BERTARIKH 5 HINGGA 6 NOVEMBER 2023
HARI AHAD HINGGA ISNIN
BERTEMPAT DI
KEM PAYA PAHLAWAN, JITRA KEDAH.
PENGENALAN
Mukhayyam Arabi dilaksanakan untuk memantapkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan murid-murid sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia di samping menyemai minat dan mempertingkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Arab.
Program ini melibatkan guru-guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman sebagai fasilitator program dalam usaha meningkatkan keyakinan dan kompetensi guru-guru pelatih bagi mengangkat Bahasa Arab sebagai Bahasa pilihan utama dalam arus pendidikan negara.
KONSEP
Pelaksanaan Mukhayyam Arabi adalah salah satu usaha ke arah meningkatkan minat murid sekolah rendah terhadap Bahasa Arab disamping meningkatkan pencapaian murid di dalam berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab.
Melalui program ini murid dapat menguasai Bahasa Arab di sekolah rendah dan membudayakan percakapan Bahasa Arab di sekolah menengah. Ianya menepati hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam usaha menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa pilihan utama.
Para mu'allim dan mu'allimah yang dipilih akan berperanan sebagai fasilitator (pemudahcara) sepenuhnya yang akan berinteraksi dengan para pelajar menggunakan modul yang telah dibina. Penekanan kepada unsur 'fun learning' dan PAK 21 diharap dapat mewujudkan keseronokan belajar dalam kalangan murid dan guru mampu mewujudkan pengajaran berkesan melalui sesi LDK yang dijalankan.
RASIONAL
Murid:
Murid-murid diberi pendedahan tentang kemahiran bertutur, membaca dan menulis menggunakan Bahasa Arab.
Guru (mu'allim dan mu'allimah):
Meningkatkan kompetensi guru, keyakinan berkomunikasi dalam Bahasa Arab dan pendedahan kepada iklim pendidikan Bahasa Arab yang dihasratkan di lapangan (sekolah)
OBJEKTIF
Memantapkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan murid.
Mendedahkan suasana sebenar (bi’ah) Bahasa Arab yang menyeronokkan melalui kaedah permainan Bahasa, nasyid dan sebagainya.
Menimbulkan rasa kecintaan dan minat terhadap Bahasa Arab dalam kalangan murid sekolah rendah bagi mempersiapkan diri ke sekolah menengah.
Mewujudkan kesediaan guru dalam melaksanakan amalan pengajaran berkesan dan berfokus menggunakan pendekatan dan kaedah PAK21.