PERTANDINGAN INNOVATEX 2025: POLYCC STUDENT INNOVATION CHALLENGE PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2025 adalah usaha strategik Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan serta Unit Pembangunan Pelajar, Kolej Komuniti Sandakan, dengan kerjasama dari Bahagian Ambilan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti untuk menggalakkan para pelajar PolyCC mencipta dan menghasilkan idea inovatif yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat, meningkatkan daya saing, serta menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh. Program ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, membolehkan penyertaan yang lebih inklusif dan fleksibel daripada pelbagai lokasi di seluruh negara. 

Innovate mewakili proses inovasi, penjelajahan idea, dan penciptaan penyelesaian baharu yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai sektor, manakala X melambangkan elemen misteri, penjelajahan tanpa batasan, dan transformasi yang diperoleh melalui eksperimen, penerokaan, dan kecemerlangan (eXploration, eXperimentation, eXcellence). 

Pertandingan ini mendukung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang menekankan pembangunan pelajar holistik, inovasi, dan kebolehpasaran graduan. Sejajar dengan agenda Transformasi Politeknik dan Pemerkasaan Kolej Komuniti, program ini mempersiapkan pelajar dengan kemahiran teknikal serta daya saing tinggi dalam menghadapi keperluan industri moden. 

Selain itu, pertandingan ini diadaptasi kepada keperluan Revolusi Industri (IR) 4.0 dengan mengintegrasikan teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT), automasi, dan analitik data, bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar dan perubahan landskap pekerjaan.