1 HARI

1 HADIS

Keji dan Kasar Ke Neraka


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ


Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu dari iman dan iman ada di syurga, sedangkan perkataan keji itu dari perangai yang kasar dan perangai yang kasar ada di neraka." (HR Ahmad No: 10108) Status: Perawi Tsiqah


Pengajaran:


1. Malu adalah hasil dari iman


2. Kata Ibnu Umar: Sesungguhnya sifat malu dan iman itu bersamaan, apabila salah satu tercabut, yang satu lagi turut tercabut.


3. Iman itu tempatnya di syurga


4. Perkataan keji kerana ketiadaan iman dan hilangnya sifat malu berpunca dari perangai kasar dan huduh antaranya mengumpat, memfitnah, dan mencaci maki antaranya melalui media sosial seperti FB, WhatsApp, Telegram, Instagram.


5. Perangai kasar dan buruk tempatnya di neraka


Ayuh kita miliki sifat malu dan menjauhi sifat buruk ahli neraka.

Istiqamah Jaga Lidah


عن أَبي سَعيدٍ الخُدْرِيِّ عن النَّبيّ ﷺ قَالَ إِذَا أَصْبَحَ ابْنُ آدَمَ فَإِنَّ اْلأََعْضَاءَ كُلَّهَا تُكَفِّرُ اللِّسَانَ فَتَقُوْلُ : اِتَّقِ اللهَ فِيْنَا فَإِنَّمَـا نَحْنُ بِكَ فَإِنِ اسْتَقَمْتَ اِسْتَقَمْنَا وَإِنِ اعْوَجَجْتَ اِعْوَجَجْنَا


Daripada Abu Said al-Hudari dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika anak keturunan Adam berada di pagi hari, seluruh organ tubuh tunduk kepada lidah dengan berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah Azza wa Jalla pada kami, kerana kami bersamamu. Jika engkau istiqâmah, kami juga istiqâmah. Jika engkau menyimpang, kami juga menyimpang.” (HR Tirmidzi No: 2407). Status: Hadis Hasan


Pengajaran:


1. Lidah boleh menjadi penyebab seseorang menjadi soleh juga kufur.


2. Semua anggota tubuh manusia akan tunduk dan mengikuti amalan lidahnya.


3. Jika lisannya (termasuk tulisan) istiqâmah dalam ketaatan atau tidak mengucapkan perkataan yang mendatangkan dosa dan murka Allah, maka seluruh anggota seseorang itu akan mengikuti amal ketaatan hingga ia selamat di sisi Allah.


4. Lisan yang tidak dijaga malah menjadi kebiasaan mengumpat dan memfitnah, maka seluruh anggota lain akan mengikuti perbuatan itu berterusan dan akan menyeret tuannya ke neraka.


5. Setiap yang diucap mahupun ditulis sama ada yang baik mahupun yang buruk akan dicatat oleh Malaikat dan akan dihisab. Firman Allah:


مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٞ ١٨


Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). [Qâf/50:18]


Ayuh jaga lidah dan istiqamah dengan amal baik agar anggota lain juga menjadi baik.

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏"‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏"‏


Daripada ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” (Sunan Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.


Pengajaran:


1. Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)


2. Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat.


3. Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya.


4. Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat itu.


5. Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga gambar yang dimuat naik serta yang di tularkan.


6. Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:


يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦


“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan” [al-Zumar: 56].

Manusia Yang Dibenci Allah


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ


Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6651) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1. Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.


2. Iblis menjadi kufur akibat dari sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik dari orang lain.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ


Daripada Abdullah RA, Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim No: 133) Status: Hadis Sahih


3. Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.


Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah. Bukalah minda kita untuk menerima teguran dan nasihat. Allah memberikan kepada kita akal untuk berfikir. Jika ada pandangan dan fakta yang lebih baik maka terimalah dengan berlapang dada. Jangan sekali-kali berkeras dan sombong dengan apa yang kita milik.


Ya Allah lembutkanlah hati kami untuk menerima yang hak dan kebenaran. Jauhilah kami dari sifat keras kepala dan suka bermusuh.

Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي


Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku." (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1. Setiap kita akan bertemu Allah pada hari akhirat untuk menerima balasan di atas segala amal yang dilakukan semasa di dunia.


2. Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan dari Allah.


3. Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.


Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.