TARIKH: 15 SEPTEMBER 2026
SAMBUTAN HARI MALAYSIA & ULANG TAHUN KE-23 KPTM PERINGKAT IBU PEJABAT KPTM
Dewan Bunga Mawar, Aras 4, Ibu Pejabat KPTM
Pada 15 September 2026, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) telah mengadakan Sambutan Hari Malaysia dan Ulang Tahun KPTM Ke-23 dalam suasana penuh patriotik, ceria dan kreatif. Sambutan ini menjadi wadah untuk memperkukuh semangat perpaduan serta menyemai budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga KPTM.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli Majlis Pengurusan Tertinggi KPTM. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Amanah Rakyat, diikuti dengan bacaan doa serta ucapan oleh Pengerusi KPTMSB, YB Dato’ Haji Shamsulkahar bin Haji Mohd Deli. Acara diteruskan dengan gimik perasmian Sambutan Hari Malaysia melalui upacara memotong kek dan gimik Ulang Tahun KPTM ke-23 menerusi pemotongan pulut kuning.
Elemen kreativiti dan inovasi menjadi antara tarikan utama sambutan menerusi Pertandingan Hiasan antara Zon dan Pertandingan Lukisan Kanvas Kreatif antara Jabatan dan Unit. Pertandingan ini memberi peluang kepada warga kerja mengetengahkan idea yang segar dan imaginatif melalui hasil dekorasi serta karya seni yang menggabungkan identiti KPTM, semangat patriotisme dan aspirasi kecemerlangan organisasi.
Sambutan turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Hiasan antara Zon, Pertandingan Lukisan Kanvas Kreatif antara Jabatan dan Unit, Pertandingan Pakaian Tercantik, Program Penurunan Berat Badan serta Anugerah Staf Terbaik Bulanan. Penglibatan aktif warga KPTM dalam pelbagai aktiviti ini mencerminkan semangat kebersamaan, kreativiti dan komitmen terhadap pembudayaan inovasi di tempat kerja.
Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang dan KPTM Gemilang. Penganjuran sambutan ini bukan sahaja menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan institusi, malah membuktikan bahawa kreativiti dapat menjadi medium untuk menyatukan warga organisasi serta mencetuskan persekitaran kerja yang lebih dinamik dan inspiratif.
TARIKH: 20 OGOS 2026
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT KPTMSB DAN PELANCARAN ULANG TAHUN KPTMSB KE-23
Dewan Bunga Mawar, Aras 4, Ibu Pejabat KPTM
Semangat Merdeka diraikan, ulang tahun KPTM disambut, dan kebersamaan warga KPTM terus diperkukuhkan.
KPTM Kota Bharu tahun ini menjadi tuan rumah bagi Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dan Pelancaran Ulang Tahun KPTM Ke-23, yang turut disiarkan secara langsung dalam talian bersama kampus-kampus cawangan KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Mengisi kemeriahan majlis, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Tuan Haji Radzuan bin Razali, terlebih dahulu menyempurnakan pelepasan Fun Run KPTM Kota Bharu.
Aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan, malah menjadi simbol semangat kebersamaan serta penerapan gaya hidup sihat dalam kalangan warga KPTM.
Penganjuran majlis secara fizikal dan dalam talian turut mencerminkan budaya inovasi dan kreativiti KPTM dalam memanfaatkan pendekatan serta teknologi yang menghubungkan seluruh warga KPTM dan UPTM tanpa batasan lokasi. Semangat ini selari dengan usaha KPTM untuk terus membudayakan pemikiran kreatif, penerokaan idea baharu dan inovasi bagi memperkukuh kecemerlangan institusi.
Tidak dilupakan, acara memotong kek turut diadakan sebagai simbolik bagi meraikan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun Ke-23 KPTM secara serentak di KPTM Kota Bharu bersama kampus-kampus cawangan.
Turut hadir dalam majlis sambutan ini ialah Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan, En. Mudzir bin Mohamad; Ketua Pegawai Kewangan, Pn. Azlina binti Yusof; Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan, En. Mohd Yusoff bin Mat Ali; Pengarah Bahagian Akademik Ibu Pejabat, Prof. Ts. Dr. Zahrah binti Yahya; Pengarah KPTM Kota Bharu, YM Tuan Haji Raja Izuddin bin Haji Raja Ahmad; barisan pengurusan KPTM dan UPTM serta warga KPTMSB yang turut bersama-sama memeriahkan sambutan secara dalam talian.
Sambutan ini bukan sekadar menyemarakkan semangat patriotisme dan meraikan perjalanan KPTM sepanjang 23 tahun, malah menjadi wadah untuk memperkukuh kebersamaan, menyuburkan budaya kreatif dan inovatif, serta menyemarakkan tekad warga KPTM untuk terus melangkah maju dalam mendepani cabaran masa hadapan.
TARIKH: 10 JULAI 2026
SUKHAT 2026
Perkarangan Lobi Ibu Pejabat KPTM
Program SUKHAT 2026 telah berlangsung meriah pada 10 Julai 2026 dengan penglibatan warga KPTM dalam pelbagai aktiviti sukan dan riadah yang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan sesama warga kerja.
Program dimulakan dengan senaman Zumba, diikuti acara sukan outdoor seperti balingan tepat, sepakan tepat dan Bean Bag Toss. Kemeriahan program turut disemarakkan dengan penglibatan Ahli Majlis Tertinggi KPTM yang bersama-sama menyertai acara sukan outdoor. Pengisian aktiviti yang pelbagai dan interaktif ini turut mengetengahkan elemen kreativiti dan inovasi dalam penganjuran program, di samping menggalakkan semangat kerjasama, persaingan sihat dan kebersamaan dalam kalangan warga KPTM.
Acara sukan indoor pula mempertandingkan congkak, dart, carom dan Puzzle Challenge, sekaligus menguji kemahiran, strategi, kreativiti dan semangat berpasukan para peserta.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Jabatan Pentadbiran dan pegurusan Aset, Puan Noor Azhani binti Yaacob dan Pengarah Jabatan Audit Dalam, Pn. Nor Azah binti Mohamed Azahar. Turut diadakan penyampaian hadiah Fantasy Premier League 2025/2026.
Kemeriahan SUKHAT 2026 diteruskan dengan Pesta Kendurian, yang menjadi ruang santai untuk warga KPTM berkumpul dan mengeratkan silaturahim.
Penganjuran SUKHAT 2026 bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dan persaingan sihat, malah memperkukuh budaya kebersamaan, kreativiti, inovasi dan kerja berpasukan dalam kalangan warga KPTM.
TARIKH: 14 APRIL 2026
MAJLIS RAYA MODEN MINIMALIS KPTM IBU PEJABAT 2026
Dewan Bunga Mawar, Aras 4, Ibu Pejabat KPTM
Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) telah menganjurkan Majlis Raya Moden Minimalis KPTM Ibu Pejabat 2026 dalam suasana meriah, harmoni dan penuh kemesraan. Penganjuran majlis bertemakan moden minimalis ini menggabungkan nilai tradisi sambutan Aidilfitri dengan sentuhan kreativiti kontemporari.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif KPTM Sdn. Bhd., Haji Radzuan bin Razali, barisan pengurusan tertinggi serta warga kerja KPTM Ibu Pejabat. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan aluan oleh Encik Mohd Yusoff bin Mat Ali, Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan, dan seterusnya ucapan Hari Raya oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPTM Sdn. Bhd.
Elemen kreativiti dan inovasi diketengahkan melalui pertandingan menghias reruai raya antara zon. Setiap zon mempersembahkan dekorasi yang unik dengan menggabungkan identiti Aidilfitri dan konsep moden minimalis. Aktiviti ini menjadi platform kepada warga kerja untuk menghasilkan idea kreatif melalui pemilihan tema, susun atur ruang, penggunaan bahan dan gaya persembahan yang menarik.
Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan nyanyian oleh wakil setiap zon, penyampaian Anugerah Pekerja Bulanan Terbaik bagi Januari dan Februari 2026, penyampaian hadiah Reruai Raya Tercantik serta hadiah Pertandingan Nyanyian. Sesi Salam Raya, penyampaian duit raya kepada Kelab Kebajikan dan Sukan Kakitangan (KKSK), jamuan raya dan sesi karaoke terbuka turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga KPTM.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menyemarakkan kemeriahan Aidilfitri, malah berjaya membudayakan kreativiti, kerja berpasukan dan semangat kebersamaan. Pendekatan moden minimalis yang diterapkan membuktikan bahawa unsur tradisi dapat diketengahkan secara segar, kreatif dan relevan dalam persekitaran organisasi.
TARIKH: 31 OKTOBER 2025
MAJLIS MAKAN MALAM IBU PEJABAT KPTM 2025
HEMISFERA Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur
Majlis Makan Malam Ibu Pejabat KPTM 2025 telah berlangsung dengan penuh gaya dan meriah pada 31 Oktober 2025 (Jumaat) di HEMISFERA Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur.
Bertemakan “Glamourous Night”, majlis ini menjadi platform menghargai jasa serta komitmen seluruh warga kerja Ibu Pejabat KPTM dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tahun. Para tetamu turut diraikan dengan suasana eksklusif berlatar belakangkan pemandangan indah Kuala Lumpur di malam hari.
Acara turut menawarkan akses istimewa ke Observation Deck Menara Kuala Lumpur sebelum jam 7.30 malam, memberi peluang kepada tetamu menikmati panorama menara yang menakjubkan sebelum majlis bermula.
Majlis diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk ucapan penghargaan, persembahan istimewa dan pelbagai hadiah dan cabutan bertuah. Suasana malam penuh elegan ini bukan sahaja memperkukuh semangat kekitaan antara warga kerja, malah mencerminkan budaya penghargaan dan keutuhan nilai korporat KPTM.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tuan Haji Radzuan bin Razali, Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, serta Ahli Majlis Tertinggi KPTM, yang bersama-sama meraikan hari bermakna ini sebagai simbol kebersamaan keluarga besar KPTM.
TARIKH: 25 SEPTEMBER 2025
CERAMAH KOMUNITI BERSAMA JABATAN ALAM SEKITAR
Dewan Bunga Mawar, Aras 4, Ibu Pejabat KPTM
Ibu Pejabat KPTM baru-baru ini telah menganjurkan Ceramah Komuniti Bersama Jabatan Alam Sekitar bagi meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Turut hadir bersama ialah En. Mohd Yusoff bin Mat Ali, Pengarah Kanan Sumber Manusia.
Program ini menampilkan tiga sesi ceramah menarik, iaitu:
1️⃣ Komuniti Bersama Alam Sekitar - "Selamatkan Ozon, Selamatkan Kehidupan" disampaikan oleh Puan Zuriani binti Ahmad Tajuddin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
2️⃣ Turning Used Cooking Oil into Sustainable Aviation oleh Miss Kaucy daripada FatHopes Energy, berkongsi tentang bagaimana minyak masak terpakai boleh dijadikan bahan tenaga lestari.
3️⃣ E-Waste (sisa elektronik) yang menekankan kepentingan pelupusan selamat bagi peralatan elektrik dan elektronik terpakai.
Menariknya, warga kerja yang mengambil bahagian bukan sahaja berpeluang menyumbang kepada kelestarian alam, tetapi turut menerima bayaran tunai bagi setiap sumbangan minyak masak dan e-waste yang dibawa.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen KPTM dalam menyokong inisiatif hijau dan memperkukuh budaya KPTM Go Green dalam kalangan warga kerjanya. 🌱💚
TARIKH: 25 OGOS 2025
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-68, HARI MALAYSIA DAN ULANG TAHUN KPTM KE-22
Dewan Bunga Mawar, Aras 4, Ibu Pejabat KPTM
Ibu Pejabat KPTM telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, Hari Malaysia dan Ulang Tahun KPTM Ke-22 dengan penuh semangat patriotik dan kebersamaan warga kerja.
Majlis yang berlangsung di Dewan Mawar ini bermula pada jam 9.30 pagi dan dihadiri oleh semua warga kerja Ibu Pejabat KPTM yang tampil anggun dalam pakaian kebangsaan, melambangkan semangat perpaduan dan cintakan negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tuan Haji Radzuan bin Razali, Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, serta Ahli Majlis Tertinggi KPTM, yang bersama-sama meraikan hari bermakna ini sebagai simbol kebersamaan keluarga besar KPTM.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang program, termasuk ucapan perasmian, nyanyian lagu-lagu patriotik, persembahan khas, dan pertandingan bertemakan kemerdekaan seperti dekorasi zon tercantik dan pakaian paling patriotik.
Sambutan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat nasionalisme dan kecintaan terhadap tanah air, tetapi turut meraikan ulang tahun ke-22 penubuhan KPTM, menandakan lebih dua dekad komitmen institusi ini dalam memperkasa pendidikan tinggi negara.
Persembahan khas & pertandingan bertemakan kemerdekaan
TARIKH: 18 JULAI 2025
AKTIVITI SIHAT: ZUMBA & SUKANEKA
Gelanggang Futsal, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)
Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja, Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) Ibu Pejabat KPTM telah menganjurkan Aktiviti Sihat: Zumba dan Sukaneka pada 18 Julai 2025 bertempat di Gelanggang Futsal UPTM.
Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan sesi Zumba penuh bertenaga, diikuti oleh aktiviti Sukaneka yang mencetuskan suasana ceria dan penuh semangat kesukanan. Pelbagai permainan ringan dan interaktif turut dijalankan bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta membina kerjasama dalam kalangan warga kerja pelbagai bahagian.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Yusoff bin Mat Ali, Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan, serta Puan Azlina binti Yusof, Ketua Pegawai Kewangan, yang turut sama menyokong inisiatif gaya hidup sihat warga kerja Ibu Pejabat KPTM.
Aktiviti sukaneka dijalankan mengikut zon, dengan pelbagai pertandingan menarik dan kreatif yang menguji kecekapan serta kerjasama kumpulan, antaranya: Ping Pong Tic Tac, Cup Tower, Guess What?, Ping Pong Ku Sayang dan Bunga Pong. Pelbagai aksi mencuit hati dan penuh semangat dapat disaksikan sepanjang pertandingan, menjadikan suasana lebih ceria dan menyeronokkan. Program ini bukan sahaja berperanan sebagai platform kecergasan fizikal, tetapi juga sebagai medium mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerja berpasukan antara warga KPTM.
Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi KPTM untuk membudayakan gaya hidup sihat dan work-life balance dalam kalangan kakitangannya.
TARIKH: 21 MAC 2025
PROGRAM “JOM REWANG BUBUR LAMBUK”
Perkarangan Lobi Ibu Pejabat KPTM
Sempena kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) Ibu Pejabat KPTM telah menganjurkan Program “Jom Rewang Bubur Lambuk” pada 21 Mac 2025 (Jumaat) bertempat di Perkarangan Lobi Ibu Pejabat KPTM.
Program yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang ini diadakan bagi memupuk semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan warga kerja KPTM. Aktiviti ini turut menjadi platform mengeratkan ukhuwah sesama staf melalui tradisi rewang yang sinonim dengan semangat kerjasama dan kekitaan.
Suasana program begitu meriah dengan penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong, di mana setiap bahagian mengambil bahagian dalam proses penyediaan, pembungkusan dan pengagihan bubur kepada warga kerja serta tetamu yang hadir. Turut memeriahkan majlis Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan, En Mohd Sahidi bin Yaakob dan Pengarah Jabatan Audit Dalam, Pn. Nor Azah binti Mohamed Azahar.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja menghidupkan amalan tradisi masyarakat Melayu, tetapi turut mencerminkan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam budaya kerja KPTM - bersatu hati, bekerjasama dan saling menghargai.
TARIKH: 21 JANUARI 2025
MAJLIS BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT SEMPENA TAHUN BARU 2025/1446H
Surau, Tingkat 4, Ibu Pejabat KPTM
Dalam usaha memperkukuh hubungan spiritual dan menyemai ketenangan hati dalam kalangan warga kerja, Kelab Kebajikan & Sukan Kakitangan (KKSK) Ibu Pejabat KPTM telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat sempena Tahun Baru 2025/1446H pada 21 Januari 2025 (Selasa) bertempat di Surau, Tingkat 4, Ibu Pejabat KPTM.
Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi ini bertujuan memohon keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh warga KPTM serta kelancaran urusan organisasi. Program dimulakan dengan Solat Hajat berjemaah, diikuti Bacaan Surah Yasin yang dipimpin secara bersama oleh warga kerja.
Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan, En Mohd Sahidi bin Yaakob, Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan, En Mohd Yusoff bin Mat Ali, Pengarah Kanan Jabatan Perancangan Korporat, En Mudzir bin Mohamad dan pengurusan serta staf Ibu Pejabat KPTM.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah hari lahir kepada staf yang lahir pada bulan Januari, sebagai tanda penghargaan serta mengeratkan silaturahim sesama warga Ibu Pejabat.
Program ini berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah, mencerminkan komitmen KKSK dalam memperkukuh nilai-nilai kerohanian dan kebersamaan di tempat kerja.