
INGIN MEMBANTU: Dr Che Rozmey mengukur pinggang
Suzana menggunakan tali rafia di rumahnya di Taman Sri Putra, Kuala Kedah.
ALOR STAR: Suzana Md Noor, yang mempunyai berat badan 230 kilogram
(kg) mengambil keputusan untuk berkurung di dalam rumahnya di Taman Sri
Putra, Kuala Kedah, dekat sini, sejak 2004 kerana malu.
Suzana, 30, berkata dia juga tidak boleh berjalan kerana sakit kaki
akibat badan yang terlalu berat menyebabkan dunianya hanya di dalam
rumah setiap hari.
Dia juga terpaksa melupakan hasrat untuk membantu ibunya, Saadiah
Murad, 47, menjual kuih di pekan Kuala Kedah setiap hari dengan
pendapatan sekitar RM10 sehari.
Suzana kini hampir berputus asa untuk berusaha menurunkan berat
badannya apabila pelbagai usaha, termasuk membeli produk pelangsing
badan sehingga sudah mencecah RM10,000 sejak lebih 20 tahun lalu, tidak
berhasil.
“Ibu berusaha menyimpan wang untuk membantu membeli produk
pelangsing badan, tetapi akhirnya saya tidak dapat membantu ibu,”
katanya ketika ditemui di rumahnya.
Bapanya sudah hampir tujuh tahun meninggal dunia, manakala dua adik
lelakinya masing-masing sudah bekerja dan tinggal berasingan. Suzana
tidak dapat bekerja hanya bergantung kepada dua adik lelakinya untuk
menghantar wang setiap bulan.
Suzana berkata, sejak lima tahun lalu, dia hanya duduk di atas
kerusi di ruang tamu rumah kerana tidak dapat berjalan dan hanya
bergerak ke bilik air untuk mandi.
“Seumur hidup, saya tidak pernah memakai seluar atau kemeja-T
seperti orang lain. Saya hanya berbaju kurung, walaupun di rumah selain
terpaksa menggunakan enam meter kain untuk membuat sepasang baju
kurung,” katanya.
Dia yang memiliki ukur lilit pinggang kira-kira 160 sentimeter itu
turut mengalami penyakit selulit yang kronik menyebabkan kaki kirinya
bernanah.
“Ketika bersekolah, berat saya hanya 150kg, tetapi ia semakin naik
sehingga hari ini iaitu 230kg menyebabkan saya tidak larat untuk
bergerak terlalu banyak,” katanya.
Suzana berkata, dia juga tidak berdaya bersenam kerana sukar bergerak.
Katanya, dia pernah beberapa kali cuba menimbang berat badan, tetapi
alat penimbang yang dibelinya kerap patah menyebabkan dia sedih.
Kata Suzana, dia juga sukar untuk ke hospital mendapatkan
pemeriksaan kerana tidak berdaya untuk berjalan jauh ke stesen bas yang
terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya selain sukar untuk masuk
dalam kereta.
“Saya menghubungi Pakar Pusat Perubatan Jitra dan Penyelidik
Obesiti, Dr Che Rozmey Che Din untuk membantu mengatasi masalah saya
alami dan berharap dapat mencapai impian itu,” katanya.
Sementara itu, Dr Che Rozmey menyampaikan sumbangan produk
pelangsingan badannya untuk membantu Suzana mendapatkan berat badan
yang diimpikannya sebelum ini.
Beliau berkata, kegemukan yang dialami Suzana berkemungkinan akibat
keturunan dan beliau menjangkakan berat badan Suzana boleh turun antara
20kg hingga 30kg sebulan dengan diet yang diberinya itu.
PETIKAN BERITA HARIAN