuh dalam selimut Islam telah menunjukkan tembelang mereka dengan memporak-perandakan orang Islam yang menyebabkan perpecahan. Ibnu Sirin (W101H) berkata : "sebelum ini mereka tidak bertanyakan tentang "sanad" (riwayat hadis), ketika mana berlakunya fitnah mereka berkata: sebutkan nama perawi hadis yang kamu riwayatkan ini, apabila didapati perawi itu dari golongan Sunni maka hadisnya diambil, apabila didapati perawi itu dari golongan Bid'ah maka hadisnya ditolak".

      Ini adalah kerana Nabi s.a.w telah bersabda: "barang siapa memperolokkan aku, maka tersedialah tempatnya di dalam api neraka", maka para ulama' berwaspada semasa mengambil hadis. Setiap kali perawi-perawi membawa hadis, para ulama' akan berjaga-jaga dengan menyelidiki sifat-sifat perawi terlebih dahulu. Dengan itu muncullah satu bidang ilmu dalam ilmu Hadis dikenali sebagai Ilmu Jarh wa Ta'dil.

      Ilmu Jarh wa Ta'dil iaitu ilmu membahaskan kaedah-kaedah men "jarh" dan men "ta'dil" kan perawi hadis di kedudukan tertentu dengan menggunakan lafaz-lafaz tertentu.

      Apabila ulama-ulama r.a membincangkan perihal perawi, biodata hidupnya, sebenarnya mereka telah membentuk satu lagi bidang ilmu yang dikenali sebagai Ilmu Rijal.

      Dengan kedua-dua ilmu inilah, mereka dapat mengetahui hadis mana yang boleh diterima dan yang mana perlu ditolak. Oleh itu, mereka sering berkata: "jika kamu seorang perawi hadis berikan yang sahih". Maka perbincangan mereka telah pun beralih kepada hadis itu sendiri iaitu kesahihannya. Dengan itu terdapat dalam ilmu hadis, Ilmu Mustolah Hadis yang membincangkan pembahagian hadis.

      Perbincangan ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga bahkan terbentuknya Ilmu Ilal Al-Hadis membuktikan bahawa tukang emas sahaja mengetahui yang mana asli dan yang mana palsu.

      Walupun begitu, mereka masih lagi memerlukan kepada kedua-dua ilmu yang disebutkan tadi.

      Memandangkan hadis-hadis ini belum dibukukan, rasa bimbang akan lenyapnya sumber kedua ini telah dirasai oleh beberapa tokoh ulama'. Atas perintah Khalifa Omar bin Abdul Aziz, Imam Ibnu Syihab menjadi orang pertama mengumpul hadis.

      Dengan teladan yang diberikan, para ulama' yang kemudian tidak lagi berasa takut dan bimbang akan percampuran Al-Quran Al-Karim dengan Hadis Nabi s.a.w.

      Kita dapati selepas itu, muncul kitab hadis yang dinamakan "Al-Muwattoat". Salah satunya, kitab yang dikarang oleh Imam Malik.

      Walaupun yang demikian, kitab seperti ini tidak memenuhi sasaran kerana ianya mencampurkan hadis dengan pendapat ulama' atau kitab ini lebih menitikberatkan kepada bab-bab Feqah.

      Kemudian datanglah ulama' yang berikutnya meletakkan di dalam kitab mereka hadis-hadis sahaja dengan tidak mencampurkan dengan pendapat-pendapat ulama'. Kitab-kitab ini dinamakan "Al-Masanid" iaitu kitab yang dimuatkan dengan hadis-hadis sahaja dan disusun mengikut nama perawi. Contohnya Musnad Ahmad, Musnad Ibnu Rahawaih, dan Musnad Darmi. Kitab seperti ini juga tidak memenuhi sasarannya lagi.

      Apabila Munculnya Ummahat Al-Kutub Al-Hadithiyyah; iaitu kitab-kitab hadis Sohih Bukhari dan Muslim, Sunan Tarmizi, Abu Daud, Nasai, dan Ibnu Majah, maka tercapailah sudah sasaran yang dikehendaki. Di antara kelebihan kitab ini ialah ianya dimuatkan dengan hadis-hadis sahaja dan disusun merangkumi pelbagai ilmu.

      Walaupun begitu, kekurangan dari sudut pemahaman hadis sangat bahaya menyebabkan beberapa golongan yang mempergunakan hadis untuk kepentingan golongan-golongan mereka, mengambil dan menolak hadis mengikut hawa nafsu mereka. Oleh itu, ulama hadis cuba menyelesaikan masalah ini dengan ilmu yang dipanggil Ilmu Mukhtalaf Hadis. Ilmu ini memberitahu bahawa hadis yang sohih tidak akan bercangggah sesama sendiri dan tidak juga bertentangan dengan akal yang sebenar buat selama-selamanya.

      Ternyata kesungguhan Ahli Hadis menutup segala kekurangan yang timbul apabila Ilmu Gharib Al-Hadis dapat menyelesaikan masalah pemahaman hadis.

      Begitulah kita melihat Ilmu Hadis apabila telah sampai ke tahap kematangannya. Di mana tiada permasalahn yang tinggal melainkan terbentuk satu cabang ilmu. Hanya yang tinggal aspek untuk para ulama berijtihad iaitu mengkaji sanad dan matan dengan terbentuknya Ilmu Takhrij dan Pengajian Sanad.

      Ini menunjukkan bahawa begitu besar pengorbanan para ulama Islam bagi menjaga agama mereka diselewengkan dari golongan yang tidak mengerti Islam terutamanya dari musuhnya sendiri.

      Oleh itu, ilmu ini telah diperakui oleh semua samada orang Islam atau selainnya kejituan, ketepatan, dan ketelitian yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Comments