Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan satu pendekatan pendidikan yang memberi peluang kepada individu untuk terus memperoleh ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta membangunkan potensi diri secara berterusan. Dalam persekitaran yang sentiasa berubah akibat perkembangan teknologi, ekonomi dan keperluan industri, penguasaan ilmu dan kemahiran baharu amat penting bagi memastikan individu kekal berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Sehubungan itu, Seminar Pembelajaran Sepanjang Hayat dianjurkan sebagai satu platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang dapat meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan pembelajaran berterusan. Seminar ini turut memberi pendedahan berkaitan peluang pendidikan, pembangunan kemahiran, peningkatan kompetensi serta keperluan pembelajaran yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Pelaksanaan seminar ini juga selaras dengan usaha memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat, khususnya melalui institusi pendidikan dan TVET.  Oleh itu, Seminar Pembelajaran Sepanjang Hayat diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, adaptif dan mempunyai kesediaan untuk terus meningkatkan kompetensi sepanjang kehidupan.