Bengkel ini diadakan bertujuan sebagai persediaan perancangan bagi memenuhi kriteria penyertaan UI GreenMetric. Selain itu, penerangan berkenaan setiap bidang tumpuan (BT) telah diberikan oleh Ketua Penyelaras sebagai pencerahan kepada para peserta dan ahli jawatankuasa yang baharu menyertai SmartGreen. Seramai 12 orang peserta telah menyertai bengkel ini.
Setiap BT perlu mendapatkan data bagi memperbaiki data yang sedia ada di dalam sistem UI GreenMetric. Perbincangan memberi tumpuan kepada item yang markahnya paling rendah. Data perlu dimuat naik pada pautan yang diberikan dan tarikh untuk memuat naik data bermula pada 19 Mac 2025 hingga 19 April 2025. Pada kebiasaannya, sistem UI GreenMetric akan dibuka antara bulan Jun hingga Oktober.
Lawatan ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis bertujuan untuk membincangkan dan menyelaras prosedur dalaman berkaitan pengurusan dan pelupusan e-waste dan bahan asid secara teratur dan mematuhi undang-undang serta amalan terbaik yang perlu dipraktikkan. Wakil dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) terdiri daripada Penyelaras SmartGreen, Puan Nurolhuda binti Mohd Noor; Pegawai Akreditasi JKE, Puan Hafifah binti Darus; dan Setiausaha OSH, Encik Ismail bin Hashim manakala Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan, Encik Hamizan bin Abdullah mewakili pihak JAS.
Perbincangan ini dibuat ekoran daripada teguran audit Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) terhadap pembuangan sisa asid dan komponen elektronik yang tidak mengikut amalan yang terbaik. Dalam perbincangan ini, Encik Hamizan telah menyemak prosedur pelupusan e-waste yang telah dibangunkan untuk JKE dan beliau telah memberikan komen yang positif terhadap prosedur tersebut dengan sedikit pindaan.
Setelah prosedur e-waste dimuktamad dan disiapkan, satu sesi penyerahan Prosedur Pelupusan Sisa Elektronik (E-Waste) telah diadakan di dua makmal Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Penyerahan ini bertujuan untuk memperkenalkan garis panduan pelupusan bahan buangan elektronik seperti bateri, wayar, papan litar dan komponen-komponen rosak yang tidak boleh digunakan semula. Komponen yang rosak akan dikumpulkan di makmal terlebih dahulu dan kemudiannya akan dihantar ke Stesen Kitar Semula Jabatan yang telah disiapkan oleh pelajar Kelab Mesra Alam.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ketua Program DEP, Puan Azyan binti Md Zahri dan disaksikan oleh pensyarah-pensyarah yang bertanggungjawab dalam pengurusan makmal. Tiga bahan utama yang diserahkan ialah:
Dokumen Prosedur Pelupusan E-Waste yang menggariskan langkah-langkah pengenalpastian, pengumpulan, penyimpanan dan pelupusan selamat mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan poster yang berkaitan,
Poster Prosedur Pelupusan E-Waste, dan
Bekas Kitar Semula E-Waste yang terdiri daripada dua balang lutsinar berlabel "SAVE OUR PLANET" untuk memudahkan pengasingan sisa bateri dan komponen elektronik seperti perintang, kapasitor dan sebagainya.
Melalui inisiatif ini, pihak jabatan berharap dapat meningkatkan kesedaran warga politeknik terhadap kepentingan pelupusan e-waste yang mesra alam dan sistematik serta menyokong usaha kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar di kampus.
Bengkel ini diadakan untuk menghasilkan kertas penyelidikan yang bertemakan sustainability dan Green Technology untuk dihantar ke platfom PolyCC SustAward 2025. Kertas yang dihasilkan akan menggunakan laporan projek pelajar yang diubah dalam bentuk kertas penyelidikan. Para peserta diberi pendedahan berkenaan teknik dan format penulisan yang diguna pakai dalam bengkel ini.
Peserta juga didedahkan dengan teknik penggunaan AI dalam penyediaan kertas penyelidikan. Penceramah jemputan adalah Dr. Wan Mohd Yusoff bin Wan Yaacob yang merupakan AJK SmartGreen PTSS dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK). Antara kaedah yang dikongsi oleh beliau termasuklah penggunaan ChatGPT dan Mendeley dalam menguruskan rujukan yang telah dipilih. Sebanyak minima empat kertas penyelidikan akan dihasilkan untuk dihantar ke pertandingan ini.
Taklimat Kampus Lestari PTSS telah diadakan bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 5/2025 bertempat di Dewan Kuliah Utama (DKU). Taklimat ini telah disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Persekitaran, Puan Jamilah binti Hussain.
Taklimat Kampus Lestari PTSS menekankan beberapa prinsip utama iaitu:
Penerangan Konsep dan Matlamat Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS)
Memberi gambaran jelas tentang konsep Kampus Lestari, matlamat PTSS ke arah kampus hijau serta pengenalan kepada program KLAAS sebagai inisiatif nasional yang mengiktiraf usaha kelestarian IPT.
Kesedaran dan Kefahaman
Meningkatkan pengetahuan komuniti kampus tentang kepentingan kelestarian sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Peranan Warga Kampus
Menggalakkan pelajar, staf dan pentadbiran untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti hijau selari dengan garis panduan dan penilaian KLAAS.
Asas Pelaksanaan
Menjelaskan fokus utama kelestarian kampus seperti pengurusan tenaga, air, sisa pepejal serta pembangunan landskap hijau sebagai persediaan menuju kampus mampan.
Pada program ini juga dilancarkan logo Kampus Lestari PTSS, iaitu "Hijau Itu Stail Kita".
Bertempat di hadapan Pauh Inn PTSS, Majlis Penanaman Pokok Sempena Pelancaran Kampus Lestari PTSS telah dilaksanakan semasa Majlis Kick Off AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025. Program ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan Persekitaran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. PTSS terus melakar langkah progresif ke arah pembangunan mampan apabila Majlis Perasmian Kampus Lestari berjaya dianjurkan dengan penuh simbolik dan semangat cintakan alam.
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis yang berkenan menanam sepohon pokok Giam Malut (Hopea ferrea) iaitu spesies kayu keras yang semakin jarang ditemui. Penanaman ini menjadi simbol komitmen PTSS dalam memelihara khazanah alam semula jadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd. Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah JPPKK, Ts. Khairul Anuar bin Ishak, Pengarah PTSS, Encik Awang Shaffie bin Awang Ahmadni, Pengarah Jabtan Perhutanan Negeri Perlis dan Encik Abdul Malek bin Hassan, Mantan Pengarah PTSS. Para tetamu kehormat turut menanam pokok bunga tanjung yang harum dan penuh simbolik estetika, selari dengan nilai-nilai keindahan yang ingin diterapkan dalam landskap Kampus Lestari PTSS.
Langkah ini membuktikan iltizam warga PTSS untuk menjadi institusi TVET yang mendukung kelestarian dalam pembangunan kampus, bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga demi generasi akan datang.