SMK CLIFFORD

 

SEJARAH SMK CLIFFORD

Sekolah Menengah Clifford merupakan sebuah sekolah Inggeris kerajaan yang tertua di Negeri Pahang yang dibina pada tahun 1913. Sebelum itu, sekolah ini telah dikenali sebagai Government English School. Kemudian, dikenali pula sebagai Anglo Chinese School dan akhirnya sebagai Clifford School. Pada masa itu, bangunannya hanya berupa sebuah rumah kayu kecil dan beratapkan nipah. Ia dibina di tebing Sungai Jelai. 

Pada tahun 1918, sekolah tersebut mempunyai 12 orang pelajar lelaki. Kemudian, jumlah pelajar bertambah kepada 200 orang dan sekolah ini telah berpindah ke kawasan yang ada sekarang. Pada tahun 1919, sebuah bangunan telah dibina di tengah-tengah padang sekolah pada masa itu, namun telah musnah dilanda banjir besar pada tahun 1926. Bangunan sekolah yang digunakan pada masa itu hanyalah bangunan-bangunan kayu. Memandangkan sekolah ini merupakan institusi pelajaran terbesar di Negeri Pahang, bangunan Malay Hostel 1926 dan bangunan induk berbentuk D telah dibina untuk menempatkan para pelajar.

Apabila terbinanya bangunan asrama, sekolah ini dianggap sebagai sekolah berasrama penuh (Boarding School) di Kuala Lipis oleh penduduk di Pahang. Pelajar-pelajar yang memasuki sekolah ini merupakan pelajar terpilih yang datangnya dari merata-rata tempat di seluruh Negeri Pahang. Perasmian sekolah ini telah dibuat dalam tahun 1926 oleh Sir Hugh Clifford, yang merupakan Residen British Pahang. Pada tahun 1926, beliau telah menjadi Governor Of The Strait Settlements dan High Commisioner Of The Federated Malay States. Sekolah ini telah diabadikan dengan nama beliau selepas upacara itu. 

Guru Besar pertama disitu ialah Mr.V.N Bartlett. Sekolah ini telah mencatatkan sejarah sekolah pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936. Penuntut yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge adalah seramai 11 orang dan 9 orang mereka telah lulus peperiksaan tersebut. Di samping kecermerlangan yang diperolehi dalam bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bidang sukan. Pada zaman pemerintahan Jepun sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan ibu pejabat Kempetai (Polis Rahsia Jepun). Terdapat sebuah tempat yang dipercayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai kubu untuk menangkis serangan pihak musuh. Selain itu, sebuah bilik darjah dijadikan tahanan penyiksaan sebelum seseorang tahanan dihantar ke Melaka yang kini merupakan bilik darjah pelajar-pelajar tingkatan 6. 

KDYMM Sultan Pahang,Sultan Haji Ahmad Shah dan Tan Sri Ghazali Shafie merupakan antara bekas pelajar di sekolah ini. Mulai tahun 1949 padang sekolah dijadikan padang utama program rasmi Negeri Pahang seperti sambutan ulang tahun keputeraan KDYMM Sultan Abu Bakar dan sukan tahunan sekolah-sekolah Negeri Pahang pada tahun 1955. Penyanyi nombor 1 negara iaitu Dato’ Siti Nurhaliza binti Taruddin adalah bekas pelajar di sekolah Clifford. Beliau memulakan pelajaran ke Sekolah Menengah Clifford dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Sehingga sekarang Sekolah Clifford banyak menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang memberi sumbangan besar kepada negara.

Sumber: https://pdtlipis.pahang.gov.my/info-daerah/tempat-menarik/sekolah-menengah-clifford-1913 

Barisan Para Pentadbir

Pn. Roziah binti Abdul Latiff

Pengetua SMK Clifford
2023

Pn. Hartini binti Lot

GPK Pentadbiran

En. Md Aswadi bin Ismail

GPK Hal Ehwal Murid

Pn. Rozline binti Mohd Rosmi

GPK Kokurikulum

Pn. Siti Azian binti Amin

GPK Rendah

LOKASI SMK CLIFFORD

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CLIFFORD


KM1, JALAN LIPIS -RAUB, 27200 KUALA LIPIS,

PAHANG DARUL MAKMUR


TEL: 093101242

FAX: 093101241

E-MEL: cee3037.smkclifford@gmail.com

PAUTAN APLIKASI

AD SAPIENTIAM