PROGRAM KHAS BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KPM
PROGRAM KHAS BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM KPM
PROGRAM J-QAF
Program j-QAF daripada akronim Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain merupakan satu daripada usaha dan inisiatif KPM bagi memperkasakan pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Program ini dilaksanakan di sekolah rendah secara berperingkat mulai tahun 2005 hingga tahun 2010 dengan menggunakan model-model pengajaran dan pembelajaran tertentu.
Guru j-QAF dilantik melalui Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) yang dilaksanakan di institut pendidikan guru seluruh negara. KPM juga telah menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran j-QAF serta makmal dan bilik khusus j-QAF di sekolah.
Matlamat Program j-QAF adalah untuk melahirkan murid khatam al- Quran sebelum tamat Tahun 6, menguasai tulisan dan bacaan jawi serta asas bahasa Arab, mengamal dan menghayati fardu ain.
Antara program j-QAF yang dilaksanakan di peringkat sekolah ialah Kem Kecemerlangan Jawi, tasmik dan khatam al-Quran, Mukhayyam Arabi dan Kem Bestari Solat.
TAHFIZ MODEL ULUL ALBAB (TMUA)
Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) mula diperkenal dan dilaksanakan di sekolah-sekolah SMKA dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang terpilih pada tahun 2014. Sehingga tahun 2023, terdapat 11 buah SMKA dan empat buah SBP seluruh negara yang melaksanakan TMUA. Pelaksanaan TMUA merupakan gabungan antara Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan program Ulul Albab yang berasaskan 3 pendekatan seperti berikut:
(i) Pendekatan Quranik, iaitu kaedah bagi membolehkan murid menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahami kandungannya berdasarkan konsep baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar dalam tempoh lima tahun persekolahan di sekolah menengah.
(ii) Pendekatan Ensiklopedik, iaitu kaedah bagi menyediakan asas kepada murid untuk menguasai pelbagai ilmu dan bahasa, berkemahiran tinggi dan mampu bertindak sebagai pakar rujuk kepada rakan sebaya.
(iii) Pendekatan Ijtihadik, iaitu satu kaedah untuk menyediakan murid yang berupaya memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah dan memaksimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, secara kreatif dan inovatif.
KELAS ALIRAN AGAMA (KAA)
Kelas Aliran Agama (KAA) merupakan kelas yang beroperasi di sekolah menengah kebangsaan (SMK) KPM dengan menggunakan pakej mata pelajaran agama. KAA merupakan satu inisiatif KPM untuk menampung permintaan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap pendidikan yang disediakan di SMKA.
KAA di SMK menyediakan kemudahan kepada murid-murid Islam akses kepada pembelajaran dan pengajaran pendidikan agama terbaik, berkualiti dan terancang ke arah melahirkan profesional dan teknorat yang beragama (mutadayyin), dan pelapis ulamak yang berwibawa, di samping menampung permintaan ibu bapa dan murid yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang agama.
KELAS KHAS KEMAHIRAN MEMBACA DAN MENGHAFAZ AL-QURAN (KKQ)
Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ) merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum di SMKA, SABK dan KAA. Melalui aktiviti ini, murid didedahkan dengan ilmu-ilmu kemahiran asas al-Quran seperti membaca dan menghafaz surah-surah tertentu daripada al-Quran secara bertajwid. Kelas ini juga memberi pendedahan kepada murid dalam mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian. Selain itu murid juga didedahkan dengan ilmu al-Quran seperti sejarah penulisan, pengumpulan, pembukuan, surah dan asbabun-nuzul, ilmu tarannum al-Quran dan Qiraat al-Sab’ie.
INTERVENSI TAHFIZ SWASTA
Program ini menyediakan akses pendidikan kepada murid tahfiz swasta melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) enam mata pelajaran teras yang lebih bersistematik bagi memperolehi sijil yang diiktiraf (SPM).
AL-SYAHADAH AL-ULYA ULUL ALBAB
Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab merupakan penggabungan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dengan Program Ulul Albab yang menawarkan pengajian turath bagi murid-murid aliran sains tulen pada peringkat menengah atas. Matlamatnya ialah sebagai nilai tambah kepada asas pengajian turath disamping penguasaan hafazan 30 juzuk bagi murid-murid aliran sains tulen.
Pelaksanaan al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab merupakan usaha KPM bagi memberi peluang kepada murid-murid cemerlang menggabung jalin ilmu agama dan ilmu sains secara holistik yang menyatukan sains revelational (ilmu Naqli) dan sains rasional (ilmu ‘Aqli) bagi melahirkan generasi ulama yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi merealisasikan hasrat kerajaan menterjemahkan konsep Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan urus tadbir negara.
Murid yang terpilih akan mengikuti sesi pembelajaran al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab selama dua tahun (Tingkatan 4 dan 5) di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, Terengganu.
KURIKULUM BERSEPADU DINI (KBD)
Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) merupakan kurikulum yang dibina secara kerjasama antara KPM, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri. Resolusi Seminar Pemantapan Kurikulum SABK peringkat Kebangsaan 2008 di Port Dickson telah menyatakan bahawa Kurikulum Dini/ Azhari perlu diselaraskan dan diangkat menjadi kurikulum kebangsaan. Persidangan Ketua-ketua/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali ke-86, pada 25-27 Mei 2011 di Kangar Perlis telah bersetuju dengan cadangan Kurikulum Dini di selaras dan diangkat menjadi kurikulum kebangsaan. Kurikulum ini juga telah diperkenan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 27 Februari 2013.
Kurikulum ini dilaksanakan di sekolah-sekolah agama di Malaysia termasuk sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah agama negeri (SAN) dan sekolah agama rakyat (SAR). Murid aliran KBD mengikuti mata pelajaran Dini dengan menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lepasan SPM aliran KBD berpeluang menyambung pengajian ke Tingkatan 6 seterusnya menduduki peperiksaan STPM dan STAM serta berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam dan luar negara.
KURIKULUM BERSEPADU TAHFIZ (KBT)
Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) adalah kurikulum yang digubal berdasarkan kurikulum tahfiz al-Quran dari pelbagai institusi pendidikan agama di negeri yang diselaraskan oleh KPM, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pelaksanaan KBT bertujuan melahirkan golongan huffaz yang mengamalkan ajaran Islam dan memiliki perbagai kemahiran ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. KBT ini juga akan memastikan pelajar dapat menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa lima tahun pengajian pada peringkat sekolah menengah. Murid yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran akan memperoleh Sijil Tahfiz KPM yang diiktiraf oleh Darul Quran JAKIM.
Kurikulum ini dilaksanakan di sekolah-sekolah agama di Malaysia termasuk sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah berasrama penuh bagi program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR).
PERKARA ASAS FARDU AIN (PAFA)
PAFA ialah perkara terpenting daripada Fardu Ain yang terkandung dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam.
Penilaian yang dilaksanakan bagi memastikan setiap murid dapat mengetahui, memahami, dan boleh mengamalkan dengan cara yang betul dan sempurna seperti yang ditetapkan syarak.
TUJUAN PENILAIAN PAFA
1. Memastikan tidak terdapat sebarang keciciran dalam PAFA, dengan perkataan lain menentukan kejayaan 100%.
2. Menimbulkan dan menyuburkan keinsafan dan kerelaan yang positif untuk menghayatinya dalam amalan kehidupan harian.
3. Merangsang tanggungjawab guru untuk memastikan murid menguasai dan menghayati PAFA secara berterusan.