Sejak pandemik COVID-19, trend peningkatan permasalahan kesihatan mental termasuk tingkah laku bunuh diri menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 81% pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding pada tahun 2020 (631 kes). Terkini, Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2023 melaporkan peningkatan beban masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia di mana anggaran seramai satu (1) juta individu berumur 15 tahun ke atas (4.6%) dilaporkan mengalami kemurungan.
Pelbagai inisiatif telah dan sedang dijalankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) bagi menangani hal ini. Antaranya adalah menerusi kolaborasi bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kesihatan mental bagi mempergiatkan lagi aktiviti advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti.
Bantuan Kewangan NCEMH-HASANAH kepada Badan Bukan Kerajaan bagi Program Kesihatan Mental adalah salah satu usaha KKM dalam membantu pemerkasaan program kesihatan mental menerusi kerjasama Badan Bukan Kerajaan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2024.
PENGENALAN
OBJEKTIF
1. Membantu kumpulan sasar menangani masalah kesihatan mental.
2. Melatih kumpulan sasar untuk memperkasa penjagaan kesihatan mental di peringkat komuniti.
3. Mempromosi kesihatan mental kepada masyarakat meliputi semua peringkat umur.
4. Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental.
KEUTAMAAN
Program kesihatan mental yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan bidang keutamaan berikut:
1. Advokasi dalam komuniti
2. Perkhidmatan kesihatan mental
3. Latihan dan pendidikan
KUMPULAN SASAR
Program kesihatan mental perlu melibatkan satu atau lebih kumpulan sasar seperti yang tersenarai:
1. Komuniti
2. Kanak-kanak/remaja/belia
3. Warga emas
4. Wanita
5. Warga bekerja
6. Mangsa bencana
7. Golongan rentan (OKU, warga emas, gelandangan, asnaf/miskin, orang asli dll.)
GARIS PANDUAN
KELAYAKAN
Semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia layak memohon sama ada pernah atau tidak pernah menerima dana daripada pihak KKM sebelum ini. Organisasi yang TIDAK LAYAK adalah seperti berikut:
1. Pertubuhan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
2. Pertubuhan entiti berdaftar yang mementingkan keuntungan (profit-oriented)
3. Pertubuhan yang menerima bantuan kewangan daripada syarikat tembakau atau alkohol atau agen mereka
4. Mana-mana Pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Induk. Contohnya : RELA, PIBG dan sebagainya
5. Badan-badan Sukan dan Kebajikan Jabatan Kerajaan
6. Tidak diluluskan oleh Perlembagaan masing-masing untuk bergerak dalam bidang yang sama di bawah bidang tugas
Kementerian Kesihatan Malaysia
7. Pertubuhan politik dan orang perseorangan
8. Telah dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan.
PERUNTUKAN DANA
Berbeza-beza mengikut jenis dan tempoh setiap program. Setiap Badan Bukan Kerajaan (NGO) boleh mencadangkan lebih daripada satu program namun hanya layak memohon dana terkumpul maksimum RM 100,000 bagi kesemua program yang dikemukakan. Peruntukan dana bagi yang berjaya akan dimaklumkan bersama amaun yang diluluskan. Setiap program tidak semestinya menerima kelulusan amaun seperti yang diminta. Semua program yang diluluskan perlu dilaksanakan dalam tempoh setahun daripada penerimaan dana. Dana ini TIDAK BOLEH dibelanjakan bagi perkara seperti berikut:
1. Pembelian harta modal atau aset seperti bangunan, komputer dsb.
2. Apa-apa jenis bantuan yang berbentuk wang tunai/biasiswa/baucar/pinjaman/ modal dsb.
3. Bayaran kos operasi berkala bagi organisasi seperti gaji kakitangan, bil utiliti, sewaan, caruman dsb.
4. Program yang bermotifkan keuntungan (profit-oriented) untuk NGO.
5. Program yang boleh menimbulkan isu sensitif
PENILAIAN
Permohonan bantuan kewangan ini akan dinilai berdasarkan beberapa perkara seperti:
1. Kelayakan NGO yang memohon
2. Kos program berdasarkan keutamaan aktiviti dan kesesuaian dengan objektif KKM
3. Kesungguhan NGO mengumpulkan dana dalam menampung keperluan operasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan kerajaan
4. Keutamaan program berimpak tinggi dan di peringkat nasional
5. Program yang mengikut piawaian/berkualiti serta menepati hala tuju KKM
6. Penerapan kempen "Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua" dalam aktiviti program yang dirancang adalah diwajibkan
TATACARA PERMOHONAN
SENARAI DOKUMEN
Sila sediakan dokumen berikut sebelum mengisi borang permohonan. Setiap dokumen perlu berada dalam bentuk pdf dan bersaiz tidak lebih 10mb kecuali bagi Kertas Kerja Cadangan Projek tidak lebih 100mb.
1. Salinan Sijil Pendaftaran Pertubuhan yang disahkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia
2. Perlembagaan Pertubuhan
3. Laporan Tahunan
4. Penyata Tahunan ROS
5. Maklumat AJK yang dimuat turun melalui website eROSES
6. Salinan Kad Pengenalan Pengerusi
7. Salinan Kad Pengenalan Setiausaha
8. Kertas Kerja Cadangan Program (sila muat turun template di sini)
9. Dokumen-Dokumen lain (mana-mana dokumen yang dirasakan perlu, sekiranya ada)
PROSES PERMOHONAN
1. Hanya permohonan yang lengkap sahaja akan diproses
2. Permohonan boleh dilakukan melalui pautan https://bit.ly/borangbknh
3. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2024 jam 11.59 malam
4. Proses penilaian akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada pakar dalam bidang berkaitan
5. Keputusan permohonan akan dimaklumkan kemudian dan keputusan tersebut adalah MUKTAMAD dan tiada sebarang rayuan dibenarkan.
FAQ
1. Bolehkah saya memohon atas kapasiti individu?
Jawapan: Tidak. Hanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sahaja layak memohon.
2. Pertubuhan saya tidak didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia tetapi berdaftar melalui agensi lain seperti di bawah SSM, bolehkah saya memohon?
Jawapan: Tidak. Hanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sahaja layak memohon.
3. Adakah NGO saya layak memohon jika pernah menerima dana KKM sebelum ini?
Jawapan: Ya. Semua NGO yang pernah atau tidak pernah menerima dana KKM layak memohon.
4. Berapakah jumlah dana yang layak dimohon?
Jawapan: Maksimum dana terkumpul adalah RM100,000 bagi setiap NGO.
5. Bolehkah saya memohon dana bagi beberapa program?
Jawapan: Ya. Anda boleh memohon dana bagi beberapa program namun, anda hanya boleh mengisi satu program bagi setiap permohonan. Jika anda mempunyai dua program, maka anda perlu mengisi borang permohonan sebanyak dua kali dan seterusnya.
6. Saya ingin memohon dana bagi satu program tetapi akan diadakan secara bersiri. Perlukah saya mengisi permohonan beberapa kali?
Jawapan: Tidak. Jika program anda mempunyai beberapa aktiviti atau siri, anda boleh mengisinya di bawah satu permohonan yang sama.
7. Apakah yang akan berlaku jika saya mengisi borang permohonan dengan permohonan peruntukan dana bagi program di bawah NGO saya dengan nilai melebihi RM100,000?
Jawapan: Permohonan anda masih akan dinilai. Namun, jika program anda diluluskan, amaun maksimum yang akan diterima bagi setiap NGO hanyalah RM100,000.
8. Bilakah keputusan permohonan akan diumumkan?
Jawapan: Tiada tarikh yang ditetapkan setakat ini. Bergantung kepada proses penilaian yang dijalankan. Namun, pihak kami akan memaklumkan keputusan kepada semua pemohon sejurus penilaian selesai.
9. Apakah tindakan seterusnya selepas permohonan diluluskan?
Jawapan: Proses penyaluran dana, pelaksanaan program dan juga laporan pemantauan akan dimaklumkan kemudian bagi pemohon yang berjaya.
10. Saya ada soalan lanjut. Siapakah yang boleh saya hubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bantuan kewangan ini?
Jawapan: Sila e-melkan pertanyaan anda menerusi promosincemh@moh.gov.my.
Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Sektor Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Penyakit Mental
Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan
No. Tel : 03 - 4801 1120 / 03 - 4801 1113
E-mel : promosincemh@moh.gov.my