Kata-Kata Aluan YDP Majlis Guru Cemerlang Kelantan Tn Hj Burhan Bin Ramli
Alhamdulillah syukur saya kepada Allah swt kerana diberi kesempatan menyampaikan sepatah dua kata dalam laman web ini.
Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Majlis Guru Cemerlang Kelantan kerana berjaya meyiapkan laman web baharu MGCK pada tahun ini. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi wahana untuk menyampai dan menyalurkan maklumat serta wacana berhubung kait aktiviti yang dijalankan oleh Guru Cemerlang di segenap pelosok negeri Kelantan dan seluruh warga pendidik Malaysia. Saya juga berharap Guru Cemerlang Negeri Kelantan memberi komitmen yang tinggi dengan tugas masing-masing sama ada di peringkat sekolah, PPD, Jabatan Pelajaran Negeri, mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia .
Guru Cemerlang mestilah bertindak lebih proaktif dengan mengambil langkah bijak bagi menangani semua masalah yang dihadapi oleh pendidik dan mencari jalan penyelesaian secara profesional. Dengan wujudnya laman web MGCK ini, saya mengharapkan agar semua hasil atau produk Guru Cemerlang seperti Modul, Kajian Tindakan dan Inovasi perlu dikongsi bersama demi kegemilangan pendidikan di Kelantan. Hakikat ini bersesuaian denganVisi dan Misi Guru Cemerlang untuk melahirkan guru yang cemerlang secara berterusan dalam semua aspek : merangkumi kecemerlangan peribadi , pengetahuan, kemahiran kerja, berkomunikasi, dan potensi.
Pada tahun ini MGCK telah dan akan menjalankan pelbagai projek demi menjulang kejayaan pendidikan di Kelantan.
Saya juga mengharapkan agar melalui saluran kerjasama dan penggemblengan tenaga antara MGCK dengan Majlis Pengetua, Majlis Guru Besar, JPN, BTPN dan institusi-institusi lain, berupaya menjayakan hasrat JPN dan Kementerian Pelajaran Malaysia demi melahirkan modal insan yang bertaraf dunia. Oleh itu, sekali lagi saya berharap agar semua Guru Cemerlang berpegang kepada moto kita iaitu ‘KECEMERLANGAN BERTERUSAN’
Sekian terima kasih.
______________________ (BURHAN BIN RAMLI) YDP Majlis Guru Cemerlang Kelantan |
