KURSUS UNIT PRAKTIKUM

KURSUS SEM 3 / 2022

PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH ( PBS )

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu komponen daripada Amalan Profesional bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG. Pelaksanaan PBS dapat memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan daripada perspektif seorang guru. PBS juga memberi peluang kepada pelajar memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan, peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Melalui PBS pelajar dapat memahami sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang guru.

PRAKTIKUM

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) menterjemahkan keberhasilan pendidikan sebagai pembangunan model insan yang berkualiti sebagai negara ke arah mencapai taraf negara maju. Amanah ini merupakan tanggung jawab besar yang perlu dihayati oleh semua warga pendidik khususnya warga IPGM. Peranan dan komitmen padu padu diperlukan untuk menyediakan latihan bagi melahirkan bakal guru yang berkualiti untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti yang dihasrat oleh PPPM 2013 – 2025.

Fokus transformasi dalam amalan profesional adalah untuk menyusun dan memantapkan pelaksanaan praktikum sedia ada dengan merujuk pendekatan Nexus Theory and Practices bagi merapatkan jurang antara teori dengan praktikal, khususnya ketika pelajar IPG berhadapan dengan situasi sebenar di sekolah. Melalui transformasi praktikum, IPG memperkenalkan pemantapan pelaksanaan praktikum secara bertema disamping meningkatkan kualiti pemerhatian dan penyeliaan klinikal, dan menambahbaik program pementoran.

INTERNSHIP

Internship ialah satu program latihan di lapangan yang bertujuan untuk mengaitkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sedia ada dengan amalan sebenar tugas guru permulaan. Pelajar dikehendaki merancang, melaksana dan menilai projek/aktiviti yang mengandungi elemen-elemen inovasi di dalam atau luar bilik darjah yang sesuai dengan amalan dan budaya sekolah. Pada peringkat ini, pelajar perlu menunjukkan sifat kepemimpinan dalam pengurusan pelbagai aktiviti sekolah dengan bimbingan mentor. Internship juga memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri, jati diri, ketahanan diri, membentuk sifat kepemimpinan dan memupuk nilai profesionalisme keguruan ke arah melahirkan guru permulaan yang berkesan. Manakala Internship kaunseling merupakan pengalaman klinikal pasca praktikum yang diselia dengan tujuan untuk membolehkan pelajar menghalusi, meningkatkan dan memantapkan pengaplikasian pengetahuan dan kemahiran kaunseling di tempat latihan profesional.