KERIS MELAYU SEMENANJUNG

 The Keris of The Peninsular Malay


Dengan Izin Dari Penulis Asal Hasil Kajian:

With Consent From The Original Researcher: 

Mohd.Ramli Raman
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
ramlimr@um.edu.my
 

PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG MALAYSIA

Pusat Latihan Kajang Utama - PLKU

6-1, Jalan Seksyen 2/15, Taman Kajang Utama, 43000 Kajang, Selangor, Malaysia

Telephone +603 8296 3806 /  Facsimile +603 8296 3806

 

 

Laman Utama                                                                                  Homepage

 



Sejarah Keris Semenanjung

(History of the Peninsular Keris)


1) Kerajaan Melayu telah wujud seawal abad ke 7 lagi seperti Chi Tan-tan (Ci La Tan) sebutan China, Ci Tu Tu (Ci Lu Tu) iaitu dua daerah di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu yang juga disebut  Malao, Mali-yu-eul, Mali-yu-erh (Braguinsky 1997, C.C Coedes,1968 dan D.G Hall, 1970). Negeri ini pula disebut oleh Ibnu Batutah sebagai Tawalisi dan Kaylukari (Ibnu Batutah,1322, terjemahan H.A Gibb 1929 , Gabriel Ferrand, 1913 dan Syed Nurul Akla Abdullah 2008).


2) Sehingga abad ke 12, seperti Malayur, Mayirundingan (Jelutung/Perak), Langkasuka (Kedah), Mappapalam (Myamar), Mayilimbangan (Semenanjung Kra), Valaippanduru (Balai Penjuru, Kelantan) dan lain-lagi daerah di bawah penguasaan kerajaan Sriwijaya.


3) Daerah-daerah ini telah berkembang pesat dalam bidang perdagangan dan intelektual serta keagamaan dari Hindu-Budha sehinggalah ke zaman Islamnya. Menjalin hubungan dengan Majapahit, Sumatera, Acheh, Melaka dan di sekitarnya, mahupun dengan barat yang kemudiannya menjadi penjajah.


4) Hubungan dengan Majapahit (Jawa) banyak mempengaruhi struktur kebudayaan, kesenian dan budaya bendawi terutamanya bendawi keris. Keris memang berasal dari Jawa. Peringkat awal seperti yang disebut Gardner (1936), bahawa “Keris Majapahit” milik Jawa sejak abad ke 7 lagi. Bagi H. Balfour (dipetik dari G.C Wooley 1998) mengatakan keris majapahit sebagai “currency bar”, nilai “mata wang” bagi daerah ini. Ia adalah antara faktor penyebaran keris yang meluas dalam lingkaran nusantara dan daerah Melayu yang lain.


5) Tradisi agong bendawi keris Jawa inilah kemudiannya berkembang ke alam Melayu walaupun kerajaan Majapahit mula merosot sekitar awal abad ke 14, dengan munculnya kuasa baru Melaka , Acheh, Pattani dan lain-lain lagi. Keris muncul dengan ciri-ciri tempatan mengikut: 


         a) Gaya Bali, Lombok dan Madura

         b) Gaya Jawa

         c) Gaya Semenanjung dan Selatan 

         d) Gaya Bugis

         e) Gaya Sumatera

          f) Gaya Kelantan Pattani

         g) Gaya Keris Suluk/Sundang


6) Ciri-ciri keris di luar Jawa ini walaupun masih memperlihatkan ciri-ciri Jawa, namun telah mengalami perubahan besar dari segi tempa sepuh, jenis besi, fungsi, tuah, darjat dan sebagainya sehinggakan orang Jawa menyebutnya sebagai “Keris Melaka” (A.R Hill 1998)


7) Untuk tujuan ini, pembicaraan akan dikhususkan kepada keris Melayu Semenanjung iaitu keris yang digunakan secara meluas di daerah Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan berhampirannya termasuklah Singapura, Kepulauan Riau-Lingga di selatan dan Pattani di utara. Ciri-ciri khusus keris Melayu Semenanjung ini mula berubah dan berbeza apabila Kelantan Pattani (orang barat) menjadi pusat perkembangan intelektual terutamanya intelektual Islam sehingga abad ke 17 yang kemudiannya diambil-alih oleh Kelantan sehingga abad ke 19 terutamanya sistem pendidikan sekolah pondok (pasentren).


8) Pengislaman juga terjadi dalam kebudayaan dan kesenian yang meliputi seni kepanggungan, perubatan dan perbomohan, walaupun tidak secara total. Ini juga terjadi apabila Pandai Saras (juga disebut Pandai Sarah) empu keris Pattani (lihat Hikayat Pattani 1970) yang dari keturunan Jawa (Majapahit) menghasilkan keris bersifat Melayu Pattani yang tidak lagi menggunakan hulu makara (gajah berbadan kuda laut/haiwan laut) dengan 
hulu pekakak (burung raja udang/kingfisher), juga disebut coteng dan tajung. Keris yang digunakan sebagai regalia kebesaran kesultanan Melayu Pattani.


Keris Tajung Pattani

(Koleksi Cikgu Nasir Hassan/Nasir Gayong)


Keris Hulu Tajong & Keris Pandai Saras/Sarah

(Koleksi Cikgu Nasir Hassan/Nasir Gayong)


                                               Pandai Sarah/Sarah                           Pandai Saras Hulu Tajong

                                         (Koleksi Cikgu Nasir Hassan)                              (Ehsan Keris Walikota)
 
 

9) Pengaruh Pandai Sarah/Saras kemudiannya mempengaruhi Tok Chu seorang pandai besi dari Palekbang Kelantan yang kemudiannya melahirkan jenis keris yang cukup popular sehingga kini iaitu keris Tok Chu yang hampir keseluruhannya diperbuat dari besi tunggal atau besi tarung. Ciri khususnya tidak mempunyai pamor atau motif kecuali pamor semula jadi. Ini adalah kerana Tok Chu tidak menggunakan banyak besi, baja dan bahan lain. Kelahiran keris jenis ini tidak dapat dipastikan, namun dijangka pada penghujung abad ke 18 dan awal abad ke 19.


                                Keris Tok Chu                                                                     Keris Tok Chu

                  (Koleksi  & Ehsan Keris Walikota)                             (Koleksi  & Ehsan Keris Walikota)


10)  Di samping keris-keris di atas terdapat beberapa bentuk keris yang cukup popular di

Semenanjung:


         a) Keris Melela

            b) Keris Beko

            c) Keris Penyalang/Panjang/Dabus/Terapang

            d) Keris Anak Alang

            e) Keris Sepukal

             f) Keris Unduk-unduk Terengganu

            g) Keris Bugis Pattani

 

11)   Fungsi keris dalam budaya Melayu:

 

         a) Regalia Kekuasaan (Keris Diraja)

            b) Pelengkap busana adat/perkahwinan

            c) Perubatan dan perbomohan

            d) Seni beladiri

            e) Keris upacara


a)  Regalia kekuasaan/Keris Diraja

 

 Sehingga kini, di nusantara hanya Malaysia sahaja yang mengamalkan sistem monarki berperlembagaan dan antara negara yang paling ramai mempunyai raja atau sultan iaitu 9 orang raja di sembilan buah negeri (propinsi) dan seorang Yang Di-Pertuan Agong sebagai tampuk tertinggi negara. Setiap negeri mempunyai seorang sultan atau raja.

 

Dalam upacara pertabalan Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan atau Raja, terdapat alat kebesaran diraja iaitu payung diraja, tombak diraja, nobat, dan juga keris.


                                Keris Panjang                                                                Keris Pendek 

                    DYMM Seri Paduka Baginda              DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

                        Yang DiPertuan Agong


Upacara mencium keris mengikut adat istiadat DiRaja Terengganu


Kebawah Duli Yang Maha Mulia

Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

Malaysia

 

 Yang DiPertuan Agong Malaysia dilantik setiap lima tahun sekali melalui Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu dengan memilih salah seorang sultan atau raja dari mana-mana negeri (propinsi) mengikut giliran atau senioriti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957. Manakala Sultan atau Raja bagi negeri-negeri seperti Negri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Selangor juga akan ditabalkan setelah berlakunya kematian raja yang terdahulu dan penggantinya mestilah anak sulong (pertama). Upacara ini samalah dengan pertabalan Yang Diperttuan Agung. 

 

Dalam pembicaraan yang singkat ini, Negeri Sembilan dipilih kerana sedikit berbeza dengan negeri lain kerana negeri tersebut tidak menggunakan keris pendek tetapi menggunakan 8 bilah keris panjang yang disebut gabus/terapang/penyalang. Malah tidak menggunakan istilah sultan atau raja tetapi YAM Di-Pertuan Besar Negri Sembilan. Namun status kuasanya sama dengan raja-raja negeri lain.

 

Keris Panjang/Terapang/Gabus DiRaja Negri Sembilan

 

b)  Keris pelengkap busana/perkahwinan tidaklah segah seperti upacara pertabalan raja atau agong, Cuma keris-kerisan sesuai dengan “Raja Sehari”.

 

c)  Keris perubatan dan perbomohan. Masyarakat Melayu walaupun telah mengalami arus pemodenan, namun nilai-nilai tradisi warisan nenek moyang masih diamalkan sehingga kini. Pemilihan keris untuk tujuan ini tidaklah tetap. Apa juga jenis boleh digunakan.

 

d)  Keris seni beladiri atau keris persilatan adalah keris yang digunakan dalam latihan persilatan boleh berupa apa sahaja jenisnya namun kualitinya adalah rendah berbanding dengan keris-keris tujuan lain.

 

e)  Keris upacara adalah keris khas bagi satu-satu institusi. Keris ini biasanya diarak atau dipawai masuk ke dewan atau keris rasmi sesuatu intitusi pemerintah, GLC, universiti dan sebagainya.


Keris Upacara Konvokesyen Kolej Risda

(Foto: Mohd. Nasir Hassan)


Keris Upacara Konvokesyen Kolej Risda

(Foto: Mohd. Nasir Hassan)


Keris Panca Warisan / Keris Pemuda UMNO Malaysia

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang memegang Keris Panca Warisan

pada rapat umum pemuda UMNO 2006

 

Rujukan/Reference:

a) A.H Hill dkk, 1998,

The Keris and The Other Malay Weapon, 

Kuala Lumpur: MBRAS 

b) A.Teeuw dkk, 1970,

Hikayat Patani,

The Hague: Martinus Nijhoff 

Hubungan Budaya Dalam Sejarah Dunia Melayu, 

Artikel Pilihan Dari Majalah Archipel, 2001, 

edited Daniel Peret dkk, Kuala Lumpur: DBP

c)   Mohd Ramli Raman, Raksi Keris: Filsafat Melayu, , 2006,

Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu

Kuala Lumpur: APM, Universiti Malaya

d)   Isoteri Seni Tempa Keris Melayu, dalam (edited), Rogayah Hamid dkk, 2007, 

Kepustakaan Ilmu Tradisional Melayu,

Kuala Lumpur: DBP 2008, (edited), Keris Melayu Semenanjung,

Kuala Lumpur: Gateway Publishing & APM Universiti Malaya

e)   Mohd Yusof Md Noor, 1984, 

(edited) Salsilah Melayu Dan Bugis,

Kuala Lumpur: Fajar Bakti

 f)   Mohd Zainudin Abdullah dkk, 2007,

Senjata Warisan,

Shah Alam: Lembaga Muzium Selangor

g)   Kasim Ahmad, 1964, 

(edited), Hikayat Hang Tuah, 

Kuala Lumpur: DBP

h)  Nik Safiah Karim dkk, 1985,

Kelantan Dalam Perspektif Sosio-Budaya, 

Kuala Lumpur: JPM,Universiti Malaya.

 i)   Shahrom Yob, 1967, 

Senjata Pusaka Melayu Dan Senjata-senjata Pendek,

Kuala Lumpur: DBP

 j)   Shahrom Yob, 2006, 

Mata Keris dan Bentuknya,

Kuala Lumpur: Muzium Negara Malaysia.

 k) Zakarian Abdullah, 2007, 

Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu

Kota Bharu: Muzium Negeri Kelantan


 

l) Koleksi dan Foto Kredit

Mohd Nasir Hassan, Kg Dusun Durian, Tawang, Kelantan

Keriswalikota, Shah Alam, Selangor 

Muzium Negri Sembilan, Seremban, Negeri Sembilan

Jabatan Kesenian dan Warisan Negara


Laman Utama                                                                                  Homepage



 Updated December 2008

@2008 Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Website Owner - Pusat Latihan Kajang Utama

All Rights Reserved

(webmaster@gayong-plku.com)

 

IMPORTANT NOTES:

This website and its' related linked pages are not the official websites for the 

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (P.S.S.G.M).

This website and all related links are the properties of

Pusat Latihan Kajang Utama.

 

Home| Disclaimer | Contact Us | Enquiries / Complaints| Terms Of Use