Search this site

    BKKP PART TIME - EXAM JUN 2013

      BKKP FULL TIME - EXAM MEI 2013

      Hubungi Kami

      Organisasi UPP

      Pautan UPP

      KONGSI ILMU DI UPP

      SIRI MOTIVASI PAGI DI TV3

      9 April 2010 pada 1:27 am (Pengumuman)

      ORANG IKHLAS TERTINDAS?

      9 April 2010 pada 8:46 am (Tarbiyah)
      Tags: Allah, CEO, dakwah, GOD, Ikhlas, KERJA, PERINGAT

      Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

      Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

      Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

      Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar  daripada itu… benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

      Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

      Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

      ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

      Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

      “Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
      “Mengapa?” balas saya.
      “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

      Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

      Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
      Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
      “Oh ramai encik…”
      “Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

      Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
      “Kakak, boleh saya bertanya?”
      “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

      “Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
      Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

      Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

      Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
      “Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
      “Maksud encik?”
      “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
      “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

      “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
      “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
      “Maksud kakak?”

      “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
      “Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

      Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
      “Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

      Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
      “Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

      Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
      “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
      “Pasti ada! Insya-Allah.”
      “Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

      “Subhanallah!”
      “Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
      “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

      “Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
      “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
      “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

      “Maksud encik?”
      “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
      “Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

      Giliran saya pula tersenyum.
      “Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

      “Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
      “Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
      “Maksud encik?”

      “Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
      “Kenapa?”
      “Kita akan sakit jiwa!”
      “Kenapa?”
      “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

      “Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
      “Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
      “Ah, kita terlalu ego…”

      Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

      ( diambil dari genta-rasa.com )

      DENGAN KEYAKINAN…

      5 April 2010 pada 9:26 am (Kemudi Hati)
      Tags: cinta Allah, lupa diri, murabi, pendakwah

      Memang benar seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, pada akhir zaman orang yang hina (justeru jauhnya hubungan mereka dengan Allah) diangkat dan dimertbatkan ke darjat yang mulia.

      Manakala orang yang mulia (kerana akrabnya dengan Allah serta sangat menjaga hukum-hakamNya) telah dianggap hina. Hanya jauhari mengenal manikam – orang yang beriman juga yang menghargai mujahid, syuhada’ dan para solehin.

      Justeru, ketika nama dan harta mula melengkari hidupmu… mungkin ketika itu percikan-percikan api jahiliyah mula membakar jiwa mu. Cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Bukan mudah untuk meletakan dunia di tangan, iman di hati. Dunia itu umpama gadis yang cantik, di samping kita menjaga agar orang lain tidak menodainya, kita sendiri harus menjaga diri ketika menjaganya.

      Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan!

      Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!

      Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah.

      Sesungguhnya, apa yang kita deritai kerana jalan Allah ini… tidak secubitpun jika dibandingkan dengan kesusahan mereka. Berdoalah untuk mereka… agar diberi taqwa, sabar dan kebijaksanaan serta keberanian dalam menghadapi pejuang syaitan (fisabilitthagut). Mudah-mudahan satu ketika nanti, kami yang kerdil ini mampu menyusul dan menyusur jalan-jalan mulia yang kau telah rentas itu.

      Untuk mu pengunjung blog, izinkan aku menguruskan beberapa cabaran ketika ini. Insya-Allah, akan menyusul nanti entri yang lebih serius dan menjurus. Namun, sebelum berpisah terimalah dariku sekadar dua tulisan ini sebagai “selingan”.

      Bagi mereka yang begitu beria-ria untuk ke hadapan… milikilah dulu jiwa yang kental. Sesungguhnya persediaan akan memantapkan bakat. Kesabaran akan meningkatkan minat. Menulis itu memerlukan keyakinan bukan hanya keringat!

      i) PEDANG SAYIDINA ALI

      Sayidina Ali punya pedang yang begitu digeruni oleh musuh-musuhnya. Pedang yang bernama Zulfaqar itu sentiasa dibawa bersamanya dalam peperangan-peperangan dengan orang kaum musyrikin. Dan setiap kali membawa pedang itu, Sayidina Ali berjaya mengalahkan musuhnya. Berita tentang kehebatan pedang itu sampai kepada seorang lelaki. Dia juga seorang pejuang Islam. Tertarik dengan berita kehebatan pedang itu, lelaki itu pun datang menemui Sayidina Ali dan berkata,” tolong pinjamkan aku pedang mu yang hebat itu.” Tanpa banyak bicara Sayidina Ali pun meminjamkan pedang itu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu sangat gembira. Apabila sahaja terjadi peperangan, dia pun pergi dengan membawa pedang itu sekali. Dia ingin merasai sendiri kehebatan pedang Sayidina Ali itu.

      Tidak lama kemudian perang pun tamat. Lelaki itu pulang dengan pedang yang dipinjamkan oleh Sayidina Ali itu. “Nah, ambillah kembali pedang ini,” katanya sebaik menemui Sayidina Ali. “Bagaimana, hebat tak pedang ini?” tanya Sayidina Ali. “Ah, biasa-biasa sahaja. Jika aku tahu begini, tak akan aku pinjam pedang ini daripada mu. Mengapa pedang ini tak sehebat yang diceritakan?” “Kau hanya meminjam pedang, tetapi kau tidak “meminjam” tangan yang memegang pedang itu!” kata Sayidina Ali.

      Pengajaran:

      Kekuatan utama manusia bukan kepada alat-alat yang digunakannya, tetapi pada dirinya sendiri. Teknologi yang canggih hanya akan membawa kebaikan jika manusia yang menggunakannya memiliki hati yang bersih dan fikiran yang bijak. Di tangan orang yang dungu, teknologi walau secanggih mana pun tidak akan dapat digunakan. Manakala di tangan orang yang jahat, teknologi hanya akan membawa seribu satu kejahatan dan kehancuran.

      ii) MISKIN HARTA, MISKIN JIWA

      Seorang pendakwah menasihati seorang pengemis yang kelihatan sihat dan kuat untuk kerja yang sangat mengaibkan itu. “Saudara ku, berhentilah daripada menjadi pengemis. Kau masih kuat dan sihat.” “Apa? Saudara rasa kerja mengemis tidak memerlukan tenaga? Dalam satu hari puas saya berjalan ke hulu, ke hilir untuk memohon simpati orang. Kalau saya tak kuat masakan saya dapat menahan panas, hujan dan pelbagai cabaran cuaca ini,” jawab pengemis. “Kerja mengemis ini hina. Hilang maruah diri.” “Siapa kata hina? Inilah kerja yang mulia. Saya menjadi sebab orang lain mendapat pahala. Kekadang saya juga mendapat pahala sabar bila orang caci saya. Pahala syukur bila orang memberi sedekah. Hinakah itu? Saya juga berdoa kepada orang memberi sedekah kepada saya. Hinakah?” Pendakwah terdiam. Dalam diam dia berdoa. Rupanya pengemis itu bukan hanya miskin harta tetapi miskin jiwanya. Alasan untuk malas sentiasa ada. Kreatif betul tipuan syaitan.

      Pengajaran:

      Malas adalah satu dosa. Ramai yang tidak nampak hakikat itu. Pelbagai alasan diberikan untuk malas termasuk atas hujah dan dalil agama. Kepalsuan yang bersalut kebenaran bukan sahaja mampu menipu orang lain, tetapi paling malang… menipu diri sendiri!

      ( diambil dari genta-rasa.com )

      Tutorials untuk membina webpage menggunakan google site.

      Google Sites Tutorial

      MENARIK BAHAN ILMU UNTUK DIKONGSI BERSAMA

      Majalah Solusi Edisi 17

      TERBARU


      Majalah Solusi Edisi 17

      Product Information
      Majalah Solusi Edisi 17 keluaran bulan Mac 2010.
      Mengupas isu - Membina Keyakinan Diri.

      Isi kandungan:


      Tafsir - Ustaz Zahazan Mohamed - Surah Al-Nazi'at, Malaikat Pencabut Nyawa dan Kisah Nabi Musa.


      Hadis - Ustaz Adlan Abd Aziz - Kesakitan Lumrah Dalam Kehidupan.


      Cerna Minda - Ir Ahmad Jais Alias - Menghargai Minda.


      Isu - Pahrol Mohamad Juoi - Keyakinan Diri Untuk Mengubah Dunia dan Bagaimana Membina Keyakinan Diri.


      Jalan Keluar - Ustaz Ahmad Baei Jaafar - Ulama Berperanan Membetulkan Umara.


      Hikmah - Ustaz Hasrizal Abd Jamil - Antara Tudung dan Tali Leher.


      Hai Anak - Rashidah Mustaffa - Kecil-kecil Biar Tahu Tujuan Hidup.


      Muamalat - Ustaz Zaharuddin Abd Rahman - Hukum Berkenaan Facebook.


      Cerdik Baik - Dato Dr Hj Fadzilah Kamsah - Tangani Marah.


      Muslimah - Dato Siti Nor Bahyah Mahamood - Mendidik Anak Dalam Kandungan.


      Misteri Alam Ghaib - Dato Ismail Kamus - Wanita Jahat Senjata Syaitan.


      Usaha Jaya - Dr Irfan Khairi - Jutawan Gawat.


      Dan banyak lagi.


      Price: RM9.00

      BIARKAN CINTAMU BERKATA TIDAK!

      19 Februari 2010 pada 9:23 am (Tentang Cinta, Uncategorized)
      Tags: Allah, buta, cinta, hati, TENANG


      Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

      Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.

      Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

      Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”

      Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.

      Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

      Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.

      Justeru, cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.

      Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.

      Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…

      Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!

      Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.

      Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?

      Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.

      Kekadang ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…

      Kekadang solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…

      Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.

      Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!

      Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.

      Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.

      Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.

      Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!

      Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”

      Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?

      Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.

      Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai bila-bila…

      ( diambil dari genta-rasa.com )

      INILAH BAHAGIA…

      21 Februari 2010 pada 10:10 pm (Zikir & Fikir)
      Tags: Allah, hamba, kebahagiaan, ketenangan


      Dalam majlis forum selepas menyampaikan ceramah bertajuk Mukmin Profesional di UIA, Kuantan pada hari Sabtu yang lalu, saya berjanji untuk cuba menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan bahagia. Disebabkan agak banyak juga soalan yang dikemukakan, saya memilih untuk menjelaskan persoalan itu menerusi blog. Jadi, kepada yang bertanya, “apa itu bahagia?”, terimalah jawapan seadanya daripada saya:

      Ia bermula begini…

      Bahagia itu adalah fitrah insani. Semua manusia inginkan bahagia. Tidak ada seorangpun manusia yang tidak inginkannya.  Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman… dan layak dihantar ke Hospital Bahagia. Justeru, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia hakikatnya adalah untuk mencapai bahagia.

      • Bahagia itu relatif?
      Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

      Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

      Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan. 

      • Sumber dalaman atau luaran?
      Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

      Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

      Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

      • Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
      Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
      “Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

      Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

      John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

      Bukti hilangnya bahagia.
      Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang (lihat sebahagian fakta yang dipaparkan).

      Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

      Ujian hidup punca hilang bahagia?
      Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

      Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

      Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

      Metafora air limau dan luka di tangan
      Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

      Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

      Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

      Inilah erti bahagia
      Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
      “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

      Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
      ” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

      Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
      ” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
      Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

      Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

      Kaedah mencari bahagia mengikut Al Quran dan Sunnah:
      1. Beriman dan beramal salih.
      “Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)

      Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

      2. Banyak mengingat Allah .
      Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
      “Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

      3. Bersandar kepada Allah.
      Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
      “Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

      4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
      Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
      Firman-Nya:
      “Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

      5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
      Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

      Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

      6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
      Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
      “Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

      7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
      Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
      “Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

      Zikrullah bawa bahagia:
      Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi hati tidak tenang. Kenapa? (Untuk menjawabnya sila rujuk enteri saya dalam tajuk Mencari Ketenangan Hati).

      Bahagia itu letaknya di hati. Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita. Agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

      Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu berhati-hatilah menjaga hati!

      ( diambil dari genta-rasa.com )

      BANGAU OH BANGAU – BUDAYA MENUDING JARI

      26 Disember 2008 pada 6:36 am (Iktibar Kisah)
      Tags: Story

      © Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

      © Copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

       

      Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.

      Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul? Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.

       

      Rumput oh rumput,

      Kenapa engkau panjang sangat?

      Macamana aku tak panjang,

      Kerbau tak makan aku.

       

      Katak oh katak,

      Kenapa panggil hujan?

      Macamana aku tak panggil,

      Ular nak makan aku.

       

      Ular oh ular,

      Mengapa nak makan katak?

      Macamana aku tak makan.

      Memang makanan aku.

       

      Ini  adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

      Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat.

      Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

      Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah  ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.

      Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

      Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.

      Jika ditanyakan kepada sianak, “Henapa awak jadi begini?”

      Dia pun menjawab, ”Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!”

      Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, “ Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.”

      Begitulah seterusnya.

      Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.

      Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya  apabila ia berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk mengubah diri kita.  Orang yang proaktif ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain. Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.

      Dalam kes masalah sosial remaja  setiap pihak hendaklah bersikap proaktif. Budaya ‘bangau oh bangau’ hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:

      “Apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah! Maka jawab mereka: Tetapi kami mengikt apa-apa yang kami perolehi dari bapa-bapa kami. Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada memikirkan suatu apapun dan tiada pula mendapat petunjuk.”

                                                                         (Surah Al-Baqarah: 170)

      Sekalipun, ibu-bapa tidak memainkan peranan yang betul, maka dengan fikiran dan ilmu yang didapati dari sekolah dan masyarakat para remaja sudah sewajarnya mampu menilai dirinya sendiri. Mereka adalah ‘pemandu’ pada kereta kehidupan mereka. Jika berlanggar jangan salahkan ibu-bapa, tapi salahkan diri sendiri. Dan tindakan selanjutnya ialah belajar lebih gigih agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

      Manakala bagi pihak ibu-bapa pula, janganlah terus menyalahkan guru atau masyarakat. Sebagai individu yang terapat dengan para remaja, tentulah pengaruh mereka lebih besar daripada mana-mana pihak dalam membentuk keperibadian anak-anak. Anak kita adalah hak kita dan Allah telah menetapkan bahawa kita adalah pencorak utama kepada akhlak mereka. Lupakah ibu-bapa kepada firman Allah ini:

      Anak-anak dilahirkan suci bersih, kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.”

      Jadi ibu-bapa yang baik tidak akan menyalahkan guru, masyarakat dan kerajaan atas kerosakan anak mereka. Sebaliknya, mereka akan memperbaiki diri dan mula mendidik anak mereka dengan terlebih dahulu mendidik diri sendiri!

      Begitulah juga masyarakat, pihak sekolah, para pemimpin – masing-masing hendaklah melihat dan bercermin pada hati nurani masing-masing. Apa akan jadi jika pemimpin menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlah, kita bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah sendiri mengiktiraf hak dan pilihan individu, maka atas dasar itu masing-masing akan ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita terpedaya akan tipu-dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita… Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda:

      “Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.”


      Terdapat juga segolongan masyarakat yang tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. Golongan ini bersikap in-aktif yakni tidak ambil kisah atau tidak mahu ambil tahu langsung tentang apa yang berlaku dalam masyarakat.  Katakanlah, jika dia melihat masalah remaja, dia mungkin kata, “Biarkanlah, asalkan jangan terkena pada anak aku”. Dia lebih rela bersikap ‘tidak apa’ dengan apa yang telah berlaku. Hatinya buta, tidak prihatin dan tidak sensitif. Dia hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja. Dia akan tercabar hanya apabila ada orang yang mengganggu ‘tepi kainnya’. Katakanlah, jika berlaku sesuatu tragedi buruk, dia akan berkata, “Itu di negeri lain, bukan di negeri aku. Jika berlaku di negerinya, dia akan kata, “Itu di negeri lain, bukan kampungku.” Apabila terjadi di kampungnya, dia boleh kata, “itu di kampung sebelah utara, saya kampung sebelah selatan.” Bila dia sedar? Apabila terkena batang hidungnya, barulah dia tersentak dan meminta pertolongan orang lain. Individu yang in-aktif ini tidak sedar bahawa hakikatnya manusia umpama penumpang sebuah kapal yang besar, yang mana kebocoran di mana-mana tempat akan menenggelamkan seluruh kapal jika kebocoran itu tidak ditampal bersama-sama. Sikap in-aktif sebahagian masyarakat ini mengingatkan kita pada ungkapan “Siluncai terjun dengan labu-labunya… biarkan, biarkan….”

      Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif ‘Bangau oh bangau’ dan sikap in-aktif ‘Siluncai terjun dengan labu-labunya’ maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara.

      Kedua, kita perlu tahu akan kekuatan-kekuatan yang ada pada diri. Kita yakin pada kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari semasa ke semasa. Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Kita adalah unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu. Kenali bidang itu dan terokailah dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang panjang dan ikan mempunyai ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan  tengkuk yang panjang bangau boleh menyusup ke celah-celah rumput yang panjang dan dengan ketangkasan berenang dan menyelam ikan boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yang ada, barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur…

      ( diambil dari genta-rasa.com )

      BELAJAR DARI UNTA

      26 Disember 2008 pada 6:12 am (Belajar Dari Alam)

      © copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

      © copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.

      Aneh, Allah meminta kita melihat unta. Dalam Al Quran, ada dorongan yang begitu jelas tentang itu. Firman Allah:

       

      “Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan?” – Al Gashiyyah: 17

      Jika sudah ada dorongan sedemikian daripada Allah, sudah pasti itu adalah sesuatu yang sangat penting. Maha suci Allah, yang tidak akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh dalam Al Quran yang begitu agung dan mulia. Dan sudah pasti juga tentu ada kebaikan, pengajaran dan manfaat hasil dorongan itu.

      Di negara kita sukar untuk melihat unta. Kecuali di zoo atau sekali-sekala bila musim Hari Raya Korban, mungkin anak-anak berpeluang melihat unta dari dekat. Tapi rasanya itu bukan halangan untuk ita memenuhi dorongan Allah itu. Anak-anak boleh mendapat maklumat tentang keajaiban unta menerusi buku-buku, laman web ataupun majalah-majalah. Baiklah, sekarang mari Pak Cik ceritakan beberapa ‘keajaiban’ untuk untuk menjadi pengajaran bagi kita.

      1.      Bulu badan unta yang tebal bukan sahaja melindunginya daripada suhu panas dan sejuk, tetapi juga mencegah tubuhnya kehilangan air.

      2.      Ia dapat menghalang badannya daripada berpeluh dengan cara meningkatkan suhu badan sehingga 41 darjah celcius.

      3.      Bulu yang panjang pada hidung dan telinganya sebagai perisai daripada pasir dan debu padang pasir.

      4.      Mampu menghabiskan 30 – 50 kg makanan sehari jika ada makanan, sebaliknya mampu bertahan hanya makan 2 kg rumput sebulan bila kekurangan makanan.

      5.      Dapat hidup tanpa makanan dan air selama 8 hari di bawah suhu 50 darjah celcius.  

      6.      Ia dapat meneguk air sebanyak 130 liter dalam jangkamasa 10 minit (yakni kira-kira 1/3 daripada jumlah keseluruhan berat badannya).


      Wah, begitu hebat keajaiban unta itu ya? Tentu Penciptanya jauh lebih hebat. Siapa lagi, kalau bukan Allah. Dengan persekitaran padang pasir yang begitu panas dan sumber air yang begitu terhad, namun Allah maha Bijaksana untuk mencipta segala keunikan dan kelengkapan pada unta untuk berdepan dengan segala kesukaran itu. Mustahil kejadian unta ini secara kebetulan – melainkan terlebih dahulu dirancang dan dilaksanakan penuh teliti dan terperinci.

      Jika anak-anak masuk ke dalam sebuah bilik dan melihat kerusi, meja dan lain-lain perabot begitu kemas tersusun rapi logikkah anak-anak mendakwa semuanya berlaku dengan sendirinya? Mustahil, semuanya teratur, jika tidak ada yang mengatur. Unta yang begitu rumit kejadiannya itu pasti juga ada yang mengaturnya. 

      Jadi, pengajarannya buat kita ialah Allah itu Maha Pencipta. Jangan diragui dan disangsikan lagi. Penciptaan Allah itu bukan sahaja yang melibatkan soal-soal yang dapat dilihat oleh matakasar bahkan juga perkara-perkara yang ghaib. Lihatlah unta, haiwan-haiwan dan seluruh kejadian alam ini… Bukankah semuanya tercipta dengan sistematik. Jadi, jangan diragui ciptaan yang belum kita lihat lagi – syurga, neraka, Padang Mahsyar dan sebagainya – kerana kita telah melihat ‘keajaiban’ ciptaan yang sedia ada pada hari ini. Mungkin inilah pengajaran di sebalik dorongan Allah, lihatlah unta… bagaimana ia diciptakan!

      ( diambil dari genta-rasa.com )
      Subpages (1): VIDEO PILIHAN
      Comments