GARIS PANDUAN PERMOHONAN ITHBAT HAFAZAN AL-QURAN NEGERI SELANGOR
1. SYARAT KELAYAKAN
Pemohon mestilah beragama Islam dan warganegara Malaysia yang disahkan menetap di negeri Selangor melebihi tiga (3) tahun.
Pemohon yang lahir di negeri Selangor tetapi menetap di luar Selangor tidak layak memohon.
Pemohon yang tidak menetap dan hanya belajar di Negeri Selangor juga tidak layak untuk memohon.
Tidak menerima apa-apa elaun Ithbat Hafazan Al-Quran dari mana-mana Majlis Agama Islam Negeri lain, badan berkanun atau mana-mana yayasan.
Memiliki Sijil Khatam Al-Quran 30 juzuk / Syahadah / surat pengesahan khatam hafazan 30 juzuk yang dikeluarkan oleh sekolah atau institusi tahfiz yang diiktiraf agensi kerajaan.
Berumur 18 tahun ke atas bagi kategori 1 hingga 10 juzuk dan 1 hingga 20 juzuk. Bagi kategori 1 hingga 30 juzuk terbuka kepada semua peringkat umur.
Setiap pemohon hanya layak memohon satu (1) kategori sahaja.
Sila pastikan pemohon memilih kategori / tahap yang betul. Sebarang pertukaran kategori / tahap tidak akan dibenarkan setelah permohonan dihantar.
2. CARA MEMOHON
Isi permohonan di “Google Form” pada pautan yang diiklan di laman web Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor, saluran whatsapp, laman web rasmi Jabatan Agama Islam Selangor atau laman media sosial rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Borang permohonan akan dihantar ke email yang didaftarkan dalam masa 5 minit. Sila cetak dan lengkapkan borang permohonan tersebut, seterusnya;
Sertakan dokumen-dokumen beriku:
Salinan Kad Pengenalan pemohon (hadapan dan belakang dalam satu (1) muka surat).
Salinan sijil khatam hafazan Al-Quran 30 juzuk / syahadah hafaz Al-Quran / surat pengesahan khatam hafazan yang dikeluarkan oleh sekolah atau institusi tahfiz yang diiktiraf agensi kerajaan.
Borang Pengesahan Pemastautin (wajib kepada semua pemohon).
Pengesahan ini boleh dilakukan oleh Penghulu / Ketua Kampung / Pengerusi JKKK / Nazir Masjid / Pengerusi Surau /
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk & Taman Perumahan.
Salinan penyata akaun bank atau slip pengesahan akaun yang masih aktif dan tertera tarikh tahun semasa. Penyata yang tidak bertarikh atau bukan tarikh tahun semasa TIDAK DITERIMA. hanya AKAUN TUNGGAL PEMOHON SAHAJA DITERIMA. Akaun Bank Tabung Haji, akaun bersama, penyata ringkas, buku bank, slip deposit akaun bank, slip ATM atau yang setara TIDAK DITERIMA.
Semua salinan dokumen hendaklah disperakui sah oleh mana-mana Pegawai Kerajaan Kumpulan A / Pengetua / Guru Besar / Guru Penolong Kanan / Wakil Rakyat / Penggawa / Penghulu / Ketua Kampung / Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).
Borang yang telah lengkap diisi boleh dihantar secara serahan tangan atau pos ke:
Urus Setia Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor,
Bahagian Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor,
Tingkat 7 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah,
No. 2, Persiaran Masjid Bukit S.U.K., Seksyen 5,
40676 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi Urus Setia ditalian:
03 5514 3590 atau 03 5514 3507
Borang yang sampai ke pihak urusetia melalui serah tangan atau pos selepas tarikh tutup TIDAK AKAN DIPROSES.
3. TEMUDUGA
Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui Sistem Semakan Keputusan Permohonan Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor Tahun di laman web Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor.
Tarikh temuduga akan dimaklumkan melalui surat tawaran yang boleh dimuat turun oleh pemohon yang berjaya melalui Sistem Semakan Keputusan Permohonan Ithbat Hafazan Al-Quran Negeri Selangor. Tarikh temuduga adalah muktamad. Sebarang rayuan pindaan tarikh temuduga TIDAK AKAN DILAYAN.
Tempat temuduga akan dimaklumkan di dalam surat tawaran.
Sebarang perubahan tarikh, masa dan tempat adalah tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa.
4. KADAR ELAUN
Kadar elaun adalah bergantung kepada peruntukan kewangan semasa yang diluluskan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).
5. PERINGATAN
Permohonan yang tidak menepati syarat, tidak lengkap, tidak jelas dan tidak terang akan ditolak.
Hanya calon yang melepasi saringan semakan borang permohonan dan disenarai pendek sahaja yang akan dipanggil untuk sesi temuduga.
Calon tidak dibenarkan menukar kategori / tahap yang telah dipilih. Calon yang tidak dapat menamatkan temuduga mengikut kategori / tahap yang dipilih adalah dianggap GAGAL.
Pemohon yang berjaya dan ditawarkan temuduga hendaklah hadir pada tarikh dan masa temuduga yang telah ditetapkan. Sebarang rayuan dan pertukaran tarikh temuduga TIDAK AKAN DILAYAN.
-TAMAT-