SEKOLAH KEBANGSAAN SERI MUTIARA

Bismillahhirahmanirahim

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Sejahtera

 

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi, dengan izin dan limpah kurniaNya kita bersama Selangkah Seiringan memulakan sesi 2024 - 2025, meneruskan agenda aspirasi Pendidikan Negara bagi melahirkan waris masa hadapan yang bersahsiah mulia, berdaya saing dan holistik.

Saya mengucapkan ‘Selamat Menjalankan Tugas’ kepada semua Warga SK

Seri Mutiara serta guru-guru yang saya sayangi. Kesediaan dan kemahiran guru adalah faktor utama dan terpenting bagi memastikan kejayaan sekolah dalam era pembelajaran Abad ke-21.

Sekalung tahniah dan penghargaan juga saya rakamkan kepada seluruh Warga SK Seri Mutiara yang telah menunjukkan usaha dan khidmat yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum sepanjang tahun 2023. Diharapkan agar segala program yang telah dirancang, tanggungjawab yang telah diamanahkan pada sesi ini dapat kita sempurnakan sebaik mungkin dengan melipatgandakan usaha kita demi meningkatkan prestasi anak didik kita ke tahap yang lebih tinggi dalam penilaian akhir tahun dan semua bidang yang disertai.

 

Alhamdulillah, SK Seri Mutiara telah berjaya merancang hala tuju Program Transformasi Sekolah TS25 untuk dijadikan panduan organisasi, warga sekolah serta semua guru. Program TS25 bertujuan untuk menetapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak yang berkepentingan dengan kejayaan murid.

 

Transformasi dalam sistem pendidikan negara merupakan suatu keperluan yang harus dilaksanakan untuk meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dengan amalan terbaik dalam melaksanakan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM) 2013 - 2025.

 

Ayuh kita berganding bahu, berpimpin tangan Selangkah Seiringan menyahut cabaran serta berusaha melaksanakan Program TS25 dan memastikan kejayaan pelaksanaannya demi manfaat kita bersama sepanjang sesi 2024 - 2025 ini seterusnya menjadikan SK Seri Mutiara sebuah sekolah yang cemerlang, bersih, ceria, indah dan selamat serta menyeronokkan untuk anak didik kita. Sahsiah Cemerlang Akademik Gemilang.


 

Salam Mesra daripada:

 

Tuan GB Mohd Azharri bin Othman

GURU BESAR 

SK Seri Mutiara, Perak


En. Kamarulzaman bin Ishak 

Penolong Kanan Pentadbiran

En Shamshir b Mustafa 

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

Pn. Muhadzirah bt Ahmad 

Penolong Kanan Kokurikulum

Pn. Rozila bt Ramli 

Penolong Kanan Pendidikan Khas