PENGENALAN
Selamat Datang ke Laman Utama Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains 2024
PENGENALAN
Minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid perlu diberikan perhatian serius. Perkara ini penting bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan keperluan negara menjelang 2050.
Bagi memastikan keperluan modal insan ini tercapai, pembudayaan inovasi dan kreativiti pada semua peringkat masyarakat perlu dipergiat menerusi pelaksanaan program dan aktiviti berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Pelibatan menyeluruh daripada guru, murid, ibu bapa dan agensi luar pasti dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kepentingan STI. Bagi memberi impak yang lebih besar dan menyeluruh, satu program khas perlu dikhususkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan.
Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains Sempena Minggu Sains Negara 2024 anjuran Sekolah Kebangsaan Sungai Kelambu, Banting, Kuala Langat, Selangor bersama rakan strategik utama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat merupakan salah satu aktiviti kokurikulum akademik yang melibatkan penyertaan murid sekolah rendah, Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) sekolah rendah, sekolah menengah dan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) sekolah menengah dalam bidang sains angkasa. Pelaksanaan semua aktiviti sepenuhnya secara dalam talian. Program ini dijalankan bagi menarik minat murid terhadap mata pelajaran sains sekaligus memupuk masyarakat yang saintifik. Program ini juga dijadikan sebagai teras untuk membangunkan murid-murid dari segi penampilan sahsiah, pencapaian akademik yang cemerlang dan membudayakan STEM dalam kehidupan seharian mereka.
SEJARAH
Cetusan idea pelaksanaan Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains bermula pada tahun 2021 apabila negara dilanda gelombang pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan. Sekolah terpaksa ditutup bagi membendung gejala ini. Sesi pembelajaran sepenuhnya dijalankan secara dalam talian di rumah dan keadaan ini membataskan pelibatan murid dalam aktiviti koakademik.
Pelaksanaan program secara dalam talian ini merupakan salah satu inisiatif ke arah pemerkasaan KBAT yang memberi peluang kepada semua murid sekolah rendah yang belajar di sekolah dalam negeri Selangor menyertainya buat kali pertama pada tahun 2021. Projek rintis ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sungai Kelambu dan komuniti setempat. Yang Berhormat Haji Borhan Aman Shah, EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan Negeri Selangor sangat menyokong usaha ini dan bersetuju menyuntik dana bagi menjayakan program ini. Program ini sangat istimewa kerana jalinan kerjasama erat antara agensi luar terutamanya rakan strategik utama iaitu Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Selain itu, pelibatan agensi luar lain iaitu Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pertanian Kuala Langat, Selangor.
Penganjuran program diteruskan di peringkat kebangsaan pada tahun 2022 dengan memberi lebih peluang murid sekolah rendah menyertainya. Program Jalinan Kerjasama antara agensi luar diperluas dengan pelibatan rakan strategik utama iaitu Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disamping kolaborasi bersama agensi luar lain iaitu Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Penganjuran kali ini merupakan kolaborasi pertama antara Sekolah Kebangsaan Sungai Kelambu dengan MYSA dalam menjayakan Minggu Sains Negara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Pada tahun ini, Program Misi Al-Jazari : Eksplorasi KBAT Sains Sempena Minggu Sains Negara 2024 tampil sekali lagi membawakan peluang yang lebih besar kepada para peserta dalam berkongsi pengetahuan, konsep, teori dan fakta sains angkasa. Program kali ini menyediakan empat kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah, Kategori Sekolah Menengah, Kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Sekolah Rendah dan Kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Sekolah Menengah. Slot Perkongsian Ilmiah Rancangan TV PSS SK Sungai Kelambu iaitu Rancangan Syoknya Sains!: Rahsia Ruang Angkasa merupakan perkongsian daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan penampilan pengacara cilik SK Sungai Kelambu kepada segenap lapisan masyarakat termasuklah pelajar IPTA, IPTS, Matrikulasi, Kolej Vokasional, Kolej Swasta dan masyarakat umum.
PENGANJUR UTAMA
RAKAN STRATEGIK UTAMA
DENGAN KERJASAMA
· UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
· JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR
· PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH KUALA LANGAT
· PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI KELAMBU
· PELIBATAN IBU BAPA, KOMUNITI DAN SWASTA