KOLEKSI ARTIKEL 1

http://cikgulim.blogspot.com/

 

<MENU UTAMA>   <GAMBAR>   <ANALISIS>   <CERAMAH>   <TUGASAN>   <ARTIKEL>   <BERITA>

PEMUPUKAN BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN REMAJA

 

             Kemahiran membaca merupakan kemahiran yang wajib ada pada setiap individu tanpa mengira batas sosial  mahupun  peringkat usia. Membaca  merupakan satu aktiviti atau kemahiran yang sukar diterjemah kerana aktiviti ini melibatkan pelbagai proses dalam diri dan minda seseorang individu itu. Melalui aktiviti membaca, ia mampu menjadikan seseorang individu itu seorang celik dalam bidang ilmu yang diceburinya dan mampu dijadikan sebagai bahan rujukan oleh orang lain mahupun dirinya sendiri. Malahan tidak salah jika dikatakan bahawa kebolehan membaca membuka seluas-luasnya pintu masuk ke alam pengetahuan manusia, ini seperti ungkapan ”Membaca menjadikan seorang itu berisi” (Lord Bacon:1561) seorang ahli falsafah Inggeris, dalam Shahrom TM Sulaiman(2002).  Kesan ini tergambar secara jelas apabila setiap agama terbesar di dunia menghargai ilmu dengan mempunyai kitab suci masing-masing untuk dibaca. Islam sendiri meletakkan kepentingan membaca secara jelas apabila ayat pertama diwahyukan kepada manusia  memerintahkan manusia mencari ilmu, dengan erti kata lain membaca. Perkataan ”Iqraq” (Bacalah) telah diulang sebanyak dua kali (dalam ayat pertama dan ketiga) dan seterusnya dalam ayat keempat perkataan ”Bacalah” telah dikaitkan dengan ”Aklam” (pena).

 

              Pelbagai tafsiran yang diberikan dalam menyatakan maksud membaca. Bagi Yahya Othman (2004), pembacaan adalah proses yang dinamik, memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dan penulis, membaca juga dikatakan sebagai proses yang aktif bagi membina makna daripada teks bertulis yang berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan pembaca. Selain itu, Frank Smith (1971) menerangkan bahawa proses membaca ialah satu proses kognitif. Di samping itu, Goodman (1970), seorang tokoh psikolingusitik mengatakan bahawa proses membaca perlu dianggap sebagai proses interaksi antara pembaca dan bahasa yang bertulis. Oleh yang demikian, membaca merupakan satu proses komunikasi yang melibatkan penggunaan minda secara optimum dengan mentafsir makna yang terdapat di dalam teks yang dibaca dan aktiviti membaca seharusnya bersifat aktif iaitu bukan sekadar menyerap idea yang dilontarkan oleh penulis tetapi lebih bersifat berdialog antara pembaca dengan penulis.

 

             Berdasarkan Laporan Tabiat Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 1996 yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Manakala pada tahun 1995 dilaporkan 9 juta naskhah buku terbitan DBP dalam pelbagai bidang tersadai di dalam stor sama ada ia tidak terjual ataupun tidak laku, situasi ini menunjukkan sikap masyarakat kita yang tidak gemar membaca. Timbul pelbagai alasan dan sebab  dikemukakan yang menyumbang kepada berlakunya situasi ini.

 

             Antara alasan yang paling kerap didengar ialah berkenaan buku-buku yang terdapat di pasaran tidak menawan hati pembaca. Buku-buku yang dijual di kedai buku kebanyakannya menjual buku teks dan buku rujukan. Jika terdapatpun, buku-buku ini dijual dengan harga yang mahal terutamanya buku ilmiah yang diimport membuatkan pembeli berfikir dua kali untuk membelinya. Hal ini berlaku dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi lantas memaksa mereka membuat salinan fotokopi buku tersebut jika menjadi rujukan utama . Hal ini sudah semestinya menyumbangkan kepada berlakunya situasi ini. Selain itu, sikap masyarakat di negara ini yang tidak menitikberatkan aktiviti keilmuan juga penyumbang kepada kadar pembacaan yang rendah. Persepsi atau tanggapan membaca hanya ketika di sekolah, institusi pengajian tinggi, perpustakaan dan kedai buku semata-mata merupakan antara alasan yang sering didengar.

 

             Rentetan daripada itu, terdapat golongan remaja yang lebih tertarik dan berminat membelek-belek   majalah hiburan namun tidak mampu membelinya. Terdapat juga golongan pelajar yang berminat membeli bahan bacaan yang berbentuk komik ringan kerana memaparkan gambar dan cerita sekali gus sebagai cara untuk mereka menghilangkan seketika tekanan belajar. Menurut Amin Shakib (1997), salah satu alasan menarik yang dikemukakan ialah para pelajar terlalu sibuk dengan pelajaran serta aktiviti sekolah sehingga menyebabkan tidak ada masa untuk mereka menjadikan tabiat membaca sebagai hobi. Beliau juga menekankan sistem pendidikan hari ini yang terlalu berorentasikan peperiksaan, menyebabkan ramai pelajar yang terpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya pada buku teks sehingga menganggap adalah membuang masa membaca buku-buku lain selain buku teks.

 

             Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, masyarakat pada zaman dunia tanpa sempadan kini sering berlumba-lumba mengejar kemewahan dan berkemungkinan hanya berkesempatan membelek-belek akhbar dan hanya membaca berita yang menarik sahaja. Demikian juga dengan pembangunan pesat teknologi pada masa kini yang lebih banyak mendedahkan masyarakat kepada televisyen, video, satelit dan seumpama dengannya yang menyebabkan semakin kurang golongan yang membaca. Misalnya, masyarakat di Malaysia dewasa ini sering kedapatan lebih seronok menggunakan telefon bimbit sama ada membuat sistem pesanan ringkas ataupun bermain permainan video yang terdapat dalam telefon bimbit mereka ketika berada di dalam bas atau di mana-mana sahaja berbanding dengan mengisi masa kosong tersebut dengan membaca buku.

 

             Dalam era ledakan teknologi maklumat masa kini, perolehan maklumat dan ilmu pengetahuan tidak hanya terbatas melalui pembacaan semata-mata. Masyarakat kini sudah mempunyai banyak alternatif lain iaitu menerusi buku elektronik yang boleh dicapai melalui internet, capaian nota-nota kuliah yang disediakan dalam laman web penulis-penulis buku teks antarabangsa, artikel-artikel yang berkaitan boleh diperoleh atas talian melalui jurnal-jurnal antarabangsa. Bahan –bahan ini boleh diperoleh dengan  mudah dan kos yang jauh lebih rendah berbanding dengan membeli buku untuk dibaca. Senario ini jelas menunjukkan corak pembacaan masyarakat pada masa ini tidak lagi tertumpu kepada pembacaan buku semata-mata dan hal ini secara tidak langsung mempengaruhi tabiat membaca dalam kalangan masyarakat

 

            Natijahnya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbangkan kepada kurangnya tabiat membaca dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini khususnya golongan remaja. Sinergi pelbagai pihak adalah perlu dalam usaha memupuk minat membaca khususnya kepada golongan ini tanpa menuding jari kepada satu-satu pihak sahaja.

 

 

MEMUPUK BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN REMAJA

 

            Menurut definisi UNESCO, masyarakat membaca ialah suatu masyarakat di mana ahli-ahlinya sentiasa berdamping dengan buku dan dengan sukarela merasakan keperluan dan keseronokan membaca buku (A Reading Society is one in which each and every individual can read and where books are an integral part of daily life) (Zawiyah Baba, 1992). Dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja ini, pelbagai aspek perlulah diambil kira dan pengemblengan tenaga serta usaha semua pihak adalah perlu. Hal ini kerana, remaja merupakan tonggak pemimpin pelapis negara pada masa hadapan. Perkara ini bertepatan dengan matlamat negara melahirkan modal insan kelas dunia pertama yang antara  lain mempunyai ilmu pengetahuan  luas. Dalam hal ini, tidak dapat tidak kita perlu mengakui hakikat bahawa golongan ini perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan salah satu daripada kuncinya mestilah melalui pembacaan yang luas. Melihat kepada senario di Malaysia pada hari ini, adalah amat membimbangkan kerana kadar pembacaan golongan ini adalah terlalu sedikit. Oleh yang demikian, sinergi semua pihak amatlah perlu dalam menggembleng usaha untuk memastikan golongan ini minat kepada aktiviti pembacaan.

 

             Bagi melaksanakan usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan remaja ini khususnya, kita perlu pada pendekatan  menyeluruh yang tentu sekali melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, perpustakaan sekolah, badan-badan bukan kerajaan dan pelbagai pihak lagi. Memupuk budaya membaca khususnya dalam kalangan remaja ini sebenarnya merupakan agenda  nasional yang mendesak. Hal ini kerana sebagaimana yang dinyatakan di atas, golongan ini merupakan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi kita berada dalam era K-Ekonomi atau ekonomi yang berteraskan pengetahuan. Oleh yang demikian, pendekatan yang paling berkesan tentunya bermula dari rumah. Golongan ibu bapa mestilah memberi contoh dan memupuk minat membaca dengan menyediakan bahan-bahan bacaan dan jika mampu menubuhkan perpustakaan mini di rumah sebagai langkah awal yang bijak untuk mewujudkan suasana sihat bagi pertumbuhan suasana membaca. Hal ini selaras dengan pendapat Sharom TM Sulaiman & Salasiah Abd Wahab (2002) bahawa dengan cara pengwujudan perpustakaan mini di rumah,  minat membaca dalam kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah akan mudah dibentuk dan membawa kesan positif di peringkat  sekolah atau peringkat menuju alam remaja. Pemupukan minat membaca dalam kalangan remaja oleh ibu bapa ini juga dengan cara menentukan buku sebagai keperluan keluarga dan mewujudkan suasana keseronokan membaca dengan:

 

a)    Membeli bahan bacaan seperti buku, majalah dan surat khabar untuk bacaan bersama-sama anak-anak di rumah.

b)    Membacakan buku dan majalah kepada anak-anak mereka.

c)    Membaca bersama-sama anak-anak mereka.

d)    Memberikan buku sebagai hadiah kepada anak-anak pada hari-hari istimewa seperti hari lahir.

e)    Membawa anak-anak ke perpustakaan dan membawa anak-anak ke pesta-pesta buku.

  

Menurut kajian  Durkin (1966), mendapati beberapa orang ibu daripada kanak-kanak yang sudah mahir membaca walaupun sudah berada di sekolah tadika menyatakan bahawa faktor yang paling penting mendorong anak-anak mereka mahir membaca adalah jumlah bahan yang mencukupi di rumah. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak yang mahir membaca terdiri daripada mereka yang gemar membawa anak-anak ke perpustakaan. Kepentingan membaca ini juga telah ditekankan oleh Datuk Seri Rafidah Aziz iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa merasmikan Seminar Industri Kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2003. Beliau menyarankan agar tabiat membaca dipupuk dari rumah lagi dan meminta agar para ibu bapa mendidik anak mereka membaca serta mewujudkan perpustakaan mini di rumah.

 

 Salah satu kaedah yang mungkin dianggap remeh atau melucukan oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka ialah penggunaan komik sebagai medium pengetahuan. Komik merupakan satu cabang seni yang sepatutnya dilihat sebagai satu genre sastera. Melalui media ini, pelukis dapat mengungkapkan idea, kritikan, perasaan, pentafsiran, penganalisaan, penghayatan, wawasan dan sebagainya secara perlambangan. Malahan pandangan positif terhadap komik boleh mendorong pembacaan terbukti di Amerika Syarikat dan Jepun. Di kedua-dua negara tersebut, buku komik yang bermutu telah digunakan secara meluas sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah rendah disebabkan tarikan lukisan dan lakaran komik ke atas kanak-kanak. Dalam meletakkan asas pembudayaan membaca dalam kalangan kanak-kanak dan berterusan ke peringkat remaja, peranan ini harus dimainkan oleh para ibu bapa dan guru. Ibu bapa bukan sahaja mesti membaca bersama-sama anak, tetapi juga membimbing mereka membuat analisis, klasifikasi dan lain-lain dan proses ini dapat dilakukan amat berkesan dengan komik. Oleh sebab itulah komik digunakan sebagai bahan bacaan tambahan sekolah di Amerika Syarikat dan Jepun.

 

             Peranan pihak kerajaan khususnya kementerian dan badan yang terbabit dalam usaha memupuk minat membaca  dalam kalangan remaja ini sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi. Melalui Kementerian Pelajaran misalnya, Program Nilam telah lama diperkenalkan di peringkat sekolah, demikian juga usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan kempen Membaca dan Pesta Membaca di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada bulan Julai 2006 tahun lepas. Antara misi kempen ini adalah bagi memupuk budaya membaca sepanjang hayat yang berobjektif untuk menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif.

 

 Walau bagaimanapun, usaha ini tidak menunjukkan peningkatan dalam minat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya remaja. Menurut Shaharom TM Sulaiman & Salasiah Abd Wahab (2002), mewujudkan masyarakat membaca merupakan satu transformasi sosial dibandingkan dengan fungsi sesebuah program kempen yang skopnya amat terbatas dan terhad pada musim dan bulan tertentu sahaja. Melihat kepada senario ini, adalah perlu sebenarnya pihak yang terbabit melaksanakan kempen secara berterusan sama ada di peringkat sekolah mahupun nasional. Di peringkat sekolah misalnya, sistem pendidikan berorentasikan peperiksaan seharusnya dikurangkan agar pelajar yang sememangnya terdiri daripada golongan remaja tidak hanya membaca buku teks ataupun buku rujukan semata-mata tetapi mereka perlu didedahkan lagi dengan bahan bacaan yang berkaitan dengan dunia luar agar mampu berinteraksi dengan masyarakat luar apabila keluar bergaul dengan kumpulan masyarakat yang lebih besar.

            

            Indirawati Zahid (2006) menegaskan perlunya mengiatkan usaha-usaha penterjemahan buku-buku berbahasa asing. Menurutnya, masyarakat yang berilmu ialah masyarakat yang disediakan bahan bacaan yang sesuai dengan kemampuan mereka. Melalui usaha menterjemah, kemungkinan minat membaca akan dipertingkatkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam hal ini, memang sering kedapatan buku-buku bahasa asing yang menarik untuk dibaca, walau bagaimanapun keterbatasan sebilangan masyarakat dalam kosa kata bahasa tersebut terutamanya bahasa Inggeris ataupun bahasa Jepun membantutkan minat mereka untuk membaca buku-buku tersebut. Oleh yang demikian, usaha penterjemahan perlu dipergiatkan lagi dan tidak hanya tertumpu dengan buku berbentuk fiksyen semata-mata tetapi juga merangkumi buku-buku berbentuk non-fiksyen. Jika sebelum ini usaha menterjemah sesebuah buku mengambil masa yang terlalu lama dan hanya mampu menterjemahkan beberapa buah buku dalam setahun, tetapi bilangan ini seharusnya ditingkatkan lagi sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara seperti Korea, Jepun dan China yang banyak menterjemahkan buku dalam masa sebulan bagi memudahkan penduduknya mempelajari bidang ilmu baharu dari negara luar.

            

            Selain itu, bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi yang sebilangan besarnya merupakan golongan remaja, perlunya peranan penting yang dimainkan oleh golongan pustakawan di universiti masing-masing.Hal ini kerana pustakawan merupakan penggerak perpustakaan boleh mengadakan program-program berkala ke arah meningkatkan minat membaca dalam kalangan mahasiswa. Menurut Nur Atiqah Abdullah, etl (2001) ,bantuan boleh dalam bentuk mendidik pelajar mencari maklumat melalui pangkalan data dalam talian, CD-ROM, dan inter-library. Dalam era ledakan maklumat, pelajar perlu tahu memilih, menilai, menganalisis dan membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang sesuai. Oleh yang demikian, perpustakaan perlu mendidik masyarakat pelajar agar bertindak sebagai pengguna maklumat yang efektif, kritikal dan beretika dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan.

            

            Manakala pihak kerajaan perlu memberikan insentif percukaian sebagai langkah ke arah menyemai tabiat membaca dalam kalangan masyarakat. Kerajaan perlu menyokong perkembangan industri penerbitan buku teks pengajian tinggi agar para mahasiswa boleh mendapatkan buku teks tempatan pada kos yang lebih rendah. Insentif seperti ini akan mendorong pelajar membeli buku teks dan membudayakan amalan membaca seterusnya dapat memupuk sikap positif terhadap aktiviti pembacaan.

 

            Selain itu, peranan masyarakat setempat juga adalah perlu dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan remaja. Masyarakat tanpa mengira tempat boleh menubuhkan perpustakaan bagi memudahkan penduduk yang berhampiran datang untuk membaca atau meminjam buku. Usaha ini boleh dilakukan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK). Masyarakat kini mungkin boleh mengambil contoh masyarakat di sebuah bandar di Amerika Syarikat iaitu bandar Michigan apabila masyarakat di tempat tersebut telah mengadakan satu program yang diberi nama ’Born to Read’. Dalam program tersebut setiap bayi yang dilahirkan di hospital akan dihadiahkan sebuah buku dan sudah tentu buku tersebut  merupakan buku pertama dalam kehidupan bayi tersebut. Malahan ibu bapa bayi tersebut akan menerima satu senarai cadangan cara menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

 
            Usaha yang dimainkan oleh masyarakat ini juga tidak terhad kepada penduduk setempat sahaja. Budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya remaja dapat dipupuk melalui peranan yang dimainkan oleh premis-premis perniagaan yang terdapat di Malaysia. Misalnya kedai-kedai buku boleh mewujudkan kemudahan-kemudahan tambahan misalnya kafe bagi memudahkan mengunjungnya menikmati minuman sambil memilih atau membaca buku. Setaip premis sama ada hotel, pusat membeli –belah, kafe siber dan sebagainya boleh mengwujudkan sudut membaca dalam usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya remaja. Meskipun saranan ini mungkin dirasakan sukar diterima keberkesanannya namun segalanya perlu dicuba dan dilakukan. Budaya ini sememangnya berlaku di negara Jepun yang mempunyai rakyat celik huruf yang tertinggi di Asia iaitu sebanyak 99 peratus. Kedai buku yang terdapat di Jepun kebanyakannya seperti hotel yang menyediakan lobi bagi memudahkan pengunjung membuat temu janji dan mengadakan sesi perbincangan. Selain itu, terdapat juga kedai buku di Jepun yang menyediakan kafe untuk memberi kemudahan pengunjungnya melihat dan memilih buku sambil menikmati minuman.

 

              Usaha mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan remaja bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai pihak perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat ini dan sudah semestinya bukanlah usaha yang dapat dilihat hasilnya dalam jangka masa yang singkat. Dalam hal ini sinergi semua pihak sama ada ibu bapa, pihak kerajaan, swasta, sekolah, dan masyarakat adalah perlu bagi memastikan usaha murni ini berhasil.

 

             Kemalapan minat membaca dalam kalangan masyarakat kita khususnya remaja amatlah membimbangkan. Kebolehan dan kemahiran membaca dalam kalangan generasi muda amatlah penting untuk masa depan negara. Golongan inilah yang akan menentukan masa depan industri buku negara, syarikat buku, akhbar dan majalah. Sekiranya kempen menggalakkan pembacaan dalam kalangan masyarakat kurang mendapat sambutan selama ini, perubahan sikap semua peringkat masyarakat amatlah diperlukan. Perubahan sikap itu harus bermula dengan adanya semacam penilaian semula sikap (revaluation of attitude) dan juga jangkaan ( expectation) semua pihak.