SEJARAH
SEJARAH
Pada awal penubuhan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPD Kuala Nerus) telah diterajui oleh kepimpinan seorang Pegawai Pendidikan Daerah iaitu Haji Che Soh bin Muda bersama-sama dengan penolong-penolong pegawai yang pada masa itu yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan ditempatkan secara interim dari perjawatan di PPD Kuala Terengganu. Pada peringkat permulaan PPD Kuala Nerus merupakan PPD Satelit kepada PPD Kuala Terengganu ini telah beroperasi di Kuarters Guru SK Tok Jiring yang telah ditukar fungsi dan ubah suai untuk dijadikan bangunan pentadbiran PPD Kuala Nerus.
PPD Kuala Nerus ini telah dirasmikan oleh YAB Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman, Menteri Besar Terengganu pada 19 Julai 2016 bersamaan 14 Syawal 1437 Hijrah dan bermula pada 17 Julai 2016, seorang Pegawai Pendidikan Daerah bersama 10 orang pegawai dan 4 orang Anggota Kumpulan Sokongan (AKP) telah melapor diri dan menjalankan tugas di PPD Kuala Nerus. Pada 1 Mac 2018 Tengku Azelam bin Tengku Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid dan menjalankan tugas sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus. Seterusnya, pada 3 Mei 2020 pula Hamid bin Yahya dilantik sebagai Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid dan juga menjalankan tugas sebagai Pegawai Pendidikan Daerah.
Bagi memastikan pengurusan pendidikan yang lebih cekap, sistematik dan berkualiti satu kertas cadangan penubuhan PPD Kuala Nerus baharu telah dikemukakan kepada Agensi Pusat pada 29 Mac 2021. Cadangan penubuhan PPD Kuala Nerus ini juga adalah susulan keputusan Mesyuarat Pasca Kabinet KPM Bil 18 Tahun 2020 bertarikh 3 September 2020. Justifikasi permohonan PPD Kuala Nerus sebagai PPD baharu berdasarkan pewartaan daerah Kuala Nerus sebagai daerah ke-8 dalam negeri Terengganu dan diwartakan melalui Kanun Tanah Negara pada 10 September 2015. Selain itu, terdapat juga agensi-agensi lain di peringkat daerah yang telah beroperasi serta memudahkan mobiliti bagi masyarakat setempat dalam urusan berkaitan perkhidmatan pendidikan di daerah Kuala Nerus.
Pewujudan PPD Baharu bagi PPD Kuala Nerus berdasarkan Waran Perjawatan Bil. S96 Tahun 2021 dan PPD Kuala Nerus sebagai PPD Baharu berkuatkuasa pada 1 Julai 2021. Selain itu, bilangan pegawai dan AKP yang baharu dilantik bertugas di PPD Kuala Nerus juga bertambah dan mula melaporkan diri pada 1 September 2021 secara berperingkat. Bilangan pegawai yang bertugas di PPD Kuala Nerus seramai 35 orang manakala AKP pula 25 orang yang diketuai oleh Hamid bin Yahya dilantik sebagai Timbalan PPD Sektor Perancangan selepas penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah dan beliau menjalankan tugas sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus. Pada 1 September 2022, Haji Kamarudzaman bin Daud telah melapor diri bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus yang pertama.
Penstrukturan semula PPD juga telah mewujudkan empat jawatan Timbalan PPD iaitu Timbalan PPD Sektor Perancangan, Sektor Pembelajaran Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Pembangunan Murid bagi membantu melancarkan tugas-tugas Pegawai Pendidikan Daerah. Kini, PPD Kuala Nerus telah diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus yang baharu iaitu Hajah Wan Salmah binti Wan Hamat dan melapor diri bertugas pada 15 Mei 2024. Beliau dibantu oleh 4 orang Timbalan PPD iaitu Mohd Fadli bin Sidik, Timbalan PPD Sektor Perancangan, Mohd Nordin bin Zakaria, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Azman bin Mamat, Timbalan PPD Sektor Pengurusan Sekolah dan Muhamad bin Muda, Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid.
Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus ini yang telah ditubuhkan di bawah Education Ordinance 1950 juga mewakili Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu untuk menyelaraskan semua perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah-sekolah menengah dan rendah di daerah Kuala Nerus yang melibatkan 29 buah sekolah rendah dan 16 sekolah menengah.